Friday, October 16, 2009

Ucapan Ketua Wanita Keadilan, YB Hjh. Zuraida Kamaruddin sempena Deepavali 2009


Salam sejahtera,

Sempena Perayaan Deepavali yang bakal disambut masyarakat beragama Hindu di Malaysia pada 17 Oktober ini, saya ingin mengucapkan Selamat Hari Deepavali kepada seluruh yang menyambutnya. Pastinya rumah-rumah yang menyambutnya meriah dengan hiasan Rangoli yang berwarna warni serta hidangan makanan yang lazat menyambut kehadiran tetamu.

Jika dilihat dari kanta sejarah, perayaan Deepavali yang juga dikenali sebagai Diwali atau Pesta Cahaya disambut dengan penuh kegembiraan sebagai tanda kemenangan menurut kepercayaan masyarakat Hindu. Watak-watak seperti Rama dan Ravana serta Ram, Sita dan Laxman yang membayangi latar sejarah disebalik perayaan ini dapat dijadikan rujukan kepada soal universal yang berkaitan dengan manusiawi dan keadilan sejagat. Kegembiraan pesta cahaya ini dipancarkan dengan tafsiran bahawa sinaran cahaya yang menerangi itu dijadikan sebagai simbol yang dapat memadamkan kegelapan yang mewakili kejahatan dan penindasan.

Saya berharap agar melalui perayaan yang disambut ini, masyarakat India khususnya dapat menyemai nilai-nilai keadilan, toleransi dan menentang kezaliman serta penindasan dalam apa jua bentuk. Kegelapan lampau yang terbentuk akibat dari kongkongan sosial serta pengasingan perlu diterangi dengan cahaya kebangkitan yang bersemarak. Peluang pertemuan antara ahli keluarga yang jauh dan dekat, pertemuan antara pemimpin dan rakyat serta pertemuan antara sahabat handai perlu dijadikan landasan untuk bermaaf-maafan serta mengukuhkan perhubungan.

Dalam konteks Malaysia yang berbilang kepercayaan. Masyarakat lain terutamanya Muslim juga harus turut mengimbangi sikap toleransi mereka supaya cenderung kearah seperti yang dianjurkan Islam sendiri. Syak wasangka, perasaan curiga serta sikap yang menjuruskan kepada perkauman perlu dihapuskan.

Janganlah gusar untuk memberi ucapan perayaan kepada mereka, sesuai dengan pendapat Ulama’ Islam terkenal Al-Qaradhawi yang menyebutkan bahawa,“Ini (ucap tahniah) termasuk dari hak-hak bersama. Jika seorang ahli kitab datang dan mengucapkan tahniah kepada kamu dengan perayaan kamu, dan dia berkongsi kedukaan dan musibah kamu, dan dia mengucapkan ta’ziah kepada kamu dengan kedukaan dan musibah tersebut. Maka apakah pula yang melarang kamu dari memberi tahniah dengan perayaannya dan dalam kegembiraannya dan kamu ucap takziah dalam musibah yang menimpanya."

Pendapat beliau itu disandarkan pada Surah An-Nisa’ ayat 86 “Apabila kamu dihormati dengan satu penghormatan, maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik, atau balaslah dengan yang serupa.”

Oleh itu, saya mengucapkan Selamat Menyambut Deepavali kepada seluruh masyarakat India, semoga semangat perubahan dan membebaskan dari dari kesuraman serta kegelapan dapat dapat diteruskan.

Deepavali Nal Valthukal!


YANG BERHORMAT PUAN HAJJAH ZURAIDA KAMARUDDIN
Ahli Parlimen Ampang
Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat

No comments: