Monday, December 2, 2013

Sempadan semula: Rashid sahkan SPR jadi alat Umno

KUALA LUMPUR 1 Dis: Kenyataan bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR),  Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman bahawa persempadanan semula pilihan raya ditentukan untuk mengekalkan kuasa Melayu bukti suruhanjaya itu cuma alat Umno BN, kata Ketua Sekretariat Pilihan Raya KEADILAN, Zakaria Abdul Hamid.
“Umum tahu SPR sentiasa menjadi alat Umno untuk kekal berkuasa dan kenyataan Rashid itu mengukuhkan lagi pandangan rakyat. Ia juga membuktikan apa yang didedah Pakatan Rakyat mengenai komplot SPR selama ini adalah benar” katanya kepada Suara Keadilan.
Sehubungan itu, beliau menyokong desakan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Ogos lalu agar tiada persempadanan semula dilakukan selagi anggota SPR tidak meletak jawatan.
“Anggota SPR sedia ada harus meletak jawatan dan pelantikan anggota baru harus terdiri dalam kalangan yang bebas dengan suruhanjaya itu wajar diletak bawah parlimen.
“Pemilihan anggota baru juga mesti melibatkan semua Ahli Parlimen termasuk Pakatan dan NGO yang pakar pilihan raya dan bersikap bebas,” katanya lagi.
Pada 25 November lalu, The Malaysia Insider melaporkan, Rashid berkata, tiga persempadanan semula semasa beliau menerajui SPR bertujuan mengekalkan kuasa Melayu.
Pada PRU 1999, Umno tewas sebahagian besar kerusi Melayu termasuk tumbang di Terengganu, hilang penguasaan 2/3 di Kedah dan pertama kali Presiden PAS ketika itu, Datuk Fadhil Mohd Noor dilantik sebagai Ketua Pembangkang yang dilihat menggugat kuasa  Umno.
Oleh itu, persempadanan semula pada 2003 menyaksikan Umno BN menang besar lebih 90 peratus Parlimen pada PRU 2004.
Sementara pada 27 November lalu, Datuk Wan Ahmad Wan Omar mengakui ketika menjawat Setiausaha SPR pada 2002, beliau hanya menurut arahan tujuh anggota suruhanjaya itu yang diketuai Rashid.
Manakala pada 8 Jun lalu, Wan Ahmad yang juga Timbalan Pengerusi SPR berkata, persempadanan semula akan dibuat bermula hujung tahun ini.
Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=56862

No comments: