Thursday, October 3, 2013

Polis hilang aset RM1.33 juta termasuk senjata api, gari

Polis Diraja Malaysia (PDRM) kehilangan 309 unit aset meliputi gari, senjata api dan kenderaan sekaligus kerugian RM1.33 juta, menurut Laporan Ketua Audit Negara.
Kehilangan aset tersebut direkodkan dalam tempoh 2010 hingga 2012.
Statistik yang dikeluarkan Bahagian Pengurusan Aset, Jabatan Logistik PDRM itu mendapati, aset paling banyak hilang adalah gari iaitu 156 unit, diikuti senjata api dan kenderaan, masing-masing 44 dan 29 unit.
“Pengauditan yang dijalankan mendapati secara keseluruhannya pengurusan aset di Ibu Pejabat PDRM dan tiga IPK yang diperiksa adalah kurang memuaskan.
“Pengurusan aset yang tidak teratur dan bersistematik boleh menyebabkan berlakunya kehilangan aset terutama senjata api dan gari yang boleh mengancam keselamatan awam,” kata Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang, dipetik daripada laporan itu.
POLIS
Antara kelemahan yang ditemui audit berkenaan adalah kehilangan aset lewat dikesan, kelewatan melapor kehilangan kepada Ketua Jabatan dan Polis, Ketua Jabatan lewat menyediakan Laporan Awal Kehilangan Aset, Jawatankuasa Penyiasat Kes Kehilangan Aset lewat ditubuhkan, dan Jawatankuasa Kehilangan Aset lewat menyediakan laporan akhir.

Ekoran itu, Ambrin menegur dan mengesyorkan pasukan PDRM memastikan pemeriksaan berkala dilaksanakan mengikut ketetapan supaya kes kehilangan aset berkenaan dapat dikesan.
“Memastikan kehilangan aset yang berpunca daripada kecurian, penipuan, atau kecuaian pegawai/anggota dikenakan tindakan surcaj atau tatatertib supaya menjadi satu usaha pencegahan bagi mengawal kes kehilangan,” tegur Ketua Audit.
Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=55897

No comments: