dipetik dari Malaysiakini.com



Kerajaan Selangor buat pertama kalinya dalam sejarah akan memberi elaun dan keistimewaan kepada ketua pembangkang DUN negeri itu sebagai pengiktirafan kepentingan jawatan tersebut dalam sebuah kerajaan demokrasi, kata Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim.

Beliau berkata Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang bersidang semalam meluluskan keistimewaan tambahan kepada ketua pembangkang DUN Selangor yang akan dilaksanakan mengikut Seksyen 5 Enakmen Anggota Pentadbiran dan Ahli Dewan Negeri (Saraan) 1980.

Dalam kenyataannya hari ini, Khalid berkata ketua pembangkang bakal menerima elaun tetap, elaun pemandu, elaun setiausaha kerja, kereta rasmi kerajaan dan elaun-elaun lain yang kesemuanya berjumlah RM8,620 sebulan.

"Keputusan ini dibuat selepas mengambil kira ketua pembangkang adalah komponen penting dalam sebuah kerajaan yang mengamalkan sistem demokrasi untuk menjalankan peranan semak dan imbang kepada kerajaan pemerintah sedia ada.

"Kepentingan ketua pembangkang dapat dilihat seperti keutamaan yang diberikan untuk berhujah selepas sesuatu Rang Undang-Undang dibacakan dan keutamaan membahas usul menjunjung kasih DYMM Sultan Selangor selepas Datuk Menteri Besar pada persidangan Dewan Negeri Selangor," kata Khalid.

Ketua pembangkang DUN Selangor kini disandang oleh ADUN Sungai Burong Datuk Shamsuddin Lias.

Khalid berkata pembayaran elaun itu sejajar dengan imbuhan yang diberikan kepada ketua pembangkang di Parlimen mengikut Akta Ahli Parlimen (Saraan) 1980.

"Kelulusan ini akan dikuatkuasakan selepas usul ini dibentangkan dalam Mesyuarat Ketiga Penggal Pertama Dewan Negeri Ke-13 yang dijangka mula bersidang pada 19 November depan.

"Keputusan ini selari dengan hasrat kerajaan Pakatan Rakyat untuk menanam dan menyuburkan demokrasi tulen di negara ini yang memberi kesamarataan hak demi memperjuangkan kebajikan rakyat," kata Khalid.