PETALING JAYA 29 OKT: KEADILAN akan menganjurkan Kongres Nasional Khas 2013 pada 24 November ini di Dewan Raja Muda Musa, Kompleks Belia dan Kebudayaan Negeri Selangor, di Shah Alam.
“Kongres itu nanti bakal dihadiri 2000 perwakilan seluruh negara termasuk Sabah Sarawak dan tetamu jemputan,” kata pemangku Setiausaha Agung, Tian Chua yang juga Naib Presiden parti.
Turut sama pada sidang media itu, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi, Datin Paduka Tan Yee Kew dan Setiausaha Jawatankuasa Pindaan Perlembagaan parti, Hanif Mahmud Pathi.
Pengarah Komunikasi, Fahmi Fadzil yang ditemui sebelum itu berkata, matlamat Kongres tersebut untuk membentang dan meluluskan beberapa pindaan dalam perlembagaan parti.
Menurutnya, pindaan tersebut akan memberi kesan kepada proses pemilihan parti kali ini.
Fahmi berkata, antara cadangan yang hangat dan hebat dibincangkan ialah pindaan jumlah undi untuk Majlis Pimpinan Pusat (MPP).
“Kalau sebelum ini seorang ahli boleh memilih 20 nama calon tetapi cadangan sekarang adalah meminda kepada lima nama sahaja untuk memudahkan proses pengiraan undi dan ia sedang dipertimbangkan.
“Beberapa maklumat berhubung pindaan lain akan kita maklumkan kemudian,” katanya yang juga Setiausaha Politik Ahli Parlimen Lembah Pantai.
Mengulas berhubung perkembangan pemilihan pimpinan KEADILAN, Fahmi berkata, pemilihan tersebut akan diadakan antara April atau Mei tahun hadapan.
“Kaedah pemilihan di peringkat cabang dan pusat juga akan berlaku perubahan di mana pemilihan akan diadakan sekali untuk menjimatkan masa dan tenaga berbanding sebelum ini dibuat secara berasingan,” jelasnya.
Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=56436
No comments:
Post a Comment