Thursday, October 10, 2013

Peneroka Palong 2 lapor JKKK, Felda kepada SPRM

dipetik dari FMT.com

SEREMBAN: Selepas sebulan menunggu dan gagal mendapat penjelasan daripada Jawatankuasa Keselamatan Kemajuan Kampung (JKKK) serta pengurusan Felda Palong 2 di Jempol; sekumpulan peneroka mewakili 107 peneroka dari tanah rancangan tersebut membuat laporan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini hari ini.

Peneroka meminta SPRM menyiasat JKKK Felda Palong 2 dan pengurusan Felda Palong 2 berhubung dakwaan peneroka yang JKKK serta pihak pengurusan Felda Palong 2 gagal membentangkan akaun terperinci tiga tabung yang dilaburkan di dalam saham Koperasi Permodalan Felda (KPF).
FMT pernah menyiarkan keluhan 107 peneroka Felda Palong 2 pada 6 September lepas.
Mereka menuntut agar Jawatankuasa Keselamatan Kemajuan Kampung (JKKK) Felda Palong 2 dan pihak pengurusan Felda Palong 2 memberi penjelasan berhubung status tiga akaun tabung yang melibatkan peneroka Felda Palong 2 yang dilabur di dalam Koperasi Permodalan Felda (KPF).
Wakil peneroka, Awalludin Samah berkata peneroka sudah lama bersabar dan menanti selama sebulan untuk mendapatkan penjelasan terperinci daripada Pengerusi JKKK Felda Palong 2, Arifin Hussin dan Pengurus Felda Palong 2, Kamarudin Hassan.
“Pada hari yang kami mengutarakan masalah kami kepada media yang disiarkan dalam beberapa media pada bulan lepas; dalam kenyataan media Arifin memberi maklum balas bahawa dalam masa terdekat beliau akan menghantar surat kepada ke semua 534 peneroka Felda Palong 2 dengan anggaran pendapatan untuk tahun 2013 dan anggaran perbelanjaan untuk tahun 2014.
“Walaubagaimanapun sehingga ke hari ini sudah cukup sebulan, kami tidak menerima apa-apa surat penjelasan atau penyata akaun untuk ketiga-tiga tabung tersebut.
“Kami sudah memberikan masa yang secukupnya kepada Arifin dan Kamarudin untuk memberikan butiran terperinci berhubung pertanyaan kami tentang status akaun Tabung JKKK, Tabung Ladang dan Tabung Khairat Kematian yang dilaburkan di dalam KPF.
Janji tinggal janji
“Tetapi janji tinggal janji. Kami tiada pilihan lain melainkan membuat laporan dengan pihak SPRM agar ketiga-tiga akaun ini disiasat,” kata Awalludin.

Seorang lagi wakil peneroka Hassan Husairi, berkata mereka bukan menuduh JKKK atau pihak pengurusan Felda tetapi mahukan ketelusan dan penjelasan bagaimana wang dalam ketiga-tiga tabung tersebut dibelanjakan dan berapa banyakkah dividen yang diterima melalui pelaburan dalam saham KPF.
“Kita tidak menuduh sesiapa dalam JKKK Felda Palong 2 atau pihak pengurusan Felda Palong 2. Tetapi kami sebagai peneroka yang mempunyai kepentingan dalam ketiga-tiga tabung tersebut mahukan akaun ketiga-tiga tabung tersebut dibentangkan kepada peneroka.
“Bayangkan selama 13 tahun dari tahun 2000 sehingga 2013, butiran kewangan termasuk bagaimana duit dalam ketiga-tiga akaun ini dibelanjakan dan berapakah dividen yang diterima tidak pernah didedah atau diumumkan kepada 534 peneroka Felda Palong 2.
“Saya berharap SPRM akan siasat aduan kami dengan segera dan telus,” ujar Hassan.
Timbalan Setiausaha Agung PKR Negeri Sembilan, T Kumar yang juga peguam penasihat kepada peneroka terbabit berkata peneroka tiada pilihan lain selain membuat laporan SPRM.
“Peneroka bukan sahaja tidak diberikan butiran akaun malah selepas isu ini diketengahkan dalam media pun, JKKK atau pengurusan Felda tidak memanggil peneroka terbabit untuk berjumpa dan memberikan penjelasan berhubung akaun tersebut.
“Kami akan melihat perkembangan siasatan SPRM ke atas kes ini dan akan memikirkan apakah langkah seterusnya nanti,” katanya.

No comments: