Tuesday, December 18, 2012

Umno pindah semula pengundi ke T’ganu, S’ngor lawan habis-habisan


KUALA LUMPUR 18 Dis: Pengalaman Terengganu berjaya ditawan semula oleh BN pada 2004 menerusi penipuan pilihan raya dan bukan atas kehendak rakyat menjadikan KEADILAN Selangor bersedia melawan taktik jahat Umno untuk merampas negeri itu.
Lebih dari itu, Timbalan Pengerusi KEADILAN Negeri, Zuraida Kamaruddin berkata, Selangor malah akan ‘mematahkan’ serangan pembangkang negeri untuk memenangi pilihan raya.
“Memang ada usaha kerja-kerja kotor Umno BN di Selangor. Kita akan berdepan tanpa membiarkan taktik jahat mereka memenangi PRU akan datang.
“Petugas-petugas setiap kawasan akan diberikan penerangan dengan jelas bagi mendedahkan mereka berhubung taktik ini,” kata Ahli Parlimen Ampang itu ketika dihubungi.
Semasa berucap pada Himpunan Kebangkitan Rakyat di Dungun, Terengganu Jumaat lalu, Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa mendedahkan, Umno BN sedang berusaha membawa pengundi Terengganu ke Selangor bagi membantu parti itu menawan semula Selangor dalam PRU13.
Menurut Husam, pengundi tersebut merupakan pengundi Selangor yang dibawa ke Terengganu pada 2004.
Beliau berkata, kerana yakin Umno mampu menang besar di Selangor dalam PRU ke-11, sebahagian besar pengundi di negeri itu dipindahkan ke Terengganu.
Akibatnya dalam PRU ke-12, Umno BN Selangor jatuh ke tangan Pakatan Rakyat kerana kehilangan pengundi yang dipindahkan ke Terengganu dalam PRU sebelumnya.
“Pada tahun 2004 Terengganu berjaya ditawan semula oleh BN bukan atas kehendak rakyat Terengganu. Majoriti rakyat Terengganu memilih PAS ketika itu.
“Bagaimana kerajaan PAS boleh tumbang adalah melalui penipuan pilihan raya yang dibuat oleh Umno,” kata Husam dipetik Harakah Daily.
Zuraida yang juga Ketua Wanita KEADILAN berkata, jentera parti akan mencari pengundi yang dipindahkan itu bagi mendapatkan butiran dan pengesahan bahawa mereka bukan orang tempatan yang layak mengundi kawasan tersebut.
“Bagi nama pemilih terbaru yang akan diterima penghujung tahun ini, kita akan teliti sehabis baik. Jika terdapat kekeliruan pada nama mereka, kita lapor kepada Suruhanjaya Pilihan Raya. Mereka nak terima atau tidak terpulang. Tapi kita akan rekodkan semuanya sebagai bukti,” katanya.
Tambah Zuraida, negeri yang ditadbir Pakatan Rakyat khususnya Selangor bakal berhadapan pengundi baru yang mencurigakan.
Kata beliau, pemindahan pengundi adalah antara perkara yang perlu diperangi habis-habisan.
“Ini adalah taktik yang kita kenal pasti bakal memberikan kesan jika tidak dikaji daripada awal. Sebagai parti mempertahankan sistem demokrasi yang adil, kita akan patahkan usaha jahat Umno,” ujarnya.
Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=41305

No comments: