Friday, December 14, 2012

Lagi pendedahan Deepak: Adik Najib bayar Bala untuk tandatangan SD 2


KUALA LUMPUR 13 Dis: Ahli perniagaan Deepak Jaikishan menamakan seorang adik Perdana Menteri, Datuk Nazim Razak sebagai individu yang didakwanya bertanggungjawab membayar penyiasat persendirian P Balasubramaniam untuk menandatangani akuan berkanun kedua (SD 2).
Deepak
Dedahnya, beliau turut bertanggungjawab mempertemukan Nazim dan Balasubramaniam, tetapi urusan pembayaran wang kepada Bala itu, dakwanya, dilakukan Nazim.
“Saya mengesahkan kenyataan saya sebelum ini bahawa Datuk Nazim menyertai pertemuan untuk memudahcara apa-apa yang perlu dilakukan.
“Penglibatan saya hanya untuk mempertemukan semua orang,” dakwanya seperti dilaporMalaysiakini.
Bala pada awalnya menandatangani satu akuan berkanun mengaitkan Datuk Seri Najib Razak dengan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu.
Beliau kemudiannya menandatangani akuan berkanun kedua bagi menafikan akuan pertama yang dakwanya ditandatangani ketika keselamatan keluarganya menjadi taruhan.
Bala kemudian mendakwa dibayar tunai dan dijanjikan lebih banyak wang selepas bersetuju menandatangani akuan bersumpah kedua dan berpindah ke luar negara bersama keluarganya.
Deepak dalam wawancara semalam, mendakwa wang yang diterima Bala datang daripada “Datuk Nazim dan sumber-sumbernya”.
Deepak dilapor berkata, beliau tampil mendedahkan perkara di sebalik kontroversi pembunuhan itu kerana risau “roh Altantuya tidak bersemadi dengan tenang” sehingga beliau dihantui “sumpahan Altantuya”.

No comments: