Wednesday, September 26, 2012

Tiada krisis air di S’ngor, iklan komersil didalangi Umno BN – Azmin


(Oleh Mohd Martin Kahar)
KUALA LUMPUR 24 September: Pengerusi KEADILAN Selangor, Mohamed Azmin Ali berkata, penggambaran iklan berkaitan masalah air di Selangor merupakan propaganda Kerajaan Pusat kononnya berlakunya krisis air di negeri tersebut.
Ahli Parlimen Gombak itu berkata, pembikinan iklan yang didalangi Umno BN itu bertujuan memburuk-burukkan pentadbiran Pakatan Rakyat kononnya gagal mengatasi masalah air.
“Kita telah jelaskan pada rakyat tiada krisis air di Selangor. Apa yang berlaku adalah kita hanya kekurangan air terawat.

“Air terawat ini bukan tanggungjawab kerajaan negeri tetapi di bawah tanggungjawab Syabas (Syarikat Bekalan Air Selangor).
“Jika Syabas gagal menguruskan dengan baik (masalah air), kerajaan negeri mendesak supaya konsesi ini dibatalkan dan pengurusan air dikembalikan kepada kerajaan negeri,” katanya ketika ditemui di Parlimen hari ini.
Malaysiakini melaporkan, satu penggambaran iklan berkaitan masalah air dijalankan secara rahsia di sebuah blok pangsapuri di Petaling Jaya.
Produksi periklanan dikatakan membayar penduduk setempat RM50.00 untuk melakonkan babak orang ramai sedang beratur untuk mendapatkan bekalan air daripada lori bekalan air.
Azmin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Antarabangsa berkata, rakyat Selangor sudah matang dan tidak mudah percaya dengan isu yang cuba dimainkan Umno BN.
Katanya, rakyat Selangor juga sudah menyaksikan Pakatan Rakyat berjaya memerintah jauh lebih baik berbanding BN.

No comments: