Monday, September 10, 2012

Jelajah Merdeka Rakyat Anwar Ibrahim gamit rakyat NS





JELAJAH MERDEKA RAKYAT ANWAR IBRAHIM KE NS
7 September 2012 / Jumaat.

Walaupun pada peringkat awal jelajah ini dimulakan di negeri lain mendapat 'sambutan provokasi' oleh samseng-samseng upahan Umno-Perkasa, namun di Negeri Sembilan suasananya terkawal dan tenang daripada sebarang tindakan provokasi luarbiasa dari pihak lawan.

Pujian dan kalungan terima kasih wajar diberikan kepada pihak polis Negeri Sembilan yang memberi kerjasama keselamatan bagi memastikan tidak berlaku kejadian-kejadian yang tidak diingini berlaku. Pujian itu juga harus dikongsi bersama buat Menteri Besar, Dato' Seri Utama Mohamad Hasan yang 'gentleman' dan berjiwa besar kepada Jelajah Merdeka Rakyat ini yang diadakan di DUN Rantau iaitu di kawasan yang diwakili oleh beliau.

Sehari sebelum itu, telah diadakan satu demonstrasi oleh pihak Perkasa di hadapan Balai Polis Rantau, yang mendesak polis supaya ceramah Merdeka Rakyat di Rantau itu dibatalkan. Namun begitu, desakan itu nampaknya telah ditenggelamkan begitu saja tanpa mendapat perhatian sesiapa pun.

DSAI bersama ADUN Sikamat, YB Aminuddin Harun di Masjid Paroi Jaya
Siri jelajah bertemu rakyat ini telah bermula di Port Dickson dengan Solat Jumaat di Masjid Jamek Port Dickson. Selepas itu, Dato Seri Anwar Ibrahim hadir meraikan sambutan Rumah Terbuka Aidilfitri Dun Port Dickson di perkarangan Pejabat ADUN Port Dickson. Beliau telah disambut lebih seribu orang ramai bersama pimpinan Cabang Telok Kemang. Ini julung kali beliau hadir ke Bandar Port Dickson sejak tahun 2008.

Beliau seterusnya meneruskan lawatan ke Masjid Paroi Jaya dan solat Asar bersama jemaah masjid yang hadir. Kehadiran mengejut beliau ke masjid tersebut telah mendapat perhatian ramai jemaah. Beliau sempat meluangkan masa beramah mesra dengan beberapa jemaah.

Santai Petang di Bandar Baru Ampangan

Tepat jam 5:30 petang, DS Anwar Ibrahim bersama bas jelajah Merdeka Rakyat berada di dataran niaga Bandar Baru Ampangan untuk Santai Petang DUN Ampangan. Sebagaimana sambutan di Port Dickson, ribuan rakyat telah menyambut kehadiran beliau. DS Anwar sempat bergambar dan beramah mesra dengan rakyat yang hadir ke program ini.

Siri jelajah beliau disambung pula ke Surau An Nur, Seremban Selatan Fasa 2 untuk solat Maghrib. Beliau turut menyampaikan tazkirah. Jemaah-jemaah di Seremban Selatan mengambil peluang memenuhi segenap ruang surau untuk mendengar tazkirah DS Anwar.

Kemuncak program diakhiri dengan Ceramah Perdana Merdeka Rakyat yang diadakan di Jalan Ribu, Rantau. Lebih tiga ribu orang hadir memenuhi kawasan ceramah bagi mendengar amanat dan kupasan semasa daripada DS Anwar Ibrahim.

Kejayaan siri jelajah pertama di Negeri Sembilan ini bakal diteruskan pada penghujung September atau awal Oktober ini yang dijangka melibatkan kawasan-kawasan pedalaman Negeri Sembilan seperti Jelebu, Kuala Pilah, Jempol dan Tampin. Nantikan!




No comments: