Wednesday, September 26, 2012

92 peratus pangsapuri kos rendah terima air percuma


Kerajaan Selangor sedia maklum dengan usaha-usaha pihak tidak bertanggungjawab yang sengaja memperlekehkan program pemberian air percuma 20 meter padu pertama setiap bulan di bawah agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES).
Walaupun kerajaan negeri menghormati kebebasan rakyat mengambil tindakan undang-undang bagi menuntut hak mereka, tetapi kita percaya mereka ini telah diperdaya dengan maklumat palsu atau tidak mendapat maklmumat yang secukup mengenai program air percuma ini.

Sejak program ini dilancarkan pada Jun 2008, lebih 1 juta penduduk Selangor yang menggunakan meter individu telah menikmati pemberian air percuma setiap bulan melibatkan perbelanjaan melebihi RM400 juta.
Oleh kerana kita tidak mahu rakyat miskin di rumah bertingkat kos rendah menjadi mangsa Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) yang merumitkan proses penukaran meter pukal kepada individu, maka kerajaan negeri mengambil inisiatif pada Jun 2010 untuk memastikan pemberian air percuma ini turut dinikmati oleh penghuni pangsapuri kos rendah.
Berdasarkan laporan Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS), daripada 232 kawasan pangsapuri atau 64,715 unit yang menggunakan meter pukal, 92 % atau 214 kawasan melibatkan 58,049 unit pangsapuri kos rendah telah menerima air percuma menerusi Skim Rebet Air Percuma (SAFWA).
Baki 18 kawasan atau 6,666 unit lagi gagal melaksanakan tuntutan rebet air percuma kerana Badan Pengurusan Bersama (JMB) kekurangan tenaga kerja.
Sejak Julai 2010 sehingga sehingga Julai 2012, lebih RM6 juta telah dibelanjakan untuk air percuma kepada penghuni pangsapuri kos rendah.
Skim SAFWA ini ditambah baik menerusi “Lapor dan Dapat’ iaitu mana-mana pangsapuri kos rendah yang tercicir boleh terus mendaftar di Unit Pesuruhjaya Bangunan di setiap pihak berkuasa tempatan (PBT) dan membuat tuntutan secara terus dengan SYABAS.
Bagaimanapun , Skim SAFWA ini untuk pangsapuri bertingkat kos rendah sahaja. Bagi pangsapuri bukan kos rendah, pemiliknya perlu memohon daripada SYABAS untuk proses migrasi dari meter pukal kepada individu. Malah, kerajaan negeri juga menubuhkan pasukan khas untuk membantu mempercepatkan dan melancarkan proses migrasi meter ini.
Rekod semua Unit Pesuruhjaya Bangunan, pihak berkuasa tempatan dan SYABAS, sebanyak 108 kawasan terdiri daripada 29,318 unit telah bertukar kepada meter individu.
Kerajaan negeri telah mewajibkan semua pangsapuri melaksanakan migrasi meter air individu mulai Mei 2007. Selepas 2007, pemaju wajib menyediakan meter individu dan meter pukal pada setiap pembangunan perumahan bertingkat yang baru.
Tan Sri Khalid Ibrahim
Menteri Besar Selangor

20 September 2012

No comments: