Wednesday, September 26, 2012

Isteri dapat caruman daripada suami dan kerajaan jika Pakatan perintah


(Norutul Ilham)
KUALA LUMPUR 26 September: Pakatan Rakyat membela golongan wanita dengan memperuntuk RM3 bilion melalui skim Caruman Wanita Nasional.
“Kita cadangkan jaringan keselamatan sosial komprehensif untuk suri rumah dikenali sebagai Caruman Wanita Nasional. Ia adalah keselamatan sosial komprehensif yang diperkenal di negara ini.
“Dua tahun permulaan, pelaksanaan ini melibatkan pendaftaran sukarela untuk mewajibkan setiap suami menunaikan caruman kepada isteri mereka,” kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ketua Pembangkang itu berkata demikian ketika membentang Belanjawan Pakatan dengan tema ‘Ekonomi Rakyat Negara Berkat’.
Untuk itu, katanya, suami perlu mencarum kepada isteri dengan kadar minimum RM120 sehingga RM1,200 mengikut kemampuan.
“Bagaimanapun, Kerajaan Persekutuan akan menyumbangkan RM600 setahun tanpa mengira tahap sumbangan suami.
“Skim ini memberi penjimatan awal sekurang-kurangnya RM5,000 bagi setiap suri rumah dalam tempoh lima tahun pertama sumbangan.
“Ia boleh dikeluarkan apabila melibatkan kematian pasangan, perceraian, hilang upaya kekal, kehilangan kekal pendapatan dan lain-lain.
“Jika tidak, suri rumah boleh keluarkan simpanan mereka pada usia 50 yang dijangka mencecah RM30,000,” katanya.

Mahasiswa dapat manfaat bila PTPTN dihapus, pendidikan percuma


(Oleh Aedi Asri)
KUALA LUMPUR 26 September: Belanjawan Pakatan Rakyat 2013 turut mengambil kira kepentingan golongan mahasiswa dengan menjamin  sistem pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) akan dihapus manakala pendidikan disedia secara percuma.
Perkara ini juga dinyatakan secara konsisten dalam manifesto Pakatan Rakyat sebelum ini.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Pakatan yakin hutang pinjaman PTPTN yang dianggarkan sejumlah RM30 bilion setakat ini akan dapat diselesaikan dengan kos RM2 bilion setahun selama 20 tahun.
Beliau berkata, Pakatan juga yakin dapat menghapuskan hutang peminjam yang menepati kriteria ditetapkan oleh jawatankuasa khas yang akan dibentuk untuk merombak keseluruhan mekanisme pembiayaan pengajian tinggi di Malaysia.
“Kriteria itu adalah kombinasi faktor ekonomi berasaskan pendapatan semasa, keputusan akademik dan rekod pembayaran sebelum ini,” jelas Anwar.
Katanya, pendidikan percuma bakal meringankan beban mahasiswa yang menanggung hutang sebelum memasuki alam pekerjaan.
Menurut Anwar, penuntut institusi swasta, akan turut menerima subsidi yuran pengajian.
“Ini akan menambahkan pendapatan boleh guna peminjam dan membolehkan mereka mengutamakan perbelanjaan ke arah meningkatkan kualiti hidup mereka,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar berkata, model pembiayaan kini tidak mapan dan hanya menunggu masa untuk di’bail out’ kerajaan seperti yang terjadi di negara yang menggunakan model yang serupa.
“Dengan kos sara hidup yang tinggi, kata Anwar lagi, kadar kutipan hutang PTPTN tidak akan meningkat.
“Hutang pelajar yang ditanggung PTPTN akan terus bertambah sehinggalah ia mula mengancam kecairan dan daya maju (viability) kewangan PTPTN,” jelas beliau.

Turun Harga Kereta: Kurangkan duti eksais 20 %, hapus permit AP 2015


(Oleh Aedi Asri)
KUALA LUMPUR 26 September: Intipati Belanjawan Alternatif 2013 Pakatan Rakyat (Pakatan) mencakupi penurunan harga kereta melalui pengurangan cukai eksais sebanyak 20 peratus, selain sistem bidaan AP dibuat secara terbuka sehingga 2015 sebelum ia dihapus.
Menurut laporan Belanjawan Pakatan 2013 yang dibentang Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini, penurunan itu dibuat berikutan duti eksais terlalu tinggi sehingga mencecah 105 peratus.
“Bidaan tender permit AP dibuat sebagai menebus kehilangan pendapatan melalui potongan duti eksais itu,” laporan itu dipetik.
Belanjawan tersebut turut menunjukkan aliran pendapatan negara selama lima tahun jika dasar automotif itu dilaksanakan.
Laporan itu menjelaskan, kerajaan Pakatan hanya perlu membelanjakan RM 2 bilion untuk setiap tahun 2013 dan 2014 dan RM1 bilion setiap tahun pada 2015 hingga 2017.
Selain daripada AP yang ditender dan wang dikeluarkan sendiri oleh kerajaan, skim itu juga akan dapat dilaksanakan dengan cukai pendapatan secara terus kepada kerajaan.
Menurut laporan itu lagi, dengan menjadikan pendapatan isi rumah sebagai ukuran, harga kereta di Malaysia adalah antara tertinggi di dunia.
“Tanpa sistem pengangkutan yang baik, rakyat tiada pilihan lain selain memiliki kenderaan sendiri, sehingga rakyat yang berpendapatan serendah RM1500 sebulan turut memilikinya,” kata laporan itu.

92 peratus pangsapuri kos rendah terima air percuma


Kerajaan Selangor sedia maklum dengan usaha-usaha pihak tidak bertanggungjawab yang sengaja memperlekehkan program pemberian air percuma 20 meter padu pertama setiap bulan di bawah agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES).
Walaupun kerajaan negeri menghormati kebebasan rakyat mengambil tindakan undang-undang bagi menuntut hak mereka, tetapi kita percaya mereka ini telah diperdaya dengan maklumat palsu atau tidak mendapat maklmumat yang secukup mengenai program air percuma ini.

Sejak program ini dilancarkan pada Jun 2008, lebih 1 juta penduduk Selangor yang menggunakan meter individu telah menikmati pemberian air percuma setiap bulan melibatkan perbelanjaan melebihi RM400 juta.
Oleh kerana kita tidak mahu rakyat miskin di rumah bertingkat kos rendah menjadi mangsa Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) yang merumitkan proses penukaran meter pukal kepada individu, maka kerajaan negeri mengambil inisiatif pada Jun 2010 untuk memastikan pemberian air percuma ini turut dinikmati oleh penghuni pangsapuri kos rendah.
Berdasarkan laporan Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS), daripada 232 kawasan pangsapuri atau 64,715 unit yang menggunakan meter pukal, 92 % atau 214 kawasan melibatkan 58,049 unit pangsapuri kos rendah telah menerima air percuma menerusi Skim Rebet Air Percuma (SAFWA).
Baki 18 kawasan atau 6,666 unit lagi gagal melaksanakan tuntutan rebet air percuma kerana Badan Pengurusan Bersama (JMB) kekurangan tenaga kerja.
Sejak Julai 2010 sehingga sehingga Julai 2012, lebih RM6 juta telah dibelanjakan untuk air percuma kepada penghuni pangsapuri kos rendah.
Skim SAFWA ini ditambah baik menerusi “Lapor dan Dapat’ iaitu mana-mana pangsapuri kos rendah yang tercicir boleh terus mendaftar di Unit Pesuruhjaya Bangunan di setiap pihak berkuasa tempatan (PBT) dan membuat tuntutan secara terus dengan SYABAS.
Bagaimanapun , Skim SAFWA ini untuk pangsapuri bertingkat kos rendah sahaja. Bagi pangsapuri bukan kos rendah, pemiliknya perlu memohon daripada SYABAS untuk proses migrasi dari meter pukal kepada individu. Malah, kerajaan negeri juga menubuhkan pasukan khas untuk membantu mempercepatkan dan melancarkan proses migrasi meter ini.
Rekod semua Unit Pesuruhjaya Bangunan, pihak berkuasa tempatan dan SYABAS, sebanyak 108 kawasan terdiri daripada 29,318 unit telah bertukar kepada meter individu.
Kerajaan negeri telah mewajibkan semua pangsapuri melaksanakan migrasi meter air individu mulai Mei 2007. Selepas 2007, pemaju wajib menyediakan meter individu dan meter pukal pada setiap pembangunan perumahan bertingkat yang baru.
Tan Sri Khalid Ibrahim
Menteri Besar Selangor

20 September 2012

Tiada krisis air di S’ngor, iklan komersil didalangi Umno BN – Azmin


(Oleh Mohd Martin Kahar)
KUALA LUMPUR 24 September: Pengerusi KEADILAN Selangor, Mohamed Azmin Ali berkata, penggambaran iklan berkaitan masalah air di Selangor merupakan propaganda Kerajaan Pusat kononnya berlakunya krisis air di negeri tersebut.
Ahli Parlimen Gombak itu berkata, pembikinan iklan yang didalangi Umno BN itu bertujuan memburuk-burukkan pentadbiran Pakatan Rakyat kononnya gagal mengatasi masalah air.
“Kita telah jelaskan pada rakyat tiada krisis air di Selangor. Apa yang berlaku adalah kita hanya kekurangan air terawat.

“Air terawat ini bukan tanggungjawab kerajaan negeri tetapi di bawah tanggungjawab Syabas (Syarikat Bekalan Air Selangor).
“Jika Syabas gagal menguruskan dengan baik (masalah air), kerajaan negeri mendesak supaya konsesi ini dibatalkan dan pengurusan air dikembalikan kepada kerajaan negeri,” katanya ketika ditemui di Parlimen hari ini.
Malaysiakini melaporkan, satu penggambaran iklan berkaitan masalah air dijalankan secara rahsia di sebuah blok pangsapuri di Petaling Jaya.
Produksi periklanan dikatakan membayar penduduk setempat RM50.00 untuk melakonkan babak orang ramai sedang beratur untuk mendapatkan bekalan air daripada lori bekalan air.
Azmin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Antarabangsa berkata, rakyat Selangor sudah matang dan tidak mudah percaya dengan isu yang cuba dimainkan Umno BN.
Katanya, rakyat Selangor juga sudah menyaksikan Pakatan Rakyat berjaya memerintah jauh lebih baik berbanding BN.

Sokongan kepada PR meningkat, populariti Najib merudum – Kajian UM


KUALA LUMPUR: Kajian yang dibuat oleh Universiti Malaya (UM) menunjukkan sokongan ke atas Pakatan Rakyat (Pakatan) meningkat sekarang berbanding dengan kajian yang dibuat pada awal tahun ini.
Sokongan juga meningkat ke atas kerajaan Pakatan di Selangor dan juga Kedah, namun sedikit penurunan di Kelantan.
Kajian itu juga menunjukkan penurunan terhadap keyakinan rakyat bahawa BN akan terus menguasai Putrajaya dalam pilihan raya umum nanti.
Kajian itu dibuat oleh Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL) bertajuk Pola Pengundian Menjelang Pilihanraya Umum ke-13.
Kajian terbaru yang dibuat adalah pada 1 hingga 16 September 2012  di seluruh Semenanjung Malaysia.
Kajian sebelum ini dibuat dalam tempoh 31 Mac 2012 hingga 15 April 2012.
Bilangan responden ialah 1536. Kajian dilakukan secara bersemuka dengan melibatkan etnik Melayu, etnik Cina dan etnik India.
Pemilihan responden dipilih secara rawak dengan soalan kaji selidik berstruktur.
Ditanya, parti mana akan menang dalam PRU-13, kajian Mac hingga April menunjukkan keyakinan kepada BN akan menang adalah 49% sedangkan kajian terbaru menunjukkan penurunan kepada 44% sahaja.
Kajian sokongan peringkat pusat menunjukkan peningkatan sokongan kepada Pakatan
Keyakinan kepada Pakatan pula meningkat dari 21% kepada 30%.
Keyakinan kepada kerajaan Pakatan di Selangor juga meningkat dengan ketara dari 38% kepada 50% manakala untuk BN dari 28% jatuh kepada 16%.
Begitu juga di Kedah. Keyakinan kepada Pakatan naik dari 37% kepada 48% dan kepada BN turun dari 40% kepada 32%.
Namun untuk negeri Kelantan, keyakinan kepada Pakatan jatuh sedikit dari 44% kepada 41% manakala BN naik dari 27% kepada 32%. Namun, kecondongan pengundi tetap kepada Pakatan Rakyat.
Populariti Najib jatuh merudum
Kajian itu juga mendapati, harapan rakyat amat tinggi agar berlaku perdebatan antara Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
72% berharap supaya debat diadakan manakala hanya 17% tidak bersetuju dan 11% tidak pasti.
Menurut kajian itu, populariti Najib juga menurun dari 61% pada Mac lalu kepada 58% pada September 2012. – Harakah Daily

Monday, September 10, 2012

Anggota polis sahkan pengawal peribadi Anwar tak acu pistol


(Aedi Asri)
JASIN 9 September: Pengawal peribadi kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dikenali sebagai Jim, tidak mengacukan pistol kepada samseng Umno walaupun berdepan provokasi mereka.
Setiausaha Pengelola KEADILAN, Radin Shamsulkamar Radin Shamsudin, berkata Jim berusia lingkungan 30 tahun, ditahan selepas polis menerima lima aduan daripada Pemuda Umno Jasin.
“Seorang anggota polis yang melihat insiden itu juga menegaskan Jim tidak mengacukan pistol (ke arah samseng).  Jim dibebas selepas polis berpuas hati dengan rakaman video kejadian itu,”  katanya kepada Keadilan Daily ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin, Melaka.
Jim ditahan polis berpakaian preman ketika cuba menyurai samseng umno yang mengerumuni bas Merdeka Rakyat untuk ke sambutan Aidil Fitri KEADILAN Cabang Jasin di Kampung Kelubi, Jasin.
Laporan edisi bahasa Mandarin NTV7 semalam menyebut, dua anggota polis bertindak ke atas pengawal peribadi Anwar dan kononnya, memaksa senjata api itu dimasukkan semula ke sarung.
Malah, Setiausaha Kerja Wanita Pusat, Maisuri Zainal pula berkata Jim hanya mengacah dengan mengeluarkan pistol sebagai langkah berjaga-jaga tapi muncungnya menghala ke tanah.
“Saya nampak beliau halakan pistol ke bawah…bukan acu (ke arah samseng),” katanya yang mengikuti program jelajah berkenaan, sambil menggayakan semula aksi itu.
Selain itu, Maisuri dan rakannya, Abdul Hadi Suhaimi juga yakin dapat mengecam wajah samseng Umno yang menyimbah cat ke bas Merdeka Rakyat, jika kawad cam dibuat.
Menyatakan sudah memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Jasin lewat malam 8 September lalu, beliau berkata, mereka nampak jelas insiden itu dari dalam bas, sebelum keluar merakam gambar dan video.
Laporan polis berhubung insiden itu sudah dibuat Radin Shamsulkamar pada jam 8.43 malam di balai polis sama.

Bas Merdeka Rakyat disimbah cat lagi, Pemuda Umno sah terlibat


JASIN: Selepas kejadian di Kelantan yang pelakunya masih bebas hingga kini, bas yang digunakan bagi program Jelajah Merdeka Rakyat sekali lagi disimbah cat di Kampung Kelubi di sini, hari ini.
Bas itu disimbah cat merah ketika dalam perjalanan menghadiri jamuan Aidilfitri di Kampung kelubi, Jasin kira-kira jam 3.30 petang – dilakukan pada siang hari secara terang-terangan.
Kejadian itu dilakukan kira-kira 30 samseng Umno yang turut menghalang laluan bas, selain menayangkan kain rentang yang penuh dengan kata-kata penghinaan kepada pemimpin KEADILAN.
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Shamsul Iskandar Md Akin ketika dihubungi Malaysia Kinipercaya perbuatan tidak bertamadun itu didalangi Pemuda Umno.
“Kami tahu kerana ada salah seorang ahli jawatankuasa Umno Jasin berada bersama mereka,” katanya.
Minggu lalu, bas itu turut disimbah cat merah sekitar jam 4.20 pagi manakala cermin depan retak dilontar batu di Pasar Khadijah, Kelantan.
Sekalipun berlaku keganasan terhadap konvoi melibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama pimpinan parti peringkat pusat dan negeri, konvoi itu kemudian meneruskan perjalanan.
Mengikut jadual, mereka akan hadir Rumah Terbuka AidilFitri KEADILAN Melaka di Jalan Cempaka Off Taman Peringat Jaya, Melaka dan Rumah Terbuka keadilan PKR Tangga Batu pada jam 8 malam.
Konvoi kemudian akan bertolak ke Tanjong Minyak, Tangga Batu, Melaka untuk acara Ceramah Perdana di Batu 25, Kg Ramuan China Kechil, Lubok Cina, Melaka, antara jam 9 hingga 12 tengah malam.
Pada waktu sama, konvoi juga akan berada di Ceramah Perdana Merdeka Rakyat di Food Court Pearl Park, Pekan Pulau Sebang, Alor Gajah, Melaka.

Ancaman kerambit di Kedah dorong pengawal tingkat kewaspadaan


(Sidiqin Omar)
KUALA LUMPUR 10 Sept: Tindakan mengeluarkan pistol munasabah berikutan ada ahli Perkasa membawa kerambit ketika mendekati Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam serangan di sebuah masjid di Kedah, minggu lalu.
Pada 2 September lalu, ahli Perkasa dikesan membawa kerambit ketika menyerang Masjid Al-Hussin, Seberang Pumpong, Alor Setar semasa Anwar memberi tazkirah.
Bercakap kepada Keadilan Daily, Senator Saiful Izham Ramli, berkata seseorang pegawal peribadi yang memiliki lesen senjata api, pasti mempertimbang suasana ketegangan.
“Pengawal peribadi pasti faham situasi. Pistol sebagai amaran kepada pembawa senjata seperti kerambit, buku lima untuk menjauhkan diri.
“Dalam keadaan ramai orang, mana tahu mungkin ada bawa senjata. Pengawal peribadi kena cekap membaca ancaman. Tindakan juga diambil mengikut garis panduan,” kata peguam itu.
Pengawal peribadi itu dibebaskan polis beberapa jam selepas mengambil keterangannya di Ibu Pejabat Polis Daerah Jasin, Melaka.
Sebelum ini, Radin Shamsulkamar Radin Shamsudin, berkata anggota polis yang nampak kejadian itu menegaskan pengawal berkenaan tidak mengacu pistol ke arah samseng.
Mengikut Setiausaha Pengelola KEADILAN itu, polis berpuas hati dan membebaskan pengawal itu berdasarkan rakaman video.
Pada 8 September lalu, bas Jelajah Merdeka Rakyat disimbah cat merah dan dihalang 30 samseng Umno dari memasuki Kampung Kelubi, Jasin.
Ia insiden ketiga selepas cermin bas dipecah dan disimbah cat merah di Kota Bharu, selain serangan Perkasa di Masjid Al-Hussin.

Jelajah Merdeka Rakyat Anwar Ibrahim gamit rakyat NS





JELAJAH MERDEKA RAKYAT ANWAR IBRAHIM KE NS
7 September 2012 / Jumaat.

Walaupun pada peringkat awal jelajah ini dimulakan di negeri lain mendapat 'sambutan provokasi' oleh samseng-samseng upahan Umno-Perkasa, namun di Negeri Sembilan suasananya terkawal dan tenang daripada sebarang tindakan provokasi luarbiasa dari pihak lawan.

Pujian dan kalungan terima kasih wajar diberikan kepada pihak polis Negeri Sembilan yang memberi kerjasama keselamatan bagi memastikan tidak berlaku kejadian-kejadian yang tidak diingini berlaku. Pujian itu juga harus dikongsi bersama buat Menteri Besar, Dato' Seri Utama Mohamad Hasan yang 'gentleman' dan berjiwa besar kepada Jelajah Merdeka Rakyat ini yang diadakan di DUN Rantau iaitu di kawasan yang diwakili oleh beliau.

Sehari sebelum itu, telah diadakan satu demonstrasi oleh pihak Perkasa di hadapan Balai Polis Rantau, yang mendesak polis supaya ceramah Merdeka Rakyat di Rantau itu dibatalkan. Namun begitu, desakan itu nampaknya telah ditenggelamkan begitu saja tanpa mendapat perhatian sesiapa pun.

DSAI bersama ADUN Sikamat, YB Aminuddin Harun di Masjid Paroi Jaya
Siri jelajah bertemu rakyat ini telah bermula di Port Dickson dengan Solat Jumaat di Masjid Jamek Port Dickson. Selepas itu, Dato Seri Anwar Ibrahim hadir meraikan sambutan Rumah Terbuka Aidilfitri Dun Port Dickson di perkarangan Pejabat ADUN Port Dickson. Beliau telah disambut lebih seribu orang ramai bersama pimpinan Cabang Telok Kemang. Ini julung kali beliau hadir ke Bandar Port Dickson sejak tahun 2008.

Beliau seterusnya meneruskan lawatan ke Masjid Paroi Jaya dan solat Asar bersama jemaah masjid yang hadir. Kehadiran mengejut beliau ke masjid tersebut telah mendapat perhatian ramai jemaah. Beliau sempat meluangkan masa beramah mesra dengan beberapa jemaah.

Santai Petang di Bandar Baru Ampangan

Tepat jam 5:30 petang, DS Anwar Ibrahim bersama bas jelajah Merdeka Rakyat berada di dataran niaga Bandar Baru Ampangan untuk Santai Petang DUN Ampangan. Sebagaimana sambutan di Port Dickson, ribuan rakyat telah menyambut kehadiran beliau. DS Anwar sempat bergambar dan beramah mesra dengan rakyat yang hadir ke program ini.

Siri jelajah beliau disambung pula ke Surau An Nur, Seremban Selatan Fasa 2 untuk solat Maghrib. Beliau turut menyampaikan tazkirah. Jemaah-jemaah di Seremban Selatan mengambil peluang memenuhi segenap ruang surau untuk mendengar tazkirah DS Anwar.

Kemuncak program diakhiri dengan Ceramah Perdana Merdeka Rakyat yang diadakan di Jalan Ribu, Rantau. Lebih tiga ribu orang hadir memenuhi kawasan ceramah bagi mendengar amanat dan kupasan semasa daripada DS Anwar Ibrahim.

Kejayaan siri jelajah pertama di Negeri Sembilan ini bakal diteruskan pada penghujung September atau awal Oktober ini yang dijangka melibatkan kawasan-kawasan pedalaman Negeri Sembilan seperti Jelebu, Kuala Pilah, Jempol dan Tampin. Nantikan!




Wednesday, September 5, 2012

Jelajah Merdeka Rakyat DSAI Ke Negeri Sembilan





Program-Program Jelajah

7 September 2012/Jumaat
Sambutan Aidilfitri Dun Port Dickson Bersama DSAI
Perkarangan Pejabat ADUN Port Dickson
Bandar Port Dickson,
2:00-3:00 petang

7 September 2012/Jumaat
Sambutan Aidilfitri Dun Sikamat Bersama DSAI
Perkarangan Pejabat ADUN Sikamat,
Tmn Sikamat Jaya, Seremban
5:00-6:00 petang

7 September 2012/Jumaat
Santai Petang Dun Ampangan Bersama DSAI
Tapak Pasar Malam Ampangan
6:00-7:00 petang

7 September 2012/Jumaat
Ceramah Perdana Merdeka Rakyat
Jalan Ribu, Rantau
(berhampiran Klinik Kesihatan Rantau)
8:30 malam

Tuesday, September 4, 2012