Tuesday, January 4, 2011

Analisa PRU-13: DUN Tumpuan Menang-LABU

PRU ke-12 pada 8 Mac 2008 lalu telah menyaksikan Negeri Sembilan hampir sahaja ditawan oleh Pakatan Rakyat. BN Negeri Sembilan berkelebihan hanya empat kerusi DUN dan hilang suara majoriti dua pertiga.

Episod menarik kemudian tercetus dengan tersebarnya berita tentang empat ADUN BN dari Umno dikhabarkan akan melompat ke PKR. Namun, khabar itu kemudiannya dinafikan oleh Menteri Besar, Mohamad Hassan.

Pada PRU-12 lalu, PKR Negeri Sembilan telah bertanding 12 kerusi DUN dan telah memenangi empat daripadanya iaitu Ampangan, Sikamat, Chuah dan Port Dickson.

Walaupun tewas lapan kerusi dun, tetapi jika diteliti maklumat-maklumat kerusi dun tersebut PKR Negeri Sembilan berpeluang untuk memenangi enam daripada lapan DUN yang tewas. Majoriti kemenangan BN pada enam DUN tersebut adalah bawah daripada dua ribu undi. DUN tersebut adalah;
1. Labu
2. Pilah
3. Pertang
4. Jeram Padang
5. Linggi
6. Juasseh

DUN Labu berpotensi untuk dimenangi oleh PKR Negeri Sembilan. Prestasi PKR dalam pertandingan di DUN Labu lebih menyakinkan berbanding parti-parti pembangkang yang pernah bertanding di situ.

Sejarah Pertandingan

Pada PRU ke-9 pada tahun 1995, DUN Labu telah dimenangi oleh BN melalui calon Umno iaitu Muhammad Shahlan Bin Shaid dengan majoriti yang selesa iaitu 5,173 menewaskan calon parti Semangat 46, Mejar (B) Hj. Othman Bin Hj. Abdullah yang hanya mendapat 902 undi. Maklumat ringkas seperti berikut;

Muhammad Shahlan Bin Shaid-6,075
Mejar (B) Hj. Othman Hj. Abdullah-902
Majoriti-5,173

PRU ke-10 pada tahun 1999, BN kekal memenangi DUN Labu melalui calon yang sama iaitu Muhammad Shahlan. Walaubagaimanapun, majoriti kemenangan BN telah susut ketara iaitu 1,684 undi. Calon PKR (dikenali Parti Keadilan Nasional ketika itu) Norizam Yasin mendapat 2,717 undi manakala Muhammad Shahlan mendapat 4,401 undi. Gelombang REFORMASI pada tahun itu telah mempengaruhi peningkatan undi kepada pembangkang.

Pada PRU ke-11 dalam tahun 2004, BN masih mengekalkan penyandang DUN Labu, Muhammad Shahlan Shaid sebagai calonnya. Kali ini PAS telah meletakkan calonnya bertanding di Labu iaitu Syed Mohd Fuad Bin Syed Ahmad. BN telah mengukuhkan kedudukannya di sini dengan peningkatan majoriti. Faktor calon PAS yang kurang dikenali mempengaruhi undi. Muhammad Shahlan mendapat undi 5,605. Syed Mohd Fuad mendapat undi 2,932. Majoriti adalah 2,673 undi.

PRU ke-12 membuktikan pengaruh BN di Labu tidak sehebat era PRU sebelum 1999. Peningkatan sokongan pada PRU 2004 hanya disebabkan kedudukan pakatan pembangkang yang tidak kuat ketika itu. Namun PRU 2008 memberikan wajah perubahan yang ketara.

Walaupun BN menang di DUN Labu melalui calonnya, Hasim Bin Rusdi dengan undi 5,451 namun majoriti dimenangi berada di bawah paras 1,500 undi. PKR meletakkan anak jati Labu, Mokhtar Bin Ahmad sebagai calonnya. Beliau mendapat 4,046 undi. Majoriti kemenangan BN adalah 1,405 undi.

Kedengaran khabar angin yang mengatakan PAS Negeri Sembilan ingin kembali bertanding di Labu pada PRU-13 akan datang. Hakikatnya, DUN Labu jika dilihat dari sudut analisa maklumatnya PKR lebih kukuh untuk kekal bertanding. Selain mempunyai jumlah anggota parti yang ramai di DUN Labu, PKR juga telah mempunyai banyak ranting yang ditubuhkan seperti Ranting Labu Hilir, LBJ, Bandar Enstek, Labu Batu 8 dan yang bakal ditubuhkan Ranting Kg Kondok dan Kg Lambar.

Harapan Baru

Pakatan Rakyat Negeri Sembilan melalui PKR Negeri Sembilan telah mengenal pasti kelemahan-kelemahan yang berlaku sepanjang PRU 2008 di DUN Labu. Gerak kerja penyusunan jentera dan strategi sedang berlangsung bagi memastikan kemenangan PKR di DUN Labu.

Matlamat PKR seandainya memenangi Labu adalah meningkatkan kembali perkhidmatan bas awam. Kawasan Labu kini terletak dalam jaringan pembangunan di sebelah utaranya iaitu Bandar Enstek dan berada 15km dari bandar Seremban. Perkhidmatan bas awam yang kurang cekap telah menjejaskan pergerakan kebanyakan penduduk kawasan kampung dan luar bandar dalam DUN Labu yang bergantung kepada bas awam dan tidak mempunyai kenderaan sendiri untuk pergi ke Bandar Seremban, Nilai dan Nilai 3.

Kawasan Labu juga berpotensi menjadi pusat pelancongan dan rekreasi kerana memiliki kawasan hutan dara yang terbentang dari Nilai hingga ke Mantin.Usaha naik taraf kemudahan dan pembangunan terancang tanpa menjejaskan kawasan hijau terebut mampu menjadi Labu menjadi pusat tumpuan rekreasi keluarga dan pelancongan. Secara langsung, rakyat tempatan akan mendapat impak ekonomi.




No comments: