Friday, January 21, 2011

ADUN Merlimau meninggal dunia


ADUN Merlimau Datuk Mohamad Hidhir Abu Hassan meninggal dunia pada jam 8.10 malam ini di Hospital Pakar Putra, Melaka selepas mengalami serangan jantung semalam.
Perkara itu disahkan Ahli parlimen Jasin Datuk Ahmad Hamzah.

Beliau merupakan antara pemimpin BN yang berada di hospital berkenaan sejak tengahari.

Kematian Mohamad Hidhir dijangka bakal menyebabkan pilihan raya kecil ke-15 diadakan sejak pilihan raya umum 2008.

Mohamad Hidhir dilaporkan dimasukkan ke hospital itu pada minggu lepas bagi menjalani pembedahan membersihkan arteri yang tersumbat pada 13 Jan lalu.

Beliau pada mulanya ke hospital itu untuk mendapat rawatan mengenai ketidak selesaan perutnya sejak kembali dari Taiwan pada 10 Januari lepas, dan ujian mendapati arterinya tersumbat.

Dilaporkan, Mohamad Hidhir mengalami serangan jantung sebanyak tiga kali dalam tempoh lima hari lalu yang menyebabkan beliau berada dalam keadaan koma di hospital berkenaan hari ini.

Mohamad Hidhir dilaporkan mengalami serangan jantung yang pertama pada Sabtu lalu pada kira-kira jam dua petang dan mengalami serangan jantung kedua pada waktu
tengahari, Isnin lalu.

Ketua menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata, beliau mendapati Mohamad Hidhir berada dalam keadaan koma sewaktu melawat ADUN berkenaan petang ini.

Merlimau merupakan kawasan majoriti Melayu dengan lebih 64 peratus daripada keseluruhan 10,500 pengundi. Selebihnya terdiri daripada 21 peratus pengundi Cina dan 14 peratus pengundi India.

Mohamad Hidhir mengekalkan kerusi berkenaan pada 2008 apabila menewaskan calon PAS Jasme Tompang dengan memperolehi majoriti undi sebanyak 2,154.

Allahyarham yang menjadi Naib Ketua Umno bahagian Jasin sejak 2004 itu, beliau memperolehi majoriti lebih besar sebanyak 5,087 undi dengan menewaskan calon PKR S Jayathas dalam pilihan raya pada tahun berkenaan.

Sementara itu, ketua pembangkang Melaka Goh Leong San turut menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga Mohamad Hidhir ketika dihubungi hari ini.

Mengulas pilihan raya kecil yang dijangka akan berlangsung, Goh berkata beliau menganggap DUN Merlimau sebagai satu potensi kepada Pakatan Rakyat dan menjangkakan PAS akan bertanding semula di kerusi berkenaan.

Tambahnya, pilihan raya kecil itu akan menyediakan peluang yang baik kepada masyarakat tempatan untuk menyuarakan rasa tidak puas hati mereka ke atas pentadbiran Mohd Ali.

No comments: