Thursday, December 10, 2009
Zunar kartunkan krisis politik Perak
dipetik daripada Malaysiakini.com
Kartunis kontroversi, pemimpin majalah Gedung Kartun yang diharamkan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN), melancarkan karya terbarunya, satira politik semasa Perak Darul Kartun.
Zulkiflee Anwar Haque, atau lebih popular dikenali Zunar, berkata karya terbaru ini diterbitkan dalam bentuk buku yang tidak memerlukan permit penerbitan daripada KDN.
"Penyambungan penerbitan ini dalam bentuk buku membuktikan pihak kami tidak berhasrat untuk berkonfrontasi dengan KDN kerana itu bukanlah matlamat kami.
"Matlamat kami adalah menghasilkan karya-karya alternatif dalam konteks Malaysia dengan isu-isu dan pendekatan yang selama ini gagal diketengahkan oleh karyawan negara ini termasuk kartunis," katanya ketika mengumumkan karya itu di pejabatnya hari ini.
Buku setebal 80 muka surat itu hasil usaha enam kartunis – Ronasina (atau, Mohd Affandi Ramli), Jonos (Nor Azlin Ngah), Art (Azhar Saad), Orangorang (Azlan Isa) dan Naza (Nazruddin Abu Bakar) – yang diketuai kartunis popular dan berpengalaman luas itu.
Karya itu mensatirakan krisis politik di Perak sejak rampasan kuasa kerajaan Pakatan Rakyat oleh BN awal Februari lalu sebagai fokus utamanya, selain sumbangan beberapa penulis seperti Sasterawan Negera Datuk A Samad Said, penganalisis politik Dr Farish A Noor dan juga penulis kolum Malaysiakini Hishamuddin Rais.
Perak Darul Kartun memuatkan gelagat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang mundar-mandir dalam kegelisahan sambil menyebut perkataan "bala, bala" apabila menyedari penyiasat persendirian P Balasubramaniam membuat dakwaan baru terhadap adiknya Datuk Mohamed Nazim dan isterinya Rosmah Mansor.
Balasubramaniam, mencipta kontroversi awal Julai tahun lalu, apabila menarik balik dalam tempoh 24 jam tuduhan awalnya bahawa Najib berskandal dengan Altantuya Shaariibuu, wanita Mongolia yang mati dibunuh 2006.
Buku humor itu juga memaparkan karikatur pegawai Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) yang membuat serbuan untuk menahan penceramah agama – dipercayai mensatirakan kes penangkapan Dr Mohd Asri Zainul Abidin, awal November lalu.
Selain itu, ia turut menyindir bekas menteri besar Negeri Sembilan, Tan Sri Isa Samad, ADUN Bagan Pinang yang menang baru-baru ini dengan menggambarkan beliau sebagai "statue of liability" – satira 'statue of liberty' di New York – yang mejulang wang sambil memegang "kitab rasuah teknikal" Umno.
Selain itu, buku ini juga melanjutkan siri nostalgia era Gerakan Reformasi 1998 seperti yang dimuatkan dalam Gedung Kartun. Selain Datuk Seri Anwar Ibrahim, ahli-ahli politik lain yang disinggung termasuklah Tun Dr Mahathir Mohamad, Datuk Seri S Samy Vellu, Datuk Seri Ong Tee Keat, dan Tian Chua.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment