Tuesday, December 1, 2009

Kursus BTN : Menteri Umno Makin Bercelaru

Anggota kabinet dari Umno hari ini mempamerkan keretakan dan percanggahan sesama diri dalam menangani isu kursus BTN.

Sehari selepas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nazri Aziz tampil mendedahkan bahawa kursus berkenaan akan dirombak atas arahan Perdana Menteri, Timbalan Menteri JPM Ahmad Maslan cuba memberi gambaran sebaliknya.

Beliau menafikan kurikulum BTN akan dirombak, sebaliknya cuma akan melalui proses “penambahbaikan’ minimum.

”Kita tambah baiklah...dalam ceramah kita tambah sebut 1Malaysia, lagu kita tambah,” kata timbalan menteri yangg bertanggungjawab atas BTN.

Ahmad Maslan bagaimanapun enggan mengulas lanjut, sekadar berkata beliau yakin Nazri tidak menyampaikan mesej tepat mengenai kursus BTN.

“Saya tidak yakin dia kata begitu, saya rasa dia maksudkan, (kursus BTN) harus diperbaiki,” tambah beliau.

Nazri semalam berkata Najib mengarahkan kursus BTN dirombak untuk memastikan ia tidak menggugat perpaduan kaum dan selaras dengan konsep 1Malaysia yang dibawanya.

Beliau memberi arahan itu meskipun timbalannya Muhyiddin Yassin mendakwa kursus BTN sudahpun disesuaikan dengan konsep 1 Malaysia dan tidak perlu diolah.

Najib memberi arahan itu selepas Selangor dan Pulau Pinang mengharamkan pegawai kerajaan negeri dan pelajar universiti menyertai kursus BTN.

Ini kerana kurikulum BTN didapati menjurus kepada memupuk sentimen perkauman di samping menggembleng sokongan untuk Umno-Barisan Nasional.

Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim berkata larangan itu bertujuan melindungi pelajar dan pegawai kerajaan daripada dakyah politik yang boleh memecah-belahkan rakyat.

No comments: