Friday, June 18, 2010

Bekas timbalan menteri mahu Felda disiasat



Pemimpin PKR Dr Tan Kee Kwong (gambar) yang juga timbalan menteri tanah dan pembangunan koperasi sehingga tahun 2004 mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya menyiasat dakwaan salahurus dalam Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda).


Beliau yang hari ini menemani ahli parlimen Klang, Charles Santiago membuat laporan ke SPRM berhubung kemerosotan rizab tunai Felda yang menjunam daripada RM4.08 bilion pada 2004 kepada hanya RM1.35 bilion pada tahun lalu.


Dalam aduannya, Santiago meminta SPRM menyiasat penjelasan yang diberikan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan bahawa jumlah rizab tunai Felda susut sebanyak RM2.73 bilion dalam tempoh lima tahun.Ahmad dalam jawapannya di Dewan Rakyat pada 16 Jun berkata, walaupun jumlah rizab berkurangan, nilai aset yang dimiliki oleh Felda tetap meningkat.Ahmad juga berkata, rizab tunai tersebut digunakan untuk program kebajikan peserta rancangan dan juga untuk membina ibu pejabat Felda yang baru.


Sementara itu, Tan yang pernah berkhidmat sebagai timbalan menteri di kementerian yang bertanggungjawab ke atas Felda berkata, bangunan baru berkenaan bertaraf "lima bintang" dan terletak bersebelahan Suruhanjaya Tinggi Republik Singapura.Felda, katanya, telah membayar pendahuluan sebanyak RM230 juta kepada Naza TTDI, pemaju yang bertanggungjawab membina bangunan baru dengan kos RM662 juta.


Beliau juga mendedahkan bahawa wujudnya satu rancangan pada 2006 untuk menggantikan ibu pejabat Felda sedia ada di atas tapak yang sama di Jalan Semarak, Kuala Lumpur.Rancangan itu akan hanya membabitkan kos pembinaan RM220 juta kerana tanah itu dimiliki Felda sendiri, kata Tan yang berkhidmat di kementerian tanah dan pembangunan koperasi sehingga tahun 2004.


"Perdana Menteri (pada ketika itu) Tun Abdullah Ahmad Badawi juga telah bersetuju untuk merasmikan majlis pecah tanah itu," katanya lagi.Beliau seterusnya mempertikaikan apa perlunya bangunan baru itu dibina dengan kos RM662 juta, sedangkan ia boleh dibina dengan satu pertiga daripada kos berkenaan.

PAS: P'raya umum dan S'wak mungkin serentak

PAS Kedah tidak menolak kemungkinan pilihan raya umum ke-13 akan diadakan serentak dengan pilihan raya negeri Sarawak.Setiausahanya, Mohamad Yusof Husin berkata kemenangan Pakatan dalam pilihan raya kecil parlimen Sibu bulan lalu membimbangkan BN mengenai Sarawak jatuh ke tangan pembangkang jika diadakan pilihan raya berasingan.

"Sarawak, kalau jatuh ke tangan pembangkang (jika pilihan raya berasingan) akan memberi kesan yang besar di Semenanjung," katanya ketika dihubungi Malaysiakini semalam.
Sehubungan itu, beliau meramalkan bahawa pilihan raya umum akan diadakan pada pertengahan Mac atau awal bulan April tahun depan.Mohamad Yusof mengulas kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kelmarin bahawa kerajaan tidak akan membubarkan parlimen bagi mengadakan pilihan raya umum berdasarkan kepada satu pendapat bahawa semakin ramai rakyat menyokongnya dan tarikhnya bakal "mengejutkan semua pihak".
Baru-baru ini kajian Merdeka Centre for Opinion Research mendapati 72 peratus rakyat Malaysia berpuas hati dengan prestasi Najib berbanding 69 peratus semasa beliau mula menjadi perdana menteri.
Mengulas lanjut, Mohamad Yusof yang juga seorang senator, menganggap Malaysia "sebuah negara pelik" kerana tarikh pilihan raya menjadi "satu rahsia" yang hanya diketahui oleh perdana menteri."Apa salahnya (kalau Najib) umum sekarang (bila tarikhnya)... Kita sebagai parti politik, kita bersedia (menghadapi pilihan raya) pada bila-bila masa. "Jentera kita sudah bersedia walaupun ia diumumkan secara mendadak selepas tiga tahun, dan ia tidak pernah berlaku sebelum ini," katanya.
Bagaimanapun katanya, setakat ini PAS Kedah yakin dapat mempertahankan kerajaan negeri tersebut jika pilihan raya umum diadakan tahun hadapan.Katanya, ini kerana rakyat melihat sendiri kelicinan pentadbiran kerajaan negeri, termasuk menguar-uarkannya melalui ceramah penerangan dan melalui risalah 'Warta Kedah".
Sementara itu, PAS Perak pula tidak terkejut sekiranya pilihan raya umum diadakan awal, setelah kajian mendapati rakyat berpuas hati dengan prestasi pentadbiran Najib.Setiausaha PAS Perak Misbahul Munir Masduki bersependapat bahawa Najib bakal mengumumkan serentak pilihan raya umum dan pilihan raya negeri Sarawak tahun depan.
"Beliau bimbang (dengan kekalahan BN di Sibu). Persepsi rakyat akan berubah," katanya sambil menambah bahawa PAS dan Pakatan sudah bersedia untuk menghadapi pilihan raya umum tahun depan.Tambahnya, PAS Perak juga mahu pilihan raya umum dipercepatkan bagi menyelesaikan masalah politik berlaku di negeri itu termasuk mengelak dari ADUN yang melompat.
Manakala ketua penerangan PAS Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir pula berkata, pilihan raya umum mungkin tidak diadakan serentak dengan pilihan raya negeri Sarawak."Kalau di peringkat persekutuan, saya tidak menjangka (pilihan raya umum diadakan) begitu awal sehingga masalah dalam parti komponen BN, ternasuk MCA dan MIC diselesaikan. Bagaimanapun PAS Selangor bersedia," katanya.

Thursday, June 17, 2010

Zahrain Punyai Nilai Moral Rendah Sebagai Pemimpin


Oleh Faizal Ezzany


KUALA LUMPUR 17 Jun - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mencabar Ahli Parlimen Bayan Baru supaya mengemukakan bukti sekiranya dakwaan beliau mengenai kewujudan video lucah yang kononnya dikaitkan dengan Exco Selangor, Elizabeth Wong.
Anwar membuat gesaan itu ketika ditanya media mengenai kenyataan Datuk Zahrain Mohd Hashim semalam tentang video lucah yang didakwa melibatkan Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Lanjan, Elizabeth Wong.


Anwar memberitahu perkara tersebut adalah soal peribadi seseorang dan tidak perlu mengaibkan Exco tersebut.


"Tentang soal Elizabeth itu tidak perlu kita ungkitkan, kalau ada bukti dedahkan kepada kita untuk diambil tindakan. Kes tersebut telah lama berlaku dan selama itu kita menunggu bukti tetapi sehingga sekarang tiada siapa yang dapat memberi bukti tersebut terutamanya video tersebut.


"Saya melihat tindakan Zahrain ini hanya bersifat peribadi, beliau bertanya kepada saya tentang video tersebut, saya tidak pernah lihat apa yang diperkatakannya. Zahrain ini bila masuk Umno baru melihat video luncah sepatutnya beliau yang perlu keluarkan video tersebut, apa bukti kemukakan untuk kita ambil tindakan.


"Menyerang seseorang pemimpin tanpa ada pembelaan adalah satu sikap yang tidak adil, jika kenyataan itu dikeluarkan oleh pemimpin juga ia menggambarkan nilai moral yang rendah kepada seorang pemimpin yang dipilih oleh rakyat. Saya sendiri pun tidak mahu layan dengan kenyataan yang bersifat tidak bertamadun itu dan itulah sikap seseorang bila berada di dalam kumpulan Umno," kata Anwar lagi.

Gigit polis: Tian Chua 'selamat', kekal MP Batu


Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak rayuan ahli parlimen Batu, Tian Chua kerana menghalang tugas polis dengan menggigit seorang anggotanya di luar bangunan parlimen tiga tahun lalu tetapi mengurangkan denda kepada RM2,000 atau penjara dua bulan.


Berikut keputusan itu, Tian yang nama sebenarnya Chua Tian Chang, akan kekal sebagai ahli parlimen Batu kerana hukuman yang dijatuhkan itu tidak mempengaruhi kedudukannya sebagai ahli parlimen.


Hakim Datuk Ghazali Cha ketika membacakan penghakimannya berkata pihaknya tidak akan mengubah keputusan bersalah yang dijatuhkan oleh Mahkamah Masjistret."Walaupun hukuman ditentukan oleh majistret, namun ini adalah kesalahan pertama.”"Membiarkannya beliau hilang kelayakan akan menyebabkan satu lagi pilihan raya kecil dan ini akan membabitkan dana yang besar.”


Tian didakwa mengikut Seksyen 332 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya.

Pemimpin PKR dilantik pengarah Perangsang

YB Dato' Kamarul Baharin Abbas

YB Sivarasa Rasiah

Dua pemimpin kanan PKR dilantik menganggotai lembaga pengarah syarikat berkaitan kerajaan Selangor - Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (KPSB).

Mereka ialah naib presiden PKR, R Sivarasa (kiri) dan anggota Majlis Pimpinan Tertinggi PKR Datuk Kamarul Bahrin Abbas. Sivarasa dan Kamarul dilantik memegang jawatan pengarah bebas dan bukan eksekutif dalam KPSB, sebuah syarikat infrastruktur dalam Kumpulan Darul Ehsan Bhd.Pelantikan mereka diumumkan dalam kenyataan KPSB kepada Bursa Malaysia semalam.

Pelantikan mereka menarik perhatian kerana ia dibuat selepas perwakilan di Kongres Nasional PKR hujung bulan lalu, menggesa kerajaan Selangor melantik lebih ramai pemimpin parti dalam syarikat berkaitan kerajaan negeri.

Sivarasa adalah ahli parlimen Subang manakala Kamarul Bahrin (kanan) merupakan ahli parlimen Teluk Kemang.

Sivarasa juga merupakan seorang peguam manakala Kamarul Bahrin, berpengalaman dalam sektor korporat.Kamarul Bahrin memulakan kariernya sebagai eksekutif pemasaran di syarikat Nestle dan pernah menjadi pengerusi eksekutif syarikat Tenaga Ehsan Sdn Bhd pada 1987.

Tuesday, June 15, 2010

KUALA LUMPUR, 15 Jun: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Barisan Nasional (BN) Perak yang tidak berpuas hati dengan kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir disaran mengusulkan undi tidak percaya terhadap Zambry.
Adun Pasir Panjang, Datuk Seri Muhammad Nizar Jamaluddin yang juga bekas Menteri Besar Perak berkata, Pakatan Rakyat (PR) Perak mengalu-alukan tindakan mereka meninggalkan Umno/BN dan menyertai PR negeri itu.
"Pakatan Rakyat Perak alu-alukan Adun BN yang tidak puas hati dengan Umno/BN untuk meninggalkan dan mengadakan usul undi tidak percaya terhadap Zambry bagi membolehkan pembubaran Dun," katanya dalam sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Sebelum itu, Nizar yang juga ahli Parlimen Bukit Gantang mendedahkan memang terdapat beberapa Adun BN yang datang bertemu beliau dan menyatakan rasa tidak puas hati terhadap kepimpinan Zambry dan menyatakan hasrat untuk meninggalkan parti itu.

"Saya didatangi pemimpin Umno bahagian termasuk beberapa Adun mereka yang tidak berpuas hati dengan kepimpinan Umno/BN di Perak dan ingin meninggalkan parti itu," katanya.

PR Perak bagaimanapun tegasnya, mahu Adun-Adun yang tidak berpuas hati itu menggunakan saluran yang betul dan mengikut undang-undang, tidak boleh dengan cara lompat parti.

"Kalau betul-betul tak puas hati, nyatakan di Dun dan gunakan saluran yang betul dengan mengusulkan undi tidak percaya. Kita mahu hak rakyat diberikan semula dengan membubarkan Dun.

"PR Perak akan pertimbangkan jika mereka ingin menyertai kita tapi bukan dengan cara melompat parti. Kita mahu kedudukan PR terkandung dalam Undang-undang Tubuh Negeri Perak," katanya.

Beliau juga memberitahu, Adun-Adun yang tidak berpuas hati itu semakin marah dengan Umno/BN kebelakangan ini apabila timbul isu APCO dan pemberian lesen judi sukan.
Dalam pada itu, Nizar turut menafikan dakwaan sesetengah pihak bahawa PR Perak campur tangan dalam urusan pentadbiran BN negeri itu.

"Saya menafikan khabar angin bahawa PR Perak campur tangan dalam urusan BN Perak," katanya.

Turut bersama dalam sidang media itu, Adun Setiawan, Ngeh Koo Ham yang juga ahli Parlimen Beruas, Adun Pantai Remis, Nga Kor Ming yang juga ahli Parlimen Taiping, ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr. Dzulkefly Ahmad dan Pengerusi PKR Perak, Mustafa Kamil Ayub.

Lanjutan Isu Lompat Di Perak: Nizar Tolak Lompat Parti, Usul Bubar DUN

Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Seri Nizar Jamaludin Nizar menolak insiden lompat parti, sebaliknya mengesyor Adun Umno yang tidak berpuas hati membuat usul kepada Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk dibubar.

Bercakap di lobi Parlimen, bekas Menteri Besar Perak sebelum rampasan kuasa itu berkata, pembubaran itu sekaligus memulangkan hak memilih kerajaan kepada rakyat.

Beliau mengakui wujud rasa tidak puas hati di kalangan pimpinan Umno Perak terhadap kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir.

Nizar juga mengakui didatangi pimpinan akar umbi Umno yang melahirkan kekecewaan mereka terhadap cara pimpinan mereka mengendalikan beberapa isu seperti APCO, lesen judi dan lain- lain.

Beliau turut menegaskan tidak ada sebarang campur tangan Pakatan Rakyat dalam mempengaruhi rasa tidak puas hati pimpinan Umno Barisan Nasional itu.