Monday, February 3, 2014

Nazree umum bertanding jawatan ketua AMK

KUALA LUMPUR 3 FEB: Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Negeri Sembilan, Nazree Yunus mengumumkan akan bertanding bagi jawatan Ketua AMK Pusat pada pemilihan KEADILAN nanti.
Kata Nazree, pengumuman ini dibuat selepas berbincang dengan  anggota AMK khususnya dengan Ketua AMK Shamsul Iskandar Mohd Akin dan mendapat persetujuan positif daripada semua pihak.
nazree Yunus
Pengumuman itu dibuat dalam Majlis Apresiasi AMK dan Media yang bertempat di Dataran Underground Plaza dekat Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, semalam.

Menurut Nazree, beliau mahu mengukuhkan lagi AMK sebagai sayap parti yang mampu membawa denyut nadi perjuangan rakyat, menerusi beberapa misi termasuk memperkuat proses pengkadiran dalam parti itu.
“Pengkadiran ini adalah suatu proses untuk memberi pendidikan dalam politik kepada anggota dan membina asas kefahaman yang holistik melalui siri-siri pemantapan AMK,” katanya.
Tambahnya, beliau juga berikrar memperkasakan skuad KEADILAN bagi mengangkat agenda kebajikan dan keselamatan anggota, sekiranya dipilih ke jawatan itu kelak.
“Kita juga akan memposisikan secara strategik peranan anak muda dalam sektor ekonomi dan usahawan muda,”
“Dalam misi jaringan AMK yang melibatkan perhubungan awam dan anak muda, kita akan membina jaringan bersama pemuda Pakatan Rakyat, mahasiswa , media , NGO , profesional , swasta , serantau dan antarabangsa,” katanya kepada keadilandaily.
AMK negeri
Sebelum ini, Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Caves, Amiruddin Shari turut mengumumkan keputusan bertanding bagi jawatan ketua AMK.

Nama lain yang disebut-sebut berhasrat menyandang jawatan itu adalah Adun Seri Setia yang juga Timbalan Speaker Selangor, Nik Nazmi Nik Ahmad.
Selain Nazree, turut diumumkan semalam adalah calon bagi beberapa lagi jawatan penting dalam sayap AMK.
Antaranya jawatan Timbalan Ketua AMK yang akan ditandingi Mohd Serman Hassnar dari Sabah, Naib Ketua AMK yang akan ditandingi Saifullah Zulkifli dari selangor, Ginie Lim yang akan bertanding Ketua AMK Melaka dan Sangheta Jayakumar bagi jawatan Exco AMK Malaysia.
Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=58890

No comments: