Satu sidang media oleh sekumpulan peneroka Palong 2 telah diadakan pada 5 September lalu menuntut dan mendesak pihak Pengurus Felda Palong 2 untuk membentangkan belanjawan bagi duit para peneroka yang diambil daripada dividen KPF (Koperasi Peneroka Felda).
Sidang media tersebut telah berlangsung di sebuah rumah peneroka di Palong 2, Jempol. Menurut wakil kumpulan peneroka terbabit, Hasan Husairi, 36 dan Awalludin Samah, 59 pihak pengurusan Felda Palong 2 tidak pernah memaklumkan jumlah dividen yang diperolehi oleh para peneroka malah hasil daripada dividen tersebut telah dipercayai digunakan oleh pihak pengurusan tanpa memaklumkan perincian kepada peneroka.
Kumpulan peneroka tersebut khuatir duit daripada dividen itu akan disalahgunakan oleh pihak pengurusan felda tanpa pengetahuan peneroka.
Atas kebimbangan tersebut, kumpulan peneroka terbabit telah membuat semakan jumlah dividen KPF mereka di Ibupejabat Felda di Kuala Lumpur pada 2 Julai 2013 lalu.
Atas usaha itu, kumpulan peneroka terbabit telah dimaklumkan jumlah dividen KPF mereka sejak dimulakan pada tahun 2000 hingga terkini yang berjumlah lebih daripada RM165,000 yang melibatkan tiga badan dalam KPF iaitu JKKR, Tabung Ladang dan Khairat Kematian.
Kumpulan peneroka terbabit telah bertindak dengan menghantar surat kepada Pengurus Felda Palong 2 bertarikh 9 Julai 2013 yang menuntut pihak pengurusan menyatakan kegunaan duit daripada dividen tersebut secara terperinci yang melibatkan tiga badan dalam KPF iaitu JKKR, Tabung Ladang dan Khairat Kematian.
Namun begitu, jawapan daripada Pengurus Felda Palong 2 tidak menyentuh kepada tuntutan peneroka dan menyebabkan kumpulan peneroka terbabit sekali lagi menghantar surat untuk menuntut perincian khusus. Sehingga sidang media itu dilangsungkan, pihak pengurusan masih gagal menjawab surat kedua kumpulan peneroka terbabit bertarikh 29 Julai 2013. Pihak pengurus hanya menyatakan secara rambang bahawa duit dividen tersebut digunakan untuk pembayaran bil-bil utiliti, yuran-yuran pembangunan dan gaji kerani pejabat pengurusan felda.
Seramai 535 orang peneroka Palong 2 yang telah melabur dalam KPF ketika ia dimulakan pada tahun 2000 lalu.
Menurut saudara Hasan lagi, sidang media ini diadakan bagi mendesak agar pihak pengurusan Felda Palong 2 untuk menjelaskan secara terperinci kegunaan duit-duit daripada dividen ini dan mengadakan mesyuarat agung yang tidak pernah dijalankan sejak 13 tahun dulu.
Tambah mereka lagi, kebanyakan ketua blok di Palong 2 tidak mengetahui jumlah duit dividen yang diperolehi oleh para peneroka kerana tidak dimaklumkan oleh pihak pengurusan. Malah jumlah-jumlah perbelanjaan tahunan yang dibuat oleh pihak pengurusan juga tidak pernah dibentangkan atau dimaklumkan oleh pihak pengurusan kerana kegagalan pengurusan untuk mengadakan mesyuarat agung. Oleh kerana tiada mesyuarat agung tahunan diadakan, pembentangan belanjawan dan perbelanjaan oleh pengurusan Felda Palong 2 tidak berlaku.
Tegas saudara Hasan lagi, mereka tidak menuduh pihak pengurusan menyalahgunakan duit daripada dividen peneroka tersebut tetapi adalah penting setiap peneroka dimaklumkan akan perbelanjaan yang dibuat oleh pihak pengurusan dengan duit tersebut. Kegagalan pengurusan memaklumkan perbelanjaan tersebut jelas menafikan hak peneroka sebagai pelabur dalam KPF.
Sidang media itu turut dihadiri oleh peguam dan aktivis masyarakat Felda iaitu saudar T.Kumar.
No comments:
Post a Comment