Friday, August 30, 2013

Pengisian Bulan Kemerdekaan: Penubuhan Persekutuan Negeri Sembilan

Ramai yang kabur tentang maklumat penubuhan persekutuan yang bernama Negeri Sembilan. Malah di Muzium Budaya di Seremban juga tidak menyatakan tarikh dan tahun yang tepat penggunaan nama 'Negeri Sembilan'.

Sedikit maklumat yang ingin dikongsi bersama yang kami perolehi daripada sebuah buku iaitu 'Negeri Sembilan dan Sejarahnya' yang ditulis dan disusun oleh mantan wakil rakyat Seri Menanti dan ahli mesyuarat negeri, Dato Abdul Samad Idris.

Satu perjanjian yang dinamakan sebagai 'PERISTIHARAN SUNGAI UJONG' telah mencatatkan beberapa perkara penting penubuhan sebuah persekutuan di negeri ini.

Melalui peristiharan rasmi tersebut, yang telah dimeterai pada 8 Ogos 1895 Masehi bersamaan 16 Safar 1311 Hijrah, menyebut bahawa Persekutuan Sungai Ujong, Seri Menanti, Johol, Jelebu, Rembau dan Tampin telah bersetuju membentuk sebuah persekutuan yang dinamai sebagai NEGERI SEMBILAN.

Seiring dengan pembentukan persekutuan tersebut, Yamtuan Besar Seri Menanti akan menjadi raja bagi persekutuan baru ini dengan gelaran Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan atau Yamtuan Besar Negeri Sembilan.

Sebelum tahun 1895, gelaran Yamtuan Besar Seri Menanti merujuk kepada raja yang menguasai Tanah Mengandung manakala lain-lain luak seperti Sungai Ujong, Rembau, Jelebu, Rembau dan Tampin diketuai oleh Datuk Undang Luak dan Tunku Besar bagi Tampin.

Semoga dengan bulan kemerdekaan ini, maklumat yang dipaparkan ini akan menjadi suatu pengisian berguna untuk semua warga negeri ini yang kebetulan tarikh penubuhan Negeri Sembilan berlaku dalam bulan kemerdekaan.

Sebarang maklumat tambahan atau pembetulan amat dialu-alukan sebagai menambahbaik maklumat yang sedia ada.

No comments: