Tuesday, May 22, 2012

Mahkamah putus perbicaraan kes disambung 2 Julai


dipetik dari Keadilan Daily
(Oleh Mohd Martin Kahar)
KUALA LUMPUR 22 Mei: Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan pendakwaan ke atasnya di bawah Akta Perhimpunan Aman bermotif politik.
“Pertuduhan bertujuan politik dan saya minta dibicarakan,” kata Anwar selepas pertuduhan dibacakan.
Beliau berkata demikian di hadapan Hakim Mahmud Abdullah di Mahkamah Sesyen Jalan Duta pagi tadi.
Bekas Peguamcara II, Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden merupakan ketua pasukan pendakwa dalam kes Fitnah II terhadap Anwar sebelum ini.
Namun, hari ini, beliau bersama peguam kanan, Karpal Singh dalam pasukan peguambela Ketua Pembangkang itu.
Mohd Yusof meletak jawatan dari Jabatan Peguam Negara pada akhir perbicaraan kes Fitnah II tersebut.
Bagi pertuduhan pertama, Anwar dituduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 4 (2)(c), Akta Perhimpunan Aman 2012 (Akta 736) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4(3) Akta yang sama.
Selain beliau, Timbalan Presiden KEADILAN, Azmin Ali dan Ketua Cabang Rembau, Badrul Hisham Shaharin turut dituduh di bawah akta yang sama.
Pendakwaan yang diketuai peguam Hanafiah Zakaria memohon supaya mahkamah mengenakan ikat jamin RM2,000 terhadap ketiga-tiga mereka.
Jumlah  itu dibantah oleh peguam Anwar, Karpal Singh kerana  anak guamnya adalah ahli politik dan tiada sebab untuk melarikan diri.
Mahkamah kemudiannya menetapkan mereka diikat jamin sebanyak RM500 dengan seorang penjamin.
Bagi pertuduhan kedua, Anwar, Azmin dan Badrul Hisham dituduh di bawah Seksyen 118 dibaca bersama Seksyen 109 dan Seksyen 34 Kanun Keseksaan (Akta 574).
Mahkamah menggunakan budi bicara dengan nenetapkan ikat jamin melalui personal bon.
Hakim bagaimanapun mengarahkan ikat jamin RM500 dan menetapkan 2 Julai depan untuk sebutan semula kes.
Azmin diwakili peguam Sivarasa Rasiah dan Gurcharan Singh. Manakala Badrul Hisham diwakili peguam Latheefa Koya.

No comments: