(Oleh Mohd Martin Kahar)
KUALA LUMPUR 22 Mei: Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Umno BN menggunakan kuasa undang-undang apabila tidak mampu berdepan kebangkitan rakyat dalam Himpunan Bersih 3.0.
Sambil menyifatkan pertuduhan ke atasnya dan dua lagi pimpinan, Azmin Ali dan Badrul Hisham Shaharin bermotif politik, Anwar berkata, Umno BN hanya tahu menggunakan mahkamah untuk menyekat mereka daripada bergiat aktif dalam politik.
“Mereka menggunakan akta yang dilulus di Parlimen untuk mendera musuh politik mereka. Isu pokok adalah penipuan pilihan raya, dan sekarang ini, digunakan mahkamah untuk pertuduhan yang tidak berasas ini.
“Datuk Seri Najib (Razak) menggunakan pendakwa, Tan Sri (Abdul) Gani Patail dengan maksud menghalalkan politik cetek beliau,” katanya pada sidang media selepas dihadapkan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, dekat sini pagi tadi.
Anwar, Timbalan Presiden, Azmin Ali dan Ketua Cabang Rembau, Badrul Hisham mengaku tidak bersalah atas tuduhan melakukan kesalahan di bawah Seksyen 4 (2)(c), Akta Perhimpunan Aman 2012 (Akta 736) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4(3) Akta yang sama.
Bagi pertuduhan kedua, mereka dituduh di bawah Seksyen 118 dibaca bersama Seksyen 109 dan Seksyen 34 Kanun Keseksaan (Akta 574).
Kesemua mereka dibenarkan ikat jamin sebanyak RM500 setiap seorang bagi pertuduhan pertama, manakala pertuduhan kedua, mereka dibenarkan ikat jamin menggunakan jaminan peribadi.
Hakim Mahmud Abdullah bagaimanapun mengarahkan ikat jamin RM500 dan menetapkan 2 Julai depan untuk perbicaraan kes.
Anwar diwakili peguam Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden sementara Azmin diwakili peguam Sivarasa Rasiah dan Gurcharan Singh. Manakala Badrul Hisham diwakili peguam Latheefa Koya.
Mengulas pertuduhan itu, Latheefa berkata, ketiga-tiga tertuduh tidak berada di kawasan larangan yang diperintahkan Majistret bulan lalu.
Kata beliau, halangan dan kawad berduri yang diletakkan oleh polis jauh melangkaui perintah larangan yang dikeluarkan.
“Mereka tidak berada di kawasan perintah larangan. Jadi, bagaimana mereka kata ketiga-tiga pemimpin ini melanggar perintah?
“Kita akan cabar perkara ini di Mahkamah,” kata Latheefa.
No comments:
Post a Comment