Friday, March 23, 2012

Arahan Najib buktikan wujud penipuan kadar perahan sawit

KUALA LUMPUR 22Mac: Pendedahan minit mesyuarat antara Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dengan Felda menunjukkan penipuan Felda kepada peneroka selama ini terbukti wujud.

Setiausaha Biro Felda dan Orang Asal KEADILAN, Rebin Birham berkata, arahan yang dikeluarkan Najib itu menunjukkan Felda tidak yakin mahkamah akan memihak kepada mereka sekiranya kes dibicarakan tanpa sebarang campur tangan.

“Najib dan Felda amat takut dengan saman dari peneroka Felda seluruh negara, sehingga cuba pengaruhi mahkamah untuk berpihak kepada mereka,

“Ini secara tidak langsung mengesahkan dakwaaan kami, walaupun dinafikan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan”, kata Rebin kepada KeadilanDaily.

Beliau merujuk kepada pendedahan Setiausaha Agung KEADILAN, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkenaan dokumen rasmi mesyuarat Najib dengan pengurusan tertinggi Felda berkenaan isu Kadar Perahan Gred Kelapa Sawit (OER).

Minit itu antara lain tercatat ‘pastikan hakim dan peguam diberi kefahaman subjek dan kaedah teknikal bagi pengiraan OER. Pastikan Felda menang kes ini supaya tidak menjejaskan kes-kes seterusnya’.

Beliau turut berkata, rundingan antara peneroka dan pihak Felda sudah lama dilakukan, namun tidak mendapat pertimbangan yang sewajarnya dari Felda.

“Kita meletakkan jalan perundangan sabagai jalan terakhir. Namun, selepas pendedahan ini, tiada jalan lain lagi untuk membela nasib peneroka selain menumbangkan kerajaan Umno BN pada pilihanraya akan datang,” tegas Rebin lagi.

Beliau turut memaklumkan, usaha mengumpul 100,000 tandatangan berjalan dengan lancar, selain aktiviti penerangan, dialog dan mengedarkan risalah.

“Kita sudah masuk ke Felda seluruh negara. Semua negeri komited untuk menghantar wakil ke perarakan peneroka di Masjid Putrajaya 30 Mac nanti,” katanya lagi.

No comments: