Pada keterangannya ketika disoal oleh peguambela Sankara Nair, di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Wells berkata adalah sukar untuk mendapatkan keputusan daripada spesimen seumpama itu,.
Sankara: Jika spesimen itu dalam rektum (pengadu) untuk 56 jam sebelum ia dikeluarkan, bolehkan sampel DNA didapati?
Wells: Saya akan sangat terkejut... Saya belum pernah terbabit dalam kes di mana DNA yang diambil dari dubur atau rektum hanya diambil selepas lebih daripada 24 hingga 36 jam setelah dimasukkan. Ia satu tempoh yang panjang tanpa udara kering ... Saya akan ragu-ragu untuk mendapatkan apa-apa hasil yang bermakna.
Pagi tadi, Wells memberitahu mahkamah bahawa dia lebih suka jika anggota polis tidak hadir semasa pemeriksaan ke atas mangsa serangan seksual.
Wells (kiri), yang mengkhusus dalam kes-kes serangan seksual, berkata dia lazimnya akan menjalankan pemeriksaan berseorangan dengan bantuan jururawat.
"Ini sangat sulit, ia menganggu, dan ada kemungkinan bahaya bukti dicemari.
"Mangsa mungkin berasa tidak selesa dan mereka mungkin merasa tertekan dengan kehadiran anggota polis," kata Wells - saksi ketiga pihak pembelaan.
Semasa pemeriksaan yang dijalankan ke atas pengadu Mohd Saiful Bukhari Azlan, pegawai penyiasat Supt Jude Blacious Pereira berada di dalam bilik bersama-sama dengan doktor-doktor yang memeriksa Saiful.
Doktor yang merawat Saiful pada malam dia ke Hospital Kuala Lumpur adalah Dr Razali Ibrahim, Dr Siew Sheue Feng dan Dr Khairul Nizam Hassan.
Menjawab soalan daripada pihak peguambela Sankara Nair semasa pemeriksaan balas, Wells menyifatkan laporan perubatan yang diisi oleh para doktor di Hospital Kuala Lumpur itu sebagai tidak tepat dan samar-samar.
Beliau berkata terdapat percanggahan dan ketidaksamaan pada borang proforma HKL yang digunakan untuk kes-kes serangan seksual dengan laporan perubatan Saiful. Contohnya, borang proforma menyatakan terdapat pendarahan tetapi laporan perubatan sebaliknya mengatakan tidak ada.
Selain itu, Wells turut mempersoalkan catatan doktor yang menyebut 'tiada penemuan konklusif' sedangkan menurut pengalaman beliau ia harus ditulis 'tiada sebarang penemuan".
Katanya perkataan "konklusif" bermaksud doktor yang memeriksa Saiful kurang pasti akan penemuannya sendiri.
Anwar dituduh meliwat Saiful di Unit 11-5-1 Kondominimum Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, antara 3.01 petang dan 4.30 petang 26 Jun 2008.
Jika disabitkan kesalahan, beliau boleh dikenakan hukumaan penjara sehingga 20 tahun dan disebat.
No comments:
Post a Comment