Sunday, August 14, 2011

HAK PENEROKA FELDA HARUS DIPERTAHAN


Saya pada hari ini bangkit mempertahankan hak peneroka FELDA yang ditindas. Janji Dato’ Seri Najib Tun Razak untuk memberikan wang hari raya kepada peneroka sebanyak RM 400 seorang bagi yang bersama dengan FELDA dan RM 200 seorang bagi peneroka yang tidak bersama dengan FELDA adalah tidak memadai dan mencukupi bagi dibandingkan dengan kadar kerugian hasil perahan kelapa sawit & hasil tebang pokok getah oleh peneroka.
Peneroka sebenarnya berhak memperoleh sehingga RM 458, 000.00 yang boleh dituntut hasil kerugian selama 15 tahun akibat penipuan Kadar Gred Perahan Asas (OER) buah kelapa sawit yang lebih rendah dari nilai asal. Kes ini telahpun dibawa ke mahkamah oleh 766 peneroka FELDA di Serting (Tuntutan RM 2 juta) & 964 peneroka di Jengka (Tuntutan RM 458 ribu).
Ini bermakna jumlah wang yang berhak diperoleh peneroka melebihi daripada gula-gula hari raya oleh Perdana Menteri sebanyak RM 200 – RM 400 seperti yang diumumkan. Peneroka ditawarkan oleh pengurusan Felda dengan tawaran RM3,000.00 seekar untuk pokok getah yang akan ditebang. Setiap peneroka mempunyai 10 ekar. Terdapat kontraktor sanggup membeli pokok getah sehingga RM8,000.00 seekar tetapi Felda tidak membenar pokok getah dijual dengan harga tersebut. Jika pengurusan Felda yang tebang dan jual, peneroka bakal menerima RM30,000.00. Jika peneroka yang lakukan sendiri akan dapat RM80,000.00. Ini menyebabkan peneroka kerugian sehingga RM 50 ribu yang boleh menjadi wang saku tambahan mereka.
Sebagai Ahli Parlimen Malaysia, saya ingin menegaskan bahawa pemberian wang hari raya RM 200 sehingga RM 400 ini tidak memadai dan jelas mempermainkan hak peneroka FELDA. Sebagai contoh, jika peneroka memilih untuk menanam semula, maka Felda hendaklah mengembalikan dana sejumlah RM17,000.00 itu kepada peneroka-peneroka. Namun sehingga hari ini FELDA gagal menjelaskan isu dan pembayaran ini.
Mahkamah Tinggi Kota Bharu telahpun memerintahkan Felda membayar kepada peneroka-peneroka Kemahang 1 dan 2 Kelantan sejumlah RM1.2 juta ringgit dari dana tanam semula ini. Ini bermakna mahkamah telah mengesahkan berlakunya penipuan oleh FELDA terhadap peneroka. Maka wang hari raya sekadar RM 200 – RM 400 kepada peneroka FELDA jelas tidak dapat menutup pembohongan dan penindasan mereka selama ini terhadap peneroka.
Akhirnya FELDA terpaksa meminjam sebanyak RM 6 bilion daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk kononnya bagi membiayai tanam semula namun tidakpun diberikan kembali kepada peneroka. Bagaimana pula dengan tabung simpanan oleh peneroka untuk tanaman semula?. Kemanakah hasil tabungan tersebut? FELDA harus menjelaskan perkara ini secara terperinci. Jika ini yang berlaku, tidak mustahil untuk peneroka terus-terusan menyaman FELDA akibat salah urus tadbir dan korupsi yang berlaku.
Saya menggesa agar pentadbiran FELDA bersikap telus dan transparen dalam usaha-usaha kita memperkukuhkan ‘Good Governance’ dan merakyatkan ekonomi. Hak peneroka FELDA selaku rakyat yang sah dalam negara kita serta diiktiraf oleh Perlembagaan harus dihormati oleh pihak FELDA. Justeru gula-gula wang hari raya yang tidak setimpal seumpama ini harus diperbetulkan dengan dikembalikan semula hak serta wang pampasan yang secukupnya terhadap kerugian yang ditanggung oleh peneroka FELDA akibat kecuaian urus tadbir FELDA itu sendiri.
YB Dato’ Kamarul Baharin Abbas
Ahli Parlimen Telok Kemang

No comments: