(Oleh: Ahmad Fadli)
Hari ini masuk hari ketiga Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dipanggil membela diri dengan pendakwaraya menyoal balas pakar Patologi Forensik Australia, Dr David Wells.
Pakar berkenaan yang merupakan saksi ketiga peguambela, semalam memberitahu mahkamah bahawa sampel mani yang ditemui dari pengadu, Mohd Saiful Bukhari Azlan tidak bermakna dan tidak menghasilkan keputusan yang diingini.
Ini kerana sampel berkenaan diambil lebih dari dua hari atau lebih 36 jam selepas kejadian dikatakan berlaku.
Kejadian liwat berkenaan dikatakan berlaku pada 26 Jun 2008 dan sampel diambil pada tubuh Saiful antara 9 malam dan tengah malam 28 Jun 2008.
Tambahan, beliau berkata sampel tidak disimpan di balai polis sebaliknya diberikan kepada ahli kimia untuk diuji selepas dua hari.
Dr Wells, yang merupakan pakar dalam serangan seksual semalam berkata, apabila sampel diambil dari pengadu, beliau akan menjalankan pemeriksaan sendiri atau hanya ditemani jururawat tanpa sebarang kehadiran polis.
Ia katanya, bagi mengelakkan berlaku pencemaran dan memberikan tekanan kepada pengadu.
Dalam kes Saiful, empat doktor memeriksa dengan kehadiran pegawai penyiasat, Supt Jude Blacious Pereira.
Dijangkakan pendakwa akan menyoal Saiful berhubung laporan perubatan Saiful yang dikeluarkan Hospital Kuala Lumpur yang disifatkan Dr Wells sebagai tidak lengkap dan kurang tepat semalam.
Menyifatkan laporan perubatan yang diisi oleh para doktor di HKL itu sebagai tidak tepat dan samar-samar, Wells mendapati wujudnya percanggahan dan ketidaksamaan pada borang proforma HKL yang digunakan untuk kes-kes serangan seksual dengan laporan perubatan Saiful.
Lebih meragukan apabila catatan doktor yang menyebut ‘tiada penemuan konklusif’ sedangkan menurut pengalaman beliau ia harus ditulis ‘tiada sebarang penemuan”.
Berikut lintas langsung yang dirakam oleh wartawan Keadilandaily pada perbicaraan hari ini.
9.02 pagi: Hakim Mohamad Zabidin mengambil tempat dan mahkamah mula bersidang.
9.05 pagi: Peguam Cara Negara II, Datuk Yusoff Zainal Abiden memulakan soal-balas terhadap pakar forensik dari Australia, Dr David Wells.
Yusof menunjukkan laporan polis dibuat pengadu, Mohd Saiful Bukhari Azlan kepada Dr Wells dan bertanya jika laporan itu boleh dianggap sebagai sebahagian daripada sejarah perubatan.
“Ya, saya setuju ia boleh jadi sumber maklumat, ” balas Dr Wells.
Namun, menurutnya, sejarah perubatan lain seperti samada pengadu pernah mengalami masalah perut meragam (bowel movement) juga perlu direkodkan.
9.13 pagi: Menurutnya, sejarah perubatan berkaitan perkara itu penting kerana melaluinya mahkamah dapat tahu samada pengadu pernah melalui pembedahan untuk masalah itu.
9.17 pagi: Sewaktu ditunjukkan borang proforma oleh Yusof, Dr Wells menegaskan ia tidak lengkap.
Menurutnya, borang itu merekod tuduhan yang dibuat pengadu sedangkan ia sepatutnya menjelaskan perkara yang terkandung dalam borang itu sendiri.
Proforma sepatutnya membantu merekodkan perkara seperti samada pelincir digunakan atau tidak, dan sebagainya.
Beliau juga berkata borang proforma itu sepatutnya merekodkan jika sebarang keganasan ada berlaku.
9.24 pagi: Yusof bertanya apa yang Dr Wells definisikan sebagai pemeriksaan lengkap.
Beliau menjawab ia adalah pemeriksaan hujung rambut ke hujung kaki. (Top to toe)
Beliau juga mempersoalkan borang proforma yang tidak menyatakan penemuan daripada calitan kapas dari mulut Saiful.
9.30 pagi: Menurutnya, memandangkan pemeriksaan terhadap Saiful dibuat lebih 48 jam daripada masa kejadian didakwa berlaku, doktor sebenarnya tidak perlu mengambil calitan kapas dari dalam mulut Saiful.
10.06 pagi: Yusof memohon mahkamah berhenti rehat selama 15 minit.
10.25 pagi: Mahkamah bersambung semula. Yusof meneruskan soal balas Dr Wells.
Yusof mencadangkan kepada Dr Wells bahawa sampel DNA yang diambil dari tubuh Saiful, jika ia tercemar, ia mungkin mengandungi DNA daripada empat orang doktor yang memeriksanya.
“Setuju, itu satu sumber pencemaran. Satu lagi sumber pencemaran adalah DNA daripada orang lain yang memang berada pada pakaiannya,” balas Dr Wells.
10.45 pagi: Yusof seterusnya menarik perhatian Dr Wells kepada laporan perubatan yang menyatakan ‘tiada penemuan konklusif penetrasi’.
Menurut Yusof, pada pemahamannya ia bermaksud tiada penemuan klinikal berlakunya penetrasi.
Dr Wells memberitahu beliau kurang bersetuju kerana perkataan ‘konklusif’ membawa maksud ada kemungkinan kecil wujud penetrasi.
Beliau menegaskan pendiriannya semalam bahawa doktor yang memeriksa perlu betul-betul pasti samada penetrasi berlaku atau tidak.
10.55 pagi: Yusof merujuk kepada buku tulisan Dr Wells yang menyatakan hubungan seks melalui dubur melibatkan lelaki dewasa juga boleh tidak mendatangkan kecederaan kepada individu yang diliwat.
Dr Wells bersetuju, dalam kes Saiful, jika tiada kecederaan, penetrasi dubur juga boleh berlaku.
11.13 pagi: Yusoff sekali lagi merujuk kepada buku tulisan Dr Wells dan bertanya tentang berapa lama biasanya spesimen mani boleh berada dalam tubuh mangsa serangan seksual sebelum ia boleh diambil sampelnya dan menghasilkan keputusan makmal yang memuaskan.
Dr Wells berkata ia biasanya di antara 36 hingga ke 48 jam.
11.15 pagi: Menurut Yusof, berdasarkan buku Dr Wells, setakat ini belum lagi terbukti bahawa sampel mani yang melebihi 48 jam tidak boleh menghasilkan keputusan ujian makmal yang baik.
Apa yang tertulis di dalam buku itu adalah tiada cukup penemuan telah diterbitkan dan kebanyakan kes serangan seksual yang direkodkan, sampelnya diambil dalam jangka masa 36 hingga 48 jam sahaja.
11.24 pagi: Yusof membacakan satu kertas kajian yang menyatakan sampel DNA air mani boleh ditemui walaupun selepas tiga hari hubungan seks melalui dubur berlaku.
11.33 pagi: Yusof meminta Hakim Zabidin menangguhkan mahkamah sebentar. Hakim menangguhkan mahkamah sebentar.