Friday, May 1, 2009

Perutusan Hari Pekerja Presiden PKR

Perutusan Hari Pekerja
Presiden Parti Keadilan Rakyat
1 Mei 2009


Tahun ini sambutan Hari Pekerja di seluruh dunia disambut dalam suasana muram ekoran dari kemelut ekonomi dunia yang melanda pada tahun lalu masih belum menunjukkan tanda-tanda pemulihan.

Akibat kegawatan ekonomi dunia, statistik pengangguran dalam negara telah melonjak hingga melebihi 100,000 orang dan angka tersebut dijangka akan meningkat dari masa ke semasa. Hal ini bertambah teruk apabila kerajaan hari ini gagal untuk menawarkan pelan-pelan ekonomi yang dapat merancakkan pertumbuhan dalam negara. Natijahnya berlaku pengaliran keluar pelabur-pelabur dari negara ini ke negara yang lebih kompetitif seperti China dan India.

Pengangguran adalah fenomena yang jika gagal diatasi dengan efisyen bakal meletakkan negara ini ke kancah yang lebih mudarat. Kebajikan rakyat terabai. Justeru KEADILAN sentiasa meletakkan kebajikan rakyat yang secara relatifnya adalah golongan pekerja sebagai prioriti dalam penyediaan dasar-dasar parti.

Neger-negeri di bawah pemerintahan Pakatan Rakyat telah menyediakan mekanisme bagi menghadapi fenomina tersebut. Di Selangor contohnya telah diwujudkan website khas; Selangor Retrenchment Helpline (SRH) yang akan mengumpul data terperinci mengenai pengangguran bagi menyediakan pelan-pelan bantuan kepada mereka. Melalui sistem ini data sebenar pengangguran dapat dikumpul agar usaha-usaha menyediakan pekerjaan kepada golongan tersebut dapat berjalan lancar.

KEADILAN mendesak agar Kerajaan Persekutuan Malaysia turut melaksanakan sistem ini dengan memusatkan segala data pengangguran dan menawarkan perkhidmatan cari kerja kepada pekerja yang telah hilang pekerjaan; serta mewujudkan Tabung Bantuan Pengangguran melalui dana Pakej Rangsangan Ekonomi yang dilancarkan.

Sempena Hari Pekerja ini KEADILAN mengulangi pendirian untuk memperkenalkan kadar gaji minima golongan pekerja di negara ini baik dalam sektor awam mahupun swasta sekurang-kurangnya pada kadar RM1000 sebulan. KEADILAN pada masa yang sama menyeru semua pihak agar berusaha meningkatkan tahap kemahiran para pekerja sejajar dengan kehendak semasa.

Selamat Hari Pekerja.



DR. WAN AZIZAH WAN ISMAIL

Presiden Parti Keadilan Rakyat

No comments: