SHAH ALAM 22 OGOS: Pakatan Rakyat harus dipertahankan dengan apa cara sekalipun demi kepentingan rakyat dan keharmonian sejagat, tegas Timbalan Presiden KEADILAN, Mohamed Azmin Ali.
Katanya, KEADILAN hanya boleh menewaskan Barisan Nasional (BN) dan menegakkan ‘Kerajaan Rakyat’ melalui muafakat bersama PAS dan DAP.
“Kita tidak membenarkan sesiapapun untuk melakukan provokasi dan cuba menggugat perpaduan Pakatan Rakyat kerana kita bersama-sama membidankan kelahiran Pakatan Rakyat pasca PRU ke-12 pada 2008.
“Walaupun berdepan cabaran, namun Pakatan Rakyat tetap unggul malah semakin utuh,” kata Azmin pada ucapan perasmian Kongres Nasional Angkatan Muda KEADILAN (AMK) di Dewan Bankuet, Wisma MBSA, Shah Alam hari ini.
Beliau berkata, Pakatan Rakyat bukan dibentuk dalam keadaan terburu-buru tanpa membuat pertimbangan yang teliti, tetapi gabungan ini diwujudkan dengan hala tuju dan matlamat yang meletakkan rakyat sebagai asas kepentingan utama.
“Permuafakatan ini diikat kuat dengan dasar Pakatan Rakyat yang menghormati kepelbagaian agama dan budaya dalam masyarakat yang rencam, tuntas memacu pertumbuhan ekonomi dan menjamin keadilan pengagihan mempertahankan prinsip keadilan sosial dan kesamarataan.
“Pakatan Rakyat juga komited dalam membentuk kerajaan yang berteraskan tatakelola yang baik, menentang dengan keras amalan dan budaya rasuah serta kroni kapitalisme dan menuntut pilihan raya yang bersih dan adil ke arah memperkukuh sistem politik dua parti,” jelas Azmin lagi.
Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=62586
No comments:
Post a Comment