KUALA LUMPUR 4 NOV: Pendaftar Pertubuhan (ROS) diingatkan supaya tidak bermain politik apabila melengahkan pendaftaran Pakatan Rakyat, kata Ketua Penerangan Pemuda PAS Malaysia, Riduan Mohd Nor.
Ini kerana katanya, permohonan itu sudah dibuat sejak dua tahun lalu namun sehingga kini tiada keputusan daripada ROS.
“Kami mengingatkan ROS agar tidak bermain politik kotor dengan Pakatan Rakyat.
“Sebagai sebuah agensi yang mengurus pendaftaran pertubuhan, ROS perlu melayan semua pertubuhan dengan telus, jujur dan adil tidak kira ianya parti dari kerajaan mahupun pembangkang,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Semalam, Setiausaha Agung KEADILAN, Saifuddin Nasution menafikan kenyataan Ketua Pengarah ROS, Abdul Rahman Othman yang mendakwa tiada permohonan baru daripada Pakatan untuk mendaftarkan gabungan itu.
Permohonan itu sebelum ini diuruskan oleh Datuk Zaid Ibrahim selaku Pengerusi Sekretariat Pakatan Rakyat, sebelum beliau berpaling tadah meninggalkan KEADILAN.
Bagaimanapun jawatan itu kemudian diterajui Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Kamarudin Jaafar sejak Mac tahun ini.
Sejak itu sehingga Oktober, sekretariat itu mengadakan pertemuan antara tiga hingga empat minggu dengan pihak ROS.
Malah, sekretariat itu telah menghantar segala dokumen yang diperlukan termasuk enam salinan meliputi surat permohonan, undang-undang tubuh, logo dan bayaran sebanyak RM30.
Ahli Parlimen Rasah, Loke Siew Fook yang juga Setiausaha Agong Sekretariat menyifatkan tindakan ros itu berat sebelah.
“Semasa Zaid mohon pendaftaran Pakatan dan masih ahli KEADILAN, Ros enggan lulus tetapi Ros luluskan pula pendaftaran parti KITA pimpinan Zaid dalam masa dua minggu sahaja, ternyata keputusan Ros terhadap permohonan kami bersifat politik, berat sebelah dan berkepentingan,” katanya.
No comments:
Post a Comment