dipetik dari FMT
SEREMBAN: Lebih 300 Orang Asli dari seluruh Negeri Sembilan hari ini menyuarakan bantahan selama tiga jam di depan bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di sini berhubung Dasar Baru Pemilikan Tanah Orang Asli.
Sejurus selepas itu, mereka menyerahkan memorandum kepada Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan bagi membantah cadangan kerajaan negeri untuk melaksanakan dasar baru itu.
Jurucakap ‘Jaringan Kampung-Kampung Orang Asli Negeri Sembilan’ (JKKOANS), Ezuli Langkap berkata pihaknya membantah cadangan itu dengan sekeras-kerasnya sepertimana dilaporkan akhbar Utusan Malaysia 22 September lalu.
“Kami juga kesal dengan kenyataan Menteri Besar yang mengatakan masyarakat Orang Asli di Negeri Sembilan adalah setinggan.
“Setiap keputusan yang dibuat tanpa merujuk dan berbincang dengan kami. Beliau langsung tidak sensitif kepada masyarakat kami.
Sebaliknya beliau telah memperlekehkan masyarakat kami yang merupakan masyarakat asal Negeri Sembilan dan Malaysia”, kata Ezuli.
Tanah adat
Mengikut Ezuli, pelaksanaan Dasar Baru Pemilikan Tanah Orang Asli nanti akan menyebabkan mereka kehilangan hak turun-temurun ke atas tanah adat mereka.
“Semua tanah adat kami akan diambil alih kerajaan. Seterusnya kerajaan akan beri dua ekar tanah yang akan dimajukan samada oleh Felcra atau Risda.
“Selepas itu kami tak perlu lakukan apa-apa dan bayaran sebanyak RM1,500.00 dalam bentuk saham lot akan diberikan setiap bulan.
“Kami membantah langkah ini kerana dengan ini kami akan kehilangan hak ke atas tanah adat resam kami yang kami usahakan sejak zaman nenek moyang kami.
“Malah kami mampu mencari pendapatan melebihi dari apa yang ditawarkan oleh kerajaan negeri. Contohnya ketika ini ramai di antara kami menoreh getah, menjual petai dan akar kayu,” jelas Ezuli.
Ezuli mendesak kerajaan negeri agar membatalkan dasar pemberimilikan tanah yang dicadangkan oleh kerajaan pusat.
Beliau menggesa supaya keseluruhan wilayah tanah adat mereka diiktiraf mengikut Artikel 26 dalam Undang-Undang Deklarasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDRIP) berkenaan dengan hak Orang Asal.
No comments:
Post a Comment