Monday, September 12, 2011

Hentikan Polemik Isu Komunisme, Fokus Isu Rakyat

KENYATAAN MEDIA ANGKATAN MUDA KEADILAN NEGERI SEMBILAN

12 SEPTEMBER 2011



1- Hari ini Angkatan Muda Keadilan Negeri Sembilan menyatakan kekesalan atas polemik secara keterlaluan isu komunisme oleh sesetengah media massa dan NGO-NGO tertentu yang secara tidak langsung cuba membakar sentimen perkauman.


2- Cubaan mempolemikkan isu-isu seumpama ini tidakpun memberi manfaat dalam mengukuhkan perpaduan rakyat Malaysia. Dalam keadaan Umat Islam baru sahaja selesai menjalani ibadah puasa, menyambut Eidulfitri dan Sambutan Kemerdekaan Ke-54, sudahpasti silaturrahim dan hubungan perpaduan yang baik perlu digarap dikalangan masyarakat.


3- Mempolemikkan isu komunisme secara salah dan tidak tepat tidakpun membantu perkembangan ‘Good Governance’ serta hubungan kaum dan agama dalam negara ini. Justeru sewajarnya pihak media massa dan NGO-NGO yang terlibat perlu lebih memfokuskan terhadap isu-isu rakyat yang lebih utama.


4- Hambatan kenaikan harga barang keperluan harian rakyat seumpama gula, tepung, minyak dan bahan mentah ketika ini seharusnya menjadi perjuangan utama buat masa ini oleh pihak kerajaan dan NGO-NGO.


5- Tambahan pula ketika ini bebanan cukai perkhidmatan 6% telah dikenakan terhadap pengguna kad prabayar. Angkatan Muda Keadilan mendesak agar pihak kerajaan mengambil tindakan sewajarnya bagi membatalkan bebanan cukai tersebut yang ianya membebankan rakyat khususnya anak-anak muda.


6- Isu komunisme boleh dibincangkan secara intelektual namun membawa isu ini secara politik keterlaluan menyebabkan rakyat muak dengan laporan-laporan polis oleh NGO-NGO yang terlibat. Pihak PDRM telah disibukkan dengan laporan-laporan yang tidak ada keperluan sedangkan isu jenayah semakin meningkat setiap hari termasuk kegagalan Ops Sikap PDRM ketika musim perayaan Eidulfitri tempoh hari.


7- NGO-NGO ini sebenarnya boleh berfungsi dengan lebih baik dengan menjadi ‘pemantau harga’ ke atas barangan keperluan harian rakyat yang semakin meningkat kosnya. Jika sikap ini yang diambil, sudah pasti sedikit sebanyak fungsi NGO (Badan Bukan Kerajaan) sekurang-kurangnya membantu secara langsung memperjuangankan hak rakyat daripada dibebankan oleh kenaikan harga barangan keperluan asas harian dan harga minyak petrol. Inilah perjuangan isu rakyat yang harus kita laksanakan bersama.

MOHD NAZREE BIN MOHD YUNUS
KETUA ANGKATAN MUDA KEADILAN N. SEMBILAN

No comments: