Monday, March 21, 2011

PR Mampu Menafikan Majoriti Dua Pertiga BN


Paluan semboyan perang telah digemakan dan hari ini (Isnin-21 Mac 2011) secara rasminya Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Taib Mahmud mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak. Segala andaian yang dikhabarkan oleh kebanyakan penganalisis dan pemain-pemain politik negara menepati ramalan. Jangkaan Pilihanraya Negeri (PRN) Sarawak akan berlaku pada 16 April dengan hari penamaan calon pada 9 April.

PRN Sarawak kali ini begitu signifikan kepada PR dan BN kerana ia adalah pengukur aras sokongan dan prestasi politik sebelum berhadapan PRU-13 yang turut dikhabarkan akan berlaku pada pertengahan tahun ini juga.

Untuk makluman, Sarawak mempunyai 71 Dun yang boleh dikhususkan mengikut majoriti kaum. Kawasan-kawasan dun tersebut terbahagi kepada;
1. Kawasan Majoriti Melayu-Melanau yang terdiri daripada 20 dun,
2. Kawasan majoriti Iban yang terdiri daripada 18 dun,
3. Kawasan majoriti Cina yang terdiri daripada 12 dun,
4. Kawasan majoriti Bidayuh yang terdiri daripada 6 dun,
5. Kawasan majoriti Orang Ulu yang terdiri daripada 3 dun,
6. Kawasan campuran yang terdiri daripada 12 dun.

PRN Sarawak 2006 telah menyaksikan pembangkang memperolehi 9 kawasan dun dengan enam dimenangi DAP, masing-masing satu kerusi dimenangi PKR, Snap dan Parti Cinta Malaysia (PCM).

Berdasarkan keputusan PRN 2006, jika 'mood' perubahan yang berlaku dalam PRK Sibu tahun lalu kekal 'membakar' semangat rakyat Sarawak, tidak mustahil PR memenangi 18 dun. Untuk menafikan majoriti dua pertiga BN, PR perlu memenangi sekurang-kurangnya 30 kerusi. Secara realistik, jika PR menang 18 kerusi sudah cukup menghadirkan kegusaran dan 'sakit kepala' kepada Najib Razak. 'Sakit kepala' itu akan bertambah menekan sekiranya PKR memenangi banyak kerusi dun!

PKR dijangka akan bertanding 52 kerusi dun, manakala DAP sekitar 15-16 kerusi dan PAS dijangka bertanding 5-6 kerusi. Apakah Snap akan bersama PR? Perbincangan pembahagian kerusi antara PKR dan Snap dikatakan dalam peringkat akhir.

Jika 'mood' semasa diambil kira, PR berkeupayaan untuk memenangi kerusi dun yang banyak dan andainya tidak berjaya menawan Sarawak, sekurang-kurangnya PR kali ini akan mampu menafikan majoriti dua pertiga BN!

Lawan tetap Lawan!
Berubahlah Kamek!

No comments: