Monday, December 20, 2010

PKR Rasah buka Ranting Bandar Enstek di Dun Labu

Perasmian Ranting Bandar Enstek
(gambar: YB Loke Siew Fook turut hadir menyokong penubuhan Ranting Bandar Enstek)

Pada 18 Disember 2010 (Sabtu) lepas, PKR Cabang Rasah telah berjaya membuka sebuah lagi Ranting Bandar Enstek di Dun Labu. Perasmian ranting tersebut telah dibuat dalam suatu majlis minum petang bersama pimpinan Cabang Rasah yang turut dihadiri oleh Ahli Parlimen Rasah, YB Loke Siew Fook, Pengerusi MPN Negeri Sembilan YB Dato' Kamarul Baharin Abbas, Adun Chuah YB Chai Tong Chai, Adun Ampangan YB Rashid Latiff, Ketua Cabang Rasah Hj Muhammad Kamel Yassin, Setiausaha MPN Negeri Sembilan Sabaruddin Mohd Yassim dan beberapa AJK Cabang Rasah.

Majlis jamuan minum petang tersebut bermula tepat jam 2.00 petang telah dihadiri 80 orang anggota Cabang Rasah dan penduduk sekitar. YB Dato' Kamarul dalam ucapannya menegaskan usaha menawan Dun Labu harus dipergiatkan dan dengan kewujudan Ranting Bandar Enstek ini telah menambah sokongan ke arah matlamat tersebut. Beliau menyatakan sekiranya Dun Labu berjaya ditawan dan dimenangi oleh PKR, maka seluruh Negeri Sembilan akan turut dapat dikuasai oleh Pakatan Rakyat dalam PRU-13 nanti.

Beliau turut menyeru supaya rakyat di Dun Labu khususnya di Bandar Enstek sama-sama memberi mandat kepada PR untuk mentadbir negeri ini akan datang. Beliau turut mengambil contoh kemajuan dan kemudahan negeri Selangor yang diperintah di bawah kerajaan PR antaranya pemberian air percuma 11 meter padu. Bandar Enstek hanya bersebelahan dan bersempadan dengan negeri Selangor yang cuma dipisahkan oleh jaringan pencawang eletrik tetapi melihat perbezaan ketara kemudahan yang diterima dari Negeri Sembilan berbanding Selangor.

Walaupun Adun Labu yang juga seorang Exco Kerajaan Negeri tetapi tiada perubahan besar yang mampu dibawa sedangkan Bandar Enstek dan Dun Labu berhampiran dengan kawasan pesat sekitar KLIA. Dato' Kamarul turut mengambil contoh yang berlaku di Dun Linggi yang wakil rakyat juga seorang Exco Kerajaan Negeri tetapi kawasan tersebut masih ketinggalan jauh daripada pembangunan.

"Jika dilihat dari satelit atau kapal terbang, kalau dari Bandar Melaka sampai ke sempadan Linggi cerah dengan lampu-lampu jalan, yang gelap-gelita selepas masuk sempadan Negeri Sembilan itulah Linggi!" tegas beliau sebagai memperlihatkan jauhnya ketinggalan kawasan Linggi daripada nikmat pembangunan.

Majlis petang itu tamat jam 5.00 petang.


No comments: