Friday, December 31, 2010

Gobala & Badrul Akan Tinggalkan PKR?

dipetik daripada msomelayu.blogspot.com

RIBUT dalam cawan PKR nampaknya belum berakhir. Bila ia akan berakhir sukar untuk diramalkan. Apakah ia akan berakhir apabila riwayat parti itu akan berakhir? Berakhirnya riwayat PKR maka berakhirlah segala ribut dalam cawan. Begitukah?

Kalau terjadi demikian alangkah malangnya nasib PKR?

Walaupun berbagai usaha untuk menstabilkan PKR tetapi tidak menjadi. Parti 'tiga kepala' ini benar-benar memusingkan kepala Penasihat Umumnya, Anwar Ibrahim. Sehebat-hebat Anwar nampaknya bukan mudah untuk beliau mententeramkan keadaan. Sebenarnya bukan saja Anwar tetapi kalau orang lain juga memiliki parti sepertinya payah untuk diatasi.

Kemampuan PKR bertahan dan muncul sebagai politik ketiga terbesar negara ini selama 10 tahun ini pun dikira satu kejayaan besar kepada Anwar dan pendokongnya. Belum tentu kalau orang lain memimpin parti berkapala tiga seperti PKR mampu mempertahankanya selama itu. Mungkin masuk tahun ke lima ia sudah memberai di tengah jalan.

Sebenarnya ketahan PKR hari ini kerana kekental Anwar Ibrahim yan tidak mudah berputus asa kandatipun berbagai cara diusahakan musuhnya untuk menghancurkan kerjayanaya dan juga PKR.

Seorang demi seorang ahli parti itu meninggalkan PKR. Kebanyakan meninggal bukan kerana perjuangan PKR atau perjuangan Anwar tetapi kerana mereka kecewa apabila mereka gagal mendapat apa yang diidamkan. Contohnya bila gagal untuk jadi pemimpin, mereka akan meninggalkan PKR sambil berjalan meninggalkan PKR mereka membuang najis di tengah jalan macam orang mabuk arak.

Kononnya mereka tinggal PKR kerana tidak percaya kepada perjuangannya itu adalah alasan semata-mata. Apa yang berlaku mereka tidak konsisten dan percaya kepada diri sendiri. Masakan mereka menyertai PKR tanpa membuat kajian dan penilaian ke atasnya. Jika ini berlaku maka jelas mereka menyertai itu hanya kerana terikut arus saja. Orang yang berjuang mengikut arus bukan pejuangan tulen, tetapi pencari makan di tepi gelanggang siasah.

Sehari dua ini saya tengok ada dua orang kuat PKR akan meninggalkan parti itu. Gelahat mereka membayangkan akan tindakan mereka itu. Mereka ialah Gobalakrishan dan Badrul Hisham Shahrin. Kedua mereka baru kalah dalam pertandingan merebut jawatan. Adalah dijangka mereka akan membuat pengumuman keluar PKR pada 19 Januari ini sempena pelancaran parti pimpinan Zaid Ibrahim. Tunggulah!

2011 : Janji PR 100 Hari Bawa Malaysia Yang Dinamik


SHAH ALAM 31 DIS: Kepimpinan Pakatan Rakyat menggesa warga Malaysia memilih kerajaan lebih adil dan sentiasa menjunjung tinggi prinsip perlembagaan demokrasi bagi menawarkan kehidupan lebih produktif dan saksama.

Penguasaan kerajaan Pakatan Rakyat ke atas empat buah negeri sejak tahun 2008 membuktikan peningkatan dalam sektor ekonomi melalui pengurusan cekap dan telus seraya menawarkan rakyat lebih nilai.

Ketua Wanita Keadilan, Zurida Kamaruddin dalam kenyataan media berkata, Janji 100 hari Kerajaan Pakatan Rakyat menuju Putrajaya menjadi iltizam untuk terus menjana momentum menawarkan suatu perubahan yang pastinya terarah kepada pembentukan sebuah Malaysia baru yang dinamik.

Justeru kata beliau lagi, rakyat harus terus menolak kerajaan Umno-Barisan Nasional yang sering membebani rakyat melalui kenaikan harga barang selain memanipulasi sistem negara untuk kepentingan politik.

Tambahnnya Ahli Parlimen Ampang itu lagi, 53 tahun pemerintahan penuh konflik dan pembaziran wang rakyat oleh Umno-Barisan Nasional merupakan alasan kukuh untuk rakyat menolak kerajaan itu pada Pilihnaraya Umum Ke-13 tidak lama lagi.

Tahun 2011 yang bakal menjelma memberi inspirasi baru kepada kerajaan Pakatan Rakyat untuk terus membela masib seluruh warganegara Malaysia seterusnya memegang tonggak pemerintahan negara menerusi janji kerajaan Pakatan Rakyat kepada rakyat Malaysia.

Polis sedia hadapi pilihanraya serentak

Polis Diraja Malaysia (PRDM) sentiasa berada dalam siap siaga termasuk menghadapi kemungkinan pilihan raya umum ke-13 dan pilihan raya negeri Sarawak diadakan serentak, kata Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Hussin Ismail hari ini.

Beliau berkata polis akan memastikan proses demokrasi berjalan dengan lancar dan pada masa yang sama menjaga keselamatan dan ketenteraman awam sekiranya perkara seumpama itu berlaku.

Katanya polis Sarawak telah merangka perancangan rapi bersama Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk memastikan proses pilihan raya negeri akan datang berjalan dengan lancar tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini.

Penggal sekarang bagi para anggota Parlimen akan berakhir awal 2013 manakala pilihan raya negeri Sarawak perlu diadakan sebelum Julai 2011.

Monday, December 27, 2010

Imbasan PRU-Ke Arah Menawan Negeri Sembilan

Apabila parti Umno mengumumkan penangguhan Pemilihan 2010 selama 18 bulan, ramai pemerhati politik tanah air telah membuat ramalan, telahan dan andaian bahawa Pilihanraya Umum ke-13 bakal berlangsung pada tahun 2011 antara bulan Mac hingga Jun.

Perkembangan itu telah menjadi titik perbincangan hangat politik. Teka-teki Pilihanraya DUN Sarawak juga sedang hangat bermain-main. Begitu juga dikhabarkan juga Pilihanraya DUN Perak juga dilaporkan bakal berlangsung pada bulan Mac 2011.

Namun, kehangatan perkhabaran itu telah memberi suatu isyarat kepada Pakatan Rakyat Negeri Sembilan bagi membuat persediaan awal dari segi jentera, gerak kerja dan penyusunan strategi menghadapi kemungkinan PRU-13 berlaku pada tahun 2011.

Imbasan PRU-12 lalu menyaksikan PR Negeri Sembilan hampir sahaja menawan negeri ini. Barisan Nasional hanya berkelebihan 4 kerusi dan kehilangan majoriti dua pertiga dalam DUN Negeri Sembilan. Tsunami politik 8 Mac 2008 telah menyaksikan PR menang 15 kerusi DUN manakala BN menang 21 kerusi DUN.

PKR memenangi 4 kerusi DUN iaitu Ampangan, Sikamat, Chuah dan Port Dickson serta Parlimen Telok Kemang. DAP pula unggul dengan memenangi 10 kerusi DUN daripada 11 kerusi yang ditandingi iaitu Nilai, Lobak, Temiang, Rahang, Bukit Kepayang, Mambau, Senawang, Lukut, Repah dan Bahau disamping menang Parlimen Seremban dan Rasah. PAS buat pertama kali dalam tempoh lima dekad telah berjaya memenangi DUN Paroi.

Jika kajian maklumat dinilai PRU 2008, terdapat beberapa DUN yang dimenangi oleh BN berada di bawah majoriti dua ribu undi. PKR berpotensi menang enam lagi DUN iaitu Labu, Linggi, Pertang, Jeram Padang, Pilah dan Juasseh. PAS pula berpotensi menang tiga DUN iaitu Klawang, Lenggeng dan Johol. Ketiga-tiga kawasan ini telah dikategorikan sebagai kawasan putih oleh PAS Negeri Sembilan sebagai DUN untuk menang pada PRU-13. Manakala DAP hanya perlu menang DUN Chennah.

Jika 10 DUN ini berjaya dimenangi disamping mempertahankan kemenangan DUN yang sedia ada pada PRU-13 nanti, PR Negeri Sembilan mempunyai kelebihan majoriti dua pertiga.

DUN kental majoriti BN (peratus undi menang 58% ke atas) seperti Sungai Lui, Palong, Gemas, Bagan Pinang mungkin kekal dimenangi BN. Namun begitu, bagi DUN yang peratus kemenangan BN berada pada paras 56-53% seperti Seri Menanti, Senaling, Serting dan Gemencheh mungkin jika gerak-kerja dan strategi yang betul, tidak mustahil kawasan-kawasan ini akan turut jatuh ke tangan PR.


Saturday, December 25, 2010

Dari Meja SU MPN: SELAMAT HARI NATAL

Salam sejahtera,

Selamat menyambut Hari Natal kepada seluruh warga Malaysia yang beragama Kristian. Semoga dengan sambutan perayaan ini akan memberi suatu harapan baru dan semangat dalam melalui detik-detik kehidupan seterusnya dalam tahun baru.
Sudah menjadi kelaziman setiap perayaan akan disambut bersama oleh warga rakyat yang lain. Ini menunjukkan semangat setiakawan dan persefahaman disamping timbang rasa antara kepelbagaian ras kaum yang ada di negara ini. Sikap ini penting bagi mengekalkan perpaduan antara kaum sebagai satu warganegara Malaysia.
Parti Keadilan Rakyat Negeri Sembilan meletakkan harapan agar perpaduan ini dapat diterjemahkan dalam suatu bentuk sokongan jitu bagi mengubah haluan pentadbiran negara yang lebih telus, amanah dan progresif pada tahun hadapan demi kebajikan rakyat terpelihara dan kemakmuran ekonomi akan dapat dinikmati sebaiknya.
KE ARAH MENAWAN NEGERI SEMBILAN PRU-13

PRK Dun Tenang: 30 Januari 2011

SPR telah mengumumkan tarikh Pilihanraya Kecil (PRK) Dun Tenang di Labis, Johor pada 30 Januari bersamaan hari Ahad tahun depan.

Manakala hari penamaan calon pula telah ditetapkan pada hari Sabtu, 22 Januari tahun 2011 di Majlis Daerah Labis. Pusat penjumlahan undi pula akan dijalankan di Dewan Serbaguna Majlis Daerah Labis.
Seramai 14,753 pengundi layak mengundi dengan 14,735 adalah pemilih biasa dan 18 pengundi pos.
Daripada jumlah tersebut, 7,014 orang (47.54%) adalah kaum Melayu, Cina (5,766), India (1,780), Bumiputera Sabah & Sarawak (11 orang) dan Orang Asal (171).

Monday, December 20, 2010

PKR Rasah buka Ranting Bandar Enstek di Dun Labu

Perasmian Ranting Bandar Enstek
(gambar: YB Loke Siew Fook turut hadir menyokong penubuhan Ranting Bandar Enstek)

Pada 18 Disember 2010 (Sabtu) lepas, PKR Cabang Rasah telah berjaya membuka sebuah lagi Ranting Bandar Enstek di Dun Labu. Perasmian ranting tersebut telah dibuat dalam suatu majlis minum petang bersama pimpinan Cabang Rasah yang turut dihadiri oleh Ahli Parlimen Rasah, YB Loke Siew Fook, Pengerusi MPN Negeri Sembilan YB Dato' Kamarul Baharin Abbas, Adun Chuah YB Chai Tong Chai, Adun Ampangan YB Rashid Latiff, Ketua Cabang Rasah Hj Muhammad Kamel Yassin, Setiausaha MPN Negeri Sembilan Sabaruddin Mohd Yassim dan beberapa AJK Cabang Rasah.

Majlis jamuan minum petang tersebut bermula tepat jam 2.00 petang telah dihadiri 80 orang anggota Cabang Rasah dan penduduk sekitar. YB Dato' Kamarul dalam ucapannya menegaskan usaha menawan Dun Labu harus dipergiatkan dan dengan kewujudan Ranting Bandar Enstek ini telah menambah sokongan ke arah matlamat tersebut. Beliau menyatakan sekiranya Dun Labu berjaya ditawan dan dimenangi oleh PKR, maka seluruh Negeri Sembilan akan turut dapat dikuasai oleh Pakatan Rakyat dalam PRU-13 nanti.

Beliau turut menyeru supaya rakyat di Dun Labu khususnya di Bandar Enstek sama-sama memberi mandat kepada PR untuk mentadbir negeri ini akan datang. Beliau turut mengambil contoh kemajuan dan kemudahan negeri Selangor yang diperintah di bawah kerajaan PR antaranya pemberian air percuma 11 meter padu. Bandar Enstek hanya bersebelahan dan bersempadan dengan negeri Selangor yang cuma dipisahkan oleh jaringan pencawang eletrik tetapi melihat perbezaan ketara kemudahan yang diterima dari Negeri Sembilan berbanding Selangor.

Walaupun Adun Labu yang juga seorang Exco Kerajaan Negeri tetapi tiada perubahan besar yang mampu dibawa sedangkan Bandar Enstek dan Dun Labu berhampiran dengan kawasan pesat sekitar KLIA. Dato' Kamarul turut mengambil contoh yang berlaku di Dun Linggi yang wakil rakyat juga seorang Exco Kerajaan Negeri tetapi kawasan tersebut masih ketinggalan jauh daripada pembangunan.

"Jika dilihat dari satelit atau kapal terbang, kalau dari Bandar Melaka sampai ke sempadan Linggi cerah dengan lampu-lampu jalan, yang gelap-gelita selepas masuk sempadan Negeri Sembilan itulah Linggi!" tegas beliau sebagai memperlihatkan jauhnya ketinggalan kawasan Linggi daripada nikmat pembangunan.

Majlis petang itu tamat jam 5.00 petang.


Dato' Kamarul Kekal Pengerusi MPN Negeri Sembilan

Majlis Pimpinan Pusat mengumumkan jawatan Pengerusi Majlis Pimpinan Keadilan Negeri Sembilan kekal dijawat oleh YB Dato' Kamarul Baharin Abbas.

Perlantikan semula YB Dato' Kamarul akan meneruskan kestabilan organisasi yang berlangsung sepanjang sesi 2007-2010 di Negeri Sembilan. Faktor hubungan dan kerjasama baik yang terjalin sejak penubuhan Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat Negeri Sembilan pada bulan Januari 2010 lalu antara beliau dengan pimpinan PR Negeri Sembilan.
Kepimpinan YB Dato' Kamarul diperlukan untuk memimpin PKR Negeri Sembilan dalam meneruskan matlamat menawan Negeri Sembilan pada PRU-13 akan datang.
Senarai Ketua Cabang selepas Pemilihan 2010:

1. Jelebu-Syed Hussein Idrus
2. Jempol-Karip Salleh
3. Seremban-Dr Ahmad Azam Hamzah
4. Kuala Pilah-Nordin Ismail
5. Rasah-Hj Muhammad Kamel Yassin
6. Rembau-Badrul Hisham Shaharin
7. Tampin-Hj Baharudin Arif Hj Siri
8. Telok Kemang-YB M. Ravi

Thursday, December 16, 2010

Ceramah Perdana: MENEBUS MARUAH BANGSA

CERAMAH PERDANA
'MENEBUS MARUAH BANGSA'
16 DISEMBER 2010/ KHAMIS
8.30 MALAM
DATARAN MUHIBBAH KG ISMAIL, AMPANGAN, SEREMBAN.

Orang ramai dan para penyokong PR dijemput hadir. DSAI dijangka berucap tepat jam 9.00 malam.

Menyusun saf & kekuatan

Semalam (15 Disember 2010) dua pengumuman penubuhan dan kemunculan parti politik telah disiarkan oleh media. Parti KITA (Kesejahteraan Ikatan Tanah Air) yang nama asalnya adalah AKIM dipimpin oleh Zaid Ibrahim. Manakala sebuah parti baru dari Sabah iaitu Parti Barisan Rakyat Sabah (SPF).

Namun, kemunculan sebegini adalah suatu yang lumrah berlaku dalam suasana politik lebih-lebih lagi semboyan ke arah PRU 13 kian rancak digetarkan yang kian dirasai hampir dekat.

Khabar-khabar politik ini tidak harus melemahkan seluruh anggota PKR. Ia seharusnya menjadi sebagai pemangkin semangat perjuangan dan memperkukuhkan saf organisasi disamping mempertajamkan semangat kerjasama-setiakawan dalam Pakatan Rakyat.

PKR sedang rancak diserang dengan fitnah dan manipulasi oleh media-media kawalan Umno-BN ketika ini. Suasana seperti ini persis penghujung tahun 2007 lalu sehingga Najib Razak waktu itu dengan angkuh mengatakan PKR akan berkubur selepas PRU 12. Laungan angkuh itu kembali dilontarkan walaupun berbeza patah ayatnya.

PKR Negeri Sembilan tenang berhadapan dengan suasana yang menyerang ini. Namun itu tidak bermakna PKR Negeri Sembilan berdiam diri tanpa melakukan persiapan. Langkah penyusunan saf dan kekuatan sedang rancak berlangsung. Sebijak Umno Negeri Sembilan menyembunyikan keretakan dalamannya, begitu jugalah PKR lebih bijak menyusup segala ruang lompang yang dicipta oleh krisis dalam Umno Negeri Sembilan.

Perebutan jawatan Menteri Besar negeri ini antara beberapa pemuka Umno Negeri Sembilan kedengaran walaupun dinafikan. Jika tidak berbunyi maka tak akan pulak orang bercerita. Siapa yang berceritanya? Biarlah ia menjadi rahsia politik sehingga pertempuran PRU 13 bermula.

Umno-BN Negeri Sembilan juga tidak boleh berasa selesa walaupun berjaya dalam usaha menyekat pembangkang sejak akhir-akhir ini. Kejayaan ceramah perdana anjuran PR NS "Semboyan Halilintar ke Putrajaya" menghadirkan kegusaran kepada mereka.

Harus diingat dan dijadikan panduan, Umno-BN juga mempunyai beberapa kerusi DUN yang dimenangi majoriti bawah daripada dua ribu undi. Dun-dun tersebut adalah Klawang, Chennah, Pertang, Labu, Lenggeng, Pilah, Juasseh, Johol dan Jeram Padang. Kesungguhan dalam memantapkan strategi dan gerak kerja pilihanraya dalam PR Negeri Sembilan tidak mustahil dun-dun tersebut bakal ditawan dalam PRU-13 nanti.

Maka sekali lagi kita laungkan SEMBOYAN HALILINTAR KE PUTRAJAYA!

Monday, December 6, 2010

Dari Meja Setiausaha MPN NS

Salam Reformasi!

Setelah PKR melalui proses pemilihan selama tiga bulan, akhirnya senarai kepimpinan peringkat Cabang dan kepimpinan pusat telah diisi melalui pemilihan yang penuh episod dan pengalaman yang membentuk kematangan seluruh anggota PKR.
Lebih membanggakan, Pemilihan PKR 2010 telah mencatat sejarah tersendirinya dengan PKR menjadi parti pertama di Asia malah di dunia melaksanakan pemilihan kepimpinan organisasinya melalui sistem 1 anggota 1 undi.
Bagi pemilihan kali pertama ini, perkara yang harus ditegaskan adalah KEUPAYAAN dan KEMAMPUAN parti melaksanakan sistem pemilihan seumpama ini. Kelemahan dan kekurangan yang terserlah sepanjang pemilihan ini perlu dijadikan panduan serta pelajaran berguna untuk memperbaiki segala aturan dalam melaksanakan pemilihan ini seterusnya pada tahun 2013.
Dalam tiap-tiap sesuatu sistem yang baru dan KALI PERTAMA dijalankan, sudah pasti adanya kelemahan dan kekurangan yang ketara. Namun itu bukan bermakna parti akan terus membiarkan ia menjadi duri yang berdarah kepada organisasi tetapi ia akan DIPERBAIKI bagi menambahbaik dan akan lebih diperkemaskan.
Beberapa fakta penting ingin dinyatakan di sini sebagai bukti dinamiknya PKR melaksanakan demokrasi secara berani berbanding Umno/BN:-
Bagi Pemilihan Cabang, seramai 70,000 anggota PKR daripada 400,000 keanggotaan keseluruhan telah keluar mengundi bagi memilih kepimpinan cabang masing-masing. Jika dinilai dalam angka peratusan, seramai 18% anggota yang keluar mengundi.
Jika dibandingkan dengan Umno, hanya 1.7% daripada 3.4 juta ahlinya yang terlibat untuk Pemilihan Umno! Hanya 60,000 ahli Umno yang akan terlibat dalam pemilihan kepimpinannya! Ini membuktikan PKR lebih demokrasi berbanding Umno.
Jika peratusan ahli Umno yang terlibat dengan pemilihan kepimpinan organisasinya sama dengan peratus keluar mengundi PKR (18%), angka yang pasti adalah 272,000 ahli Umno. Namun persoalannya, adakah Umno berani melaksanakannya???
Bagi Pemilihan Pimpinan Pusat, seramai 36,000 anggota PKR keluar mengundi memilih pimpinan pusat mereka. Memetik kata Setiausaha Agung PKR, YB Saifuddin Nasuiton Ismail hanya 0.03% daripada 3.4juta ahli Umno yang terlibat dalam memilih Presiden Umno! Dalam angkanya, HANYA 1,020 ahli Umno terlibat.
Keghairahan media kawalan BN menyerang secara berterusan PKR sedikit pun tidak melemahkan semangat seluruh anggota parti. Hanya jiwa-jiwa lemah yang berjuang kerana kepentingan kuasa, nama dan mencari peluang yang kian rancak meninggalkan parti. Hakikatnya serangan tersebut telah menambahkan minat rakyat keseluruhan ingin mengetahui PKR. Terbukti permohonan keanggotaan bulan Oktober 2010, seramai 20,000 permohonan keanggotaan telah diterima oleh Ibu Pejabat PKR.
Semoga dengan kepimpinan baru akan merancakkan semangat perjuangan dalam matlamat PKR menawan Putrajaya pada PRU 13 akan datang. Mari kita bersama-sama semarakkan semangat SEMBOYAN HALILINTAR KE PUTRAJAYA!