Monday, July 12, 2010

Chua Mahu Mantapkan KEADILAN Johor Hadapi PRU-13

PETALING JAYA 12 Julai - Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Johor yang baru dilantik, Datuk Chua Jui Meng berkata antara tugas pertama beliau ialah menyusun semula struktur pentadbiran parti di negeri itu dengan tujuan menjadikannya sebuah supaya organisasi politik yang efektif dan mantap bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13.

Jui Meng berkata untuk mencapai objektif beliau akan berbincang dengan semua pemimpin KEADILAN Johor serta pucuk pimpinan tertinggi parti termasuk Ketua Umum dan Presiden sebelum sebarang barisan baru kepimpinan negeri dibuat.

"Negeri Johor ialah negeri yang paling sukar bagi KEADILAN kerana pada PRU 2008 kita tidak
memenangi satu kerusi DUN atau Parlimen pun. Ini kerana Johor adalah kubu kuat Umno dan kubu politik MCA, jadi sasaran KEADILAN mengambil alih pentadbiran negeri ini daripada Barisan Nasional bukan sesuatu yang mudah.

"Namun saya menerima tanggungjawab yang diamanahkan parti dengan penuh kesedaran dan
berharap melalui perbincangan dengan semua lapisan pimpinan KEADILAN Johor kita mampu wujudkan satu pasukan yang berkesan dan kuat," komen beliau kepada Suara Keadilan ketiuka dihubungi.

Jui Meng yang merupakan bekas Menteri Kesihatan dan Naib Presiden MCA berkata beliau akan
memanfaat sebaik mungkin pengalaman luas beliau dalam Kabinet dan politik untuk membawa perubahan positif untuk kebaikan parti.

"Saya rasa terharu dengan perlantikan ini apatah lagi ia berlaku setelah tindakan menarik balik semua bintang kebesaran yang dianugerahkan kepada saya oleh negeri Johor. Ia merupakan pengiktirafan sumbangan saya selama ini kepada Johor dan juga negara," kata beliau.

Dalam satu kenyataan hari ini KEADILAN mengumumkan perlantikan Jui Meng sebagai Pengerusi MPN KEADILAN Johor berkuatkuasa serta merta.

Setiausaha Agung, Saifuddin Nasution Ismail berkata keputusan tersebut telah dibuat dalam mesyuarat Biro Politik Pusat KEADILAN yang telah diadakan pada 7 Julai lalu.

"KEADILAN mengalu-alukan sumbangan Datuk Chua dan yakin beliau mampu memantapkan lagi organisasi parti negeri Johor dan memacukan lagi persiapan menghadapi pilihan raya umum yang akan datang," kata Saifuddin dalam kenyataan ringkasnya.


No comments: