Wednesday, September 16, 2009

Shahrudin bukan lagi bersama PKR

Shahrudin Abdul Hamid, yang mahu bertanding menentang PAS dan BN dalam pilihan raya kecil Bagan Pinang Oktober ini bukan lagi ahli PKR, kata setiausaha cabang Teluk Kemang.

"Beliau (Shahrudin) telah berhenti menjadi ahli PKR. Dia mahu bertanding atas tiket bebas, itu pilihan dia. Ia (keputusan itu) tidak ada kaitan dengan PKR Teluk Kemang," kata Rusli Abdullah.

Beliau diminta mengulas tindakan Shahrudin yang menawarkan diri bertanding di kerusi DUN tersebut, yang bermula 3 Oktober ini, yang mungkin menyebabkan pertembungan sekurang-kurangnya tiga penjuru.

Shahrudin, bekas kakitangan di pejabat ahli parlimen Teluk Kemang, Datuk Kamarul Baharin Abbas semalam mendakwa dirinya masih lagi ahli jawatankuasa PKR ranting Kota Lukut.

Ketika dihubungi Malaysiakini petang ini, Rusli berkata, Shahrudin telah berhenti daripada menjadi ahli parti lebih dari enam bulan.

Tambahnya, PKR juga tidak mempunyai ranting di kawasan yang disebutkan semalam.

"Mungkin masih dalam penajaan. Tetapi kita tidak pernah luluskan mana-mana ranting di Kota Lukut. Dulu permohonan keahlian Shahrudin pun dibuat terus kepada cabang," kata Rusli.

Menurut jurutera itu lagi, penyertaan Shahrudin mungkin didorong motif "pihak lain".

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut perkara itu.

Ditanya sama ada Shahrudin mampu memecahkan undi penyokong PAS di kerusi tersebut, Rusli berkata:

"Kita lihat dia tidak ada kekuatan. Dia berseorangan."

Beliau juga yakin tindakan Shahrudin tidak akan menjejaskan persefahaman PKR dan PAS yang bergabung dalam Pakatan Rakyat.

Sementara itu Shahrudin, ketika dihubungi Malaysiakini, menafikan telah keluar parti lebih setengah tahun lalu.

Semalam, tambahnya, beliau dihubungi Kamarul – yang juga pengerusi majlis pimpinan PKR Negeri Sembilan – melalui SMS memintanya membatalkan hasrat menjadi calon atau bakal menghadapi tindakan disiplin.

"Saya kata, terserahlah (kepada parti)," jelas Shahrudin, mengulas desakan bekas majikannya itu.

"Kalau itu kehendak mereka, terserahlah. Saya dari awal lagi sudah cakap hendak gunakan logo PKR (untuk bertanding), tetapi tidak diizinkan," kata bapa kepada lima anak itu.

Mengulas dakwaan tidak terdapat cawangan PKR di Kota Lukut, Shahrudin mengakui ranting itu masih di peringkat penajaan.

Bagaimanapun, tambahnya, ranting itu mempunyai wakil dalam mesyuarat cabang serta terlibat menganjurkan beberapa program parti di kawasan setempat.

No comments: