Thursday, September 10, 2009

ADA DALANG POLITIK USUNG KEPALA LEMBU?


Dari Kacamata Halik Zaman:
ADA DALANG POLITIK USUNG KEPALA LEMBU?

KES pertama pembinaan Kuil Hindu yang secara terang-terangan mencetus kontroversi penduduk di Seksyen 23 itu yang secara tidak langsung disokong oleh Menteri Dalam Negeri, Dato Seri Hishamuddin Tun Hussein yang juga Naib Presiden UMNO. Tentunya perarakan kepala lembu itu bermula dalangnya dari orang suruhan para pemimpin politik. Ia memangnya bukan PAS dan PKR.

Perarakan kepala lembu itu dibuat terlebih dahulu sebelum berlaku kekosongan DUN Bagan Pinang menjadikan para pemimpin UMNO serba salah. Mahu tidak mahu, PEWARIS mesti dijadikan kambing hitam untuk didakwa demi menyelamatkan sokongan dari 18% kaum Indian kepada UMNO/BN dalam PRK Bagan Pinang.

Allah swt telah mengingatkan umat Islam dalam surah Al-Anfal (8)46 yang bermaksud: “Janganlah kamu berbantah-bantah nanti kamu lemah serta hilang kekuatanmu dan hendaklah kamu berhati sabar. Sesungguhnya Allah bersama-sama orang-orang yang sabar”.

Islam tidak menyuruh umatnya menghina agama lain. Dalam bulan yang mulia ini bagi umat Islam iaitu di bulan Ramadhan yang penuh berkat ini yang seharusnya menjadi medan tarbiyyah dan latihan untuk kita bersabar dan bijaksana dalam menyelesaikan segala kekusutan melalui mesyuarat setiakawan.

Kekecohan yang dilakukan oleh beberapa individu yang bertindak agresif di majlis dialog mencari jalan penyelesaian isu pembinaan kuil di Seksyen 23, Shah Alam amat mendukacitakan.

Gelagat agresif, provokatif orang Islam pro-UMNO kepada penganut-penganut Hindu sudah keterlampauan dari batasan perikemanusiaan. Kita dapat mengagak kalau pun bukan perarakan itu dibuat oleh ahli-ahli UMNO, ia tentu mendapat galakan dan sokongan dari para pemimpin UMNO.

Kalau anggapan ini tidak betul masakan Menteri Dalam Negeri Dato Seri Hishamuddin mengiakan tindakan perarakan kepala lembu itu pada mulanya?

Adakah orang Islam yang mengusung kepala lembu itu, tentunya ia bukan PAS atau PKR, tidak memikirkan kepentingan orang Islam di seluruh Malaysia, jika suatu hari nanti orang India dan Cina pula mengusung kepala babi ke masjid bagaimana?

Apa yang dilakukan oleh orang Melayu yang pro politik UMNO itu akan menjejaskan kehormatan seluruh umat Islam dan maruah Islam itu sendiri terhakis. Semoga perkara yang seburuk itu tidak akan terjadi pada kaum India, kerana kita faham kaum India di Malaysia lebih profesional dalam menghadapi karenah masyarakat yang tidak bertamadun itu.

Hukuman yang berat dipohon dari para hakim mahkamah untuk mereka yang mengapi-apikan perasaan perkauman dan pergaduhan kaum ini, ia sejajar dengan hukuman buang Negara. Tidak ada maaf untuk mereka lagi. Dasar Pakatan Rakyat yang berfahaman berbilang kaum bersatu padu sangat diidam-idamkan oleh rakyat Malaysia.

Perkataan yang berbentuk 'menghasut' seperti "Negara ini orang Melayu punya, orang Melayu mesti dianggap sebagai Ketuanan Melayu." Perkataan sebegini boleh dikategorikan sebagai menghasut kerana boleh menimbulkan perasaan perkauman, pergaduhan kaum, kerana ia tidak menggambarkan satu bangsa rakyat Malaysia yang berbilang fahaman agama.

Kalau mahu bantah kuil dibina di kawasan perumahan majoriti penduduknya beragama Islam, kenapa mesti berarak mengusung kepala lembu? Seolah-olah mahu mengapi-apikan perasaan penganut Hindu yang sekian lama menghormati lembu sebagai haiwan suci, selaras dengan ajaran Hindu.

Kenapa mereka tidak bermuafakat, melainkan memang berniat untuk menghuru-harakan negara Malaysia? Masyarakat percaya, perbuatan mengapi-apikan perasaan perkauman itu mesti didalangi oleh pemimpin politik yang bersembunyi di balik tabir wayang kulit?

Walau siapa pun ahli politik yang menjadi dalang itu, ia pasti bukan daripada PAS dan PKR kerana hakikatnya PRK Bagan Pinang mempunyai 18% undi kaum India yang akan memihak kepada PAS dan Pakatan Rakyat.

No comments: