Thursday, March 26, 2009

Anwar Ibrahim Club Jawab Tuduhan Hishammuddin

"Maka gegak gempitalah Ketua Pemuda Umno dengan hamburan demi hamburan yang dituju kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.Tidak cukup dengan fitnah dan kezaliman yang dilancarkan ke atas Pakatan Rakyat, hari ini Hishamuddin Tun Hussien disamping menjulang keris, melalak lagi.

Kononnya mempertikaikan dasar yang lapuk dan usang dianggap salah. Kononnya usaha menyanggah kesalahan pemerintah dan menawarkan alternatif yang lebih baik dikira satu petualang.

Apakah mempersoalkan dasar afirmatif yang menindas dikira satu tindakan yang salah?Kita sama sekali tidak akan menafikan hak melayu bumiputera sebagaimana yang dijelaskan di dalam Perlembagaan Persekutuan, tetapi yang dipersoalkan ialah tindakan menghalalkan penguasaan sesetengah pihak untuk memastikan khazanah negara dibolot rakus oleh hubaya-hubaya yang angkuh dan sanggup menindas bangsa sendiri di atas nama bangsanya.

Kita tidak bersetuju dengan kebebasan tanpa limitasi dan tanggungjawab,tetapi kita juga sama sekali tidak bersetuju dengan tindakan menyekat kebebasan media,kebebasan bersuara dan kebebasan berhimpun sebagaimana dititip jelas dalam Perlembagaan Persekutuan.

Di bawah regim Umno-BN, menempelak pemerintah tatkala mereka melakukan kesalahan adalah dosa yang maha besar.

Sebaliknya budaya ampu,julang menjulang adalah mauduk wajib jika mahu terus kekal di persada.

Menempelak Anwar Ibrahim sebagai petualang melayu hanya memalitkan si penuduh semata-mata.

Mana lebih dasyat: memperjuangkan keadilan untuk semua atau membunuh potensi bangsa melalui sistem pendidikan yang rapuh yang mengabaikan kelangsungan bahasa ibunda?

Mana lebih keparat: memupuk persefahaman membentuk kerajaan atas dasar prinsip perjuangan, atau menjatuhkan kerajaan pilihan rakyat dengan berselindung di balik imuniti istana?

Mana lebih khianat: memperjuangkan dasar tadbirurus yang kompeten,adil dan telus atau mempertahankan dasar yang menindas, mengayakan puak sendiri, dan membunuh potensi orang lain?

Mana lebih bangsat: memupuk perpaduan antara kaum ke arah menjulang ketuanan rakyat, atau menyemai kebencian atas sentimen perkauman yang sempit, jumud dan kolot?

Gema di dalam Dewan Tun Dr Ismail di PWTC mungkin menggamit suasana,tetapi apakah mungkin rakyat terkesan dengan retorik tahunan yang bergema atas sentimen sempit yang makin parah dan usang?

Hishamuddin boleh terus berkokok, dan Pemuda Umno boleh terus bersorak. Tetapi rakyat masih kenal fungsi akal: untuk menilai secara rasional, mempertahankan yang hak dan membunuh kebathilan!

HIDAYAT SAIFUDDIN
Timbalan Presiden
KELAB ANWAR IBRAHIM (AIC)

Jais tidak kisah dengan Balkis yang diketahui haram

SHAH ALAM, 25 Mac (Hrkh) - Ketua Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) Dato' Mohamed Khusrin Munawi menganggap surat daripada Balkis yang ditandatangani oleh Puan Sri Asbi Rohani Asnan yang mengaku sebagai Yang Dipertua Balkis tidak mendatangkan masalah kerana ia tidak menjejaskan polisi Majlis Agama Islam Selangor (Mais).

Ini ekoran pendedahan maklumat Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan Kebertanggungjawab dan Ketelusan (Selcat), Azmin Ali (KeADILan-Bukit Antarabangsa) yang mempersoalkan tentang surat bertarikh 16 April 2008 ditandatangani oleh Asbi Rohani sebagai YDP Balkis.

Kandungan surat tersebut membenarkan Pegawai Mais, Hafizatul Akma Abdul Jalil yang ditugaskan di Kompleks Wawasan Balkis dibenarkan tinggal di situ sehingga habis pantang bersalin.

Ikuti dialog dalam sesi siasatan Balkis yang dilakukan oleh Selcat terhadap saksi keenam, Dato' Mohamed Khusrin yang juga Setiausaha Mais, di dewan Annex, Shah Alam.

Pengerusi Selcat Teng Chang Khim: Surat ini ditandatangi oleh Puan Sri Asbi Rohani Asnan sebagai Yang Dipertua Balkis. Pada 14 april sepatutnya Balkis sudah dibubarkan dan Puan Sri Asbi adalah isteri kepada bekas Menteri Besar, Tan Sri Mohamed Taib. Dato menerima surat pengesahan Balkis membenarkan Hafizatul Akma tinggal di asrama tersebut hingga 30 April 2008.

Kushrin: Tanggapan Balkis dibubarkan itu tanggapan saya tapi saya sendiri tidak pasti kedudukan Balkis ketika itu.

Teng: Dato tahu Dato' Sri Dr Mohd Khir Toyo menjadi Menteri Besar dari tahun 1999 hingga 2008 dan dalam tempoh itu isteri beliau ada Pengerusi Balkis...

Kusrin: Ya

Teng: Bagaimana tiba-tiba Asni menandatangi surat ini sebagai Pengerusi Balkis dan Dato terima tanpa was-was...

Kusrin: Saya rasa surat ini tidak melibatkan apa apa cuma memaklumkan kebenaran kakitangan kita terus tinggal di kompleks, saya rasa tidak ada melibatkan apa-apa polisi yang dirasakan oleh Mais. Saya perasaan ketika terima surat ini yang tandatangan Puan Sri Asni. Pada saya ini soal dalaman Balkis yang tak perlu saya ambil tahu.

Teng: Ini bukan soal dalaman Balkis sebab surat ini mengesahkan pegawai Mais dibenarkan tinggal di bangunan Balkis sehingga 30 April. Sepatutnya mereka sudah keluar daripada Kompleks Wawasan Balkis pada 8 April.

Kushrin: Ini pegawai ini baru bersalin dan dalam keadaan pantang

Teng: Saya tidak ada masalah beliau boleh tinggal disitu tetapi apabila Dato dapat surat ini Dato tidak menyesaki surat ini dan terus membenarkan Hafizatul tinggal disitu. Saya hendak beritahu `Jangan tegakkan benang yang basah'. Sebenarnya Pengerusi Balkis, Datin Seri Zaharah Kechik tetapi surat ini ditandatangani oleh Puan Sri Asbi Rohani. Dato' tidak menyesaki apa-apa?

Kushrin: Pada saya tidak ada masalah...apa masalahnya. Siapa tandatangani pada saya tidak penting.

Teng: Patutlah Dato' dengar daripada Penyelaras Kompleks Jamilah Balkis dibubarkan Dato' senang mempercayai apa orang cakap.

Azmin: Saya kira perkara ini serius. Dato selaku Pengarah JAIS membawa satu imej yang penting kepada umat Islam dan orang lain di negeri Selangor. Kalau keterangan-keterangan yang diberikan Dato' dalam perbicaraan terbuka seperti ini yang turut dihadiri oleh pihak media dan wartawan, ini memberi satu tanggapan yang cukup negatif kepada pengurusan Jais, betul saya setuju Dato' tak perlu terlibat dalam masalah dalaman Balkis.

Tetapi surat yang dikeluarkan bertarikh 16 April 2008 adalah hasil susulan surat Dato bertarikh 7 Arpil. Pertama Dato' telah menyatakan Balkis dibubarkan tetapi Dato' masih menulis surat kepada Pengerusi Balkis.

Walaupun kenyataannya Balkis belum dibubarkan tapi Dato sudah ada tanggapan daripada puan Jamaliah bahawa Balkis sudah dibubarkan. Maka Dato; cuba menempatkan lima pegawai berkenaan maka Balkis keluar surat pada 16 April dan surat ini adalah surat jawapan kepada surat Dato'.

Apabila surat jawapan kepada surat Dato' itu datang daripada seorang yang tidak sah Dato langsung tidak menunjukkan rasa tanggungjawab untuk menyemak semula. bahawa orang yang menandatangni surat jawapan kepada surat Mais adalah orang yang tidak sah.

Kalau inilah pentadbiran Jais saya rasa amat malang sekali, betul Dato tak perlu terlibat, siapa YDP tetapi sekurang-kurangnya Dato harus mengutus satu lagi surat kepada Balkis mengatakan yang menandatangi surat pengesahan supaya pegawai Mais boleh terus tinggal di situ. Mengapa tidak dilakukan.

Kushrin : Saya rasa bukan tanggungjawab saya untuk tahu siapa jadi Pengerusi Balkis.

Azmin: Ini satu jawapan yang paling malang. Dato sebagai Pengarah Jais dan Setiausaha Mais ambil wang Mais, ambil wang zakat bayar lima pegawai yang ditugaskan kepada Balkis tapi tak tahu siapa Pengerusi Balkis.

Kushrin: Saya menafikan saya tak ambil duit zakat duit Mais ini keputusan yang dibuat oleh Mais. Saya sebagai setiausaha dan bukan saya seorang yang buat.

Azmin: Tapi keputusan Dato' menafikan Dato tak tahu siapa Pengerusi Balkis, Dato' kena ingat Dato' memberi keterangan di bawah bersumpah.

Kushrin : Saya kata saya maklum tetapi saya tidak bertanggungjawab yang penting siapa yang hendak tandatangani surat ini sama ada Puan Sri Asbi atau Zaharah Kechik pada saya tidak penting.

Teng: Itu penting kalau Puan Sri Asbi bukan YDP maka surat ini tidak sah maka bererti pegawai Dato' berada di bangunan Balkis dengan cara tidak sah, yang halal dan haram kita kena betulkan kalau surat ini tidak sah bererti penempatan Hafizatul di bangunan Balkis tidak sah.

Azmin : Dato ini memberi keterangan dibawah bersumpah saya malu hendak mengaku umat Islam di negeri Selangor kalau inilah Pengarah Jais dan Setiausaha Mais, saya rasa malu ini keterangan bertulis

Kushrin : Apa masalahnya saya tak faham....

Azmin : Masalahnya surat yang Dato terima adalah daripada orang yang tidak sah kenapa Dato selaku setiausaha Mais tidak merujuk semula kepada Balkis bahawa mengapa orang yang tidak sah menandatangni surat utnuk mengesahkan permohonan yang idbuat oleh Mais terlebih awal, apakah itu susah hendak jawab.

Kushrin : Bukan tanggungjawab saya nak tahu siapa yang menjadi Pengerusi Balkis pada saya tidak penting, kalau siapa-siapa tandatangan pada pihak Balkis saya boleh terima juga.

Azmin : Kalau dia tulis (bagi pihak-bp) saya tidak ada masalah, ini tulis Puan Sri Asbi Rohani Asnan Yang Dipertua Balkis...(wahai Setiausaha Mais). Jangan berdolak dalik ini perbicaraan terbuka, kalau bagi pihak dia ada tulis (bp-bagi pihak) tak kan Ketua Pentadbir tak tahu surat menyurat.

Kushrin: Saya kata tadi kalau siapa-siapa tulis bagi Balkis kita boleh terima.

Teng : Tapi Dato' sudah tahu YDP bukan Puan Sri Asbi sudah 9 tahun Datin Seri Zaharah Kechik adalah Yang DIpertua Balkis Dato' sebagai jawatan tertinggi dalam kerajaan negeri Selangor sepatutnya tahu.

Saari Sungib : Kita memandang tinggi kepada Jais dan Mais yang menjaga halal haram, sah tak sah jadi kalau Pengarah Jais tidak peka isu sah atau tidak, ini memberi gambaran yang amat buruk, perkara ini penting.

Kushrin : Saya faham ini tanggungjawab saya pada saya isu surat Balkis ini sama ada ditandatangai Puan Sri Asbi atau Datin Seri Zaharah isu kecil, tidak menjejaskan polisi Mais, pada saya tidak...

Teng: Sama ada pegawai Hafizatul penempatan beliau sah atau tidak maka penempatan beliau itu adalah satu pencerobohan.

Kushrin: Saya tidak fikir sampai begitu sebab kita bagi pertimbangan atas keperikemanusiaan pada ketika

Teng : Itu tidak menjadi masalah tapi mesti jadi persetujuan Balkis. Sekarang yang bagi persetujuan bukan wakil sah Balkis bererti persetujuan itu tidak sah, bila tidak sah ia jadi pencerobohan dan ini menjadi tanggungjawab Mais dan Mais kena jawab kerana Dato' terima surat itu sedangkan Dato' tahu Pengerusi Balkis bukan Puan Sri Asbi.

Kushrin : Saya tidak dapat jawab.... _

Wednesday, March 25, 2009

Perhimpunan Bantah Pengharaman SK & Harakah Hari Ini



Sebaran Media

Pimpinan KEADILAN dan PAS akan menghantar memorandum bantahan terhadap pengharaman Suara Keadilan dan Harakah kepada Suhakam pada jam 2 petang ini (25 Mac).

Delegasi tersebut akan diketuai oleh Ketua Penerangan KEADILAN Tian Chua, Ketua Angkatan Muda KEADILAN Shamsul Iskandar, Ketua Penerangan PAS Mahfuz Omar dan Ketua Pemuda PAS Salehuddin Ayub.

BIRO PENERANGAN PARTI KEADILAN RAKYAT

Tuesday, March 24, 2009

BN Masih Tidak Berubah Sikap


Siaran Media
24 Mac 2009


Barisan Nasional (BN) masih tidak berubah sikap zalimnya sepertimana yang disaksikan dengan cara pihak polis menangani ceramah Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim di Sungai Petani semalam (23 Mac).

Demikian dikatakan Pengerusi Perhubungan Negeri Kedah Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Ahmad Kassim (gambar) mengenai tindakan keras pihak polis menembak meriam kimia terhadap orang awam secara rambang sehingga mengancam keselamatan kanak-kanak, wanita dan orang tua semalam.

“Mereka yang datang mendengar ucapan Ketua Pembangkang tidak melakukan apa-apa jenayah tetapi telah dilayan seperti penjenayah.”

Ahli parlimen Kuala Kedah itu dalam satu kenyataan media hari ini menegaskan, kebiasaannya meriam air bertekanan tinggi digunakan bagi menyuraikan orang awam dan bukan meriam kimia yang mungkin mengakibatkan kematian.

“Apakah pihak polis bertindak profesional dalam perkara ini jikalau benar-benar ingin menyuraikan orang ramai? Ataupun pihak polis berpihak kepada BN untuk menindas mereka yang menyokong Pakatan Rakyat?”

Ahmad juga menjelaskan bahawa pihak polis tidak mempunyai sebab untuk menghalang ceramah tersebut kerana tempat ceramah terletak di lokasi lapang dan bebas dari gangguan trafik.

“Pihak polis tidak wajar menggunakan alasan tiada permit ini untuk menyekat aktiviti Pakatan Rakyat khasnya menjelang pilihanraya kecil Bukit Selambau.”

“Kami berharap agar pengundi-pengundi Bukit Selambau tidak menyokong BN selepas kejadian ini kerana cukup kecewa dengan BN yang masih tidak berubah.” (tamat)


BIRO PENERANGAN PARTI KEADILAN RAKYAT

Nizar calon PAS di Bukit Gantang


dipetik daripada Malaysiakini.com
PAS memilih Datuk Seri Mohd Nizar Jamaluddin sebagai calonnya untuk bertanding dalam pilihanraya kecil Parlimen Bukit Gantang.

Pengumuman tersebut akan dibuat malam ini.

Menteri Besar Pakatan Rakyat itu akan berdepan dengan calon BN Ismail Saffian, 49.

Ismail yang juga bekas ketua penerangan Umno bahagian, berasal dari Kampung Kubu, Bukit Gantang.

Pilihanraya kecil Parlimen Bukit Gantang diadakan berikutan kematian penyandang Roslan Shahrom daripada PAS pada 9 Februari lalu.

Penamaan calon akan berlangsung pada 29 Mac dan pengundian 7 April depan.

Nizar adalah antara beberapa nama disebut-sebut akan dipilih oleh pucuk pimpinan parti tersebut bertanding dalam pilihanraya kecil berkenaan.

Parti itu yakin akan mengekalkan kerusi tersebut, terutama di tengah-tengah krisis politik yang melanda Perak selepas kerajaan BN mengambil alih pentadbiran negeri tersebut.

Dalam pilihanraya umum lalu, Roslan merampas kubu kuat BN itu dengan menewaskan Bendahari Umno Datuk Seri Azim Mohd Zabidi dan calon Bebas, M Morgan, dengan majoriti 1,566 undi.

Parlimen itu mempunyai 55,471 pengundi yang terdiri daripada 63.48 peratus pengundi Melayu, 26.77 peratus pengundi Cina, 9.71 peratus pengundi India dan lain-lain pengundi 0.4 peratus.

Terdapat tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di parlimen itu iaitu Changkat Jering, Trong dan Kuala Sepetang. Dalam pilihanraya umum lalu, BN menang di Trong manakala dua lagi dimenangi Parti Keadilan Rakyat.

Wednesday, March 18, 2009

KES ALI RUSTAM: SATU LAGI BUKTI KONSPIRASI UMNO!!!

oleh BIRO PENERANGAN PKR N9

Isu politik wang Ali Rustam satu lagi episod menarik konspirasi di dalam Umno. Arakian, mengikut yang empunya cerita Lembaga Displin Umno telah diperalatkan oleh golongan yang berkepentingan dengan calon-calon Timbalan Presiden. Maka syahidan Ketua yang menjadi kepada penyiasat khabarnya telah menjadi Pengerusi Peladang satu jawatan yang diangkat oleh calon Timbalan Presiden.

Alkisah si calon Timbalan Presiden ini pun hulur juga RM500.00 kepada perwakilan Perak di Pakeeza Restaurant, Ipoh jam 8.45 malam. Kata Raja Jin yang memerhati, ketika itu 'booking' atas nama Dato' A.H. dan kata Raja Jin tersebut, ahli lembaga displin ada bersama berkempen ketika itu.

Sementara itu, kata shahibul hikayat sang Raja Polong pula ada mengintai calon Timbalan Presiden ini menolong syarikat seorang ahli lembaga displin yang hampir bankrup! Hatta, tatkala lembaga displin Umno terburu-buru mengumumkan nama Tok Ali adalah untuk MEROSAKKAN pencalonan Benggali Putih Melaka ini kononnya calon-calon yang bertanding tak bersih cuma dia seorang yang bersih. Inilah hasilnya jika "pandai" dan selalu main golf bersama lembaga displin.

Yang pelik bin ajaib, Lembaga displin tu LEBIH BERKUASA daripada Majlis Tertinggi. Inilah ajaibnya Umno. Apa pun mesti pegang pada prinsip "double standard". Segalanya boleh "overule". Jadi tak hairanlah kalau kes Altantuya punya cerita Gobind kena gantung sampai satu tahun. Segala gaji dan elaun tak diberi dan hilang keistimewaan sebagai ahli Parlimen. Sebab dalam Umno, yang penting jaga 'taiko'.

Shahdan, maka sang calon-calon yang bertanding mula tak percaya antara satu sama lain. "Apa yang istimewa sangat jawatan tu sampai bergolok bergadai???" tanya sekumpulan nelayan yang sedang bersembang setelah penat membanting tulang di samudera luas. "Itulah kamu, tengkorak kosong! Jawatan tu buat berniaga, jadi melaburlah dulu. Nanti dah dapat jawatan BUATLAH DUIT!".
Kata si nelayan seorang lagi,"Habis, bajet mini RM60 billion tu, apa kita dapat?". "Duit tu dia beli makanan ikan dalam laut,bila ikan dah besar, kita tangkap,hahahaha."

Alkisah seorang calon Timbalan Presiden lagi kata di dalam Pilihanraya Bukit Selambau dan Bukit Gantang TIADA lagi projek 'mee segera' sebab katanya rakyat bukan bodoh. Jadi maknanya, SELAMA INI DALAM MANA-MANA PILIHANRAYA, RAKYAT TELAH DIPERBODOHKAN dengan membawa projek turap jalan, buat jambatan, bagi peruntukan itu dan ini. Menteri dan Timbalan Menteri yang turun semua CERITA TEMBERANG!!! Memperkecilkan daya intelektual rakyat, merendahkan martabat akal rakyat. Ini DIAKUI sendiri oleh calon Timbalan Presiden tersebut.

Arakian, rakyat berbondong-bondong di bawah hanya melihat telatah dan kerenah kununnya pemimpin Umno ini berjuang untuk orang Melayu-mempertahankan Ketuanan Melayu.Maka, Melayu di bawah ini semakin 'layu' sebab peruntukan-peruntukan yang banyak dan berbilion itu rupanya pemimpin-pemimpin inilah yang berkuasa mengagih-agihkannya.

Mereka agihkan kepada kontraktor dan peniaga atau syarikat-syarikat besar yang kononnya boleh mengatasi masalah pengangguran TETAPI itu hanya cerita sedap di mulut.Prinsip kira-kiranya ialah "BERAPA SAYA PUNYA, BERAPA AWAK PUNYA?". Akhirnya yang sebenarnya turun ke akar umbi tidak sehabuk pun!!!

Harga barang tetap mahal, kos kehidupan tetap tinggi-nilai wang semakin mengecil. Tambah pula anak-anak dah jadi penganggur. Yang jadi PERWAKILAN, kutip duit dari calon tanpa kerja banting tulang. Mereka boleh duduk di lobi-lobi hotel & restoran-restoran mewah dari pagi sampai ke petang. Ketawa berdekah-dekah. Mewah! Mewah! Mewah!

Rakyat di bawah bergenang air mata mereka pula bersuka ria di atas kesengsaraan rakyat yang papa kedana!

Alkisah, kata yang empunya cerita-orang yang baik-baik dalam Umno tu bukalah mata. Bukalah mata hati. Lihatlah realiti. BERHIJRAHLAH seperti mana yang disarankan oleh Nabi SAW.

PKR menanti dengan tempikan suara rakyat-SUARA KERAMAT. Maka tempikan ini ditiupkan bagai sangkakala.Tatkala itu nanti, Malaysia akan dilanda Tsunami Kedua. Oleh itu wahai saudara-saudara ku di dalam Umno, BERHIJRAHLAH SEBELUM TERLAMBAT! AMIN.

Ali Rustam dilarang tanding No 2 Umno


Ketua Menteri Melaka, Datuk Mohd Ali Rustam dilarang bertanding jawatan timbalan presiden Umno hujung bulan ini selepas didapati melanggar peraturan pemilihan Umno.

Bagaimanapun, Mohd Ali tidak digantung keahliannya dalam Umno.

Dengan itu, pertandingan bagi jawatan tersebut kini menyaksikan persaingan satu lawan satu antara Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan Tan Sri Muhammad Muhd Taib.

Calon Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin juga didapati bersalah melanggar peraturan pemilihan parti, tetapi hanya diberi amaran.

Manakala seorang lagi calon Ketua Pemuda, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo pula didapati tidak bersalah.

Perkara itu diumumkan oleh Lembaga Disiplin Umno dalam sidang akhbar khas yang sedang berlangsung di ibupejabat Umno di ibunegara petang ini.

Mohd Ali dan Khairy didapati bersalah mengikut Perkara 10.1 Tataetika Ahli Umno yang membabitkan kesalahan pihak ketiga.

Perkara 10.1 itu berbunyi: Bilamana seseorang ejen, pelobi, pengurus kempen atau perayu undi itu didapati bersalah mana-mana melanggar peruntukan Tataetika Ahli Umno, maka Lembaga Disiplin bolehlah menganggap, setelah berpuashati daripada keterangan-keterangan dan/atau bukti-bukti yang dikemukakan kepadanya, bahawa prinsipal kepada ejen, pengurus kempen atau perayu undi itu turut sekali melakukan kesalahan-kesalahan di bawah Tataetika Ahli ini dan/atau mempunyai pengetahuan mengenai perihal kesalahan-kesalahan tersebut dan boleh mengambil tindakan menghukum prinsipal tersebut seolah-olah dia yang melakukan kesalahan tersebut bersama-sama dengan ejen, pelobi, pengurus kempen atau perayu undi tersebut.

Tiga ejen bersalah

Ekoran itu, Mohd Ali bertanggungjawab terhadap tindakan tiga ejennya yang didapati bersalah melakukan rasuah dan sogokan politik.

Mereka ialah Saadun Basirun, Rosli Hasan dan Zalina Ismail. Saadun dan Rosli adalah ahli jawatankuasa Umno bahagian Bukit Katil.Manakala Zalina adalah naib ketua Puteri Umno bahagian yang sama.

Berikutan itu, ketiga-tiga mereka digantung keahlian selama satu penggal atau tiga tahun berkuatkuasa 12 Mac lalu.

Pengerusi Lembaga Disiplin Umno, Tengku Ahmad Rithauddeen berkata siasatan telah dijalankan terhadap 29 orang.

Hasil siasatan tersebut, seorang - Mohd Ali Rustam - dilarang daripada bertanding, 10 orang lagi digantung keahlian selama tiga tahun, mulai 12 Mac, termasuk seorang ketua Pemuda Sabah, Datuk Japlin Akim @ Abd Hamid, dari bahagian Kota Belut.

Yang lainnya terdiri daripada ketua bahagian dan cawangan. Manakala empat orang diberi amaran termasuk Khairy.

Digantung keahlian

Khairy pula bertanggungjawab terhadap tindakan ejennya, tetapi Tengku Ahmad Rithauddeen enggan mendedahkan identitinya.

Bagaimanapun, katanya, kesalahan yang dilakukan oleh ejen Khairy itu tidak seberat kes yang membabitkan Mohd Ali.

Bagaimanapun, Khairy yang juga ahli Parlimen Rembau dibenarkan bertanding jawatan ketua Pemuda Umno hujung bulan ini.

Siasatan lembaga itu juga mendapati 14 orang lagi tidak bersalah, termasuk Dr Mohd Khir.

Beliau sebelum ini berdepan dengan dakwaan melakukan kesalahan rasuah/sogokan politik, tindak tanduk ejen dan dakwaan mengadakan majlis dan pertemuan.

Manakala yang lainnya yang turut didapati bersalah dan digantung keahlian ialah Ketua Umno bahagian Bandar Tun Razak, Datuk Mokhtar Samad dan Ketua Wanitanya, Salmah Pin.

Mokhtar digantung keahlian selama setahun manakala Salmah digantung keahlian selama tiga tahun, berkuatkuasa 12 Mac lalu.

Turut dikenakan tindakan ialah empat pemimpin dan ahli Umno Umno bahagian Paya Besar, Pahang. Mereka ialah ahli biasa Datuk Abdul Manan Ismail yang digantung keahlian selama setahun,kerana mengadakan majlis dan pertemuan serta membuat kenyataan akhbar.

Manakala tiga lagi pemimpin bahagian tersebut diberi amaran atas kesalahan yang sama, iaitu Timbalan Ketuanya, Datuk Md Sohaimi Mohamed Shah; Naib Ketua bahagian, Mohd Shohaimi Jusoh dan AJK bahagian, Mohd Zaili Besar.

Turut digantung keahlian Ketua Pemuda bahagian Maran, Pahang, Mohamad Najuib Mohamad Shahaimi (digantung tiga tahun mulai 13 Mac); Timbalan Ketua bahagian Kuala Krai, Kelantan, Amran Mat (digantung setahun mulai 12 Mac) dan ketua cawangan di Gua Musang, Mohd Zuki Mohd Zain (digantung setahun mulai 12 Mac).

Tidak bersalah

Manakala mereka yang didapati tidak bersalah ialah:

-Timbalan Ketua bahagian dan Ketua Pemuda bahagian Jerantut, Datuk Wan Amizan Wan Abdul Razak.

-AJK bahagian Hulu Terengganu, Mohd Nor Othman.

-Ketua bahagian Pendang, Datuk Paduka Md Rozai Shafian.

-Timbalan Ketua bahagian Pendang, Shamsuddin Tahir.

-AJK bahagian Pendang, Mohd Zaidi Othman.

-Ketua bahagian Pasir Mas, Hanafi Mamat.

-Timbalan Ketua cawangan (Pasir Mas), Shamsudin Che Hussein.

-Timbalan ketua cawangan (Pasir Mas), Saari Hassan.

-AJK bahagian Pasir Mas, Nor Azmawi Ab Rahman.

-Ketua Pemuda bahagian Kubang Kerian, Anuar Safian.

-Naib Ketua Pemuda bahagian Kubang Kerian, Bakri Yusoff.

-AJK bahagian Maran, Mohamad Shahaimi Othman.

-Penolong Bendahari Pemuda bahagian Johor Bahru, Mohd Shakir Abdul Rahman.

Sementara itu, Tengku Ahmad Rithuaddeen enggan mengulas ketika ditanya mengenai kedudukan Menteri Pelancongan, Datuk Azalina Othman Said.

Beliau juga tidak menyentuhkan tentang kedudukan Ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan, Datuk Norza Zakaria yang dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan politik wang minggu lalu.

Monday, March 16, 2009

PERSIAPAN PRK BUKIT SELAMBAU & BUKIT GANTANG

PERHUBUNGAN NEGERI
PKR Negeri Sembilan akan turut serta terlibat dalam Pilihanraya Kecil Dun Bukit Selambau dan Parlimen Bukit Gantang nanti.

Seramai 150 orang petugas yang akan bertugas secara bergilir terlibat dalam dua PRK ini bermula 27hb Mac hingga 7hb April 2009. Di Dun Bukit Selambau, pihak Pusat telah meletakkan kontingen Negeri Sembilan bertugas di kawasan Tasek Apong dan United Petani.

Kawasan Tasek Apong mempunyai 1,340 jumlah pengundi berdaftar yang terdiri 51.23% pengundi Melayu, 18.94% Cina dan 29.38% India manakala kawasan United Petani mempunyai 367 jumlah pengundi berdaftar yang terdiri 24.06% pengundi Melayu, 4.16% Cina dan 71.17% India.

Untuk rekod, kedua-dua kawasan ini telah dimenangi oleh PKR pada PRU 12 lalu.

Tuesday, March 10, 2009

RAIS YATIM JANGAN JADI SI KITUL!!!


Semua orang politik tahu siapa Rais Yatim. Orang juga tahu tujuan "Si Pembakar Jambatan" ini bercakap. Apabila nak bertanding Naib Presiden, dia mula meracau!

Orang tahu anak Minangkabau ini kalau tersepit dia terkeluar, bila terhimpit dia ke atas.Tapi ini falsafah lama. Politik lama-orang dah tak pakai. sekarang orang pakai politik baru. Soal politik lain cakap, lain buat dah basi. Agaknya dia nak jadi PEMBAKAR KAMPUNG pula. Kalau dah bakar jambatan, sekarang dia nak bakar hutan atau bakar kampung. Pepatah Arab kata "kalau nak terkenal, kencingkan perigi zam-zam." Inilah kerja si Rais!

Elok kita peringatkan dia ini. Jagalah Kementerian Luar tu elok-elok. Jawab dulu apa yang akhbar "Liberation" dari Perancis dakwa Malaysia. Akhbar tu tulis tentang berita Dato' Seri Najib makan malam di Paris dengan mendiang Altantuya!

Ini maruah Malaysia. Menteri Luar kena jawab. Kena jaga nama baik negara. Lebih-lebih lagi nama yang didakwa tu bakal Perdana Menteri!!!

Janganlah Rais sibuk-sibuk nak lagakan rakyat Malaysia-kononnya PR nak hapuskan kuasa Raja. PR nak raja kita raja kepada orang Malaysia, raja kepada orang Cina, raja kepada orang India dan lain-lain kaum di Malaysia.

Jangan sempitkan konsep Raja kita. Jangan jadi Si Kitul. Cukuplah sejarah Melaka yang rosak kerana pembesar-pembesar yang bodoh macam Rais! Kalau raja sebagai lambang kedaulatan orang Melayu, kenalah jaga kedaulatannya di kalangan bangsa asing. Janganlah jadi PEMBODEK yang umpama "gula...manis tapi bawa penyakit. Biar pahit tapi jadi ubat." Ingatlah kata-kata dalam Sejarah Melayu, "Raja adil, Raja disembah, Raja zalim Raja disanggah!".

Rais kalau nak menang Naib Presiden, carilah idea lain. Carilah jalan supaya Umno mendapat kepercayaan semula. Ada intergriti. Lepaskan daripada amalan politik wang. Kenapa tak cakap pasal politik wang? TAKUT???

Sebab di Jelebu, masa pemilihan bahagian pun 'berselumat' dengan politik wang agaknya. Jadi janganlah 'kokok berderai-derai, ekor bergelumang tahi'.

Rais jangan jaga 'lopak' orang. Kerja Menteri Dalam Negeri atau Menteri Undang-undang jangan campur. Kalau tak ada modal nak bercakap, JANGAN BERCAKAP! Duduk diam-diam. Orang tua jangan buat ragam, orang tua menahan ragam. Ikutlah cara bos lama tu-Tengku Razaleigh Hamzah. Janganlah menyelam teras terendam, takut-takut berdarah kepala nanti!

Kalau mencari tempat mandi,
Pertama teluk kedua pantai,
Ketiga pergi ke pantai landai...
Kalau mencari calon menteri,
Pertama elok kedua pandai,
Tapi janganlah memandai-mandai...


BIRO PENERANGAN
PKR NEGERI SEMBILAN

Friday, March 6, 2009

Kerajaan Kedah saman TV3

ALOR SETAR, 5 Mac (Hrkh) - Kerajaan Negeri Kedah memutuskan untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas TV3 ekoran stesyen penyiaran itu berterusan menyiarkan berita yang disifatkan sebagai bohong dan berniat jahat. Iklan

"Pagi ini saya diberitahu TV3 ulang lagi bahawa Exco derhaka angkat sumpah, ini satu kenyataan yang tidak betul. Kita tidak tahu siapa derhaka.

"Oleh kerana dah melampau sangat, saya sudah arah Dato' Penasihat Undang-undang Negeri mengambil tindakan undang-undang kepada TV3 dalam mesyuarat Exco tadi. Kerana dia ada 'mala fide' (berniat jahat) yang berterusan," tegas Menteri Besar, Dato' Seri Ustaz Azizan Abdul Razak pada sidang medianya selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri di Wisma Darul Aman, di sini semalam.

Ujarnya, pada majlis mengangkat sumpah Exco Kerajaan Negeri kelmarin, beliau telah pun menerangkan kepada media bahawa beliau masih menunggu nama Exco tersebut.

"Sebenarnya saya sudah terangkan semalam, kita sedang menunggu nama Exco yang dianggap menderhaka dan orang ramai pun tak ambil kisah sangat hal itu. Tuanku Sultan pun tidak ada apa-apa. Tuanku dengan sukacita melantik semua Exco. Jadi kalau sudah angkat sumpah depan Tuanku dan Tuanku pun telah perkenan tidak timbullah isu derhaka.

"Jadi kita nampak TV3 berniat buruk, berniat jahat maka wajarlah kerajaan negeri mengambil tindakan undang-undang ini. Jadi Penasihat Undang-undang Negeri akan ambil langkah yang perlu untuk itu," jelasnya ringkas.

Sebelum ini stesyen penyiaran yang sama telah beberapa kali ditegur Menteri Besar atas laporan-laporan mereka terhadap Kerajaan Negeri Kedah. Antaranya berkenaan penutupan Tabika Kemas, perlantikan Pengarah Eksekutif Kumpulan Taman Teknologi Tinggi Kulim, penggunaan payung kuning di raja dan jet eksekutif, pembalakan di sekitar kawasan tadahan air dan penternakan babi di Bukit Selambau. - azm_

Thursday, March 5, 2009

Akhbar: Najib jumpa Altantuya di kelab


Sebuah akhbar Perancis mendakwa timbalan perdana menteri pernah bertemu mangsa bunuh Altantuya Shaariibuu di sebuah kelab di Paris pada 2005 bersama Abdul Razak Abdullah Baginda.

Dalam laporan Liberation hari ini, Datuk Seri Najib Razak didakwa pernah bergambar bersama mereka berdua, yang didakwa pasangan kekasih, bertentangan dengan penafian tokoh politik itu sebelumnya.

Timbalan perdana menteri menafikan pernah mengenali atau bertemu wanita Mongolia itu yang mati dibunuh di sebuah belukar di Shah Alam.

Beliau juga pernah bersumpah mengenali wanita itu sewaktu diserang hebat oleh pembangkang pada pilihanraya kecil Permatang Pauh, Ogos tahun lepas.

Keputusan kes bunuh tersebut yang melibatkan dua anggota pasukan elit Unit Tindakan Khas (UTK) akan diketahui awal bulan depan.

Abdul Razak, yang sebelum ini dituduh bersekongkol dengan anggota polis itu, dibebaskan daripada pertuduhan tersebut.

Selain cerita sensasi ini, wartawan Liberation turut mendedahkan saat-saat akhir kematian Altantuya berdasarkan dokumen yang didakwa diperolehi daripada polis Malaysia.

Arnaud Dubus (gambar) melaporkan, Altantuya ditembak di sebelah pipi kiri dan kemudian pakaian mangsa ditanggalkan dan kemudian mayatnya dibungkus dalam beg plastik hitam.

Altantuya ditembak sekali lagi apabila tangannya dilihat masih bergerak.

Dubus, wartawan Perancis yang berpangkalan di Bangkok, juga berhasrat mendedahkan pembunuhan wanita itu - berhubung komisyen pembelian kapal selam untuk Kementerian Pertahanan - dalam projek bukunya akan datang.

Majlis Makan Malam Bersama DSAI: BERSATU KE ARAH PERUBAHAN.





Walaupun hujan turun dengan lebat pada malam tersebut,ia bukan menjadi faktor penghalang kepada kejayaan Majlis Makan Malam bersama DSAI. Lebih 1200 orang jemputan telah hadir dengan semua meja makan penuh. Tema majlis iaitu "BERSATU KE ARAH PERUBAHAN" bagaikan telah menarik semangat jemputan yang terdiri daripada pelbagai kaum memenuhi dewan makan di Restoran Dragon Oakland,Seremban 2.

90% jemputan yang hadir terdiri daripada kaum Tionghua telah cukup menerbitkan riak gembira di wajah Dato' Seri Anwar Ibrahim. Sambutan yang hebat ini jelas membuktikan kaum Tionghua telah memberi sokongan padu kepada Parti Keadilan Rakyat. Ia secara tidak langsung telah berjaya mengubah persepsi kaum Tionghua bahawa PKR adalah parti untuk rakyat Malaysia dan bukan parti Melayu.

Majlis makan malam ini turut dihadiri oleh barisan Adun-adun PKR dari kaum Tionghua iaitu YB William Leong, YB Tang Sai Ng, YB Chua Tian Chua, YB Tan Tee Beng dan YB Chai Tong Chai. Hadir bersama Pengerusi Perhubungan Negeri, Dato' Kamarul Baharin Abbas, Ketua Bahagian Rasah Hj Kamel Muhammad Yassin, Setiausaha Perhubungan Negeri Sabaruddin Mohd Yassim dan Pengelola Majlis, saudara Edwin Lim Khoon Seng.Jemputan kenamaan lain yang turut hadir ialah Adun Lobak YB Anthony Look, Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan saudara HJ Zulkifly Omar.

Suasana majlis turut dimeriahkan dengan persembahan tarian naga. Dato' Seri Anwar juga berkenan menerima Memorandum Penternak Khinzir Bukit Pelandok yang diserahkan oleh Adun Chuah, YB Chai Tong Chai. Beliau juga turut berkenan menandatangani gendang Cina sumbangan PKR Negeri Sembilan untuk kumpulan persembahan tarian naga malam itu.

Kejayaan majlis makan malam ini telah memberi gambaran yang baik kepada PKR dan ia akan mencetuskan impak yang positif kaum Tionghua dari segi sokongan khususnya untuk pilihanraya akan datang.

ADUN Ampangan Selamat Menjalani Pembedahan


YB RASHID LATIFF

ADUN Ampangan, YB Rashid Latiff atau panggilan mesranya Cikgu Rashid telah selamat menjalani pembedahan jantung pada 2 Mac 2009 Isnin lalu. Pembedahan tersebut bermula jam 8.00 pagi dan berakhir jam 12.30 tengahari di Institut Jantung Negara (IJN).

Cikgu Rashid berada dalam keadaan stabil dan sihat. Bersama-samalah kita mendoakan kesihatan beliau dalam keadaan yang sempurna dan cergas meneruskan khidmat kepada rakyat.

Perhimpunan Gerakan Mansuhkan PPSMI

Wednesday, March 4, 2009

Pilihanraya kecil Batang Ai 7 April


Pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Ai, Sarawak akan diadakan serentak dengan dua lagi pilihanraya kecil di Perak dan Kedah pada 7 April ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan tarikh tersebut untuk kerusi parlimen Bukit Gantang dan DUN Bukit Selambau.

Dalam pengumuman Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof (gambar) di Kuching hari ini, tarikh penamaan calon juga ditetap bersama dengan dua pilihanraya kecil di Semenanjung itu, 29 Mac.

Pilihanraya kecil itu dipanggil berikutan kematian penyandangnya, naib presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) Datuk Dublin Unting pada 24 Februari lalu akibat serangan angin ahmar.

Tuesday, March 3, 2009

Sekitar Majlis Makan Malam Bersama DSAI



TV3: Pembohongan terkini, fitnah sensasi

Ahmad Tajdid
Tue | Mar 03, 09 | 10:56:33 am MYT
SEMUANYA seperti tidak masuk akal... Bagaimana sebuah stesen penyiaran yang mendakwa sebagai 'market leader' dalam kelompoknya boleh melayan isu picisan tanpa sebarang merit dan kredibiliti. Iklan

Itulah TV3... Stesen penyiaran milik tidak langsung Umno yang bertemakan "Berita Terkini, Hiburan Sensasi".

Sudah hampir seminggu stesen penyiar swasta itu memainkan isu 'ucapan derhaka' seorang ahli Exco Kerajaan Negeri kepada Sultan Kedah kononnya. Maklumat berhubung perkara itu diterima oleh Pemuda Umno negeri khususnya Setiausaha pergerakan itu melalui satu surat layang.

Hanya berdasarkan surat layang itu, TV3 becara bersungguh-sungguh menyiarkan protes Pemuda Umno negeri dan memberikan liputan meluas siri-siri protes itu di rancangan Buletin Utama - program berita waktu puncak TV3.

Apa yang melucukan, hingga saat ini Pemuda Umno negeri dan TV3 gagal mendedahkan butiran spesifik tuduhan mereka. Terbukti Pemuda Umno tidak mempunyai apa-apa untuk didedahkan kecuali sehelai surat layang - tanpa nama, tanpa alamat, tanpa kredibiliti dan tanpa akauntabiliti.

Seperti kata Menteri Besar Kedah, sesiapa sahaja boleh menulis surat layang termasuk Pemuda Umno negeri sendiri.

"Mungkin dia jumpa (surat layang itu) di pasar, orang buang dia ambil, dia tu pula tak ada kerja, dia pun cakap pasai nota tu. Jadi macam mana pulak dia pergi ambil benda yang tak ada sebarang kualiti dimasuk dalam berita dan TV3 pun siar sekali. Tak tahu nak bezakah di antara dialog ni; dua orang bercakap, di mana dialog (itu)?

"Ni cakap-cakap seperti ini dia ada 'malafide' (niat jahat), dia berniat buruk untuk memfitnah sebuah kerajaan dan mengheret Tuanku Sultan dalam kes ini. Kita dukacitalah, patutnya bagi profesional sikitlah dalam hal ini. Sebab itu kita minta polis buat siasatan, orang yang buat laporan ini dia dapat dari mana (nota itu)?

"Mungkin dia sendiri yang buat dia kata orang kata (dibuat pihak lain), mungkin. Benda ni tak layanlah, benda ni kerja budak-budak!" tegas Ustaz Azizan pada sidang media selepas merasmikan Majlis Dialog Industri Dan Program Pembangunan Industri Halal Nasional Peringkat Negeri Kedah di Dewan Majlis Bandaraya Alor Setar, 28 Februari lalu.

Sambil menyifatkan Pemuda Umno sebagai 'gembala kerbau' kerana hanya tahu berbuat bising, Ustaz Azizan tidak menolak kemungkinan bahawa isu itu sengaja dibangkitkan sebagai persediaan Umno berhadapan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Bukit Selambau, 7 April ini.

Sebenarnya ini bukan kali pertama TV3 menyiarkan berita bohong tentang kerajaan negeri Kedah. Tentu kita masih ingat menjelang sambutan Jubli Emas pemerintahan Sultan Abdul Halim, TV3 telah menyiarkan berita kononnya Menteri Besar Kedah berbelanja mewah kerana menyewa jet eksekutif dalam urusan rasmi. 'Footage' menunjukkan kelibat Ustaz Azizan memasuki pesawat tersebut disiarkan berulang kali oleh TV3.

Tanpa disedari, Ustaz Azizan sebenarnya hanya mengiringi kerabat Diraja Kedah menyampaikan jemputan kepada Sultan Brunei untuk hadir ke majlis sambutan Jubli Emas pemerintahan Sultan Abdul Halim. Maksudnya, program itu adalah urusan rasmi istana Kedah dan Ustaz Azizan cuma melaksanakan 'Urusan Diraja'. Maka jelas fitnah yang dilemparkan TV3 itu telah mencemarkan imej istana Kedah khususnya Sultan Abdul Halim.

Diberitakan 'orang kuat' TV3 terpaksa menghadap Sultan Kedah memohon ampun atas keterlanjuran laporan itu. Bagaimanapun hanya beberapa bulan selepas memohon ampun, TV3 kembali mengamalkan tabiat buruk melaporkan pembohongan dan fitnah terhadap kerajaan negeri.

Ustaz Azizan menyifatkan isu terbaru yang dimainkan TV3 dan dilakonkan Pemuda Umno negeri itu sebagai tindakan mencari publisiti murahan dan kebudak-budakan serta berniat jahat.

"Kerana kerja tu kerja tak ada asas, kalau ada asas tak apa juga. Ini tak ada tandatangan, yang tak ada tandatangan tu dia pergi cakap. TV3 Kuala Lumpur pun tak layan dah (kerja macam ini), TV3 Kedah saja layan; tak berapa cerdik, buat rugi masa saja," bidas beliau.

Menurut Ustaz Azizan, Tuanku Sultan pun tahu yang buat kerja ni orang bodoh.

"Tuanku tak layanlah, kalau orang cerdik Tuanku layanlah. Orang bodoh nak layan buat apa, kalau kita layan orang bodoh kita pun bodoh macam dia juga.

"Tambah budak-budak (Pemuda Umno), susu mak dok ubuh di mulut lagi tu, baru habis susulah orang kata, baru berhenti menyusu saja. Biarlah... budak-budak.

"Hari tu dia (Pemuda Umno) melompat di Parlimen, kepung Karpal Singh. Tempik macam nak runtuh Parlimen tu, Karpal Singh jentik pun tidak. Patutnya jatuh Karpal Singh tu (dikerjakan mereka). Ini (buat) bising macam gembala kerbau!" sindir beliau disambut gelak ketawa wartawan yang hadir.

Buat masa ini TV3 akan terus memperlihatkan kebodohannya untuk memperbodohkan orang kampung. Isu tanpa kredibiliti akan terus dimainkan asalkan kerajaan negeri Pakatan Rakyat dapat diburuk-burukkan.

Pembohongan akan terus dilaporkan dan fitnah akan terus menerus disensasikan walaupun tanpa sebarang bukti dan fakta. Etika kewartawanan sebenarnya telah lama dilacurkan stesen TV itu.

Elok rasanya TV3 menukar 'tagline'nya kepada "Pembohongan Terkini, Fitnah Sensasi".

Monday, March 2, 2009

Sidang tergempar DUN Perak sah, diadakan esok - Speaker

Harakahdaily
Mon | Mar 02, 09 | 9:13:22 am MYT
IPOH, 2 Mac (Hrkh)-Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak V. Sivakumar berkata sidang tergempar Dewan itu esok adalah sah dan akan diadakan seperti yang telah ditetapkan. Iklan

Sivakumar berkata beliau dengan pakar undang-undang perlembagaan telah meneliti peruntukan Undang-undang Tubuh dan Perintah-perintah Tetap Perak dan mendapati beliau mempunyai kuasa untuk memanggil sidang tergempar itu.

"Saya dimaklumkan dengan jelas oleh pakar-pakar perlembagaan bahawa memanggil persidangan Dewan secara tergempar adalah terletak dalam ruang lingkup bidang kuasa Speaker," katanya yang dipetik daripada laporan agensi berita.

Beliau diminta mengulas kenyataan Setiausaha DUN Perak Abdullah Antong Sabri semalam yang mengatakan Speaker DUN Perak tidak boleh memanggil satu sidang tergempar Dewan itu kerana tindakan itu tidak sah dan tidak boleh diadakan tanpa mendapat perkenan Sultan Perak Sultan Azlan Shah.

Setiausaha DUN Perak itu juga berkata mengikut Perintah Tetap Dewan Negeri (PT) 8(1) yang perlu dibaca bersama-sama dengan Perkara XXXVI(1) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan berkehendakkan perkenan Tuanku Sultan untuk memanggil apa-apa sidang Dewan Negeri sama ada dalam keadaan biasa atau tergempar.

Sivakumar sebaliknya menegaskan Abdullah tidak mempunyai kuasa untuk menafsir Perintah Tetap Dewan Negeri (PT) dan sebaliknya kewajipan beliau (Abdullah) adalah hanya untuk mematuhi perintah dan arahan Speaker serta menjalankan tugas seperti yang termaktub dalam PT.

Speaker DUN Perak itu berkata Abdullah telah membuat tafsiran yang salah ke atas PT kerana PT 8 (1) jelas menyatakan notis bertulis menarik perhatian kepada pemasyhuran memanggil Dewan adalah tidak diperlukan, sebaliknya hanya memerlukan notis memanggil Dewan bersidang dikeluarkan dengan seberapa segera.

"Artikel 36 (1) Undang-undang Tubuh Negeri Perak pula hanya digunapakai untuk permulaan sesuatu sesi Dewan ataupun apabila Dewan bermula selepas sesi itu tamat. Artikel ini tidak boleh digunapakai dalam keadaan setelah Dewan ditangguhkan dan dipanggil semula untuk bermesyuarat dalam sesi yang sama," katanya.-azm _