Wednesday, June 26, 2013

Anwar dilantik semula sebagai ketua pembangkang Parlimen

Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini dilantik semula sebagai Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat bagi Parlimen ke-13.
Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia yang mengumumkan perkara itu, berkata pelantikan Anwar yang juga Anggota Parlimen Permatang Pauh, dibuat mengikut Peraturan Mesyuarat 4A(3).
"Mengikut maklum balas yang saya terima, saya berpuas hati bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim sebulat suara mendapat sokongan daripada anggota parlimen pembangkang di Parlimen untuk dilantik sebagai Ketua Pembangkang," katanya pada persidangan Dewan Rakyat di sini.
Anwar pertama kali dilantik sebagai Ketua Pembangkang pada sidang Parlimen ke-12 selepas menang pada pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh pada 2008.
Sehari selepas pilihan raya umum ke-13 (PRU13) Mei lalu, Penasihat DAP Lim Kit Siang (DAP-Gelang Patah) dilapor menyatakan pembangkang bersetuju mengekalkan Anwar untuk mengetuai pakatan pembangkang di Parlimen, walaupun DAP memenangi lebih banyak kerusi parlimen berbanding parti sekutunya.
Selepas PRU13 pakatan pembangkang menduduki 89 daripada 222 kerusi di Dewan Rakyat iaitu DAP 38, PKR 30 dan PAS 21 kerusi. - Bernama, 26 Jun, 2013.

No comments: