KUALA
LUMPUR 1 April: Jika Turki yang tiada sesen pun hasil minyak mampu
memberi pendidikan percuma kepada rakyatnya, tiada sebab Malaysia yang
mencatat untung RM90 bilion setahun dari sumber petroleum tidak berupaya
melakukan kebajikan sama.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata Recep Tayyib
Erdogan memberi pendidikan percuma kepada rakyat dari peringkat rendah
hingga universiti walaupun baru tiga tahun memerintah Turki.
“Bila kita sebut mansuh PTPTN, isu utama yang harus difokus ialah
pendidikan percuma untuk semua rakyat terutama golongan miskin. Bukan
isu nak pindahkan wang Petronas bayar PTPTN.
“Prinsip asasnya ialah pendidikan percuma dari peringkat rendah
hingga ke universiti,” katanya pada dialog bertajuk ‘Pemberdayaan
Kebajikan dan Ekonomi Rakyat’ anjuran Pejabat Penasihat Ekonomi Selangor
di Subang Jaya 31 Mac lalu.
Beliau mengakui PTPTN adalah isu paling popular yang diaju kepadanya termasuk di facebook dan twitter.
Walaupun PTPTN dimansuh, Anwar berkata, Pakatan Rakyat memberi
jaminan tidak akan membuang kakitangan di perbadanan itu kerana mereka
akan diserap ke Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi.
“Walaupun pegawai ramai, kita juga tetap pastikan khidmat atau mutu kerja mereka bertambah baik untuk rakyat,” katanya.
Mengenai pemberian 20 peratus royalti minyak kepada Sabah, Sarawak,
Terengganu dan Kelantan seperti yang termaktub dalam Buku Jingga, Anwar
berkata ia tidak akan menjejaskan negeri lain.
Ini kerana, katanya, 80 peratus hasil minyak itu mampu menampung
perbelanjaan negara dengan memastikan royalti diurus mengikut pengurusan
yang baik.
“Keutamaan royalti 20 peratus difokus kepada golongan miskin. Apabila
kita menyebut kemiskinan ia merangkumi sama ada Melayu, Dayak, Iban,
Kadazan, Cina dan India.
“Pada masa sama, kita memperketat prosedur kewangan selain
pengurusannya dijalankan individu yang bertanggungjawab, amanah dan
berintegriti,” katanya.
No comments:
Post a Comment