Thursday, February 23, 2012

Tanpa diplomatik, bagaimana wujud hubungan dagang Israel?

KUALA LUMPUR 23 Feb: NGO Jingga 13, membidas kenyataan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir bahawa Malaysia tidak menjalinkan hubungan diplomatik dengan Israel.

Menyifatkan kenyataan itu sebagai hipokrit, Penyelaras Jingga 13, Fariz Musa mempersoalkan bagaimana kapal berkenaan dibenar memasuki Malaysia, jika tiada sebarang hubungan diplomatik.

“Bagaimana urus niaga dan dagangan besar melalui syarikat perkapalan milik Israel sewenangnya menjalankan eksport dan import tanpa interaksi dua negara,” soalnya dalam kenyataan hari ini.

Mengenai kenyataan Mukhriz bahawa kapal Israel berlabuh di Malaysia untuk tujuan perdagangan dengan syarat anak kapal yang memegang pasport Israel dilarang mendarat, Fariz berkata itu bukan isu utama.

“Isunya ialah wujud hubungan dagang Malaysia-Israel,” tegasnya.

Sehubungan itu beliau mendesak Muhkriz mendedahkan polisi kerajaan yang membenarkan syarikat Israel berdagang ke Malaysia.

“Kuasa menentukan kehadiran kapal-kapal serta urusan perdagangan dan perniagaan dengan Israel itu adalah di bawah Kerajaan Umno-BN.

Kerajaan Israel memegang 98 peratus saham dalam Zim Integrated Shipping Ltd

“Kerajaan Umno-BN adalah menentu samada membenar atau tidak membenarkan kapal-kapal itu ke semua pelabuhan termasuk di Sabah dan Sarawak,” tegasnya.

Kenyataan Mukhriz juga katanya bertentangan dengan pengurusan Westports, Pelabuhan Klang yang menyatakan kehadiran kapal berkenaan hanya untuk ‘singgah’ ke pelabuhan itu.

“Satu kenyataan melucukan kerana JINGGA 13 mempunyai dokumen yang disahkan Kastam DiRaja Malaysia, di mana wujud aktiviti mengeksport kayu balak menggunakan kapal-kapal Israel pada 16 Februari.

“Kami menyaksi bagaimana kontena -kontena ZIM turun dan dinaikkan ke kapal-kapal milik Zim Integrated Shipping Ltd.

“Malah lebih menyedihkan, ia berlayar terus dari Haifa, Israel ke Pelabuhan Klang,” katanya.

No comments: