Monday, January 9, 2012

PERHIMPUNAN AMAN 901: SYARAT DIBERIKAN SELEPAS RUNDINGAN DAN MUAFAKAT

Sebagai salah seorang dari pimpinan parti yang sama-sama berunding
dengan pegawai tertinggi PDRM Kuala Lumpur, saya menegaskan pendirian
KEADILAN bahawa muafakat yang dicapai dalam mesyuarat pada hari
Jumaat, 6 Januari 2012 tidak menyentuh syarat-syarat yang diberikan
oleh PDRM kemudiannya.

Malah, 10 syarat tersebut hanya dimaklumkan kepada KEADILAN melalui
Saudara Shamsul Iskandar Mohd Akin selepas ia diedarkan kepada pihak
media melalui satu surat sahaja. Tandatangan yang dirujuk oleh pihak
PDRM adalah tandatangan Saudara Shamsul mengesahkan beliau ada
menerima surat tersebut. Ia bukanlah tandatangan menyetujui
syarat-syarat seperti digambarkan oleh sesetengah pihak.

Walaupun pihak PDRM ada menyuarakan beberapa perkara mengenai kawalan
orang ramai dan keselamatan dalam perbincangan tempoh hari, saya
tegaskan tidak ada sebarang persetujuan mengenai syarat-syarat khusus
kerana pimpinan PDRM Kuala Lumpur berpuas hati dengan penerangan
KEADILAN.

Oleh yang demikian, kami tetap dengan keyakinan bahawa perhimpunan
aman ini akan berjalan dengan aman tanpa perlunya syarat-syarat yang
dikemukakan pihak polis.
KEADILAN menggesa rakyat Malaysia yang cintakan keadilan untuk hadir
menyuarakan sokongan dan solidariti kepada Dato' Seri Anwar Ibrahim
dan usaha mengembalikan integriti kepada sistem kehakiman negara.

N SURENDRAN
Naib Presiden KEADILAN

8 Januari 2012

No comments: