Tuesday, December 9, 2008

Penyerahan Memorandum "Memartabatkan Daulat Raja-raja Melayu"







Satu sambutan sempena menyambut kepulangan DYMM Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Jaafar ibni Tuanku Abdul Rahman dan DYMM Tuanku Permaisuri Yamtuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Ampuan Najihah telah diadakan oleh lebih 300 orang ahli Parti Keadilan Rakyat Negeri Sembilan di Kompleks Terminal Bunga Raya VVIP, KLIA pada 6hb Disember 2008 jam 9 malam.

Sambutan tersebut telah diketuai oleh Tuan Hj. Muhammad Kamel Yassin(Ketua Bahagian Rasah)yang turut disertai oleh Setiausaha Perhubungan Negeri,Sabaruddin Mohd Yassim, Ketua Bahagian Rembau merangkap ahli MPT, Badrul Hisham Shaharin,YB Chai Tong Chai(ADUN Chuah),YB Rashid Latiff (ADUN Ampangan),YB Aminuddin Harun (ADUN Sikamat) dan YB Ravi Munusamy (ADUN Port Dickson).

Pada sambutan itu juga,Baginda Tuanku telah berkenan menerima "Memorandum Menyokong Kedaulatan Dan Kekebalan Raja-Raja Melayu Dikembalikan" yang telah diserahkan oleh Tuan Hj Muhammad Kamel Yassin.

Penyerahan memorandum tersebut adalah rentetan daripada titah anakanda baginda, YAM Tunku Naquiyuddin Ibni Tuanku Jaafar yang telah bertitah supaya kekebalan raja-raja dikembalikan demi kedudukan dan kedaulatan raja-raja melalui Ceramah Jamuan Tengahari Diraja yang diadakan di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Memorandum ini juga adalah kesinambungan daripada ucapan dasar Presiden Parti Keadilan Rakyat, Dato' Seri Wan Azizah Wan Ismail dalam Kongres Nasional kelima lalu yang telah menyatakan kesediaan untuk mengembalikan kekebalan raja-raja Melayu yang berteraskan semangat Raja Berpelembagaan.

Malah Ketua Umum Parti Keadilan,Dato' Seri Anwar Ibrahim di dalam ucapan penutup Kongres Nasional itu juga turut menyatakan kedaulatan dan immuniti Raja-raja Melayu hendaklah dikembalikan semula kepada raja-raja.

Parti Keadilan Rakyat Negeri Sembilan telah merintis jalan pembuka bagi mendaulatkan kuasa Raja-raja sebagaimana saranan Presiden PKR dan Ketua Umum tersebut. Semoga PKR negeri-negeri lain akan menuruti langkah ini demi menjayakan saranan Presiden dan Ketua Umum PKR.

DAULAT TUANKU!
MEMORANDUM MENYOKONG KEDAULATAN DAN KEKEBALAN RAJA-RAJA MELAYU DIKEMBALIKAN


Ampun Tuanku,

Bahawa patik Muhamad Kamel bin Yassin mewakili rakyat anak watan Negeri Sembilan Darul Khusus menjunjung kasih mengucapkan selamat kembali ke tanah air dan sayugia hendaknya DYMM Tuanku bersama DYMM Tuanku Permaisuri sentiasa di dalam lindungan dan rahmat Allah s.w.t.

Daulat Tuanku,

Mohon dirafa’kan sembah bahawa kami rakyat yang bernaung di bawah payung kebesaran DYMM Tuanku menyokong sepenuhnya titah anakanda tuanku YAM Tunku Naquiyuddin Ibn Tuanku Ja’afar melalui Ceramah Jamuan Tengahari Diraja di Kuala Lumpur baru-baru ini. YAM Tunku Naquiyuddin bertitah supaya Kekebalan Raja-raja dikembalikan demi kedudukan dan kedaulatan Raja-raja.

Mohon patik menyatakan di dalam Kongres Kali Kelima Parti Keadilan Rakyat di Shah Alam pada 28hb November 2008 yang lalu, Presiden Parti Keadilan Rakyat Dato’ Sri Wan Azizah Dato’ Wan Ismail melalui ucapan dasarnya telah menyatakan kesediaan untuk mengembalikan kekebalan raja-raja Melayu yang berteraskan semangat Raja Berpelembagaan.

Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat Dato’ Sri Anwar Ibrahim di dalam ucapan penutup Kongres Parti Keadilan Rakyat itu turut menyatakan kedaulatan dan imminuiti Raja-raja Melayu hendaklah dikembalikan semula kepada baginda Raja-raja.

Ampun Tuanku,

Demi mengembalikan kedaulatan dan kebesaran Raja-raja Melayu patik bersama sekelian hamba rakyat Negeri Sembilan Darul Khusus mohon perkenan ke bawah duli Tuanku untuk menggerakkan usaha mengembalikan kekebalan dan kedaulatan Raja-raja seluruhnya sesuai dengan konsep Raja Berpelembagaan.

Kami hamba rakyat tuanku mohon ampun dan maaf di atas segala kekurangan, dan menjunjung kasih di atas kesudian DYMM Tuanku mencemar duli menerima warkah ini.

DAULAT TUANKU.

Muhamad Kamel bin Yassin PJK. PMC.
Tarikh : 6 hb Disember 2008

No comments: