Wednesday, December 31, 2008

Memori Pertemuan Terakhir Yamtuan Tuanku Jaafar



Pada 24hb Disember 2008/Rabu lalu, Almarhum Tuanku Jaafar ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman telah berkenan menerima rombongan mengadap oleh wakil-wakil Parti Keadilan Rakyat Negeri Sembilan.

Susulan daripada sambutan meriah oleh wakil-wakil PKR Negeri Sembilan keberangkatan pulang Baginda dari luar negara pada 6hb Disember 2008 di Kompleks Terminal Bunga Raya, KLIA, Tuanku Baginda telah berbesar hati menjemput kesemua ADUN dan Ahli Parlimen PKR Negeri Sembilan mengadap baginda di Istana Hinggap, Seremban.

Rombongan mengadap ini diketuai oleh Ahli Parlimen Telok Kemang merangkap Pengerusi Perhubungan Negeri, YB Dato' Kamarul Baharin Abbas dan disertai oleh YB Rashid Latiff (ADUN Ampangan), YB Aminuddin Harun (ADUN Sikamat), YB Chai Tong Chai (ADUN Chuah) dan YB M. Ravi (ADUN Port Dickson).Turut mengiringi rombongan ini adalah Sabaruddin Mohd Yassim selaku Setiausaha Perhubungan Negeri dan Haji Muhammad Kamel Yassin (Ketua Bahagian Rasah).

Jemputan mengadap oleh Tuanku Baginda terlalu istimewa dan cukup menarik kerana ia adalah kehendak peribadi Baginda yang ingin bertemu dan beramah mesra dengan wakil-wakil PKR negeri.

Layanan istimewa Tuanku Baginda pada petang itu telah menunjukkan Yang Dipertuan Besar telah memberi sokongan moral kepada PKR negeri.

Bagaimanapun, takdir Ilahi telah menentukan segalanya. Selang beberapa hari selepas pertemuan mesra itu, Tuanku Baginda telah mangkat pulang ke rahmatullah. Agak mengharukan kerana Almarhum Tuanku bagaikan telah mengetahui saat pemergian Baginda.Hajat Tuanku Baginda untuk bertemu mata dengan wakil-wakil PKR negeri telah dapat dipenuhi.

Semoga roh Almarhum Tuanku Baginda dirahmati Allah SWT. Daulat Tuanku!

Sembah Takzim Dari Telok Kemang


Dato’ Kamarul Baharin Bin Abbas serta seluruh Warga Telok Kemang ingin melafazkan ucapan sembah ta’zim dan setinggi-tinggi tahniah di atas pemasyhuran DYMM Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir sebagai Yang Di Pertuan Besar Negeri Sembilan yang ke 11.

Semoga dengan perlantikan DYMM Tuanku sebagai Yang Di Pertuan Besar Negeri Sembilan yang ke 11 akan membawa Negeri Sembilan amnya dan Telok Kemang khasnya ke arah kemajuan dan kesejahteraan yang berpanjangan.

Sembah ta’zim dari:
DATO’ KAMARUL BAHARIN BIN ABBAS
Ahli Parlimen Telok Kemang

Tuesday, December 30, 2008

Tunku Mukhriz dimasyhur Yang Dipertuan Besar yang baru


Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Mukhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir telah dimasyhurkan sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan yang ke-11.

Pemasyhuran tersebut berlangsung di Balairung Seri, Istana Besar Seri Menanti pada kira-kira jam 3.50 petang ini.

Pemasyhuran itu dibuat oleh Undang Luak Sungai Ujong Datuk Klana Petra Datuk Mubarak Dohak, dan disiarkan secara langsung oleh RTM.

Tunku Mukhriz, 59, dilantik sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, berikutan kemangkatan Tunku Jaafar Tuanku Abdul Rahman Sabtu lalu.

Tunku Mukhriz dipilih daripada empat orang calon. Tiga lagi ialah Tunku Laxamana Tunku Naquiyuddin Tuanku Ja'afar, Tunku Muda Serting Tunku Imran Tuanku Ja'afar and Tunku Panglima Besar Tunku Putera Nadzaruddin Tuanku Ja'afar.

Baginda merupakan satu-satunya putera kepada Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Munawir Ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman (1960-1967).

Tunku Mukhriz merupakan calon Yang Dipertuan Besar bagi menggantikan ayahandanya , selain Almarhum Tuanku Ja’afar dan Tuanku Abdullah, namun baginda tidak dipilih atas alasan usia yang terlalu muda ketika itu iaitu 18 tahun.

Pemilihan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan diputuskan oleh Undang Yang Empat iaitu Undang Luak Sungai Ujong, Undang Luak Johol, Undang Luak Jelebu dan Undang Luak Rembau.

Pemilihan itu adalah mengikut garis panduan dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri.

Sementara itu, istiadat pemakaman jenazah Almarhum Tuanku Ja'afar ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman akan dijalankan selepas solat Asar hari ini.

Sementara itu, Bernama melaporkan, Tuanku Muhriz menerima pendidikan awal di Sekolah Menengah King George V, Seremban dan meneruskan pengajiannya di Aldenhem School, United Kingdom.

Tuanku Muhriz memperoleh Sarjana Muda Undang-undang dari University College of Wales, Aberystwyth, United Kingdom.

Tuanku Muhriz merupakan putera tunggal daripada enam putera serta puteri Almarhum Tuanku Munawir Tuanku Abdul Rahman dan Tunku Ampuan Durah Binti Tuanku Besar Burhanuddin.

Tuanku Muhriz mendirikan rumahtangga dengan Tengku Datuk Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud dari Terengganu dan mempunyai tiga putera iaitu Tunku Ali Redhauddin Muhriz, 31, Tunku Zain Al-‘Abidin Muhriz, 26, dan Tunku Alif Hussein Saifuddin Al-Amin, 23.

Pada 1967, Tuanku Ja'afar yang juga ayahanda saudara tiri Tuanku Muhriz, dilantik oleh Undang sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan ke-10, memandangkan usia Tuanku Muhriz yang masih muda pada ketika itu, selepas kemangkatan ayahanda baginda, Tuanku Munawir Tuanku Abdul Rahman.

Tuanku Muhriz adalah seorang ahli perniagaan

Penghormatan Terakhir Daripada PKR Negeri Sembilan




Parti Keadilan Rakyat Negeri Sembilan diketuai oleh Pengerusi Perhubungan Dato' Kamarul Arifin Abas disertai lain-lain pimpinan Bahagian melakukan Ziarah/Penghormatan terakhir pada jam 1.30 tengahari semalam (Ahad) kepada Almarhum Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Ja'afar ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman di Dewan Balai Rong Seri, Istana Besar Seri Menanti. Istiadat pemakaman jenazah Almarhum Baginda akan diadakan hari ini (Isnin) selepas solat asar.

Saturday, December 27, 2008

Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan mangkat.


Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tunku Jaafar Tuanku Abdul Rahman mangkat di Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) pada kira-kira pukul 11.45 pagi ini. Baginda berusia 86 tahun.

Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Norzam Mohd Nor yang membuat pengumuman itu di HTJ berkata Almarhum baginda berada dalam keadaan tidak sihat pagi ini selepas mengadu sakit kepala dan tidak selesa.

"Baginda mengadu kurang sihat dan sakit kepala pada pukul 8.10 pagi dan pihak HTJ telah dihubungi dan dua Pakar Perunding Kanan HTJ, Datuk Dr Tarmizi Thayaparan dan Datuk Dr K. Sree Raman telah bergegas ke Istana Hinggap di Seremban untuk memberikan rawatan kepada Tuanku,' kata beliau dalam sidang akhbar khas mengumumkan kemangkatan baginda di Bilik VIP HTJ hari ini, lapor Bernama.

Turut hadir ialah anggota kerabat diraja Negeri Sembilan, Ketua Polis Negeri, Datuk Osman Salleh dan Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Zainal Arifin Omar.

Norzam berkata ketika dua pakar itu tiba di Istana Hinggap pada jam 8.25 pagi, keadaan baginda terlalu lemah walaupun sedar dan selepas melihat keadaan itu, dua pakar berkenaan mengesyorkan supaya baginda di bawa ke HTJ untuk rawatan segera.

"Berdasarkan itu, baginda telah dibawa ke HTJ dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) dan pelbagai usaha telah dilakukan oleh doktor pakar termasuklah memberi rawatan kecemasan.

"Saya ingin memaklumkan di sini bahawa Tuanku Ja'afar telah mangkat pada pukul 11.45 pagi di HTJ," katanya.

Sehubungan itu, beliau memaklumkan bahawa jenazah Almarhum baginda akan dibawa pulang ke Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah petang ini untuk majlis penghormatan terakhir serta menunggu kepulangan anakanda baginda yang masih berada di luar negara.

Berkabung 40 hari

Katanya jenazah Almarhum baginda akan ditempatkan di Dewan Balairong Seri, Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah untuk penghormatan terakhir daripada kerabat Diraja, pemimpin dan orang ramai. Istiadat pengebumian jenazah Almarhum baginda akan diadakan pada hari Isnin selepas solat asar.

Sehubungan itu, Norzam berkata tempoh berkabung berikutan kemangkatan baginda ialah selama 40 hari, bermula hari ini.

"Semua premis termasuk pejabat kerajaan dan bangunan hendaklah mengibarkan bendera negeri separuh tiang dalam tempoh tersebut. Dalam tempoh berkabung itu juga, semua kakitangan kerajaan dikehendaki memakai songkok berlilit putih manakala wanita memakai lilitan putih di lengan.

"Semua majlis rasmi kerajaan akan ditangguh dalam tempoh tujuh hari. Premis pusat hiburan dan aktiviti keraian juga hendaklah ditangguhkan selama tujuh hari bermula hari ini,' katanya.

Katanya Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan yang kini bercuti di London telah dimaklumkan mengenai kemangkatan Tuanku Ja'afar pagi ini dan dijangka tiba di sini pada jam 10 pagi esok.

Friday, December 26, 2008

Notis Board AMK Pusat.

PILIHANRAYA KECIL PARLIMEN KUALA TERENGGANU

SEMUA AHLI AMK DIMINTA BERURUSAN DENGAN KETUA AMK NEGERI UNTUK URUSAN PENGINAPAN DAN PEMBAHAGIAN TUGAS @ HUBUNGI TIMBALAN KETUA AMK TERENGGANU, SDR. MUZAFEQ (019-9922270)


31 Dis 2008

Pelancaran Bilik Gerakan AMK Malaysia, DUN Ladang, K.T’ganu jam 5.00 petang
Ceramah ‘Di Ambang 2009′ di Bilik Gerakan AMK, DUN Ladang. K.T’ganu jam 9.00 malam

Wednesday, December 24, 2008

Umno mengkhianati saya..., kata Zahar

dipetik daripada Malaysiakini.com
Bekas ketua bahagian Umno Petaling Jaya Selatan, Datuk Zahar Hashim berkata, beliau tidak mengkhianati Umno, tetapi sebaliknya Umno yang mengkhianatinya.

“Orang Melayu hanya mendapat projek yang kecil sahaja kerana projek besar diberi kepada kroni yang boleh memberi wang semula kepadanya,” katanya.

Zahar berkata, beliau tidak kesal meninggalkan Umno kerana orang Melayu meluat dengan kepimpinan termasuk di Selangor.

“Bagaimana Tan Sri Muhammad Muhd Taib boleh menjadi menteri, ketua penerangan Umno dan Senator, tidak ada orang lain lagikah yang layak.

“Para pemimpin Umno sudah tidak ada kualiti, orang yang terlibat dengan politik wang, boleh menjadi menteri,” katanya.

Zahar berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyerahkan borang keahliannya untuk menyertai PAS dalam satu majlis di sebuah hotel di Ampang hari ini.

Zahar (foto, tengah) digantung jawatan ketua Umno bahagian awal bulan ini kerana mengkritik pemimpin utama Umno, termasuk mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan timbalannya Datuk Seri Najib Razak menyalahgunakan kuasa dalam satu pertemuan dengan ketua-ketua bahagian di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Beliau mendakwa, Muhd Taib bersama tujuh atau lapan ketua Umno bahagian di Selangor telah menemui Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, meminta supaya beliau (Muhd Taib) dilantik sebagai ketua perhubungan Umno baru Selangor, menggantikan Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo.

Tak calon Mat Taib

Zahar mendakwa, Muhd Taib telah menyalahkan Dr Mohd Khir di atas kekalahan teruk (Barisan Nasional) di Selangor.

"Hubungan saya dengan Tan Sri Muhd Taib sudah renggang," katanya.

Beliau mendakwa, satu ketika dulu, beliau yang mempertahankan Muhd Taib apabila menteri besar Selangor ketika itu, meminta Tan Sri Muhd Taib tidak dicalonkan bertanding dalam pilihanraya.

Zahar juga mendakwa, banyak kesilapan yang dilakukan oleh Muhd Taib dalam Umno.

"Kerana itu, bahagian saya - Petaling Jaya Selatan (PJS) - tidak mencalonkan beliau (Muhd Taib) untuk bertanding jawatan timbalan presiden Umno.

"Dia (Muhd Taib) marah saya kerana saya bercakap bahagian PJS tidak akan mencalonkan beliau, semasa berada di rumah Muhd Taib," katanya.

Sebab itulah, dakwa Zahar, Muhd Taib mensabotaj mesyuarat Pemuda Umno PJS, tetapi beliau tidak mengulas lanjut mengenainya.

Ketika diminta mengulas tawarannya pejabatnya kepada PAS, Zahar berkata, bangunan tersebut adalah miliknya.

Serah pejabat Umno

Beliau mendakwa kesemua pekerja di pejabat Umno bahagian tersebut, juga turut menyertai PAS bersamanya.

"Setiap hari, sekurang-kurang terdapat lima orang pekerja di pejabat tersebut," tambahnya.

Kini, katanya, pejabat tersebut telah menjadi pejabat PAS dan pekerja PAS juga akan turut ditempatkan di situ.

Mengenai dakwaannya bahawa 28 ketua cawangan dan 13 ahli jawatankuasa Umno bahagian turut menyertai PAS, Zahar berkata, Umno PJS kini berdepan dengan masalah besar ekoran tindakan mereka itu.

Kira-kira 70 orang menghadiri majlis tersebut, dan sebahagian daripadanya difahamkan adalah ketua cawangan dan AJK berkenaan.

Zahar juga meminta ahli-ahli PAS di kawasan berkenaan supaya jangan memandang serong niatnya untuk menyertai PAS.

"Niat saya adalah untuk membantu parti (PAS) dan orang-orang Melayu, khususnya di Petaling Jaya Selatan," katanya.

Pada masa ini, katanya, Umno PJS memberi sumbangan bulanan sebanyak RM150 seorang kepada orang miskin di kawasan tersebut, selain bantuan makanan seperti gula, beras dan minyak.

Zahar berkata memandangkan beliau yang membiayai sumbangan dan bantuan tersebut, maka ianya akan diteruskan walaupun beliau kini bersama PAS.

Isu Eurocopter

Ditanya mengapa beliau memilih PAS, Zahar berkata: "Ia kerana PAS adalah satu-satunya parti (orang) Melayu".

Ditanya mengapa beliau bertindak meninggalkan Umno selepas mendapat kemewahan dari parti tersebut, Zahar berkata: "Mula-mula saya masuk parti (Umno), saya sudah pun ada sebuah kereta mercedes".

Mengenai kes Eurocopter, Zahar berkata beliau mahu mendedahkan lebih banyak bukti mengenai penyelewengan kes Eucopter tetapi sukar berbuat demikian kerana ia membabitkan pegawai kementerian pertahanan dan kementerian kewangan.

"(Bagaimanapun) saya juga tidak tahu adakah kandungan pendedahan tersebut tertakluk dengan Akta Rahsia Rasmi (OSA)," tambahnya.

Zahar berkata, beliau adalah jurucakap kepada tiga syarikat yang memasuki tender untuk mendapatkan kontrak tersebut.

“Mereka anggap saya jurucakap kerana mereka tidak berani bersuara. Kita marah kerana penender membayar RM1 juta untuk memasuki tender, sedangkan kerajaan telah menetapkan syarikat yang memperolehi tender tersebut,” katanya.

Zahar berkata, keputusan kerajaan menangguhkan pembelian Eurocopter semata-mata untuk mengaburi mata orang ramai.

Zahar sertai PAS, kempen di KT


dipetik daripada Malaysiakini.com
Bekas ketua bahagian Umno Petaling Jaya Selatan, Datuk Zahar Hashim - yang mendedahkan isu pembelian helikopter Eurocopter - secara rasmi menyertai PAS hari ini.

Beliau telah menyerahkan borang keahliannya kepada Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa (foto, kanan) di satu majlis yang diadakan di sebuah hotel di Ampang pagi ini.

Turut hadir pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Hasan Ali.

Zahar (foto, tengah) digantung jawatan ketua Umno bahagian awal bulan ini kerana mengkritik pemimpin utama Umno, termasuk mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan timbalannya Datuk Seri Najib Razak menyalahgunakan kuasa dalam satu pertemuan dengan ketua-ketua bahagian di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Dalam ucapannya di majlis tersebut, Zahar berkata, seramai 28 ketua cawangan, dan 13 ahli jawatankuasa bahagian berkenaan juga akan mengikut jejak langkahnya menyertai PAS.

Zahar juga menyumbangkan pejabat Umno bahagian - dipercayai milik beliau sendiri - kepada PAS kawasan tersebut.

Pejabat itu, yang telah ditutup selama tiga minggu, akan dibuka semula besok dan kakitangan di situ akan turut bekerja bagi pihak parti barunya.

Zahar berkata beliau akan bersama jentera PAS untuk membantu kempen pilihanraya kecil parlimen Kuala Terengganu, yang berlangsung antara 6 sehingga 17 Januari ini.

Tambahnya, beliau akan mula berkampung di kawasan itu sepanjang kempen mulai 5 Januari, sehari sebelum penamaan calon.

Kapten tentera bersara juga menafikan tindakan penggantungan yang diambil oleh Majlis Tertinggi Umno pada 2 Disember lalu sebagai punca yang menyebabkan beliau melompat parti.

PAS lebih baik...

Sejak keputusan pilihanraya umum 8 Mac lepas yang menyaksikan ketewasan besar BN di beberapa negeri termasuk Selangor, kata Zahar lagi, beliau bersama para penyokongnya sering memikirkan untuk meninggalkan Umno.

Dalam ucapannya, Zahar berkata, beliau tidak lagi menghormati pemimpin tertinggi Umno kerana keputusannya tidak mengambil kira kepentingan dan kehendak rakyat, khasnya orang Melayu.

Katanya, PAS dan Umno adalah sama tetapi PAS lebih baik dari Umno.

"Umno hari ini banyak berbeza dengan Umno yang saya sertai 26 tahun lalu," katanya.

Menurut Zahar lagi, tahun lalu beliau ditawarkan mengambil alih jawatan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, untuk menggantikan Tan Sri Onn Ismail yang uzur, tetapi beliau menolaknya.

"Saya tiga kali berturut-turut ditawarkan bertanding dalam pilihanraya umum, saya juga menolaknya kerana perlu memberi peluang kepada pemimpin lain di peringkat bahagian," katanya.

Sementara itu Nasharuddin ketika berucap di majlis tersebut berkata, program pertama Zahar sebagai ahli PAS ialah menemui presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Masjid Rusila dalam masa terdekat.

"Zahar sudah bersama kita sekarang sebagai jentera penggerak dan anggota parti untuk membela bangsa, agama dan negara.

Zahar ke KT

"PAS bergerak di Selangor kerana hendak melaksanakan perubahan untuk membela orang Melayu dan orang bukan Melayu," katanya.

Manakala Dr Hassan dalam ucapannya berkata, Zahar dan yang lain-lainnya menyertai PAS bukan untuk mendapat projek dan kekayaan.

Tetapi, katanya, mereka berbuat demikian untuk mendapatkan keredhaan Allah.

"Walaupun PAS kalah dalam pilihanraya, ahli PAS tetap bertambah. Kini sudah (mencecah) satu juta orang," katanya.

Dr Hassan juga berkata, Zahar akan turun ke Kuala Terengganu pada 5 Disember sehingga selepas pilihanraya kecil tersebut.

Tuesday, December 23, 2008

Mahfuz menang RM120,000 saman Utusan

dipetik daripada Malaysiakini.com
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini mengarahkan Utusan Melayu Bhd dan bekas ketua pengarangnya membayar RM120,000 kepada ahli parlimen Pokok Sena, Mahfuz Omar dalam kes saman fitnah yang difailkan oleh pemimpin PAS tersebut.

Mahfuz, selaku plaintif, menfailkan saman itu pada 2001 dengan menamakan ketua pengarang kumpulan akhbar berpengaruh Utusan Malaysia (ketika itu) dan penerbitnya sebagai defendan-defendan.

Dalam pernyataan tuntutannya, plaintif mendakwa defendan pertama telah dengan sengaja dan niat jahat membenarkan penerbitan dan percetakan kata-kata yang mengandungi unsur fitnah terhadap plaintif yang disiarkan dalam akhbar Mingguan Malaysia pada 3 Mac 2001.

Plaintif mendakwa penerbitan perkataan-perkataan itu menyebabkan dia menanggung malu dan menjejaskan kredibiliti di kalangan masyarakat.

Plaintif menuntut ganti rugi am, ganti rugi teladan, ganti rugi melampau dan mengarahkan defendan meminta maaf serta menarik balik tuduhan fitnah terhadapnya.

Defendan-defendan dalam pernyataan pembelaannya yang difailkan pada Mac 2002 pula menyatakan artikel "Demonstrasi Mahfuz isytihar bersama Keadilan" yang disiarkan itu adalah benar dari segi kandungan dan fakta dan menafikan bahawa ia bersifat fitnah.

Monday, December 22, 2008

KT: PAS umum calon 1 Januari

dipetik daripada Malaysiakini.com
PAS akan hanya mengumumkan calonnya untuk bertanding dalam pilihanraya kecil Parlimen Kuala Terengganu, pada 1 Januari depan di Stadium Negeri di Kuala Terengganu.

Pada mulanya, PAS dijangka mengumumkan nama calonnya hari ini, selepas Barisan Nasional (BN) mengumumkan semalam pemilihan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh untuk bertanding dalam pilihanraya kecil tersebut.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata pada masa ini, parti itu telah menentukan calonnya itu, yang merupakan seorang profesional dan berjiwa rakyat, lapor Bernama.

"Kita sudah ada calon...dalam poket saya, Insya-Allah...tunggu 1 Januari depan (kita umumkan)," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat khas Jawatankuasa PAS Pusat di Pusat Tarbiyah PAS Kuala Terengganu hari ini.

Turut hadir Timbalan Presiden PAS Nasharuddin Mat Isa dan Ketua Pemuda PAS Salahuddin Ayub.

Abdul Hadi berkata calon yang akan diketengahkan oleh PAS itu merupakan seorang yang lebih layak daripada calon yang ditampilkan oleh Barisan Nasional (BN).

Beliau berkata calon PAS itu adalah individu yang mempunyai ketokohan daripada pelbagai aspek dan yakin akan dapat diterima oleh pengundi di kawasan Parlimen Kuala Terengganu.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pemilihan Wan Ahmad Farid Wan Salleh sebagai calon BN.

Ditanya mengapa PAS mengambil masa yang lama untuk mengumumkan calonnya berbanding BN, Abdul Hadi berkata PAS tidak mahu terikut-ikut dengan cara BN dan tidak tergesa-gesa untuk berbuat demikian.

"Tidak lama, penamaan calon pun lambat lagi (6 Januari)," katanya dan menurutnya kelewatan pengumuman calon itu tidak akan meresahkan penyokong PAS kerana pada masa ini mereka begitu bersemangat menjalankan tanggungjawab dalam menghadapi pilihanraya kecil itu.

Abdul Hadi berkata dengan pemilihan calonnya itu, PAS yakin dapat merampas kerusi parlimen berkenaan, tambahan pula kawasan tersebut merupakan antara kubu kuat parti berkenaan.

Mengenai calon PAS sama ada penduduk setempat atau Naib Presidennya, Mohamad Sabu seperti yang dicadangkan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Abdul Hadi berkata: "(Sama ada) Mat (Mohamad) Sabu, Nasharuddin atau Salahuddin...1 Januari."

Mengenai pemilihan Wan Ahmad Farid sebagai calon BN, Abdul Hadi berkata perkara itu terserah kepada BN untuk menilai calon mereka sendiri.

"Kita tidak perlu komen (Wan Ahmad Farid sebagai calon), itu hak BN. Yang pasti, kita akan lawan (calon BN)," katanya.

Beliau juga berpuas hati dengan persiapan jentera pilihanraya PAS dan parti komponen Pakatan Rakyat dalam menghadapi pilihan raya kecil itu.

Dalam pilihanraya umum Mac lalu, calon BN Allahyarham Datuk Razali Ismail menewaskan Mohamad Sabu dan calon Bebas, Maimun Yusuf dengan majoriti 628 undi.

Sementara itu, Pengarah Jentera Pilihanraya Kecil PAS Terengganu, Datuk Wan Abdul Muttalib Embong berkata pihaknya akan mencadangkan kepada PAS pusat untuk mengumumkan nama calon lebih awal.

Beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu, berkata ini bagi memudahkan jentera pilihan raya membuat perancangan serta strategi dalam usaha menarik sokongan pengundi di kawasan berkenaan.

Blog Rasmi ADUN Ampangan & Buletin Labu.

Seiring dengan kepesatan dunia IT, sebuah blog rasmi ADUN Ampangan iaitu YB Rashid Latiff telah diwujudkan. Ia juga merupakan satu anjakan daripada YB Rashid untuk mendekati rakyat dan saluran penyampaian maklumat berkenaan usaha, sumbangan dan gerak kerja yang beliau jalankan di kawasan beliau.

Untuk melawat ruangan blog beliau, sila layari ke: http://rashidlatiff.blogspot.com/
Segala informasi berkenaan dengan beliau ada dipaparkan di dalam blog ini.

PKR Dun Labu juga tidak ketinggalan dalam menyebarkan maklumat penting dan berguna kepada penduduk sekitar Dun Labu. Sebuah blog rasmi yang berbentuk online newsletter iaitu Buletin Labu telah diterbitkan oleh Unit Dun Labu. Buletin ini memaparkan isu semasa yang berlaku di sekitar Dun Labu.

Buletin ini juga diterbitkan setiap hari Khamis. Untuk melawat dan mendapatkan maklumat semasa berkenaan di Dun Labu, sila layari: http://buletinlabu.blogspot.com/

Friday, December 19, 2008

Minyak turun 10 sen lagi selepas mogok nelayan


dipetik daripada Malaysiakini.com
Kabinet bersetuju menurunkan lagi harga diesel bersubsidi sebanyak 10 sen kepada RM1.20 seliter bermula 1 Januari bagi meredakan tuntutan 20,000 nelayan yang mogok baru-baru ini, kata menteri pengangkutan.

Datuk Ong Tee Keat, yang juga presiden MCA, mengumumkan perkara itu di kementeriannya di Putrajaya selepas mesyuarat kabinet hari ini.

Kerajaan mulai Selasa menurunkan harga minyak bersubsidi kepada RM1.30 daripada RM1.43 seliter tetapi ia tidak dapat memuaskan hati para nelayan.

Kumpulan 24 persatuan nelayan mulai semalam hanya memberhentikan tindakan mogok ke laut, yang dilancarkan 12 Disember, selepas dua pemimpin MCA bersedia memperjuangkan tuntutan itu di mesyuarat jemaah menteri, pagi ini.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Ong Ka Chuan dan Menteri Kesihatan, Datuk Tiow Tiong Lai berjanji membangkitkan isu mereka selepas mmengadakan pertemuan dengan persatuan-persatuan nelayan itu awal minggu ini.

Mogok itu di tujuh negeri itu, yang digerakkan oleh Persatuan Nelayan Selangor dan Perak, menuntut kerajaan menurunkan minyak bersubsidi sehingga RM1.

Thursday, December 18, 2008

Presiden Reformis rasmi dipecat!


dipetik daripada Malaysiakini.com
Majoriti exco Gerakan Reformasi Rakyat Malaysia (Reformis) – popular dengan ugutan untuk berdemonstrasi bogel – telah menggugurkan presiden penajanya Ramlan Abu Bakar.

Timbalan presiden Badrul Hisham Mohd Hanafiah memberitahu Malaysiakini, keputusan itu dicapai dalam mesyuarat khas lapan orang exco semalam.

Surat rasmi mereka kepada Ramlan dikirim melalui pos tengah hari ini.

Badrul Hisham menambah, mesyuarat itu juga memutuskan untuk melantiknya sebagai pemangku Reformis sehingga suatu tarikh yang ditetapkan kemudian.

Mereka juga memutuskan melarang Ramlan menggunakan nama organisasi tersebut dalam segala kegiatannya dan kenyataan kepada media.

Budaya konsumer punca kemelesetan ekonomi!


Hishamuddin Rais | Dec 11, 08 7:01pm
Hari ini kita terus membaca dan diberitahu bahawa dunia kapitalis sedang dilanggar krisis yang maha besar. Krisis ekonomi yang sebesar ini belum pernah dialami oleh dunia kapitalis selama 200 tahun. Krisis kali ini lebih buruk daripada zaman kemelesetan tahun 1929.

Kita hanya membaca zaman kemelesetan pada 1929 di Amerika Syarikat. Kita tidak mengalaminya. Kita mengetahui hanya melalui surah sejarah, tidak lebih dari itu. Apa yang kita lihat hanyalah gambar-gambar hitam putih tentang zaman itu.

Apa yang kita hayati hanyalah filem-filem yang cuba menggambarkan suasana dan drama di zaman itu. Zaman kemelesetan besar di Amerika Syarikat berlaku 80 tahun dahulu.

Lapan puluh tahun dahulu Tanah Melayu masih bawah penjajah Inggeris. Getah baru sahaja sampai dari Brazil pada 1902. Sistem ekonomi kapitalis belum melebar.

Jual-beli duit ringgit belum menjadi budaya. Malah banyak warga langsung tidak memiliki duit. Bertukar-tukar barangan masih lagi budaya ekonomi. Masyarakat konsumer yang kita lihat di sekeliling kita hari ini masih belum wujud.

Rumah kita di kampung memakai lampu damar, kita memasak dengan kayu dan mengambil air dari perigi. Kita ke sawah setahun sekali. Di pekan, lampu jalan memakai lampu minyak pam.

Kereta satu benda yang ajaib – kalau bernasib baik kereta melintasi kampung kita – kita berkumpul berkerumun untuk melihatnya.

Saya sendiri belum wujud pada 1929. Apa yang saya tulis ini hanyalah menyambung surah daripada arwah ibu dan ayah saya.

Zaman itu telah lama berakhir. Hari ini kita melihat zaman itu sebagai Zaman Dahulu, kita panggil zaman ini Zaman Lampau atau Zaman Tok Kaduk. Apakah ini tepat?

Sebelum menjawab soalan itu, kita wajib melihat apakah budaya yang sedang kita anuti hari ini.

Untuk ujian pertama, sila buka almari kain baju dan lihat berapa banyak kain baju yang terkumpul dan tidak pernah kita usik-usik. Malah kita terlupa bahawa kita memiliki kain baju ini. Kemudian sila pandang rak kasut. Berapa banyak kasut yang terkumpul?

Jika kain baju bergantang-gantang dan kasut semakin membusut, maka tandanya kita sedang menghayati dan merayakan budaya konsumerisme – budaya yang lahir daripada sistem ekonomi kapitalis.

Budaya konsumer ini telah sampai ke tahap akhiran kerana sistem ekonomi kapitalis tidak lagi berkemungkinan untuk berkembang melainkan menguncup dan akhirnya meleset.

Jangan dengar cakap-cakap para politikus yang memerintah. Mereka sedang berbohong. Kerja dan tugas mereka hanyalah berbohong dan menipu. Jangan percaya bahawa kita semua selamat daripada krisis ekonomi ini.

Jangan percaya bahawa ekonomi Malaysia kukuh. Tidak mungkin kalau semua negara dalam dunia ini telah mengakui bahawa negara mereka sedang menghadapi krisis, mana mungkin hanya Malaysia terselamat! Ini mustahil.

Jaminan politik ini pembohongan. Ia betul-betul macam penafian bahawa Najib Razak tidak mengenal Altantuya Shaariibuu. Bohong.

Fakta: Amerika Syarikat rakan niaga terpenting Malaysia telah memasuki zaman meleset bukan pada 2008 tetapi tahun lalu lagi. Inilah fakta rasmi kerajaan Amerika Syarikat. Negara Iceland telah jatuh muflis.

Tiga syarikat kereta yang terbesar di dunia – Ford, General Motors dan Chrysler – telah jatuh muflis.

Di United Kingdom, syarikat kereta Vauxhall menjalankan dasar “beli satu kereta, dapat satu percuma”. Ini kerana tidak ada lagi orang yang ingin membeli kereta. Di Malaysia pada ketika ini kita boleh beli kereta tanpa duit pendahuluan.

Trend ini hanya permulaan. Akan sampai masanya apabila kereta dari kilang Proton akan tinggal terbengkalai. Satu demi satu bank besar dan syarikat kewangan gergasi tutup kedai.

Harga minyak sawit kita telah jatuh. Harga minyak mentah telah juga jatuh. Bila harga minyak sawit dan harga mentah jatuh, ertinya pendapatan negara kita kurang. Tahun lalu indeks komposit bursa saham Kuala Lumpur naik hingga ke 1,300 mata. Lupa?

Bukankah Abdullah Ahmad Badawi berasa amat bangga dan mengeluarkan kenyataan bahawa ekonomi kita cermerlang, gemilang dan terbilang?

Hari ini indeks komposit hanya di takuk 800 mata. Bukankah ini tanda penunjuk bahawa ekonomi kita sedang merundum? Apakah kalau indeks naik maknanya ekonomi baik - jika indeksnya turun, tidak ada seorang menteri yang mengeluarkan kenyataan seolah-olah mereka semua telah jadi rabun dan buta.

Tahun hadapan kita akan diamuk lagi. Krisis luaran ini badainya akan sampai. Seperti ombak tsunami – ia bermula di Wall Street New York. Limpahan ombak tsunami ini akan sampai enam bulan kemudian ke Malaysia. Ombak ini pasti akan datang tahun hadapan.

Apakah kita semua sedar bahawa nilai ringgit kita telah jatuh. Maknanya, kalau dulu kita boleh membeli kapal selam dari Perancis dengan harga 10 ringgit sebuah. Hari ini kapal selam yang sama harganya menjadi 12 ringgit.

Duit ringgit rupanya dan warnanya tidak berubah. Apa yang berubah ialah nilainya. Titik sebenar pertanyaan: apakah ada jalan untuk menghadapi krisis ini?

Pasti ada. Sebelum ombak krisis ekonomi ini menggelora sampai kita wajib menilai kembali budaya konsumer yang kita rayakan. Budaya ini ialah budaya pembaziran yang sedang membawa laknat kepada umat manusia.

Kita wajib kembali melihat bumi ini sebagai rahmat untuk kita bercucuk tanam. Tidak ada jalan lain kecuali kita menghidupkan tanaman yang boleh kita makan. Bukan menanam getah atau sawit untuk dieksport agar negara dapat membeli kapal selam. Ini kerja bodoh.

Di Amerika Syarikat dan di Eropah – berjuta-juta buruh telah mula kehilangan pekerjaan. Apabila mereka hilang kerja, mereka tidak ada duit. Apabila mereka tidak ada duit, mereka tidak membeli barang.

Apabila mereka tidak membeli barang – kilang kita yang membuat barang akan ditutup sama. Apabila kilang kita ditutup, kita pula hilang pekerjaan dan kita pula tidak ada duit. Beginilah lingkaran setan dalam sistem global ekonomi kapitalis.

Lingkaran setan ini dapat kita putuskan jika kita kembali berbakti kepada bumi. Bumi bukan untuk diruntuh-rantahkan. Bumi tempat kita bercucuk tanam dan memakmurkan tanaman untuk makanan.
Kita wajib memisahkan diri kita daripada terjerut dalam sistem global ekonomi kapitalis yang memaksa kita menjadi konsumer.

Bernoktahlah sebentar dan lihat kembali Zaman Tok Kaduk dahulu. Tidak ramai yang memiliki duit dan ringgit. Mereka bertukar tenaga bantu-membantu, bergotong-royong. Mereka hidup bukan sebagai konsumer. Mereka hidup sebagai manusia.

Kini telah muncul kembali di banyak tempat di Amerika Syarikat dan di Eropah di mana warga-warga menolak pengunaan duit rasmi dan menggunakan duit mereka sendiri. Ia diamalkan untuk memastikan mereka tidak terperangkap dalam ekonomi konsumer.

Mereka menjalankan perniagaan tukar-menukar. Mereka mahu menjadi manusia yang merdeka bebas daripada belenggu sistem ekonomi kapitalis.

Satu perkara yang wajib kita semua sedari. Pada tahun tahun 1930-an, apabila ekonomi Amerika Syarikat dan Eropah meleset, apa yang muncul? Perang Dunia Kedua bermula. Dalam sistem ekonomi kapitalis, perang adalah jalan pintas untuk kaum pemodal menjual barangan mereka.

Dalam masa yang sama perang akan memusnahkan apa yang telah mereka buat. Buat, kemudian musnahkan. Buat lagi, dan musnahkan lagi. Ini cara untuk memastikan kilang akan terus bergerak.

Perang menjanjikan industri senjata berkembang. Industri senjata adalah satu-satunya industri yang menjadi pasak dan menjana ekonomi sistem kapitalis. Dalam perang, kemusnhan akan berlaku. Kapal terbang hancur, kereta kebal musnah, peluru dan bom diletupkan – semua ini perlu diganti dan dibuat lagi.

Industri perang adalah industri terbesar - numero uno - untuk Amerika Syarikat. Negara ini, atau lebih tepat Wall Street, sarang kaum pemodal multinasional berkumpul dan merancang.

Pada ketika ini, di kilang-kilang industri perang sedang menggunung dengan peralatan senjata yang belum terjual atau belum musnah.

Justeru, kemungkian perang besar akan bemula tidak boleh diketepikan. Sejarah telah menunjukkan apabila kaum pemodal dilanggar krisis, maka tidak dapat tidak mereka akan merancang perang.

Perang di Iraq, di Afghanistan, Kosovo, Somalia dan di Sudan ini masih belum mencukupi untuk memusnahkan senjata-senjata yang telah sedia dibuat. Kerana itu perang wajib diluaskan ke Iran, Pakistan dan India.

Apa yang berlaku di Mumbai baru-baru ini adalah sebahagian daripada perancangan perang yang lebih luas.

Bernoktahlah sebentar dan mari kita melihat diri kita sendiri. Apakah kita telah terperangkap dalam sistem dan budaya yang dimunculkan secara terancang oleh kaum pemodal internasional?

Apakah kita diperangkap untuk terus menjadi hamba sebagai pengguna dan konsumer untuk membeli barangan yang kini telah menyempit bilik kita sendiri?

Jawapannya – sila buka kembali almari kain baju dan lihat apa yang ada di dalamnya. Jawapannya di hadapan mata.

Wednesday, December 17, 2008

Kempen Rayuan : Bantu mereka kembali ke sekolah dengan senyuman




Dalam keadaan kita memilih antara beg biru atau beg hitam.....antara kasut Bata atau kasut canggih ...itu suasana yang selalu kita lihat anak - anak kita...atau anak kenalan kita yang diketahui .....persoalan yang sering timbul hanya memilih jenama atau warna pakaian atau peralatan untuk kembali ke sekolah.
Namun pada masa yang sama terlalu ramai sebenarnya yang terpaksa memilih untuk menggunakan beg plastik ke sekolah, menjahit kasut dan pakaian lama untuk melangkah semula ke alam persekolahan. Malah ada yang masih berkongsi kegusaran ibu bapa atau bagi yang yatim mungkin nenek mereka untuk bagaimana hendak membayar Yuran ketika sekoilah dibuka nanti.........


Permainan lama kadang kala menyemakkan... lontarkan sahaja ke dalam stor atau mungkin ada yang dibuang begitu sahaja.
Yakinlah setiap permainan yang kita atau anak kita sudah bosan dan buang sahaja tetapi mungkin boleh membawa senyuman kepada wajah anak - anak miskin dan yatim yang sudah lama tidak tersenyum atau bayangkan gelak tawa mereka apabila mendapat permainan terpakai anda kerana selama ini mereka hanya bermain periuk lama di dapur mereka.


Menyedari dan menginsafi perkara ini keADILan Rembau melancarkan dua kempen
Rayuan : Bantu mereka kembali ke sekolah dengan senyuman
Para dermawan boleh menyumbangkan buku, peralatan sekolah, buku, pakaian sekolah terpakai (yang masih elok) ataupun menyatakan kesanggupan untuk menaja yuran sekolah. Semua sumbangan ini akan disalurkan kepada anak - anak yatim dan miskin dalam Parlimen Rembau dan jika ada lebihan akan dikongsi dengan mereka yang kurang bernasib baik di tempat - tempat lain. Jika penyumbang berminat boleh turun sampaikan sendiri atau wakilkan kepada kami.
Permainan lama , senyuman bermakna
Kumpulkan segala permainan lama anda yang masih elok untuk kami kumpulkan dan sampaikan kepada anak-anak yatim dan miskin.

Cara sumbangan
Sumbangan barangan boleh di bungkus dalam kotak atau plastik dengan di labelkan "Sumbangan anak yatim/miskin keADILan Rembau" dan boleh dihantar di pusat pungutan kami seperti di bawah:

Ibu Pejabat Parti Keadilan Rakyat
A-1-09, Merchant Square, Jalan Tropicana Selatan 1
47410 Petaling Jaya
Malaysia.


Parti KeADILan Rakyat Negeri Sembilan, 433, Tingkat 2,Jalan Tuanku Antah, 70100Seremban, Negeri Sembilan Darul Khusus.

Pusat Khidmat Rakyat keADILan Rembau, Taman Seri Rembau (atas mini Market Jalil), Rembau

atau hubungi Azizi 0123696474 untuk koordinasi sumbangan.


Kempen ini akan dilancarkan dengan penyerahan bantuan kepada 15 anak yatim/ miskin pada 19 Disember, 10 pagi di Pejabat Perhubungan keADILan N.Sembilan. Bantuan awal ini adalah hasil sumbangan jawatankuasa bahagian Rembau sendiri.

DUN Selangor siasat jutaan wang Balkis.


dipetik daripada Malaysiakini.com
eksklusif Satu siasatan awam akan diadakan terhadap sumbangan kepada Badan Amal dan Kebajikan Isteri-isteri Selangor (Balkis) yang disalurkan oleh enam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri
sewaktu pemerintahan Barisan Nasional.

Siasatan awal Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat), Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor mendapati ada "kes-kes yang memerlukan siasatan lanjut".

Anggota Selcat, Haniza Mohd Talha (gambar) berkata siasatan awal jawatankuasa itu mendapati terdapat sumbangan wang yang besar kepada badan itu setiap bulan.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Taman Medan berkata, nilai transaksinya ada yang mencecah sehingga RM1 juta setahun sejak penubuhan Balkis pada 1985.

Beliau bagaimanapun enggan menyerahkan butiran syarikat dan jumlah sumbangan tersebut.

Isu Balkis mencetuskan kontroversi apabila wang milik badan itu, dilapor dipindahkan ke satu akaun lain sebaik sahaja negeri itu jatuh ke tangan Pakatan Rakyat pada pilihanraya umum 8 Mac lepas.

Yang dipertuanya Zaharah Kechik, yang juga isteri bekas menteri besar Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo, dilaporkan memanggil mesyuarat tergempar Balkis pada 11 Mac untuk membubarkannya dan menutup akaun sehari kemudian.

Wang itu, dilaporkan berjumlah RM9.9 juta, telah disalurkan ke sebuah akaun lain sebelum diserahkan kepada Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-isteri Menteri (Bakti), sebuah gabungan badan-badan amal isteri wakil rakyat BN di peringkat negeri-negeri.

'Hadiah mahal'
Ketika dihubungi Malaysiakini, Haniza berkata, terdapat sumbangan yang perlu disiasat seperti peruntukan membeli pakaian, pakaian sukan dan "hadiah yang mahal-mahal".

Sehubungan itu, katanya, beberapa pegawai tertentu daripada kesemua enam GLC di Selangor akan dipanggil memberi keterangan bagi membantu siasatan awam tersebut.

Sekarang Selcat dalam proses menyediakan soalan bagi siasatan itu, kata Haniza, yang juga naib ketua Wanita PKR.

Tambahnya, siasatan itu dijangka diadakan awal tahun depan atau paling lewat sebelum pertengahan 2009.

Haniza menjelaskan, siasatan awal memakan kira-kira lapan bulan kerana Selcat tidak dibenarkan melihat akaun Balkis.

"Jadi, kita terpaksa semak (satu persatu) akaun GLC di seluruh Selangor," katanya.

Mengikut undang-undang pendaftaran pertubuhan, tambah Haniza, hanya penjawat badan itu sahaja dibenarkan mengakses akaun Balkis.

Wakil rakyat itu bagaimanapun menegaskan, Selcat tiada sebarang kuasa pendakwaan jika ada pihak yang didapati bersalah.

"Jika cukup bukti, perkara itu akan dikemukakan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) dan polis," katanya.

Jawatankuasa khas Selcat ditubuhkan tahun ini bagi memantau selia dan memeriksa keupayaan, kebertanggungjawaban dan ketelusan dalam segala urusan pentadbiran kerajaan Selangor.

Speaker DUN Teng Chang Khim bertindak sebagai pengerusi badan itu.

Selain Haniza, jawatankuasa itu dianggotai lima lagi ahli DUN – Mohamed Azmin Ali (PKR-Bukit Antarabangsa), Saari Sungib (PAS-Hulu Kelang), Edward Lee Poh Lin (DAP-Bukit Gasing), Sulaiman Abdul Razak (BN-Permatang) dan Ismail Sani (BN-Dusun Tua).

Tuesday, December 16, 2008

Pembangkang sokong SPRM dengan syarat

dipetik daripada HarakahDaily.net
KUALA LUMPUR, 15 Dis (Hrkh) - Ketua Pembangkang di Parlimen, Dato' Seri Anwar Ibrahim hari ini menegaskan, pembangkang akan memberikan sokongan penuh terhadap akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2008 (SPRM) dengan syarat perubahan dan penyesuaian penting dilakukan terhadap beberapa peruntukan dalam akta itu. Iklan

Ahli Parlimen Permatang Pauh itu berkata, akta baru itu tidak akan menyelesaikan masalah rasuah yang berleluasa dalam negara ini.

Kata beliau, pengenalan undang-undang itu terlalu sukar kerana melalui pengalamannya terlibat dengan penggubalan Akta Pencegahan Rasuah 1997, beberapa peruntukan gagal diperkenalkan kerana mendapat halangan daripada beberapa pemimpin.

"Saya lebih mirip untuk mendokong banyak peruntukan ini kerana secara kebetulan, saya terlibat secara langsung mengawasi dan membentang Akta Pencegahan Rasuah pada tahun 1997 yang begitu sukar dan kontroversi kerana tidak mendapat cukup sokongan dari rakan-rakan pada ketika itu," kata beliau ketika sesi perbahasan Rang Undang-undang SPRM 2008 di Dewan Rakyat hari ini.

Anwar berkata, salah satu peruntukan yang harus dipinda dalam akta SPRM adalah penglibatan Jabatan Peguam Negara dalam proses pendakwaan di bawah Fasal 58, Bahagian 7 yang menyatakan pendakwaan sesuatu kesalahan tidak boleh dimulakan kecuali oleh atau dengan keizinan Pendakwa Raya.

"Menteri memberi penjelasan di dalam dan luar Dewan dengan meluahkan sebahagian kuasa memutuskan sebahagian pendakwaan kepada Peguam Negara, mengharapkan ada keupayaan untuk menyemak dan menghalang keterlanjuran pihak suruhanjaya.

"Bagaimanapun, kita harus ingat bahawa Jabatan Peguam Negara khususnya Peguam Negara terlalu terselaput dengan terlalu banyak tuduhan rasuah, penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa.

"Apatah lagi sekarang ini, Peguam Negara sendiri sedang menunggu pendakwaan terhadapnya. Saya difahamkan dengan maklumat yang cukup kuat bahawa BPR (Badan Pencegah Rasuah) telah pun mengemukakan laporan, menunggu sahaja keputusan untuk mendakwa yang tertangguh lama sebab ia melibatkan Peguam Negara," katanya.

Anwar berkata, kuasa penglibatan Peguam Negara dalam SPRM yang lebih 'kuat' daripada BPR ini menunjukkan integriti suruhanjaya ini masih terperangkap dengan kegagalan kerajaan membersihkan institusi pemerintahan pentadbiran.

Tegas beliau lagi, terdapat kes yang dibawa oleh BPR kepada Jabatan Peguam Negara sebelum ini ditutup begitu sahaja walaupun mempunyai bukti yang mencukupi.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz membacakan rang undang-undang SPRM buat kali kedua.

Beliau berkata, kerajaan telah bersetuju untuk meningkatkan keupayaan BPR sedia ada dengan menambah 5,000 anggota dalam tempoh lima tahun bagi membantu BPR mempercepat proses penyiasatan dan memberi perkhidmatan pencegahan rasuah yang lebih baik kepada masyarakat. - mns_

Harga petrol, diesel turun 10 sen lagi


dipetik daripada Malaysiakini.com
Harga minyak petrol dan diesel masing-masing turun 10 sen seliter berkuatkuasa mulai tengah malam ini.

Berikutan itu, harga petrol RON97 dikurangkan dari RM1.90 seliter kepada RM1.80 seliter dan harga petrol RON92 pula dikurangkan dari RM1.80 seliter kepada RM1.70 seliter.

Manakala diesel dikurangkan daripada RM1.80 seliter kepada RM1.70 seliter.

Penurunan harga minyak bagi kali ketujuh sejak Ogos lalu itu, diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini.

Dalam satu kenyataan, Abdullah berkata, penurunan harga runcit petrol dan diesel sebanyak 10 sen seliter itu adalah sejajar dengan penurunan harga minyak mentah di pasaran.

Berkuatkuasa tarikh yang sama juga, tambahnya, harga petrol dan diesel bersubsidi bagi nelayan diturunkan 13 sen seliter - dari RM1.43 seliter kepada RM1.30 seliter - sepertimana yang telah diumumkan sebelum ini.

Monday, December 15, 2008

Exco dedah tembelang Presiden Reformis


Di antara majoriti exco yang hadir membantah tindakan Ramlan

dipetik daripada Suara Keadilan Online.com
GARA-GARA gagal mendapat projek perniagaan, Presiden Gerakan Reformis Rakyat Malaysia (Reformis) menjadikan persatuan itu sebagai landasan membalas dendam peribadi kepada kerajaan Selangor.

Ini didedahkan sendiri oleh aktivis-aktivis reformasi yang datang sendiri ke pejabat Suara Keadilan.

Raymond @ Suppiah mendedahkan betapa Ramlan Abu Bakar pernah meminta beberapa projek dari kerajaan Selangor melalui syarikat beliau. Walaubagaimanapun katanya, Ramlan gagal mendapatkan projek berkenaan.

Kegagalan itu seperti membuahkan dendam Ramlan dan muncullah ugutan seperti demo bogel.

“Sebelum ini beliau pernah mempertahankan Menteri Besar Selangor apabila diserang oleh orang parti,namun setelah gagal untuk mendapat projek Ramlan bertindak agresif dengan mengugut MB dengan cara demo bogel. Beliau pernah berkata untuk menekan MB. Ini dendam peribadi, bukan agenda perjuangan,”kata Raymond.

Timbalan Presiden Reformis, Badrul Hisham Mohd Hanafiah pula mendedahkan dalang disebalik pergerakan Ramlan itu ialah orang yang mempunyai kaitan dengan bekas Ketua AMK Ezam Mohd Nor.

“Bekas Exco AMK di bawah kepimpinan Ezam, Sanusi Abdullah telah dilantik oleh Ramlan untuk menjadi penaung dan dia diantara orang penting bagi mengantur pergerakan. Dibelakang beliau ialah Sanusi,” kata Badrul.

Seorang lagi Exco Reformis, Azizi Anas mendakwa Ramlan sebagai sengaja membuat kecoh untuk menarik perhatian umum serta media yang diperalatkan Barisan Nasional. Katanya, tindakan itu memburukkan nama baik perjuangan aktivis yang sejak dulu memperjuangkan reformasi untuk negara ini.

“Siapakah beliau untuk menilai dan memburukkan orang lain? Beliau harus siapa beliau dalam gerakan reformasi,” kata Azizi.

Mereka adalah antara exco persatuan itu yang mengambil tindakan memberi surat tunjuk sebab kepada Ramlan. Walau bagaimana pun Ramlan dikatakan bertindak balas ‘memecat’ mereka. Bagaimana pun menurut Setiausaha Reformis, Norzairi Jantan, pemecatan itu tidak sah dari segi undang-undang.

Norzairi menegaskan Ramlan tidak mempunyai hak untuk memecat jawatankuasa penaja. Tambahnya, dalam akta pertubuhan, pertubuhan peringkat penaja tidak mempunyai hak untuk memecat anggotanya, sebaliknya, jawatankuasa boleh memecat presiden.

“Kami telah meneliti dibawah akta 7(2) serta fasal 9(4), presiden tidak mempunyai hak untuk memecat mana-mana ahli jawatankuasa atau exco kecuali dengan majoriti dua pertiga dari jawatankuasa menyokong tindakan berkenaan,” ujar Norzairi.

Tambahnya lagi, kumpulan berkenaan kini sudah mempunyai calon presiden yang baru, walau bagaiaman beliau enggan mendedahkan siapakah individu berkenaan. “Kami sudah mempunyai pengganti yang berkelayakan dan akan tampilkanya tidak lama lagi,” kata beliau.

Seorang lagi exco, Mohamed Hafifudin Nordin mendedahkan bahawa Ramlan sebenarnya tidak mempunyai penyokong dan sebaliknya hanya menggunakan para pekerjanya dan mengaku sebagai reformis.

“Setiap kali sidang media yang dianjurkan Ramlan akan membawa orang-orang beliau yang dikatakan menyokong, namun sebenarnya beliau hanya membawa pekerja-pekerja beliau sendiri,” katanya.

Mohamed berkata, Ramlan adalah seorang pengusaha tempat letak kereta di Sentul, dan hanya pekerja beliau sahaja yang sentiasa menjadi orang belakang beliau.
“Para pekerja beliau tidak bersalah, hentikanlah mengheret para pekerja hanya untuk melakukan serangan peribadi. Sekiranya beliau mempunyai sokongan, kami hanya meminta beliau satu perkara, anjurkan demonstrasi tidak payah bogel, kita boleh lihat beraparamai yang sokong beliau,” katanya sinis.

Majlis Makan Malam Kesyukuran Sempena Peringatan Hari Aids Sedunia


Prof. Dr. Anathan Krishnan menyampaikan cenderahati buat YB Dato'






YB Dato' beramah mesra dengan pakar-pakar perubatan herba yang turut hadir dalam majlis ini..

dipetik daripada telokkemang.blogspot.com
Jadual tugasan YB Dato’ Kamarul Baharin Abbas sebagai Ahli Parlimen Telok Kemang pada hujung minggu ini antara yang terpadat pernah disaksikan. Bermula dari hari Jumaat (13 Disember), selepas Solat Jumaat YB Dato’ telah ‘turun padang’ untuk meninjau sendiri perkembangan projek penternakan cacing vermikompos yang diusahakan oleh sekumpulan Belia di Bandar Baru Sunggala dan beramah mesra dengan penduduk setempat.

Sejurus lawatan ke Bandar Baru Sunggala, YB Dato’ telah menghadiri pertemuan tertutup dengan sekumpulan usahawan dari Lembah Kelang bertempat di Corus Resort.

Selepas Maghrib YB Dato’ hadir sebagai tetamu kehormat dan menyampaikan Ucaptama dalam Majlis Makan Malam Kesyukuran Sempena Peringatan Hari Aids Sedunia yang dianjurkan oleh Persatuan Pengamal Perubatan Alami Malaysia dengan kerjasama Alternative Medicine Research Institute Asia, AK Pharmacy & Naturopathy Center, Persatuan Pengasih Malaysia & Drug Intervention Centre (DIC) bertempat di Royal Port Dickson Yacht Club.

Dalam Ucaptamanya, YB Dato’ telah memuji inisiatif yang telah diambil oleh pengajur dalam menjalankan kajian dan penyelidikan bagi mencari penawar penyakit HIV/AIDS. Belum pernah disaksikan dalam mana-mana laporan perubatan di negara ini bahawa terdapat sekumpulan pakar-pakar tempatan dengan kerjasama pakar luar negara berjaya menemui vaksin penawar penyakit tersebut dari sumber herba semulajadi yang banyak terdapat di hutan-rimba Malaysia.

Namun malangnya YB Dato’ kecewa kerana hasil kajian berkenaan masih enggan diiktiraf oleh Kementerian Kesihatan Malaysia. Justeru, YB Dato’ komited untuk membawa perkara ini ke Sidang Dewan Rakyat bagi mendapatkan penjelasan daripada Menteri yang berkenaan.

YB Dato’ turut mempunyai komiten untuk menggesa kerajaan agar menberikan peruntukan yang lebih besar kepada usaha-usaha R&D dan mengiktiraf sumbangan perubatan alternatif yang menggunakan herba dalam kaedah penyembuhan penyakit. Ianya lebih efektif berbanding perubatan moden yang menggunakan "dadah" yang hanya sekadar mampu mengurangkan kesakitan.

Wednesday, December 10, 2008

Retorik gedebe PKR di Shah Alam

Hishamuddin Rais | Dec 3, 08 6:56pm
Saya masih teringat lagi majlis perasmian pergabungan Parti Keadilan Nasional dengan Parti Rakyat Malaysia di Dewan Perhimpunan Cina pada 3 Ogos 2003.

Tiga hari sebelum majlis perasmian, kumpulan Teater Bukan Teater diminta memberikan persembahan yang mengintepretasi makna dan tanda pergabungan. Tiga hari? Iya, kami hanya diberi masa tiga hari sahaja.

Teater Bukan Teater tidak menolak. Kami membuat persembahan kerana kami dibayar dengan harga yang begitu mahal sekali - kami dibayar dengan api dan semangat perjuangan.

Saya juga masih teringat kongres pertama PKR pada Disember 2003 di sebuah tok pekong di Ipoh. Iya, di sebuah tok pekong, bukan di dewan hotel atau gedung mesyuarat yang mewah tetapi di sebuah kuil.

Pada Disember itu, saya telah memastikan diri saya ke Ipoh untuk bersama sejarah.

Ketika di pekan itu, saya dapat merasakan ombak dan semangat juang membakar terus. Apabila kongres pertama PKR berlangsung di rumah sembahyang Cina, maka implikasinya cukup mendalam.

Inilah tanda-tanda permulaan retaknya konsep Ketuanan Melayu. Ia juga tanda keberanian sebuah parti politik untuk memulakan politik baru – politik yang bukan berasaskan sokongan bangsa atau agama.

Di tok pekong ini jugalah Anwar Ibrahim untuk pertama kalinya berkemungkinan untuk turut hadir setelah bebas daripada penjara.

Saya ke kongres PKR bukan sebagai anggota parti. Saya ingin melihat siapa yang datang. Saya sebenarnya tidak mengenali ramai para pemimpin parti sama ada gedebe nasional maupun gedebe negeri dan bahagian.

Untuk saya, mereka ini tidak penting. Apa yang ingin saya lihat ialah muka dan rupa betuk rakyat yang hadir kongres.

Ada satu perkara yang wajib saya perhatikan. Saya hendak melihat apakah ramai anak muda yang turut sama merayakan kongres ini. Untuk saya ini adalah kunci.

Kekuatan satu satu gerakan. Gerakan apa sahaja, jika tidak ada anak muda yang meminatinya, pasti gerakan ini akan gagal. Dalam semua perjuangan merebut kuasa politik, tanpa anak muda, tidak mungkin ruyung dapat dipecahkan.

Sejarah dan pengalaman menjadi guru kita yang terbaik.

Pagi Sabtu 29 Novemeber lalu, saya ke Shah Alam. Saya amat jarang meninggalkan bilik di hari Sabtu terutama waktu pagi. Pagi itu saya memaksa diri saya bukan untuk mendengar ceramah dan ucapan yang gah-gah dari para politkus.

Saya datang untuk mencari ambience dan suasana. Saya hendak melihat suasana PKR dan Pakatan Rakyat setelah berjaya menawan lima buah negeri.

Apabila saya melintasi pintu gerbang di sebelah Universiti Malaya dan meninggalkan Wilayah Persekutuan untuk memasuki Petaling Jaya, saya mula ternampak bendera, banting dan iklan kongres. Hebat.

Sepanjang Lebuh Raya Persekutuan hingga ke Stadium Malawati, Shah Alam, iklan-iklan terpasang di sepanjang jalan untuk menjemput sesiapa sahaja datang merayakan kongres nasional kelima PKR.

Selangor negeri terkaya bawah Pakatan Rakyat telah menjadi tuan rumah. Kerajaan Selangor menyediakan abang-abang berbaju hijau dari pasukan Rela untuk membantu keselamatan.

Pekerja Majlis Bandaraya Shah Alam yang berpakaian seragam siap sedia mengarahkan para tetamu. Saya jangka tidak mungkin ada sesiapa yang akan tersesat mencari tempat kongres walaupun pertama kali turun ke Shah Alam.

Persediaan kelihatan lumayan dan tersusun.

Nah... keadaan ini amat jauh sekali dengan apa yang berlaku di Ipoh. Lima tahun lalu, di Ipoh, polis trafik ditugaskan untuk menyaman sebanyak mungkin apa sahaja yang bergerak.

Malah ketika para perwakilan sedang bersidang, polis trafik datang untuk menyaman kereta yang terletak di pinggir-pinggir jalan.

Polis bersenjata pula tercacak di sana-sini bukan untuk mengawal tetapi hadir untuk memberi tekanan dan menakut-nakutkan orang ramai yang datang ke tok pekong tersebut. Di Shah Alam, semuanya berbeza.

Ketika saya masuk ke dalam Stadium Malawati, seorang politikus sedang berucap. Sambil memasang telinga, mata saya ingin melihat siapa yang hadir. Saya tidak ambil pot muka-muka siapa yang duduk di atas pentas atau siapa yang duduk di barisan depan. Mereka ini semua pastilah para gedebe.

Apa yang ingin saya lihat ialah orang yang duduk di bawah pentas. Saya kagum apabila melihat rakyat biasa yang memenuhi stadium di pagi Sabtu itu. Mereka tidak berbatik lengan panjang seperti budaya gerombolan United Malays National Organisation.

Mereka juga tidak berdasi dan bertali leher. Majoriti duduk di dalam stadium hari itu adalah rakyat biasa yang mukanya sering saya temui di perhentian bas, di warung-warung atau di pasar malam.

Yang lebih mengkagumkan ialah kepelbagian bangsa-bangsa yang hadir. Untuk saya, ia bukan kongres Melayu, bukan kongres Cina, bukan kongres Islam, bukan kongres India, Dayak, Iban atau Kadazan.

Kongres PKR di Stadium Malawati hujung minggu akhir November ini jelas memperlihatkan kemalaysiaan - kongres rakyat Malaysia, rakyat biasa.

Saya tidak nampak muka Mak Datin atau muka Minah cun ala Umi Halfida yang datang berbedak dan bergincu. Atau Mak Datin yang datang dengan tas tangan Prada atau lelaki gendut berbaju batik bercincin besar seperti Ahmad Ismail dari Bukit Bendera.

Tidak juga kelihatan susuk Abang Zak yang memakai kaca mata hitam Gucci.

Saya senang hati apabila melihat bahawa PKR masih lagi dimiliki oleh rakyat Malaysia. Parti muda ini masih dalam keadaan selamat belum menjadi barang dagangan - belum lagi (sic).

Apabila sesi persidangan berhenti rehat, saya menebeng di tepi pintu untuk memerhatikan muka-muka yang berkongres dengan lebih rapat. Ada Mak Cik berbaju kurung, Pak Cik bersongkok berbaju Melayu, Nyonya dan Amoi memakai gaun, wanita India bersari, Pak Lebai dan Punjabi yang berserban rapi.

Ada juga yang memakai baju batik berlengan panjang, saya menganggap mereka ini seperti tersalah masuk Kongres.

Di luar stadium pula, makanan telah disediakan. Tidak lagi nasi bungkus seperti di Ipoh. Kini mereka yang berkongres dan sesiapa sahaja yang datang mencari ambience seperti saya akan dipelawa makan. Ada masakan Melayu, ada masakan India, ada masakan Cina dan ada masakan sayuran untuk yang tidak memakan hidupan – malah ada banyak pilihan.

Makan tengah hari ini bertambah lumayan kerana satu kumpulan pemuzik terus menghibur para tamu dengan lagu-lagu keroncong untuk merehatkan kepala sesudah mendengar ucapan-ucapan dari para pemimpin.

Ketika saya hendak beratur mengambil makanan, saya melintasi satu khemah khusus dengan empat meja besar. Kipas angin terpasang ligat. Sudu dan garpu tersusun rapi. Terhidang indah di meja ini makanan yang pastinya untuk para gedebe.

Saya hairan kenapa para gedebe ini tidak beratur sama seperti orang biasa untuk mengambil makanan. Nampaknya hegemoni budaya gerombolan United Malays National Organisation itu telah menyerap.

Ada garis pemisah yang amat jelas di antara para gedebe PKR dengan orang biasa. Lalu saya teringat beberapa minit tadi pemimpin parti telah berucap mengatakan bahawa kemenangan 8 Mac yang lalu adalah kerana sokongan rakyat, bukan kerana kekuatan dan jentera parti.

Nampaknya menyuarakan retorik politik baru ini cukup enteng tetapi melaksanakan budaya politik baru ini masih amat jauh dari hati para gedebe. Mungkin mereka tidak memahami politik baru juga wajib membawa budaya baru yang bukan budaya feudal.

Setelah makan, saya meleser untuk melihat gerai-gerai jualan. Tidak banyak yang menarik. Malah hanya ada satu, dua gerai yang berstatus keilmuan menjual buku; yang lain-lainnya hanyalah warung-warung biasa yang menjaja khazanah Gerakan Reformasi yang sering saya temui di ceramah-ceramah besar.

Anak muda? Mereka kelihatan berkeliaran - ia seakan-akan pesta untuk mereka. Malah ada yang agak terlalu muda untuk mengetahui apakah yang sedang berlaku di dalam stadium.

Mungkin kerana sedang bercuti sekolah, ada anak-anak sekolah kelihatan menjual beg biru untuk dibawa pulang sebagai tanda kenang-kenangan ketika berkongres di Stadium Melawati.

Lalu timbul persoalan - apakah api dan semangat perjuangan masih membara? Jawabnya iya dan tidak.

Ketika mendengar ucapan pemimpin di dalam stadium, masih ada laungan "re-for-ma-si" kedengaran. Tetapi laungan itu tidak lagi mengegarkan stadium.

Mungkin kerana Angkatan Muda Keadilan (AMK) sedang sibuk mengisi borang melamar kerja atau mengisi borang kontrak daripada lima kerajaan Pakatan Rakyat.

Kongres tahun hadapan, saya bercadang untuk datang lagi kerana saya ingin bertanya apakah AMK telah mendapat pekerjaan atau telah mendapat kontrak.

Jika telah mendapat apa "yang diminta", pastilah tiada lagi laungan "re-for-ma-si".

Team Sekreteriat Pusat 2008



Inilah team Sekreteriat pusat yang telah bertungkus lumus menjayakan perjalanan Kongres Nasional Kelima.

Hadapan (dari kiri):
Ja'a (Pegawai Khas SUA), Rezal Khusairi, Jonson Chong (Timbalan SUA), Dato' Salehuddin Hashim (Setiausaha Agung), Radin Shamsulkamar (Setiausaha Pengelola), Hasrul Muhaimin (Pegawai Khas SUA) & Paul Adang (Pegawai Khas SUA).

Tengah (dari kiri):
Hasiib Harun (SUK Terengganu), Hanif Zuhdi (Pegawai Keahlian Pusat),Nurul Huda Mohd Zainudin (SUK Pahang), Dewi Puspa Binti Gazali (SUK Sabah),Zuraidah Bte Abu Hassan (SUK Melaka), Faizedah Azni Bte Baharudin (SUK Pusat), Nur Jannah Tay Abdullah (SUK Pusat), Norsyeela Abin (SUK Pusat) & Haris Bin Dali (SUK Kedah).

Belakang (dari kiri):
Wan Shabuddin (SUK Kelantan), Saudara Faizul (staf Pusat), Abdul Latif bin Abdullah (SUK Pulau Pinang), Amran Kamarudin (SUK Perlis), Muhammad Jura'id (SUK WP Kuala Lumpur), Wan Rahimin (SUK Selangor), Mustafa Kamal Abd Rahman (SUK Negeri Sembilan), Pak Badak (Keselamatan), Razry Barry B. Abdul Razak (SUK Sarawak) & Azizi Mohd Zazudi (SUK Perak).

Tuesday, December 9, 2008

Penyerahan Memorandum "Memartabatkan Daulat Raja-raja Melayu"







Satu sambutan sempena menyambut kepulangan DYMM Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Jaafar ibni Tuanku Abdul Rahman dan DYMM Tuanku Permaisuri Yamtuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Ampuan Najihah telah diadakan oleh lebih 300 orang ahli Parti Keadilan Rakyat Negeri Sembilan di Kompleks Terminal Bunga Raya VVIP, KLIA pada 6hb Disember 2008 jam 9 malam.

Sambutan tersebut telah diketuai oleh Tuan Hj. Muhammad Kamel Yassin(Ketua Bahagian Rasah)yang turut disertai oleh Setiausaha Perhubungan Negeri,Sabaruddin Mohd Yassim, Ketua Bahagian Rembau merangkap ahli MPT, Badrul Hisham Shaharin,YB Chai Tong Chai(ADUN Chuah),YB Rashid Latiff (ADUN Ampangan),YB Aminuddin Harun (ADUN Sikamat) dan YB Ravi Munusamy (ADUN Port Dickson).

Pada sambutan itu juga,Baginda Tuanku telah berkenan menerima "Memorandum Menyokong Kedaulatan Dan Kekebalan Raja-Raja Melayu Dikembalikan" yang telah diserahkan oleh Tuan Hj Muhammad Kamel Yassin.

Penyerahan memorandum tersebut adalah rentetan daripada titah anakanda baginda, YAM Tunku Naquiyuddin Ibni Tuanku Jaafar yang telah bertitah supaya kekebalan raja-raja dikembalikan demi kedudukan dan kedaulatan raja-raja melalui Ceramah Jamuan Tengahari Diraja yang diadakan di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Memorandum ini juga adalah kesinambungan daripada ucapan dasar Presiden Parti Keadilan Rakyat, Dato' Seri Wan Azizah Wan Ismail dalam Kongres Nasional kelima lalu yang telah menyatakan kesediaan untuk mengembalikan kekebalan raja-raja Melayu yang berteraskan semangat Raja Berpelembagaan.

Malah Ketua Umum Parti Keadilan,Dato' Seri Anwar Ibrahim di dalam ucapan penutup Kongres Nasional itu juga turut menyatakan kedaulatan dan immuniti Raja-raja Melayu hendaklah dikembalikan semula kepada raja-raja.

Parti Keadilan Rakyat Negeri Sembilan telah merintis jalan pembuka bagi mendaulatkan kuasa Raja-raja sebagaimana saranan Presiden PKR dan Ketua Umum tersebut. Semoga PKR negeri-negeri lain akan menuruti langkah ini demi menjayakan saranan Presiden dan Ketua Umum PKR.

DAULAT TUANKU!
MEMORANDUM MENYOKONG KEDAULATAN DAN KEKEBALAN RAJA-RAJA MELAYU DIKEMBALIKAN


Ampun Tuanku,

Bahawa patik Muhamad Kamel bin Yassin mewakili rakyat anak watan Negeri Sembilan Darul Khusus menjunjung kasih mengucapkan selamat kembali ke tanah air dan sayugia hendaknya DYMM Tuanku bersama DYMM Tuanku Permaisuri sentiasa di dalam lindungan dan rahmat Allah s.w.t.

Daulat Tuanku,

Mohon dirafa’kan sembah bahawa kami rakyat yang bernaung di bawah payung kebesaran DYMM Tuanku menyokong sepenuhnya titah anakanda tuanku YAM Tunku Naquiyuddin Ibn Tuanku Ja’afar melalui Ceramah Jamuan Tengahari Diraja di Kuala Lumpur baru-baru ini. YAM Tunku Naquiyuddin bertitah supaya Kekebalan Raja-raja dikembalikan demi kedudukan dan kedaulatan Raja-raja.

Mohon patik menyatakan di dalam Kongres Kali Kelima Parti Keadilan Rakyat di Shah Alam pada 28hb November 2008 yang lalu, Presiden Parti Keadilan Rakyat Dato’ Sri Wan Azizah Dato’ Wan Ismail melalui ucapan dasarnya telah menyatakan kesediaan untuk mengembalikan kekebalan raja-raja Melayu yang berteraskan semangat Raja Berpelembagaan.

Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat Dato’ Sri Anwar Ibrahim di dalam ucapan penutup Kongres Parti Keadilan Rakyat itu turut menyatakan kedaulatan dan imminuiti Raja-raja Melayu hendaklah dikembalikan semula kepada baginda Raja-raja.

Ampun Tuanku,

Demi mengembalikan kedaulatan dan kebesaran Raja-raja Melayu patik bersama sekelian hamba rakyat Negeri Sembilan Darul Khusus mohon perkenan ke bawah duli Tuanku untuk menggerakkan usaha mengembalikan kekebalan dan kedaulatan Raja-raja seluruhnya sesuai dengan konsep Raja Berpelembagaan.

Kami hamba rakyat tuanku mohon ampun dan maaf di atas segala kekurangan, dan menjunjung kasih di atas kesudian DYMM Tuanku mencemar duli menerima warkah ini.

DAULAT TUANKU.

Muhamad Kamel bin Yassin PJK. PMC.
Tarikh : 6 hb Disember 2008

Friday, December 5, 2008

KUALA TERENGGANU: KeADILan akan turun padang- Azmin Ali

dipetik daripada Suara Keadilan Online.com
KUALA LUMPUR, 5 Disember (SK) - Parlimen Kecil Kuala Terengganu yang akan diadakan pada 17 Januari tahun depan, akan memberi tentangan hebat kepada Barisan Nasional kata Naib Presiden KeADILan Azmin Ali.

SPR Umum penamaan 6 Januari dan pengundian 17 Januari
11 hari kempen
80,229 pengundi
Menurut beliau, walau siapapun yang bertanding dalam kerusi parlimen berkenaan, KeADILan akan turun padang memberikan sokongan pada pilihan raya kecil Kuala Terengganu.

“Kami Pakatan Rakyat juga akan memberi tentangan hebat kepada Umno-Barisan Nasional memastikan kerusi Parlimen Kuala Terengganu itu menjadi milik Pakatan Rakyat,” menurutnya dalam blognya 1 Disember lalu

Azmin yang juga Pengarah Pilihanraya KeADILan berkata, KeADILan sedia memberi laluan kepada PAS untuk meletakkan calonnya bagi menghadapi pilihan raya kecil Kuala Terengganu.

“Sebelum ini, satu mesyuarat majlis tertinggi KeADILan telah diadakan dan menetapkan sedia memberi peluang kepada rakan PAS untuk bertanding di Kuala Terengganu. Keputusan ini diambil atas beberapa faktor dan diketahui umum bahawa kerusi Parlimen Kuala Terengganu secara tradisinya adalah milik PAS,” katanya lagi.

Hari ini Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) mengumumkan penamaan calon bagi pilihanraya kecil Kuala Terengganu akan diadakan pada 6 Januari dan pengundian pula 17 Januari, memberikan 11 hari berkempen.

Jumlah pengundi kali ini 80,229 orang, sedikit berbeza berbanding 80,325 orang dalam pilihanraya umum Mac lalu.

CAR: MB Selangor jawab Khir Toyo

dipetik daripada Malaysiakini.com
Kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor telah menyelesaikan semua rundingan dan menyediakan semua kemudahan untuk menjayakan projek bekalan elektrik Pengukuhan Sistem Kawasan Tengah (CAR) di Rawang, kata menteri besar.

Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengulangi kenyataannya bahawa kerajaannya tidak boleh dipersalahkan atas beberapa siri bantahan penduduk terlibat di Kampung Sungai Terentang.

"Adalah tidak wajar kerajaan negeri disalahkan sedangkan perkara ini boleh diselesaikan lebih awal lagi jika kerajaan terdahulu (BN) mempunyai pentadbiran yang efisien dan profesional," katanya, menjawab kritikan bekas menteri besar Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo semalam.

Beliau, yang juga ketua pembangkang Selangor, menyalahkan kerajaan negeri jika CAR gagal dilaksanakan sehingga boleh menjejaskan bekalan tenaga.

Sebanyak 98 peratus projek itu dilaporkan telah berjaya disiapkan dan hanya tinggal dua peratus atau satu kilometer sahaja lagi yang masih tergendala.

Penangguhan berkenaan dilaporkan hanya disebabkan 17 daripada lebih 200 keluarga yang masih berdegil untuk berpindah.

Dr Mohamad Khir berkata, kerajaan kini tidak menggunakan kuasa mutlak yang ada padanya untuk mengambil alih tanah terbabit daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB) serta memindahkan penduduk.

Tambahnya, kerajaan negeri mempunyai kuasa bawah Akta Pengambilan Tanah 1960, Seksyen 3(1)(a) untuk mengambil tanah terbabit secara paksa atas kepentingan awam.

Dalam kenyataannya, Abdul Khalid menjelaskan Selangor telah menwartakan pengambilan tanah untuk projek terbabit bawah Seksyen 4 akta terbabit.

"Tambahan pula, keputusan mahkamah mengenai permohonan TNB untuk memasuki tanah yang terlibat juga sudah diputuskan," katanya.

"Dan sekarang TNB dan kerajaan pusat hanya perlu membuat rundingan dengan penduduk kampung bagi meneruskan projek terbabit. "

Tambanya, selepas enam pertemuan dengan kumpulan penduduk terbabit, kerajaan Selangor mengambil dua keputusan: menanam kabel bawah tanah agar penduduk tidak perlu berpindah, dan menggunakan jaluran alternatif yang tidak melibatkan kawasan penduduk.

Abdul Khalid menyeru TNB dan Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi mengambil inisiatif untuk berjumpa sendiri dengan penduduk supaya "projek ini boleh berjalan dengan cara yang terbaik."

Monday, December 1, 2008

Kongres Nasional 2008 berlangsung dengan jaya!

Kongres Nasional 2008 yang bermula 28hb hingga 30hb November telah bersidang dengan dengan jayanya dengan kehadiran perwakilan bahagian yang melebihi daripada 1500 orang dari seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak.

Persidangan tahunan PKR ini telah diadakan di Stadiaum Melawati, Shah Alam. Kehadiran pemerhati tambahan lebih daripada lima ribu orang turut memeriahkan persidangan kali ini. Mereka walaupun tidak terpilih untuk mewakili bahagian masing-masing tetapi turut berpeluang mengikuti persidangan ini.

Seramai 70 orang perwakilan Negeri Sembilan daripada tujuh bahagian telah menghadiri Kongres kali ini.

Pencabar Anwar ingin sertai PKR


Dipetik daripada Malaysiakini.com

Datuk Arif Shah Omar Shah, pencabar tokoh utama PKR sewaktu pilihanraya kecil Permatang Pauh pada Ogos lalu, sedang mempertimbangkan untuk menyertai parti itu.

Beliau berkata kini 30 peratus peluang beliau menyertai parti pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim itu selepas mendakwa diketepikan dengan serius oleh ketua bahagian Umno Permatang Pauh, Datuk Abdul Jalil Abdul Majid.

"Saya harus berbincang dengan (ketua menteri Pulau Pinang) Lim Guan Eng dahulu supaya beliau selesa (dengan kemungkinan beliau menyertai Pakatan Rakyat," katanya kepada Malaysiakini hari ini.

"(Pemimpin) PKR (negeri) mempelawa saya (menyertainya), mereka mengalu-alukan kehadiran saya tetapi ia bukan keputusan yang mudah, banyak perkara perlu difikirkan dan saya harus menyelesaikan satu per satu."

Mengulas sama ada pergeseran beliau dengan Abdul Jalil - yang mengekalkan jawatan ketua bahagian Umno pada Oktober lepas - dengan kepemimpinan atasan Umno, Arif Shah berkata beliau akan membawa perkara itu jika beliau ingin meninggalkan parti itu.

Diminta mengulas lanjut sebab-sebab yang mendorongnya melompat kepada parti pembangkang itu, Arif Shah berkata penyalahgunaan kuasa yang didakwa dilakukan Abdul Jalil telah menghalangnya menjalankan tugas sebagai wakil rakyat.

Arif Shah menguasai DUN Seberang Jaya, dalam bahagian Permatang Pauh, selama dua penggal berturut-turut. Dua lagi DUN bawah parlimen itu masing-masing dikuasai PAS (Permatang Pasir) dan PKR (Penanti).

"Banyak perkara yang saya harus melalui beliau (Abdul Jalil) termasuk di kawasan DUN saya sendiri, saya tidak boleh bertemu dengan pemimpin-pemimpin cawangan," katanya.

"Bagi saya, jika orang memerlukan khidmat saya, tanpa mengira sama ada mereka Melayu, Cina atau India, saya mesti menolong mereka."

Ditanya sama ada PKR menawarkan sebarang jawatan, beliau berkata: "Perkara itu tidak penting, saya perlukan wadah untuk menyalurkan khidmat saya."

Arif Shah dilaporkan ditawarkan jawatan timbalan ketua menteri I yang kini dipegang oleh wakil rakyat Penanti, Mohammad Fairus Khairuddin.

Beliau bagaimanapun berkata perlu masa untuk mengambil keputusan muktamad.

Saturday, November 22, 2008

Isu ladang babi: RTM,TV3 berniat jahat terhadap Kedah

Dipetik daripada HarakahDaily.net
Mohd Khalil Abdullah
Sat | Nov 22, 08 | 2:51:45 pm MYT
KUALA LUMPUR, 22 Nov (Hrkh) - Media pro Umno-Barisan Nasional (BN) sekali lagi cuba menjatuhkan kerajaan Pakatan Rakyat yang didukungi oleh PAS,KeADILan dan DAP. Iklan

Jika sebelum ini, media cetak memainkan peranan dengan menjadi agen penyebar dakyah dan permainan licik politik BN,kini media elektronik menjadi senjata apabila RTM dan TV3 cuba memutarbelitkan fakta untuk menjatuhkan nama baik Kerajaan Negeri Kedah.

Setiausaha Akhbar Menteri Besar Kedah, Mohd Helmi Mohd Khalid dalam satu kenyataannya kepada Harakahdaily hari ini mendedahkan bagaimana kerajaan Kedah dijadikan mangsa dengan corak pemberitaan yang memesongkan dan berniat jahat.

Menurutnya, siaran berita RTM di TV1 sekitar jam 1.00 petang 19 November 2008 dan siaran Buletin Utama TV3 jam 8.00 malam 19 November 2008 mendedahkan tembelang sebenar kedua-dua stesen televisyen tersebut apabila menyiarkan berita yang jauh terpesong dan berniat jahat.

"Kedua-dua siaran tv ini melaporkan bahawa Kerajaan Negeri Kedah bakal membuka sebuah ladang ternakan babi di Kedah.

"Saya ingin tegaskan bahawa kedua-dua berita tersebut adalah satu pembohongan dan telah memutarbelitkan fakta seperti yang tercatat dalam buku Jawapan Bertulis Mesyuarat Keempat Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Kedua Belas (Mesyuarat Bajet 2009),"jelasnya.

Tambahnya,siaran berita tersebut hanyalah berbentuk jahat untuk menjatuhkan nama baik Kerajaan Negeri Kedah dan menghasut rakyat untuk bencikan Kerajaan dan berbentuk provokasi.

"Sebagai makluman pembukaan ladang itu hanya akan berlaku jika terdapat aduan kacau ganggu di ladang-ladang yang sedia ada.

"Selebihnya, keputusan tersebut telah dibuat oleh Kerajaan terdahulu melalui surat UPEN (K) 707 SK.4 ( ) bertarikh 4 Disember 2007 bertajuk: Keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah (MMK) Mengenai Ladangan Masa Depan Industri Ternakan Khinzir di Negeri Kedah Darul Aman,"katanya lagi.

Helmi juga mendedahkan,sekalipun telah dijelaskan dalam sesi penggulungan Sidang Bajet pada 20 November dan sidang akhbar pada hari yang sama oleh Menteri Besar, Dato' Seri Ustaz Azizan Abdul Razak, bahawa ini adalah keputusan Kerajaan terdahulu (Barisan Nasional) bagaimanapun TV3 khususnya masih menggunakan perkataan 'hasrat Kerajaan PAS Kedah membuka ladang babi'.

"Bagi saya ia jelas satu pembohongan fakta yang amat jelas oleh stesen televisyen swasta berkenaan dalam siarannya pada 20 dan 21 November melalui slot Buletin Utama.

"Saya juga ingin menjelaskan bahawa dalam sidang akhbar, Menteri Besar juga telah memberitahu bahawa beliau dan Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat menghormati keputusan Kerajaan terdahulu (BN) bertarikh 4 Disember 2007 itu dan setelah mendapat nasihat daripada pihak Vertarina negeri, pihaknya belum lagi memutuskan tempat atau bila ladang berpusat itu akan dibina,"jelasnya lagi.

Beliau juga menambah, bahawa Ustaz Azizan juga menyatakan pembinaan ladang ternakan itu adalah untuk kebaikan semua pihak untuk mengelakkan sebarang kemungkinan masalah seperti pencemaran, bau busuk dan seumpamanya.

Menurut Ustaz Azizan,kata Helmi, bukan hanya ladang babi, jika terdapat ladang ayam, lembu, kambing, kerbau sekalipun telah menimbulkan keresahan rakyat, maka ladang tersebut akan dipindahkan.

Oleh itu katanya, dari penjelasan itu, amat jelas bahawa Kerajaan Negeri memikirkan satu tempat dan kaedah terbaik untuk mengatasi permasalahan yang mungkin atau telah wujud berpunca dari ladang ternakan tersebut.

"Adalah di luar dari jangkauan pemikiran saya jika pemberita TV3 Kedah lebih suka melihat ladang babi dibina berdekatan kawasan perumahan jika dibandingkan dengan usaha Kerajaan Negeri untuk memindah dan memusatkan ladang dan sembelihan di satu kawasan yang jauh dari kawasan penempatan penduduk.

"Saya juga menjangkakan, jika ladang baru itu nanti terbina sekalipun jauh dari kawasan penempatan, sekali lagi akan ada pihak memainkan isu bahawa Kerajaan Pakatan Rakyat telah membina ladang ternakan babi yang luas, jika andaian saya ini benar-benar berlaku, sahlah bahawa berita berkenaan bukannya membela hak dan kepentingan rakyat tetapi ia lebih membela hak binatang ternakan tersebut kerana telah dipinggirkan dan ditempatkan di kawasan yang terpencil,"tegasnya.

Pimpinan Pakatan Rakyat kecam media pro Umno-BN

Sementara itu, baru-baru ini pemimpin Pakatan Rakyat, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Dato' Seri Anwar Ibrahim dan Lim Kit Siang sepakat mengecam konspirasi media pro Umno-BN yang sedang bertungkus lumus untuk menjatuhkan kerajaan Pakatan Rakyat dengan menabur fitnah, adu-domba dan memainkan isu-isu sensitif bagi mengelirukan rakyat.

Selain untuk mencetuskan kemarahan rakyat, tindakan media pro Umno-BN itu juga bertujuan untuk menjatuhkan reputasi lima kerajaan Pakatan Rakyat yang dipimpin.

Perkara ini didedahkan oleh ketiga-tiga mereka pada 'Majlis Makan Malam dan Bengkel Mini Pakatan Rakyat' yang diadakan di Hotel De Palma, Ampang dekat sini baru-baru ini.

Presiden PAS dalam penegasannya bimbang peranan yang dimainkan oleh media arus perdana boleh mengancam kestabilan dan kemuafakatan parti-parti dalam Pakatan Rakyat sekiranya perkara ini tidak dapat dibendung dengan segera.

Kata beliau, peri pentingnya media telah dibuktikan oleh MCA dengan mengambil alih dua buah akhbar utama berbahasa Cina, Nyangyang Siang Pau dan Sin Chew Daily selepas pilihan raya kecil Lunas bagi menyekat sokongan orang-orang Cina terhadap pembangkang.

Sementara itu, Ketua Umum KeADILan menyifatkan media arus perdana bertindak 'kasar' dengan melaporkan isu-isu sensitif yang boleh mencetuskan perbalahan kaum dan agama seperti yang berlaku ke atas exco kerajaan Pakatan Rakyat Selangor, Teresa Kok dan Ronnie Liu serta editor Malaysia-today, Raja Petra Kamaruddin.

"Media sekarang ini mainkan isu perkauman. Bangkitkan isu agama. Seolah-olah terdapat pergeseran dikalangan pemimpin Pakatan Rakyat dan ini amat merbahaya," tegas Penasihat DAP, Lim Kit Siang.

Justeru itu, ketiga-tiga pemimpin mengingatkan rakyat agar tidak terpedaya dengan laporan-laporan berniat 'jahat' yang disiarkan oleh media cetak dan elektronik yang dikuasai Umno-BN.

Friday, November 21, 2008

Anwar lancar kempen anti-ISA Ahad ini

Dipetik daripada Malaysiakini.com
Jimadie Shah Othman | Nov 21, 08 3:07pm
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan melancarkan kempen mansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) Ahad ini.

Majlis pelancaran tersebut akan berlangsung di Dataran Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Pandan Indah pada jam 9 malam.

Kempen tersebut adalah anjuran Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) bagi mendesak kerajaan memansuhkan akta tersebut serta membebaskan semua tahanan ISA tanpa syarat.

Acara kemuncaknya adalah perhimpunan besar-besaran di Kuala Lumpur Mac tahun depan.

Menurut Pengerusi GMI, Syed Ibrahim Syed Noh, selain Anwar, pemimpin parti anggota Pakatan Rakyat yang lain juga akan berucap di majlis tersebut.

Mereka adalah Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan tokoh utama DAP, Lim Kit Siang yang juga ahli Parlimen Ipoh Timur.

Turut dijemput berucap di majlis pelancaran tersebut ialah Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu dan Ketua Dewan Pemuda PAS pusat, Salahuddin Ayub, yang juga ahli Parlimen Kubang Krian.

Menurut Syed Ibrahim, beliau juga akan turut berucap di majlis tersebut.

Teater 'Bilik Sulit'

Beliau menjangka kira-kira 5,000 akan menghadiri majlis pelancaran tersebut sebagai tanda sokongan mereka terhadap kempen mansuhkan ISA.

Syed Ibrahim berkata pihaknya telah mengemukakan permohonan Selasa lalu untuk mendapat permit polis.

Bagaimanapun, katanya, pihaknya masih menunggu jawapan daripada pihak polis.

Katanya, selepas majlis pelancarannya Ahad ini, GMI akan mengadakan siri program menjelang Mac depan.

Program pertama siri kempen tersebut berupa persembahan teater bertajuk "Bilik Sulit" arahan bekas tahanan ISA, Hishamuddin Rais.

Syed Ibrahim berkata tarikh persembahan tersebut ialah pada 10 Disember depan tetapi tempatnya belum diputuskan lagi.

Sempena majlis pelancaran tersebut Ahad ini, katanya, pihak penganjur akan menjual pelekat dan lencana mansuhkan ISA kepada orang ramai.

Beliau berkata, pihaknya akan menyediakan 10,000 pelekat dan lencana untuk tujuan tersebut.

Friday, November 14, 2008

Kes Anwar: Rayuan pindah kes didengar 20 November


dipetik daripada Malaysiakini.com

Nov 14, 08 10:45am
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan 20 November ini untuk mendengar rayuan pihak pendakwa bagi memindahkan perbicaraan kes liwat yang dihadapi oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sehubungan itu, Hakim S M Komathy Suppiah menangguhkan untuk menetapkan tarikh perbicaraan pada satu tarikh yang akan ditetapkan kelak.

Ketua Bahagian Pendakwaan Jabatan Peguam Negara, Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden memberitahu mahkamah bahawa pihaknya telah memfailkan rayuan dan semakan terhadap keputusan yang dibuat oleh Komathy menolak permohonan memindahkan kes tersebut ke Mahkamah Tinggi pada 7 November lalu.

Oleh itu, ujar Mohd Yusof, pihak pendakwaan memohon agar perbicaraan kes itu ditangguhkan sehingga rayuan untuk memindahkan perbicaraan ke Mahkamah Tinggi selesai.

Mahkamah Sesyen yang bersidang pagi ini dijadual menetapkan tarikh untuk perbicaraan kes tersebut didengar oleh Hakim SM Komathy Suppiah.

Bagaimanapun, pihak pendakwa mengemukakan permohonan untuk menangguhkan prosiding kes liwat terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim sehingga selesai rayuannya terhadap keputusan tersebut di Mahkamah Tinggi.

Jumaat lalu Komathy menolak permohonan pihak pendakwa untuk memindahkan kes tersebut ke Mahkamah Tinggi.

Komathy memutuskan bahawa perintah pemindahan kes tersebut yang ditandatangani oleh Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail adalah tidak sah.

Katanya, kes itu menimbulkan situasi yang unik di mana pembabitan peguam negara akan menjejaskan keyakinan rakyat terhadap pentadbiran keadilan jenayah.

Bagaimanapun, pagi ini, pihak pendakwa mengemukakan permohonan kepada Komathy supaya tidak menetapkan tarikh perbicaraan kes ini sehingga rayuan mereka terhadap keputusannya itu, diputuskan.

Peguam Anwar membantah permohonan pendakwa itu. Mereka juga mengadu tidak menerima beberapa dokumen dari pihak pendakwaraya seperti yang dijanjikan minggu lalu.

Komathy belum membuat sebarang keputusan berhubung permohonan pihak pendakwa itu.

Thursday, November 13, 2008

Kursus Usahawan Cacing Vermikompos


Sebahagian dari 74 orang peserta yang menyertai kursus



(dari kiri) YB Dato' Kamarul, YBhg. Dato' Zainuddin dan rakan-rakan ketika meninjau lokasi penternakan cacing vermikompos di Telok Kemang.

Bahagian Telok Kemang dengan kerjasama ZH Agro Bina Enterprise telah menganjurkan Kursus Usahawan Cacing Vermikompos pada 9hb November 2008, Sabtu lalu.

Seramai 74 orang peserta telah menyertai kursus ini yang bermula jam 8.30 pagi.Ahli Parlimen Telok Kemang, Dato' Kamarul Baharin Abbas telah merasmikan kursus tersebut.

Dalam ucapan aluannya, YB Dato' Kamarul mengucapkan tahniah di atas kesungguhan yang telah ditunjukkan oleh para peserta dalam menyertai kursus ini. Kursus ini julung-julung kali dianjurkan secara PERCUMA, dan tidak pernah ada mana-mana agensi dalam negara ini yang pernah menganjurkan kursus sebegini secara percuma. Untuk itu, YB Dato' menyeru agar peluang yang diberikan ini dimanfaatkan sepenuhnya oleh para peserta.

Majlis Deepavali ADUN Port Dickson




Pada 8hb November 2008 lalu, Majlis Deepavali ADUN Port Dickson, YB M.Ravi telah diadakan. Majlis tersebut berlangsung di rumah YB M.Ravi di Taman Tanjung Gemuk,Port Dickson.

Majlis ini telah dihadiri Ahli Parlimen Telok Kemang, Dato' Kamarul Baharin Abbas, YB Xavier Kumar ADUN Andalas, YB Aminuddin Harun ADUN Sikamat dan lebih dua ribu penduduk sekitar.

Pada majlis itu juga, Dato' Kamarul Baharin Abbas turut menyampaikan sumbangan kepada orang ramai. Majlis bermula jam 6.00 petang dan berakhir pada pukul 10.00 malam.