PETALING JAYA 9 Nov - Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) akan tetap meneruskan proses Pemilihan Majlis Pimpinan Pusat 2010 yang kini memasuki pusingan terakhir walaupun timbul aduan berhubung dakwaan berlaku penyalahgunaan kertas undi.
Justeru itu, Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Saifuddin Nasution Ismail menasihatkan calon-calon yang bertanding supaya tidak mengkambinghitamkan Sekretariat dan Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) sekiranya mereka mempunyai sebarang rasa tidak puas hati terhadap proses pemilihan.Sebaliknya mereka digesa membuat aduan secara rasmi kepada JPP supaya tindakan susulan boleh diambil dengan segera.
Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Machang menafikan dakwaan berlaku penyelewengan dalam proses pemilihan jawatan Timbalan Presiden yang turut membabitkan pengawas JPP.Ini kerana pihak JPP telah menggunapakai enam daripada tujuh cadangan calon Timbalan Presiden, Datuk Zaid Ibrahim bagi memastikan ketelusan proses pemilihan.
"Surat Datuk Zaid bertarikh 5 Oktober menyarankan tujuh cadangan antaranya membenarkan calon melantik wakil calon dan agen pengundian (Paca) di setiap pusat mengundi, kertas undi bernombor siri bagi mengelak digunapakai berulang kali, peti undi mesti lutsinar, hanya senarai ahli sah diguna, ruang membuang undi berasingan, masa undi dipatuhi serta, ahli yang membayar yuran semasa Mesyuarat Agung Tahunan Cabang berhak mengundi."
Daripada tujuh cadangan Datuk Zaid kita telah laksanakan enam kecuali peti undi lutsinar sebab harganya mahal. "
Melihat kepada keputusan undi pula, daripada 87 cabang, Zaid menang di 38 cabang, Azmin 37 manakala Mustaffa 11 cabang dan 1 cabang seri antara Azmin dan Mustaffa.
"Kalau ada manipulasi undi sudah tentu Zaid tidak akan dapat mengatasi Azmin. Kalau undi mana-mana calon lebih ini kerana mobilisasi jentera pilihan raya adalah lebih baik jadi hasilnya baik juga," jelas beliau pada sidang media di ibu pejabat KEADILAN di Tropicana petang tadi.
Beliau menambah adalah tidak adil menunding jari kepada Sekretariat dan JPP apabila calon sendiri gagal meletakkan Paca di pusat-pusat mengundi untuk memantau proses pemilihan.
"Jangan jadikan Sekretariat dan JPP sebagai 'scapegoat' kerana pada hakikatnya JPP hanya terima enam aduan secara rasmi iaitu satu dari Pulau Pinang, satu dari Kelantan, satu dari Negeri Sembilan yang sedang diteliti oleh JPP.
"Mengapa riuh rendah di luar sana kerana secara rekod enam sahaja yang diterima?Saifuddin juga berkata setakat ini sejumlah 11,670 undi diterima untuk tiga calon Timbalan Presiden dan bukannya seperti mana yang dinyatakan oleh Zaid.
"Dia ada masalah matematik, dia dapat maklumat yang salah dari jentera dia."Itu 'trade mark' Zaid yang membuat kenyataan media yang berterusan yang membabitkan individu dan pimpinan parti. Sebab itu undi terhadap beliau berkurangan kerana ahli sudah buat penilaian, serangan beliau secara terbuka terhadap parti telah menyebabkan anggota parti menjauhi dirinya," tegas beliau lagi.
Saifuddin merujuk kepada kekalahan beberapa tokoh dan pemimpin parti tetapi mereka tetap setia dan bekerja keras untuk KEADILAN.
"Datuk Kamarul Baharin Abas, bekas Setiausaha Agung, bekas Bendahari Agung, Ketua KEADILAN Negeri Sembilan kalah kepada YB Ravi tapi beliau terima keputusan dan terus bersama parti.
"Elizabeth Wong kalah di PJU, dia buat aduan tapi bertenang sementara aduan disiasat. Lim Soo Nee kalah di Kulim Bandar Baru tapi masih jalankan tugas parti dengan baik.
"Rodziah kalah di Shah Alam tapi bergelumang membantu parti semasa pilihan raya, tidak seperti sesetengah calon yang batang hidung pun tak nampak," kata Saifuddin lagi.