Showing posts with label Keadilan yang dicabul oleh Umno. Show all posts
Showing posts with label Keadilan yang dicabul oleh Umno. Show all posts

Tuesday, February 9, 2010

Nizar: bertarung di 'mahkamah rakyat'


PUTRAJAYA, 9 Feb: Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin mencabar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir supaya membubarkan Dun Perak dan bertarung di 'mahkamah rakyat'.

Beliau menyatakan demikian ketika berucap di hadapan ratusan penyokong Pakatan Rakyat (PR) yang masih berkumpul di pekarangan Mahkamah Persekutuan tengah hari ini.

Bercakap pada sidang media sebelum itu, beliau berkata, keputusan Mahkamah Persekutuan menolak rayuannya berhubung Menteri Besar Perak yang sah tidak dapat menyelesaikan kemelut yang berlaku di negeri itu.

Sehubungan itu, katanya Dun Perak perlu dibubarkan supaya dipilih semula wakil untuk menyelesaikan masalah yang berlaku itu.

Begitupun, beliau menerima keputusan mahkamah itu.

“Kita terima keputusan mahkamah walaupun ia menyedihkan bagi kita,” ujarnya yang juga Adun Pasir Panjang.

Beliau juga menyeru rakyat supaya bertenang dan jangan ada yang bertindak dan melakukan provokasi.

Baginya, keputusan itu merupakan petanda amat hitam di Malaysia kerana rakyat negeri Perak mahu diberi ruang sebesar-besarnya untuk memilih pemimpin negeri.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bukit Gantang menyifatkan mahkamah belum lagi bebas daripada pengaruh pihak-pihak tertentu.

“Keputusan ini tidak menyelesaikan kemelut negeri Perak. Keputusan ini juga ketepikan apa yang terkandung dalam Perlembagaan Malaysia, ia juga menjadi demokrasi lebih kusut,” katanya.

Tambahnya, Pakatan Rakyat (PR) akan memperhalusi dan meneliti keputusan tersebut.
Para penyokong PR bersurai sekitar jam 12.05 tengah hari.

Mahkamah Persekutuan Kekalkan Zambry MB Perak


Mahkamah Persekutuan pagi ini mengisytiharkan Datuk Seri Zambry Kadir sebagai Menteri Besar Perak yang sah.

Mahkamah berkenaan memutuskan perlantikan Zambry yang dibuat oleh Sultan Perak Sultan Azlan Shah adalah sah mengikut Perlembagaan.

Panel lima hakim diketuai Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Alauddin Mohd Sheriff membuat keputusan sebulat suara bahawa Sultan Azlan Shah telah menggunakan bidang kuasa baginda untuk melantik Zambry bagi menggantikan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin daripada Pakatan Rakyat setelah berpuas hati bahawa Nizar tidak lagi menikmati kelebihan undi dalam Dewan Undangan Negeri.


Turut bersidang bersama Alauddin ialah Hakim Besar Malaya Tan Sri Arifin Zakaria serta Hakim-hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Zulkefli Ahmad Makinuddin, Datuk Wira Ghazali Mohd Yusof dan Datuk Abdull Hamid Embong. Penghakiman dibaca oleh Hakim Arifin.

Saturday, September 5, 2009

Aziz Bari - Sidang DUN Perak 2 September Sah

Tindakan Speaker DUN Perak V. Sivakumar bersama 24 ADUN Pakatan Rakyat mengadakan Sidang DUN pada 2 September lalu di Hotel Herittage adalah sah dari segi Perlembagaan.

Pakar Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Profesor Dr Abdul Aziz Bari berkata malahan usul yang dikemukakan pada Sidang berkenaan juga merupakan usul yang sah.

Beliau berkata, V. Sivakumar masih lagi Speaker Dewan kerana ia diangkat keluar dari Dewan secara paksa pada Mei lalu dalam cubaan rampasan kuasa Umno-BN.

“Ganesan hingga kini masih lagi tidak sah dan tidak jelas. Dan beliau telang melanggar Perlembagaan Negeri yang melarang seseorang memegang dua jawatan dalam satu masa. Beliau masih jadi peguam sewaktu dilantik jadi Speaker Dewan. Sebenarnya yang bermasalah adalah Datuk Ganesan bukannya Sivakumar.

“Apa yang diputuskan dalam Sindang DUN itu adalah sama statusnya dengan yang di bawah pokok hari itu sah kerana pada satu-satu masa hanya boleh ada satu DUN sahaja. DUN di pengerusikan Ganesan tidak sah dan ia masih di bawah Sivakumar,” katanya.

Aziz yakin pihak setiausaha kerajaan negeri dan polis sedar bahawa sidang Dun Pakatan Rakyat itu adalah sah kerana pihak berkuasa kelihatan teragak-agak untuk mengambil tindakan.

“Ini dikutuk oleh sebuah laman web penyokong Umno berasa tidak senang dengan tindakan yang dianggap lembut oleh pihak polis di Ipoh walaupun sebenarnya kalau diperhatikan sudah kasar apa yang diakukan oleh polis terhadap Nizar dan Nge Khoo Ham,” katanya.

Mengulas mengenai kemelut politik di Perak, Aziz berkata Umno-BN mengheret mahkamah dalam kancah politik negara bagi merealisasikan rampasan kuasa yang dilakukan di Perak.

Beliau berkata mahkamah tidak seharusnya mencampuri hal ehwal Dewan Negeri mahupun Dewan Negara, sejajar dengan konsep pemisahan kuasa legislatif-eksekutif-kehakiman.

“Kalau mahkamah telah melanggar Perlembagaan siapa lagi yang kita harapkan untuk jaga Perlembagaan kerana hakim-hakim harus menjunjung dan pertahankan Perlembagaan.

“Perlembagaan kata mahkamah tidak ada kuasa untuk campur atau kaji atau periksa prosiding Dewan, dia buat juga maknanya mahkamah telah melanggar Perlembagaan. Jadi sekarang dalam keadaan kelam-kabut dan keputusan mahkamah dipersoalkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai keputusan Mahkamah Persekutuan Putrajaya memutuskan Speaker Dewan Undangan Negeri Perak V. Sivakumar tidak mempunyai kuasa menggantung Menteri Besar Perak Datuk Seri Zambry Abdul Kadir dan enam Exconya daripada menghadiri sidang Dewan Negeri berkenaan.

“Umno heret Istana untuk sahkan kedudukan ini satu tindakan yang tidak betul dan mengkompromikan kedudukan neutral dan atas politik istana,” katanya.

Katanya DUN Perak perlu dibubar demi kepentingan negeri berkenaan khususnya dari segi kestabilan politiknya.

“Siapa Istana untuk menentang ini, kita harus faham latar belakang mengapa kuasa budi bicara diberikan pada Sultan bukan kuasa mutlak, apa yang berlaku di Perak jelas keengganan Sultan membubarkan Dewan telah memalitkan Istana dengan politik. Ia jelas dan semua nampak ia tidak boleh dinafikan,” katanya.

Wednesday, September 2, 2009

Senario Politik Perak

Pelbagai senario menarik melanda Perak dari awal tahun 2008 sehinggalah penghujung Ogos. Perkembangan politik negeri tersebut mencuri tumpuan rakyat Malaysia malah turut mencatatkan beberapa rekod dunia yang julung-julung kalinya berlaku di Malaysia.

Semuanya bermula sejak pilihan raya umum ke-12, 8 Mac tahun lalu apabila Gabungan parti DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan PAS membentuk kerajaan negeri selepas memenangi 31 dari 59 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) manakala Barisan Nasional (BN) memenangi 28 kerusi pada pilihan raya umum ke-12.

Pada 17 Mac 2008 memperlihatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Panjang dari PAS, Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perak.

Selepas itu, seluruh negara dikejutkan oleh isu lompat melompat yang berlaku di antara Pakatan Rakyat (PR) dan BN, episod bermula apabila ADUN Bota, Datuk Nasaruddin Hashim mengisytiharkan keluar dari Umno dan masuk Parti Keadilan Rakyat maka bermulalah drama lompat melompat parti di Perak.

Melalui senario politik Perak ini, beberapa rekod dunia yang telah dicatatkan:

- Terdapat dua Menteri Besar: Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin dan Datuk Zambry Abdul Kadir.

- Dua barisan Exco: Exco yang sah dibawah pimpinan Nizar dan exco haram pimpinan Zambry.

- Dua speaker: Speaker Pakatan Rakyat, V Sivakumar manakala Speaker Barisan Nasional, R Ganesan.

- Speaker di halang masuk Dewan: Speaker Sivakumar tidak mengiktiraf Ganesan sebagai Speaker dan tolak usul perlantikan. Beliau dikurung dalam bilik selama sejam dan dihalang masuk dewan bagi menghentikan sidang yang dipengerusikan oleh Ganesan.

- Speaker dinafikan kuasa: Sidang DUN Perak 7 Mei tidak sah malah mengenepikan kedudukan dan kuasa Speaker Sivakumar malah pelbagai arahan dan perintah daripada Setiausaha DUN, Abdullah Antung Sabri dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Dr Abdul Rahman Hashim yang tidak mempunyai autoriti.

- Speaker diseret dari kerusinya: Speaker Sivakumar diangkat keluar oleh beberapa anggota polis, gara-gara sidang DUN "disambung" oleh "Speaker Baru" lantikan BN.

- Berpuluh-puluh polis mencemarkan DUN: Kira-kira 50 anggota polis memasuki Dewan dan mengelilingi tempat duduk dan dengan bantuan bentara menarik keluar Speaker Sivakumar.

- Pistol dibawa masuk DUN: Terdapat dakwaan bahawa senjata, termasuk sepucuk pistol, dibawa masuk ke dalam DUN Perak pada 7 Mei.

- Sidang DUN bawah pokok: Sidang tergempar yang diadakan di bawah pokok di kawasan letak kereta berhampiran bangunan sekretariat kerajaan negeri di Ipoh, wakil rakyat Pakatan meluluskan usul menyokong Nizar sebagai menteri besar serta meluluskan pembubaran DUN Perak.

Thursday, August 27, 2009

Sidang Dun Perak: Bahas titah tuanku, gantung Zambry

KUALA LUMPUR, 27 Ogos: Dato' Seri Nizar Jamaluddin yakin Persidangan Dun Perak 2 September depan akan berjalan lancar sekaligus tidak akan mengulangi insiden 7 Mei lalu akibat tindakan BN yang melanggar lunas peraturan dan undang-undang sedia ada.

Sidang minggu depan itu, katanya amat penting kerana titah Sultan Perak, Sultan Azlan Shah belum dibahaskan lagi malah pada 7 Mei itu, tiada persidangan pun yang berlangsung memandangkan keceohan yang berlaku berikutan pelantikan Speaker 'haram' yang baru, yang tidak mengikut peraturan Dun.

Adun Pasir Panjang dan Ahli Parlimen Bukit Gantang itu berkata kepada Harakahdaily pagi ini bahawa sidang itu juga akan membentangkan usul pengantunggan Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir dan Timbalan Speaker Hee Yit Foong oleh Jawantankuasa Hak dan Kebebasan yang dipengerusikan oleh Speaker V. Sivakumar.

Masing-masing dikehendaki membayar denda sejumlah RM500,000 dan RM250,000 setiap seoarang akibat tindakan mereka yang menghina DUN dan kuasa Speaker, katanya.

Bagaimanapun, berhubung status Speaker 'haram' Datuk M Ganesan yang dilantik 7 Mei lalu, Nizar menjelaskan, satu permohonan injuksi akan dibuat untuk menghalang dalam menjalankan tugas Speaker yang masih disandang oleh Sivakumar.

"Selama ini, Adun-adun Pakatan Rakyat Perak senantiasa mengikut peraturan dan yang memulakan kekacauan serta menggunakan pihak keselamatan untuk campur tangan serta mengheret keluar Speaker adalah pihak yang lagi satu.

"Mereka sebenarnya yang menghina Dewan dan Tuanku Sultan. Kita patuh pada peraturan...apabila Speker panggil, kita wajib hadir," katanya ketika dihubungi.

Nizar turut mengulas sidang Dun 'bawah pokok' 3 Mac lalu, berpunca daripada perbuatan menghalang Speaker dan Adun-Adun memasuki bangunan Dewan Undangan Negeri Perak.

Semalam Sivakumar telah memfailkan saman terhadap Setiausaha Kerajaan Negeri Perak Datuk Dr Abdul Rahman Hashim untuk menuntut ganti rugi, ganti rugi teruk dan ganti rugi contoh.

Writ saman itu yang difailkan melalui Tetuan Chan & Associates di pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Ipoh tengah hari semalam, mendakwa Setiausaha Kerajaan Negeri itu atau pekerja atau ejennya telah menghalang beliau dan anggota DUN daripada menghadiri dan memasuki Dewan Negeri yang terletak di Bangunan Perak Darul Ridzuan pada 3 Mac lepas.

Pada 21 Ogos lalu, pihak Adun Pakatan Rakyat telah menghantar notis guaman dan memberi tempoh selama 48 jam kepada Abd. Rahman untuk memberi aku janji supaya tidak campur tangan pada persidangan Dewan 2 September ini.

Sebelum ini turut mengulas isu krisis yang berlaku di Perak ialah pakar perlembagaan, Profesor Dr Abdul Aziz Bari yang berpendapat sidang Dun 7 Mei itu sebagai tidak sah.

Aziz menjelaskan dari awal lagi sidang telah menyingkirkan kedudukan dan kuasa Speaker V. Sivakumar yang kemudian berlanjutan kepada bermacami arahan dibuat oleh Setiausaha Dun dan Setiausaha Kerajaan yang tidak mempunyai bidang kuasa yang sah.

"Hari itu Hee Yit Foong yang bertindak memulakan sidang meskipun Sivakumar ada dan masih belum disingkirkan. Itu belum lagi mengambilkira kedudukan Hee yang sebenarnya masih di dalam penggantungan.

"Bagaimana Hee boleh dibenarkan memulakan prosiding yang kemudian memilih Datuk M Ganesan," soal Aziz.

Paling menyedihkan, kata Aziz lagi, sebagaimana sidang di bawah pokok Mac lalu ,sekali lagi polis memainkan peranan utama.

Aziz menyifatkan kekecohan di Dun Perak itu adalah yang kedua selepas rampasan kuasa oleh BN pada 5 Februari dan pihak polis juga menghalang sidang Dun Perak Mac lalu sehingga ia terpaksa diadakan di bawah pokok kira-kira 100 meter dari premis rasmi.

"Apa yang berlaku di Perak itu bagaikan persetubuhan haram yang melahirkan anak dan cucu yang kemudiannya melibatkan komplikasi dan kekeliruan tentang taraf dan hak anak-anak yang tidak berdosa itu," katanya. _

Sunday, August 9, 2009

Demo 'Bubar Dun Perak' ikut saranan PM - Nizar

KUALA LUMPUR, 7 Ogos (Hrkh) - Siapa yang betul? Perdana Menteri bersedia membenarkan namun Dato' Seri Dr Zambry Abdul Kadir pula berpendapat perhimpunan di stadium akan membuatkan rakyat hidup tidak tenteram.

Malah tidak cukup dengan itu Zambry dipetik sebagai berkata bahawa permintaan Dewan Pemuda Pas Perak untuk menggunakan Stadium Perak di sini sebagai tempat perhimpunan bagi mendesak agar Dewan Undangan Negeri dibubarkan adalah bagi memenuhi keseronokan mereka semata-mata.

Kenyataan ini diselar bekas Menteri Besar Perak Dato' Seri Nizar Jamaluddin yang menyatakan bahawa permohonan untuk berhimpun di stadium itu adalah sejajar dengan saranan Dato' Seri Najib Tun Razak bahawa kerajaan sedia membenarkan dan menyediakan tempat yang bersesuaian kepada mereka yang mahu berhimpun secara aman, seperti di stadium untuk mengelak daripada berhimpun di jalanan.

"Kita boleh bagi mereka stadium, di mana mereka boleh bertempik sampai subuh, tapi janganlah buat kacau di jalanan," kata Najib mengulas perhimpunan anti-ISA, 1 Ogos lalu.

Nizar berpendapat Zambry terpaksa berbeza pendapat dengan Najib kerana bimbang dengan kebangkitan rakyat Perak, yang telah dibuktikan dengan perhimpunan anti-ISA, di mana terdapat jumlah rakyat Perak yang turut serta di samping melaungkan juga gesaan agar DUN Perak dibubarkan.

"Sekarang siapa betul, Najib atau Zambry? Sama ada Najib tidak serius dengan kenyataannya atau Zambry terpaksa lawan cakap bosnya, atau kedua-duanya mempermainkan kenyataan-kenyataan untuk mengelirukan rakyat," katanya ketika dihubungi Harakahdaily sebentar tadi.

Selain itu, jelajah konvoi seluruh Perak yang bakal dianjurkan oleh Pakatan Rakyat untuk gerakan 'Bubarkan Dun Perak' akan diadakan di bulan Puasa dan destinasi yang dituju ialah di Lumut dan Pangkor, kawasan kubu Zambry.

"Rakyat Perak masih bersemangat tinggi, dan kita masih meneruskan tindakan politik serta undang-undang, selagi Dun Perak tidak dibubarkan.

"Saya percaya kerana itulah Zambry takut dan mengeluarkan kenyataan berputar-belit, demi survival politiknya yang makin jatuh di mata rakyat Perak," katanya yang juga Timbalan Dua Pesuruhjaya PAS Perak. - azm _

Monday, July 6, 2009

Penduduk kampung serah memo.


Pengerusi Jawatankuasa Bertidak "selamatkan tanah adat Rembau" menyerahkan memorandum kepada YB Dato' Kamarul Baharin Abbas ( Ahli parlimen Teluk Kemang ) sambil diperhatikan oleh Ketua PKR Cabang Rembau, Badrul Hisham Shaharin dan Setiusaha Majlis Pimpinan Negeri, Sabaruddin Mohd Yassin


Rembau – Babak isu tanah adat penduduk Kampung Waris Tebat, kampung Chuai Hilir dan Kampung Chembong Halt diteruskan apabila Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Selamatkan Tanah Adat Rembau, Haji Chik Tak Dato' Ahmad menyerahkan memorandum kepada Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Sembilan, YB Dato' Kamrul Bahrin Abbas.

Penyerahan memorandum itu adalah bersempena dengan Program “ Pimpinan Negeri turun ke Cabang Rembau” yang diadakan untuk mengenal pasti permasalahan pihak akar umbi di peringkat Cabang (Bahagian ). Majlis pertemuan dan perbincangan ini juga adalah dalam salah satu rangka strategi untuk menawan Negeri Sembilan pada PRU ke 13.

Ketika dihubungi, Haji Chik Tak menyatakan bahawa pihak Jawatankuasa sudah tidak ada pilihan lain selain memohon campurtangan dan bantuan daripada pihak Pakatan Rakyat (PR) dalam mengatasi kemelut ini.

“ Surat telah diserahkan dan pertemuan telah diadakan dengan ADUN ,ahli Parlimen serta kerajaan negeri. Maklumat juga telah diberikan kepada kepimpinan UMNO diperingkat Bahagian, namun apa yang dikesali adalah tiada sebarang reaksi yang diberikan. Majoriti penduduk di sini merupakan ahli UMNO namun kami seolah-olah di anak tirikan apabila alasan yang diberi adalah projek pembinaan landasan keretapi berkembar ini milik kerajaan persekutuan dan undang-undang membolehkan pengambil alihan paksa. Adakah kerajaan negeri ingin mengatakan undang-undang kerajaan pusat digunakan untuk menzalimi rakyat dan membunuh suasana harmoni beradat?” soal beliau.

Ketika menerima memorandum tersebut, YB Dato' Kamrul Baharin Abas yang juga merupakan Ahli Parlimen Teluk Kemang telah memberikan jaminan bahawa Parti Keadilan Rakyat da peringkat Cabang ( bahagian )Rembau dan Negeri Sembilan akan bersama-sama penduduk kampung terbabit untuk memperjuangkan hak mereka. “Pihak parti juga akan menyediakan khidmat nasihat menerusi saluran perundangan agar penduduk kampung dapat menuntut hak mereka. Kita tidak mengira apa jua parti yang mereka dokong namun kepentingan rakyat agar tidak dizalimi adalah menjadi keutamaan kepada kami” kata beliau sambil disambut dengan tepukan dan sorakan tetamu yang hadir.

________________________________________________________________________________

MANA JANJI UMNO UNTUK PERJUANGKAN HAK MELAYU?


Rembau – Setiausaha Parti Keadilan Rakyat Cabang Rembau, Norazizi A. Aziz (gambar) hari ini menyelar kenyataan Khairy Jamaludin agar tidak mempolitikkan isu pengambilan tanah adat di Rembau yang melibatkan pembinaan landasan keretapi berkembar.

“ Parti merupakan wadah perjuangan untuk kita berkhidmat dan berjasa kepada rakyat bukannya kita gunakan untuk menindas rakyat. UMNO merupakan parti yang memperjuangkan hak melayu dan hari ini tanah adat milik orang melayu Rembau bakal tergadai. Adakah beliau sekadar mahu berpeluk tubuh dan hanya melihat hak orang melayu ini dikorbankan dengan menyatakan agar perkara ini jangan dipolitikkan.”

“ Adalah amat memalukan apabila Khairy yang diangkat menjadi Ketua Pemuda UMNO Malaysia tidak mampu melakukan apa-apa untuk memperjuangkan hak orang melayu di tempat beliau sendiri dan beliaulah jaguh yang menyatakan bahawa hanya UMNO yang mampu membela nasib orang-orang melayu.”

“Jika beliau tidak mampu lakukan apa-apa, kita cabar beliau letakkan jawatan Ketua Pemuda UMNO Malaysia serta diangkat kepimpinan lain yang lebih bertanggungjawab dan tidak rasuah kerana kata-kata beliau untuk membela nasib melayu tidak lebih daripada retorik semata-mata.”

Menurut Norazizi lagi sepatutnya Khairy perlu prihatin terhadap permasalahan dan bersama-sama penduduk kampung yang terbabit untuk menangani masalah yang mereka hadapi bukan sekadar bertemu mereka setelah pimpinan Pakatan Rakyat Negeri Sembilan. Ini menunjukkan bahawa beliau yang mempolitikkan isu ini bukan pihak lain.

Ketika dihubungi, Norazizi juga menyatakan rasa kesal terhadap sikap ADUN Chembong yang tidak mahu bertemu dengan penduduk kampung yang terbabit dan hanya hadir bersama ahli parlimen Rembau setelah penduduk kampung memohon bantuan dan campurtangan daripada pihak Pakatan Rakyat.

“ Kita juga dapat maklumat bahawa ADUN ini memperlekeh dan mencabar pihak Pakatan Rakyat agar menangani masalah ini. Dan yang paling dikesali adalah tindakan beliau yang mempersoalkan pihak media yang memberi liputan terhadap isu ini. Beliau harus ingat akhbar adalah bebas untuk melaporkan apa sahaja berita tanpa berat sebelah. Tindakan beliau ini seolah-olah menafikan demokrasi dan kebebasan media. Pesan saya kepada beliau agar lebih fokus menjaga kawasan serta tidak menyalah gunakan kuasa yang ada. Manakala pihak Parti Keadilan Rakyat Cabang Rembau akan menggunakan semua saluran yang ada untuk mempertahankan hak rakyat tanpa mengira kaum.”

Tuesday, May 19, 2009

Mahkamah Tinggi: Sultan tidak boleh pecat MB

Sultan Perak Sultan Azlan Shah tidak boleh memecat Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dari jawatannya kerana beliau (menteri besar) tidak memegang jawatan itu atas perkenan baginda.

Ini keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Abdul Aziz Abdul Rahim pada 11 Mei lalu, bila beliau mengisytiharkan Nizar sebagai menteri besar Perak yang sah.

Dalam penghakiman 78-muka yang dikeluarkan kepada media hari ini, Abdul Aziz berkata sebaik saja menteri besar dilantik, beliau dan majlis exconya bertanggungjawab kepada Dewan Undangan Negeri dan tiada siapa lain.

Beliau berkata ini menurut fasal (2), (5), (6) dan (7) Artikel 16 Undang-undang Tubuh Negeri Perak, lapor Bernama.

"Sebaik saja menteri besar dilantik, menteri besar mentadbir negeri menerusi Majlis Eksekutif dan menasihatkan Sultan mengenai hal ehwal negeri sebagaimana diperuntukkan di bawah Artikel 18 (1) Undang-undang Tubuh Negeri Perak.

Hakim Abdul Aziz berkata Sultan bertindak atas nasihat kecuali dalam perkara di mana Undang-undang Tubuh Negeri Perak memperuntukkan bahawa Baginda boleh bertindak atas budibicara baginda semata-mata.

Beliau berkata berdasarkan peruntukan dalam Artikel 16, ia mensyaratkan bahawa dewan undangan adalah pihak yang menentukan sama ada ia menaruh keyakinan terhadap menteri besar selaku ketua majlis eksekutif menerusi undi tidak percaya terhadap menteri besar.

"Saya berpendapat bahawa pemecatan menteri besar oleh Baginda atau oleh sesiapa lain tidak sekali-kali dipertimbangkan di bawah Artikel 16 (6) Undang-undang Tubuh Negeri Perak," katanya.

Beliau berkata fasal 7 Artikel 16 undang-undang tubuh itu memperuntukkan bahawa kecuali menteri besar, anggota-anggota lain Majlis Eksekutif memegang jawatan atas perkenan Sultan dan mereka (anggota eksekutif) boleh dipecat dari jawatan oleh Sultan yang bertindak atas nasihat menteri besar.

Abdul Aziz berkata Sultan Perak telah menemui dan menginterbiu tiga anggota dewan negeri yang menjadi anggota bebas dan seorang lagi anggota dewan yang sebelumnya keluar dari Barisan Nasional (BN) tetapi kemudian menyertai semula parti itu dan mereka memberitahu Sultan tentang sokongan mereka kepada BN secara sukarela tanpa dipaksa oleh mana-mana pihak.

Abdul Aziz, bagaimanapun berkata, walaupun menerusi pertanyaan Sultan, Baginda berpendapat Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir mendapat sokongan majoriti anggota dewan undangan negeri, ini tidak bermakna Baginda boleh membuat keputusan bahawa Mohammad Nizar tidak lagi mendapat keyakinan majoriti dewan berkenaan.

Beliau berkata pendapat peribadi atau keputusan Sultan tidak relevan kepada maksud Artikel 16 (6) yang memperuntukkan bahawa "jika menteri besar tidak lagi mendapat keyakinan majoriti anggota dewan undangan, maka, kecuali atas permintaannya, Baginda membubarkan dewan, beliau dikehendaki mengemukakan peletakan jawatan majlis eksekutif".

Abdul Aziz mendengar prosiding semakan kehakiman yang dibawa oleh Nizar, 52, memohon writ "quo warranto" dikeluarkan terhadap Zambry untuk memberi sebab atas asas apa atau kuasa apa beliau adalah menteri besar yang sah.

Abdul Aziz kemudian mengisytiharkan Nizar sebagai menteri besar yang sah selepas memutuskan bahawa beliau (Nizar) tidak pernah melepaskan jawatan menteri besar oleh kerana beliau tidak kehilangan keyakinan majoriti dewan undangan negeri.

Nizar, dilantik sebagai menteri besar pada 17 Mac tahun lepas selepas pakatan DAP-PKR-PAS memenangi 31 kerusi dalam plihanraya umum ke-12.

Kedua-dua pihak, bagaimanapun, mempunyai 28 kerusi masing-masing, selepas tiga anggota dewan dari pakatan itu keluar parti untuk menjadi anggota bebas dan yang keempat melompat semula dari PKR kepada Umno.

Sultan kemudian meminta Nizar meletak jawatan menteri besar dan Zambry mengangkat sumpah selepas mengisytiharkan bahawa BN mempunyai majoriti di dewan undangan negeri.

Mahkamah Rayuan, pada 12 Mei, membenarkan perintah penangguhan keputusan itu kepada Zambry dan menetapkan Khamis ini untuk mendengar bersama permohonan Nizar mengetepikan perintah penangguhan.

Dalam penghakimannya, Hakim Abdul Aziz juga berkata beliau tidak meragui bahawa Sultan mempunyai budibicara mutlak berhubung pelantikan menteri besar dan tidak memperkenan permintaan bagi pembubaran dewan undangan negeri.

"Saya tidak pernah meragui tentang pelaksanaan prerogatif diraja untuk melantik seorang menteri besar mengikut Artikel 16 (2) Undang-undang Tubuh Negeri Perak semata-mata berdasarkan pendapat peribadi Baginda.

"Dan bahawa Baginda boleh memilih apa carapun bagi memuaskan hati dan membuat keputusan sewajarnya tentang siapa yang mendapat keyakinan majoriti dewan undangan negeri hingga beliau boleh dilantik sebagai menteri besar untuk memimpin majlis eksekutif," katanya.

Abdul Aziz bagaimanapun berkata perkara yang sama tidak boleh dilakukan berhubung Artikel 16 (6) dalam memutuskan sama ada menteri besar tidak lagi mendapat keyakinan majoriti anggota dewan undangan.

Friday, May 8, 2009

TERKUBURNYA DEMOKRASI KERANA PERBUATAN DURJANA UMNO-BN

Tarikh: 8 Mei 2009

KENYATAAN MEDIA

Kedurjanaan rampasan kuasa di Dewan Undangan Negeri Perak oleh Umno-BN adalah bersifat keji dan hina.

Kajian rambang mendapati bahawa rakyat Perak dan ramai golongan muda, yang telah mengikuti insiden yang melupuskan tamadun dan kemuliaan itu, meronta-ronta jiwa mereka mencari jalan bagaimana pula untuk menguburkan kedurjanaan Umno-BN itu.

Jentera Kerajaan Persekutuan, khususnya Polis Di-Raja Malaysia telah disejarahkan sekali lagi sebagai bersekongkol dengan kedurjanaan ciptaan Umno-BN di Perak. Mereka adalah penyebab kejayaan kesinambungan segala kedurjanaan yang berlaku di Malaysia. Keazliman yang tidak kunjung padam, bahkan semakin menjadi-jadi sejak jawatan Perdana Menteri disandang oleh Najib Razak, akan dirintihkan oleh Rakyat kepada Tuhan mereka sehingga Ia menjatuhkan keputusan terhadap sekelian penzalim.

Penahanan saya di Balai Polis Sungai Senam, Perak adalah tidak sah dan menyanggahi kebebasan dan hak asasi saya sebagai Warga Malaysia, Ahli Parlimen Malaysia dan tetamu undangan ke Dewan Undangan Negeri Perak. Kesemua Ahli-Ahli Yang Berhormat Parlimen, khususnya dari Pakatan Rakyat telah diundang untuk menjadi tetamu di sidang Dewan Undangan Negeri Perak pada 7 Mei 2009 semalam.

Pihak polis telah mengasari saya dan bertindak di luar batasan dan kewarasan yang dituntut oleh undang-undang. Pegawai-pegawai polis yang bertugas telah bersikap seperti robot yang tiada akal fikiran dan enggan mendengar penjelasan saya. Saya telah dikasari oleh polis ketika ingin memasuki Dun Perak dan telah mengalami kecederaan di tangan saya. Surat jemputan untuk saya ke sidang Dun Perak telah dirampas apabila ditunjukkan kepada pihak polis supaya saya diizinkan masuk ke Dewan persidangan.

Pihak polis telah dilihat dan dilapor menangkap rakyat yang berpakaian serba hitam yang berada berhampiran dengan bangunan yang menempatkan Dewan persidangan. Tindakan tersebut juga adalah menyalahi Perlembagaan Persekutuan yang memberikan hak kebebasan dalam soal peribadi kepada rakyat, selagi mana ia tidak mengganggu ketenteraman awam.

Kesangsian rakyat terhadap Umno-BN sudah semakin menebal hasil dari perbuatan durjana Umno-BN di Perak. Keadaan itu boleh diselamatkan dari menjadi lebih parah dengan pembubaran segera Dewan Undangan Negeri Perak dan untuk memulihkan demokrasi di mata rakyat dan dunia seluruhnya.


ZURAIDA KAMARUDDIN
Ketua Wanita KEADILAN
Ahli Parlimen Ampang

Thursday, May 7, 2009

Persidangan DUN Perak: Satu Dewan bertambah sengit

Berikut perkembangan terkini di Perak:

1.00 Tengahari - Ganesan cuba membuat drama secara kasar menarik kerusi speaker tetapi cubaan itu tidak berjaya. Kedua-dua mereka Sivakumar dan ganesan bersetuju menangguhkan dewan sehingga jam 2.00 petang.

Raja Nazrin Shah juga dilaporkan masih berada di tingkat dua bangunan menunggu keputusan selanjutnya.

12. 55 Tengahari - Ganesan cuba jalan tugasnya tetapi dihalang Adun Pakatan Rakyat. Keadaan kecoh ini hampir mencetuskan pergaduhan apabila salah seorang Adun BN dan Adun Pakatan Rakyat dalam pertikaman lidah tadi dan dewan kembali kecoh dan tidak menentu.

Speaker Sivakumar masih dikerusinya.

Speaker mengarahkan Ganesan keluar dewan dengan kuasa yang ada padanya.

12. 40 Tengahari - Wanita DeADILan Zuraida Kamaruddin digari sehingga tangan beliau tercedera, beliau akan membuat laporan polis selepas pemeriksaan kesihatan. Beliau kini masih lagi ditahan di balai polis Sungai Senang berhampiran stadium Ipoh bersama kira-kira 60 orang telah ditahan.

Ketua Angkatan Muda KeADILan Shamsul Iskandar Mohd Akin kini menuju ke Balai Polis Sungai Senang untuk membuat perundingan dengan pihak polis.

12. 35 Tenghari - Speaker V Sivakumar masih tidak berganjak dari kerusi. Beliau tetap menegaskan sidang tidak akan bermula sehingga mereka yang telah digantung keluar dewan.

12.22 Tengahari - Adun BN sedang berkerumun adun Jelapang Yee Yit Foong dalam dewan seperti bersidang bawah pokok untuk cuba merampas kuasa speaker.

Keadaan menarik itu disaksikan oleh semua adun Pakatan Rakyat dan disaksikan oleh pegawai-pegawai kerajaan dan tamu yang hadir.

Dalam sidang “haram” mereka telah melantik calon yang dicadangkan bekas adun Sungkai, R. Ganesan.

12.00 Tengahari - Pengarah Strategik KeADILan yang menjadi pemerhari dalam dewan menyatakan bahawa hari ini dunia menyaksikan Barisan Nasional mempersendakan demokrasi dan memperlekehkan serta melanggar undang-undang tubuh Kerajaan berpelembagaan dengan membelakangkan Raja.

“Mereka membuat drama dengan tindakan serta kelakuan yang melucukan di dalam dewan. Mereka begitu lantang mempersendakan undang-undang,” kata beliau kepada Suara Keadilan

11.50 Pagi - Speaker V. Sivakumar membuat kenyataan bahawa Barisan Nasional tidak menghormati undang-undang dan menafikan membuat persidangan berasingan satu dewan tapi dua sidang. Dewan seolah-oleh menjadi sidang yang tidak bertamadun.

11.40 Pagi - V. Sivakumar memulakan semula persidangan Dun walaupun R. Ganesan, menangguhkannya sebentar tadi.

Walaupun tanpa mikrofon, Sivakumar tetap meneruskan arahannya yang awal agar tujuh Adun BN termasuk Zambry dan tiga wakil bebas meninggalkan dewan.

Jika mereka enggan berbuat demikian, beliau enggan memulakan persidangan tersebut.

Kedua-dua pihak bertikam lidah sekali lagi dari tempat duduk masing-masing, tidak seperti tadi.

Wakil-wakil rakyat Pakatan Rakyat berkumpul di sekeliling Menteri Besar mereka Mohammead Nizar Jamaluddin dan berbincang dengan mereka untuk tindakan selanjutnya.

Kedua-dua pihak masih bertegang leher tetapi tidak tidak sehangat tadi.

Zambry membawa usul agar persidangan dewan ditangguhkan dan ia diluluskan. Persidangan dewan ditangguhkan, kata Ganesan.

Pemangku Raja Perak, Raja Nazrin Shah yang dijadualkan membuka secara rasmi persidangan hari pertama belum boleh memasuki dewan.

Wakil-wakil BN berdiri mengelilingi timbalan Speaker, Hee Yit Fong dan Zambry.

Mikrofon Speaker kini dimatikan tetapi mikrofon depan Hee dan Zambry masih berfungsi walaupun telah dimatikan sebelumnya.

Dengan perlindungan kumpulan Adun BN itu, Hee mengumumkan beliau kini sebagai pemangku Speaker dan mengarahkan pengawal keselamatan dewan menghalau V Sivakumar daripada kerusi Speaker.

Mereka bagaimanapun tidak bertindak mematuhi arah tersebut.

Sivakumar masih duduk bertahan di kerusinya, sambil menjerit “Speaker (Ganesan) ini haram”, “selagi Speaker ada di sini, Speaker ini (Ganesan) adalah haram” dan “Perak ada Speaker haram.”

Ganesan kini cuba mengambil alih perjalanan dewan dan wakil-wakil BN membawa beberapa usul lagi.

Sivakumar kemudian bangun semula dan mengumumkan - tanpa mikrofon - semua usul yang dibawa sebentar tadi ditolak oleh beliau sebagai Speaker.

11.20 Pagi: BN tanpa mengikut undang-undang melantik R. Ganesan daripada MIC untuk menjadi speaker Dewan walaupun Sivakumar masih Speaker yang sah

Perlantikan ini dibuat ketika Sivakumar masih lagi duduk di kerusi speaker dan Ganesan kelihatan memakai baju speaker tanpa duduk di kerusi yang diperuntukan kepada Speaker. Beliau kemudian mengutuskan untuk menangguhkan dewan sehingga jam 12.15 tengahari.

11. 00 Pagi - Zambry yang masih berdegi enggan keluar dewan telah membacakan usul memecat Speaker Dun Sivakumar dari jawatan Speaker dan ia disokong sebulat suara oleh 27 Adun BN dan tiga Adun Bebas dengan mengangkat tangan.

Bagaimanapun, Sivakumar berkata, Adun yang telah digantung tidak boleh membawa usul dan ia dianggap sebagai tidak sah.

Sivakumar dengan lantang sekali lagi berkata “Selagi orang yang diarah keluar ada dalam dewan, Dewan tidak akan bersidang,”

11. 00 Pagi - Zambry yang masih berdegi enggan keluar dewan telah membacakan usul memecat Speaker Dun Sivakumar dari jawatan Speaker dan ia disokong sebulat suara oleh 27 Adun BN dan tiga Adun Bebas dengan mengangkat tangan.

Bagaimanapun, Sivakumar berkata, Adun yang telah digantung tidak boleh membawa usul dan ia dianggap sebagai tidak sah.

Sivakumar degnan lantang sekali lagi berkata “Selagi orang yang diarah keluar ada dalam dewan, Dewan tidak akan bersidang,”
10.50 Pagi - Persidangan Dun Perak tegang apabila Speaker V. Sivakumar terus mengulangi bahawa usul yang dibawa Zambry untuk menggantikan beliau terbatal dan tidak sah, namun Zambry tetap berdegil dengan menyatakan bahawa Speaker itu telah diganti.

Speaker mengarahkan pengawal keselamatan dewan menghalau keluar tujuh wakil rakyat BN, termasuk Zambry, dan tiga bebas. Pengawal bagaimanapun enggan berbuat demikian.

Suasana kecoh di dalam dewan apabila kedua-dua kumpulan wakil rakyat BN dan Pakatan Rakyat masing-masing bangun untuk campur tangan keputusan Speaker.

Sekumpulan Adun Pakatan Rakyat menghalang setiausaha dewan Abdullah Antung Sabri yang juga digantung tugasnya duduk di depan Speaker untuk memulakan persidangan.

Mereka menggesa Abdullah agar tidak campur tangan dengan alasan beliau hanya seorang kakitangan kerajaan.

Tindakan itu mendorong wakil-wakil rakyat BN bangun dan turut berhujah. Kedua-dua pihak saling bertengkar dan menjerit-jerit. Suasana dewan menjadi tidak tentu hala.

Bagaimanapun tiada pergaduhan fizikal berlaku.

Zambry cuba berkata sesuatu tetapi Speaker menjawab bahawa beliau enggan mendengarnya. Adun-Adun Pakatan Rakyat cuba menghalang Zambry bercakap.

Cubaan membawa usul menggantikan Speaker tetapi ditolak.

9.55am Speaker Dun V. Sivakumar mengarahkan Zambry Abd Kadir dan enam exconya - yang ditanggung oleh jawatankuasa khas dewan tersebut - keluar.

Speaker Dun mempunyai kuasa tersendiri dalamsidang legislatif perlembagaan tida mengiktiraf keputusan mahkamah yang telah membatalkan penggantungan yang dibuat oleh Dun.

Sivakumar, yang mengetuai jawatankuasa hak dan kebebasan Dun Perak, juga mengarahkan tiga Adun bebas meninggalkan dewan.

Ketiga-tiganya dianggap telah meletakkan jawatan awal Februari lalu, sebelum rampasan kuasa BN.

Wakil-wakil Pakatan Rakyat menepuk meja dan menjerit “keluar” ke arah 10 Adun tersebut, tetapi mereka masih berdegil.

Adun Pakatan Rakyat dan BN masing-masing menjerit ke arah satu sama lain.
IPOH, 7 Mei (SK) : Persidangan Dun Perak yang menjadi topik hangat hari ini bermula seawal menjelang subuh hari ini apabila

sekumpulan 200 penyokong Pas mengadakan solat hajat di Manjoi, beberapa kilometer dari pusat bandar Ipoh.

Berikut perkembangan terkini di Perak:

9.24am Zambry Abd Kadir tiba untuk memeriksa perbarisan di luar dewan Dun sebelum pembukaan rasmi sidang.

Beliau berjabat tangan dengan Speaker Dun V. Sivakumar, juga seorang Adun Dap bagi Tronoh.

9.23am Bilangan anggota polis yang kebanyakan berpakaian biasa - dalam vest kuning bertulisan “polis” - semakin ramai di bangunan

Umno.

Suasana tenang, helikopter kelihatan mengawal dari udara.

8.50am Sekurang-kurangnya 11 orang ditahan polis, termasuk ahli parlimen KeADILan-Ampang, Zuraida Kamaruddin, Adun Teratai

(Selangor) Janice Lee dan Adun Ayer Keroh (Melaka) Khoo Poay Tiong.

8.40am Semua lebih kurang berada di perkarangan lobi bangunan Umno Perak, beberapa kilometer Adun bersidang dengan aman.”

Mereka juga melaungkan “daulat tuanku.”

8.35am Mohammed Nizar dan semua Adun Pakatan Rakyat masuk ke Bangunan Perak Darul Ridzuan. Semua pengawal peribadi

mereka disekat masuk di pintu utama. Pemandu dibenarkan masuk.

8.30am Semua Adun BN tiba di Bangunan Perak Darul Ridzuan dalam sebuah bas. Mereka disambut oleh sekumpulan penunjuk

perasaan yang berpakaian hitam di luar bangunan tersebut - yang menempatkan Dun Perak.

Tiga orang ditahan polis, termasuk Adun Ayer Keroh (Melaka) Khoo Poay Tiong.

7.55am Kira-kira 100 penyokong BN berkumpul di bangunan Umno, beberapa kilometer dari bangunan Dun Perak.

7.45am Kawalan keselamatan ketat di Bangunan Perak Darul Ridzuan - yang menempatkan Dun Perak - bagi menghadapi sebarang

kemungkinan pada hari pertama persidangan yang akan dibuka secara rasmi oleh Raja Muda Perak.