Wednesday, July 31, 2013

DUN Chuah: Lagi masalah saliran tidak diselenggara di Kg India, Bukit Pelandok.



Keterangan gambar: ADUN Chuah, YB Chai Tong Chai melawat dan melihat longkang yang tersumbat kerana dipenuhi rumput kerana tidak diselenggara di Kampung India, Bukit Pelandok.

Masalah saliran tidak diselenggara oleh pihak berwajib yang menyebabkan longkang atau parit tersumbat atau dipenuhi sampah/tumbuhan adalah kerap berlaku di sekitar Bukit Pelandok kerana faktor geografi kawasan ini berhampiran dengan laut dan kawasan berpaya.

Kelewatan atau kegagalan pihak berwajib menjalankan tugas penyelenggaraan dan pembersihan saliran akan menyebabkan aliran air parit dan longkang tersumbat. Ia bertambah sulit lagi ketika waktu hujan atau musim hujan. Keadaan semulajadi di sekitar kawasan ini yang berlaku pertumbuhan rumput atau tumbuhan yang cepat memerlukan saliran seperti ini kerap diselenggarakan.

Keadaan ini juga memerlukan pihak bertanggungjawab khususnya Ahli Majlis-Ahli Majlis PBT yang ditugaskan menjaga kawasan terbabit melaksanakan peranan mereka. Jika tidak, peranan mereka terpaksa dipikul pula oleh wakil rakyat.

Monday, July 29, 2013

Kes Tembak: Rafizi dakwa Sanjeevan mahu dedah memo polis

Pengarah strategi PKR Rafizi Ramli mendakwa aktivis anti-jenayah R Sri Sanjeevan yang cedera parah akibat ditembak pada Sabtu lalu merancang untuk mendedahkan satu memo didakwa mengaitkan anggota polis dengan sindiket dadah.


Rafizi mendakwa: “Sanjeevan berkata beliau memperolehi satu memo dalaman polis, yang menyenaraikan pengawai polis yang dikenakan siasatan dalam atas (dakwaan) terlibat dalam sindiket dadah”.

Rafizi dalam satu sidang media hari ini mengulas mengenai pertemuannya selama 20 minit dengan Sanjeevan sehari sebelum kejadian tembakan itu.

Rafizi berkata, pengerusi MyWatch itu memberitahunya bahawa kesalahan berkenaan sangat serius dan membawa hukuman berat sekiranya disabit kesalahan.

Bagaimanapun, Sanjeevan tidak mendedahkan nama pegawak polis terlibat, kata Rafizi.

Katanya, malang sekali Sanjeevan tidak menyatakan nama berkenaan kepadanya.

Hari gelap buat Mesir – Anwar

Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan pembunuhan beramai-ramai penyokong pro Morsi dan anggota Ikhwanul Muslimin berdekatan Masjid Rabaa al-Adawiya semalam merupakan hari paling ‘gelap’ di Mesir sejak berlakunya Arab Spring di wilayah itu.PC ANWAR
Sehubungan itu, beliau mengajak semua pihak mengutuk sekeras-kerasnya komplot Pasukan Keselamatan yang diketuai Jeneral Abdel Fattah al-Sisi bersama pimpinan kerajaan sementara yang tidak sah kerana membunuh rakyat Mesir yang tidak berdosa.
“Pembunuhan lebih 100 penyokong pro-Morsi dan ahli Ikhwan Muslimin di sekitar Masjid Rabaa al-Adawiya, Kaherah menandakan hari paling gelap untuk Mesir sejak berlakunya Arab Spring.
Egypt
Jenazah penyokong Morsi yang terkorban diserang menjelang sahur di depan Universiti Al-Azhar pagi tadi
“Saya mengutuk pertumpahan darah yang dilakukan oleh tentera dan pasukan keselamatan ini. Panglima tentera Jeneral Abdel Fattah al-Sisi bersama-sama dengan pemimpin-pemimpin kerajaan sementara yang tidak sah di Mesir bertanggungjawab atas semua ini.
“Saya menyeru semua pihak seluruh dunia mengutuk pembunuhan orang awam yang tidak berdosa dan memanfaatkan kuasa masing-masing untuk menghentikan pembunuhan beramai-ramai ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Rangkaian televisyen Al Jazeera melapor 120 mati dan 4,500 cedera dalam serangan ke atas penyokong Ikhwan berdekat masjid itu.
Jurucakap Ikhwanul Muslimin, Gehad El-Haddad berkata, tentera mula menembak sebelum solat Subuh.
“Mereka menembak bukan untuk mencederakan, tetapi sengaja untuk membunuh. Kepala dan dada menjadi sasaran,” katanya.
Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=54598

KEADILAN tubuh j/kuasa siasat isu kenaikan tarif elektrik mendadak

KEADILAN membentuk satu jawatankuasa bagi menyiasat isu peningkatan mendadak bil elektrik yang berpunca dari program pemasangan meter elektrik baru jenis digital oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Jawatankuasa itu dianggotai Naib Presiden, Datuk Chua Jui Meng; Ahli Parlimen Wangsa Maju, Datuk Dr Tan Kee Kwong; Adun Sri Andalas, Dr Xavier Jayakumar dan Ahli Parlimen Kelana Jaya, Wong Chen.
PC“Kita mendengar rungutan ramai bahawa bil elektrik naik mendadak selepas meter lama ditukar kepada meter baru jenis digital. Adakah penukaran meter digital itu benar-benar tepat, ini yang kita perlu tahu,” kata Wong Chen.
Pengerusi Biro Pelaburan dan Perdagangan itu berkata demikian pada sidang media di ibu pejabat parti di sini hari ini.
Menurutnya, Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air sebelum ini telah mengarahkan program penggantian meter itu dihentikan apabila mendapat rungutan ramai yang tidak bersetuju.
Dalam masa sama, Menteri sendiri tidak pasti adakah TNB mematuhi arahan tersebut hingga ke hari ini.
Sementara itu Jui Meng menegaskan, kenaikan bil tidak munasabah yang berlaku sesudah proses penukaran meter hanya akan membebankan rakyat dan ia tidak wajar.
Selain isu tersebut, ahli jawatankuasa berkenaan juga akan membawa lebih banyak isu dari semasa ke semasa, bagi memberi kefahaman kepada orang awam berkaitan penggunaan tenaga elektrik.
Jawatankuasa tersebut turut merancang menyerahkan petisyen kepada pihak berwajib dan mahu menubuhkan laman web untuk kempen ini.
Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=54574

Pengerusi MyWatch ditembak

dipetik daripada Sinar Harian.com.my




SEREMBAN - Pengerusi sebuah badan bukan kerajaan (NGO), MyWatch, R Sri Sanjeevan, 29, cedera parah akibat ditembak dua lelaki dipercayai India di persimpangan Taman Cempaka, Bahau, Jempol di sini, kelmarin.

Ketua Polis negeri, Datuk Osman Salleh berkata, dalam kejadian 3.40 petang itu, mangsa sedang memandu kereta jenis BMW bersama seorang rakannya menghala ke Pekan Bahau.

“Namun sebaik sampai di persimpangan Taman Cempaka, datang sebuah motosikal jenis Yamaha berwarna merah menghampiri keretanya, lalu melepaskan satu das tembakan ke arah mangsa yang ketika itu sedang hisap rokok, dari jarak dekat.

“Tembakan tersebut kemudiannya mengenai siku kanan dan menembusi lengan sehingga menyebabkan kecederaan di bahagian rusuk kanan mangsa.

“Mangsa kemudiannya sempat memecutkan kereta kira-kira 300 meter, sebelum rakannya mengalihkan mangsa di kerusi belakang dan menghantarnya ke hospital Bahau.

“Mangsa kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil setelah dipindahkan ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban bagi menjalani proses pembedahan mengeluarkan peluru,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media yang diadakan di Bilik Media Ibu Pejabat Kontijen Polis Negeri, di sini, semalam.

Turut hadir, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Hamdan Majid dan Ketua Polis Daerah Jempol dan Superintendan Hamzah Alias.

Tambah Osman, punca kejadian masih dalam siasatan namun pihaknya tidak menolak kemungkinan kejadian tersebut bermotifkan dendam.

Menurutnya, bagi memastikan keselamatan mangsa terjamin, pihaknya telah menempatkan beberapa anggota polis untuk mengawal di bilik mangsa agar tiada sebarang gangguan berlaku.

Dalam pada itu, Osman memberitahu, 12 jam sebelum mangsa ditembak, dia ada memberitahu melalui laman sosial, Twitternya dia menerima ugutan bunuh daripada individu tidak dikenali.

Namun kata Osman, kenyataan itu hanya diberitahu di laman sosialnya sahaja, dan tiada sebarang laporan polis dibuat di mana-mana balai di negeri ini.

Osman berkata, pihaknya telah menubuhkan satu pasukan khas untuk menjalankan siasatan terhadap kes ini yang akan dikendalikan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman dengan bantuan pasukan polis Negeri Sembilan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

Osman berkata, kepada mana-mana pihak yang mempunyai maklumat kejadian tersebut diharap dapat tampil untuk membantu siasatan.

"Sehingga kini maklumat terhadap dua lelaki bermotosikal itu masih belum dapat dikenal pasti berikutan tiada maklumat nombor pendaftaran motosikal tersebut," katanya.
____________________________________________

Sri Sanjeevan juga merupakan Exco Angkatan Muda (AMK) Negeri Sembilan.

Friday, July 26, 2013

Dialog Peneroka & Sumbangan Kurma kepada Ranting Palong 2




Pada 25 Julai 2013/Khamis lalu, satu pertemuan dan dialog dengan beberapa wakil peneroka Palong 2 telah berlangsung di rumah Ketua Ranting Palong 2.

Dialog tersebut adalah berkenaan duit dividen peneroka yang disyaki telah disalahgunakan oleh pengurusan rancangan.

Selepas dialog, saudara T.Kumar yang merupakan peguam dan Naib Ketua Cabang Jempol telah menyerahkan sumbangan buah kurma kepada JK Ranting Palong 2.

Monday, July 22, 2013

BN tabur wang RM377 juta di Kuala Besut

Umno BN menaburkan janji dan sogokan sebanyak RM377.45 juta sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Kuala Besut, kata Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Dr Hatta Ramli.
Katanya, jumlah itu diperolehi daripada pengumuman yang dibuat pemimpin Umno BN dan dilaporkan dalam media.
Sebagai contoh katanya, projek mendalamkan Sungai Besut yang diluluskan sebanyak RM250 juta dan penambahbaikan empangan di Pengkalan Nangka berjumlah RM35 juta.
Menurutnya, jika pilihan raya kecil itu tidak ada, rakyat di kawasan itu akan terus dipinggirkan  kerajaan negeri dan pusat. Sehubungan itu,  Hatta mempersoalkan dari sumber mana wang tersebut digunakan BN.
“Adakah perbelanjaan daripada kerajaan persekutuan, atau menggunakan dana khusus atau daripada royalti rakyat Terengganu?,” katanya dipetik Malaysiakini.
Menurut Hatta, adalah penting Kuala Besut dimenangi Pakatan Rakyat bagi menentukan jumlah kerusi 16:16 di negeri itu  dan memastikan BN tidak boleh membuat keputusan sesuka hati.
Dalam sidang media juga, Dr Hatta turut mengedarkan senarai “peruntukan dan habuan” yang dilaporkan oleh media arus perdana termasuk menaiktaraf Masjid Haji Ishal, Kampung Dengir sebanyak RM343,000; projek pembinaan Sekolah Menengah Kebangsaan Alor Peroi, Tok Saboh RM28 juta.
Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=54454

Fitnah II: Anwar bantah rayuan diketuai peguam Umno

(Oleh: Aisha Geoffrey)
KUALA LUMPUR 22 JULAI: Pasukan peguam Datuk Seri Anwar Ibrahim membantah perlantikan peguam pro Umno, Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah yang mengetuai pasukan pendakwaan bagi kes rayuan Fitnah II di Mahkamah Rayuan Putrajaya.

Menurut Anwar, notis bantahan diserahkan kepada mahkamah kerana jelas kes tersebut bermotif politik dan bertujuan menghentikan kegiatan politik beliau.
“Kita mempersoal kepentingan kerajaan dalam melantik Shafee yang jelas prejudis terhadap kes ini untuk mengetuai pendakwaan,” kata Ketua Umum KEADILAN itu kepada media.
“Dengan sikap prejudis Shafee mustahil kes ini ditangani secara profesional, kita faham mungkin kerajaan kekurangan peguam profesional untuk mengetuai kes ini,” sinis beliau.
Shafee sebelum ini mendapat kecaman pengguna internet kerana dikatakan merangka konspirasi dengan pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk memusnahkan imej Ketua Pembangkang itu.
Dalam pada itu, Anwar turut menyifatkan rayuan kes itu sebagai dendam kesumat Peguam Negara, Tan Sri Abdul Ghani Patail serta Najib Razak , meskipun beliau dibuktikan tidak bersalah pada 9 Januari tahun lalu.
“Saya telah jelaskan bahawa rayuan ini adalah kerana dendam kesumat Peguam Negara dan keputusan kerajaan untuk meneruskan kes ini kerana Najib yang mahu menghalang kebebasan yang saya perolehi,” katanya.
Anwar diwakil peguam, Karpal Singh dan Ramkarpal. Bagaimanapun, Karpal tidak dapat hadir kerana sakit dan dimasukkan ke hospital. Mahkamah kemudiannya menangguhkan perbicaraan sehingga 1 Ogos 2013 untuk pengurusan kes dan menetapkan satu tarikh baru untuk perbicaraan.
Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=54471

Fitnah II: Cubaan penjarakan semula Anwar

KUALA LUMPUR 21 Julai: Rayuan terhadap keputusan kes Fitnah II adalah cubaan Umno BN untuk mengheret semula Datuk Seri Anwar Ibrahim ke penjara, kata Naib Presiden KEADILAN, N Surendran.
Menurut Surendran, Mahkamah Tinggi telah membebaskan Anwar dari tuduhan tersebut pada Januari tahun lalu dan umum mengetahui ia merupakan konspirasi politik peringkat tertinggi untuk menjatuhkan Anwar.
Malah, katanya, konspirasi itu turut melibatkan institusi seperti polis dan pejabat peguam negara  diketuai Tan Sri Abdul Gani Patail.
“Rayuan ini tak sepatutnya difailkan. Semua orang tahu Gani Patail (peguam negara) orang suruhan Umno. Mahkamah dan polis hanya digunakan untuk menindas dan memenjarakan Anwar,” kata Surendran.
Beliau mengulas kes rayuan berkenaan yang akan berlangsung di Mahkamah Rayuan Putrajaya, esok, ekoran  rayuan kerajaan terhadap pembebasan  Anwar, 9 Januari tahun lalu.
Kes tersebut, yang sebelum ini dilihat sebagai konspirasi kedua mengaibkan Anwar, dijangka sekali lagi menarik perhatian media dalam dan luar negara apabila ia dibicara di peringkat rayuan.
Menurut Surendran, Umno BN kini kehabisan modal untuk melakukan apa sahaja bagi menyekat kebangkitan Pakatan Rakyat ke Putrajaya, termasuk memenjarakan semula Anwar.
“Itu cara terbaik Umno-BN mematahkan kemaraan Pakatan Rakyat ke Putrajaya dalam pilihan raya umum akan datang. Mereka fikir cara terbaik untuk terus berkuasa ialah memenjarakan Anwar,” kata N Surendran.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Januari tahun lalu membebaskan Anwar atas tuduhan meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan di Kondominium Desa Damansara antara jam 3.10 dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008.
Anwar, 65, yang juga ketua pembangkang dan ahli parlimen Permatang Pauh, didakwa mengikut Seksyen 337B Kanun Keseksaan. Jika sabit kesalahan beliau boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan sebatan.
Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=54460

Thursday, July 18, 2013

KEADILAN tubuh pasukan khas siasat isu persempadanan semula

KUALA LUMPUR 17 JULAI: KEADILAN menubuhkan sebuah pasukan khas untuk mengkaji segala maklumat berhubung persempadanan semula kawasan pilihan raya.
Pasukan itu yang diketuai Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli dan Ahli Parlimen Kelana Jaya, Wong Chen akan menumpukan kepada seluruh sistem serta teori berkaitan persempadanan semula.
persempadan-semula
Rafizi yang juga Pengarah Strategi KEADILAN berkata, kerajaan dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sepatutnya perlu melibatkan Ahli Parlimen Pakatan Rakyat dalam rundingan untuk menambah kerusi sekiranya persempadanan semula dilakukan.

“Keadaan sekarang jauh lebih rumit kerana kerajaan memerlukan undi dua pertiga dari Pakatan sekiranya mahu menambah kerusi. Oleh itu SPR tidak ada pilihan lain selain merundingkan perkara ini dengan Pakatan,” katanya kepadaKeadilan Daily.
“Sebab itu pasukan khas ini menumpukan perhatian segala aspek berkaitan persempadanan semula supaya bila rundingan bermula, kita sudah ada maklumat lengkap berhubung perkara itu,” jelas Rafizi.
SPR sehingga kini dilaporkan belum dapat memastikan bahagian-bahagian pilihan raya yang terlibat dengan pertambahan kawasan Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) kerana urusan kajian semula persempadanan masih di peringkat persiapan awal.
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim pada 15 Julai lalu berkata, SPR akan menyiarkan syor kajian semula persempadanan bahagian-bahagian pilihan raya dalam warta dan juga dalam sekurang-kurangnya satu akhbar yang diedarkan dalam bahagian pilihan raya itu apabila SPR memutuskan untuk memulakan kajian semula persempadanan.
Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=54394

Saman pilihan raya terhadap SPR tak langgar perlembagaan

Saman terhadap tujuh ahli Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak melanggar perlembagaan, kata ahli parlimen Subang, Sivarasa Rasiah.
Beliau membidas kenyataan Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wan Ahmad yang mengatakan cubaan mengetepikan seluruh keputusan pilihan raya umum ke-13 di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bercanggah dengan Perlembagaan.
“Timbalan Pengerusi dan tujuh ahli SPR didakwa enggan dan dengan sengaja menyebabkan kegagalan dakwat kekal.
“Mereka bertindak menipu, memungkiri hak berperlembagaan plaintif,” kata Sivarasa pada sidang media di lobi parlimen hari ini.
sivarasa_rasiah
Kata Sivarasa, sekiranya mahkamah menemui bahawa SPR curang dan melanggar hak perlembagaan, Pakatan Rakyat akan mendapatkan ‘consequential reliefs’ bahawa 222 kawasan parlimen tidak sah.
“Dan pegawai SPR sama perlu disingkirkan, manakala pilihan raya semua boleh dijalankan oleh anggota baru yang boleh dipercayai,” katanya.
Sivarasa merujuk kes Union Bank of India lawan Association for Democratic Reform (2005) 5 SCC 294 di mana Mahkamah Agung India, dalam satu cabaran perlembagaan mengeluarkan arahan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya.
“Kes tersebut tidak difailkan sebagai petisyen pilihan raya. India mempunyai peruntukan sama dengan Perkara 118 Perlembagaan Persekutuan kita yang membolehkan bahawa satu cabaran kepada satu pilihan raya boleh dibuat melalui petisyen pilihan raya.
“Pakatan Rakyat sedar bahawa kebebasan mahkamah akan berlaku kontraversi terutamanya melibatkan kes politik berprofil tinggi.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=54422

Lebih RM20j kompaun AES dikutip, kroni kaya rakyat terbeban

KUALA LUMPUR 18 JULAI: Kerajaan berkongsi keuntungan hasil pelaksanaan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) bersama kroni dengan cara membebankan rakyat, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bandar, Azan Ismail.
Beliau mengulas jawapan bertulis Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein di Dewan Rakyat semalam bahawa kerajaan berjaya mengutip sebanyak RM20,020,500 juta kompaun hasil AES bermula 11 Jun 2013 hingga 23 September 2012 dengan kutipan lebih kurang 10 peratus.
AES
Dinyatakan juga dalam tempoh yang sama, sebanyak 673,339 saman kesalahan AES dikeluarkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

“Kerajaan masih belum merubah sikap suka memberi keuntungan kepada kroni dengan mengambil wang rakyat,” kata Azan mengulas perkara itu.
Menurutnya, kerajaan sebelum ini menyatakan dalam Parlimen segala kos penyelenggaraan dan pemasangan AES akan ditanggung syarikat swasta dan kerajaan akan menerima sebahagian dari bayaran kompaun.
“Maknanya, sah kewujudan AES itu bermotifkan keuntungan berbanding keselamatan pengguna jalan raya. Sebab itulah kerajaan bersungguh mahu laksanakan sistem ini,” jelasnya kepada Keadilan Daily.
Beliau turut mempersoal keterlibatan agensi penguatkuasaan seperti JPJ dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dalam melaksanakan AES.
“AES dikawal oleh syarikat swasta tetapi menggunakan agensi kerajaan, bermakna mereka menggunakan khidmat pegawai kerajaan secara percuma. Hasil kutipan pula diambil bulat-bulat tanpa mengira gaji atau elaun pekerja yang terlibat,” katanya.
“Sebab itu kita kata kerajaan dan kroni berkongsi keuntungan, rakyat pula dibebankan, syarikat kroni seolah-olah mendapat keuntungan atas angin. Produk tiada tetapi dapat wang berjuta-juta,” jelas Azan.
Perkhidmatan AES dikendalikan syarikat Beta Tegap Sdn Bhd dan ATES Sdn Bhd. Sebanyak 14 kamera AES telah beroperasi di seluruh negara.
Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=54429

'Beri peluang MP teliti RUU Akta Keharmonian'

MP Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar berkata kerajaan memberi ruang kepada para MP untuk meneliti deraf Rang Undang-undang Akta Keharmonian Nasional terlebih dahulu sebelum ia dibentangkan dalam persidangan Dewan Rakyat.

Katanya, para MP wajar dibekalkan dengan deraf berkenaan memandangkan kerajaan mendakwa kandungannya sedang dirunding dengan beberapa pihak.


"Jawapan di Parlimen daripada menteri mengenai Akta Hasutan ialah kerajaan sedang buat rundingan dengan beberapa pihak berkaitan untuk ganti Akta Hasutan dengan Akta Keharmonian. 

"Jadi saya rasa wajib beri deraf pada semua ahli parlimen termasuk Pakatan Rakyat kerana kandungan akta ini tak siapa yang tahu. Bagaimana rundingan berlaku bila ahli parlimen tak dapat deraf. 

"Sesi akan datang ialah pada September dan tak ada alasan kerajaan tak beri salinan. Rakyat wajib tahu kerana undang-undang ini kerana beri kesan pada kita," katanya.



Beliau berkata demikian dalam sidang media di lobi Dewan Rakyat yang turut dihadiri dua lagi MP PKR, Tian Chua dan Shamsul Iskandar Mohd Akin. 

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada 11 Julai lalu mengumumkan Akta Hasutan 1948 akan dimansuhkan dan digantikan dengan Akta Keharmonian Nasional. 

Rafizi ulang lagi, kait SPR dengan pembekal dakwat


MP Pandan Rafizi Ramli hari ini mengulangi dakwaan bahawa bahawa pemimpin tertinggi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mempunyai hubungan rapat dengan pembekal dakwat kekal yang digunakan semasa pilihan raya.


Rafizi mengulangi dakwaan tersebut di lobi Dewan Rakyat hari ini setelah diminta untuk berbuat demikian oleh Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Pengarah strategi PKR itu juga berkata beliau akan memfailkan satu usul khusus berhubung dakwaan tersebut.


Terdahulu Pandikar Amin berkata MP Pandan tersebut semasa berucap pada hari Selasa lalu menyebut ahli SPR yang tidak dapat mempertahankan diri di Dewan berkenaan.


Tindakan tersebut, menurut Pandikar Amin, melanggar peruntukan Peraturan Tetap 36(8) yang antara lainnya menghalang ahli Dewan daripada menyebut ahli SPR tersebut, kecuali dengan usul khusus bagi tujuan tersebut.

Pandikar Amin meminta Rafizi diminta mengulangi dakwaan tersebut di luar Dewan bagi membolehkan pengerusi dan timbalan pengerusi SPR, yang disebut oleh Rafizi, mendapatkan keadilan.

Ucapan MP di luar Dewan Rakyat tidak dilindungi kekebalan dari tindakan undang-undang.

Pandikar Amin meminta Rafizi berbuat demikian ketika memutuskan usul yang dikemukakan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican (BN-Kepala Batas) terdahulu yang mahu Rafizi dirujuk ke jawatankuasa hak dan kebebasan atas dakwaan tersebut.

Pandikar Amin menolak usul Reezal Merican yang mahu merujuk Rafizi ke jawatankuasa berkenaan berdasarkan Peraturan Mesyuarat 36 (12).



"Pandan yakin fakta dia betul. Sebelum itu dia suruh dedah tapi tak ada dedahan di buat. Cuma Pandan, untuk beri orang sana membela, kalau Pandan berani, dia ikhlas, dia ulang di luar," katanya. 

"Jadi atas sebab itu saya terpaksa mohon maaf menolak (cadangan usul) Yang Berhomat untuk merujuk Pandan pada jawatankuasa hak dan keistimewaan," kata Pandikar.

KJ: Najib tergugat jika BN tewas di K Besut

Ketua Pemuda BN Khairy Jamaluddin Abu Bakar menggesa pengundi muda di Kuala Besut supaya menyokong parti berkenaan kerana kekalahan BN akan menggugat kedudukan pengerusi gabungan parti itu, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau yang juga ketua Pemuda Umno berkata keadaan akan menjadi tidak menentu sekiranya PAS berjaya merampas kerusi berkenaan apabila kedua-dua parti menguasai jumlah kerusi yang sama banyak.

"Sekiranya kita tewas di sini, dan kalau sekiranya ada pilihan raya negeri Terengganu dan DUN Terengganu dibubarkan, satu gelombang – bukan biru – tetapi suatu gelombang, suatu gerakan, suatu goncangan akan berlaku sampai ke Dewan Rakyat.
"Dan kita tak mahu melihat kedudukan BN, kedudukan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak, pengerusi BN, presiden Umno digugat, oleh kerana apa yang berlaku di Kuala Besut.

"Oleh demikian saya merayu. Saya merayu dan saya mengajak anak muda Kuala Besut sepaya memastikan kemenangan, bukan hanya Kuala Besut, bukan hanya masa depan Kuala Besut, bukan hanya pembangunan Kuala Besut, tetapi memastikan BN terus memerintah Malaysia," katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu menyampaikan ucapannya dalam Majlis Penyerahan Sukan NGO DUN di Dewan Sivik Kampung Baharu sempena kempem pilihan raya kecil Kuala Besut petang ini.

Kira-kira 300 pemuda dan pemudi yang majoritinya memakai baju-T berwarna biru hadir sewaktu beliau menyampaikan ucapan.

Tuesday, July 16, 2013

Soalan Parlimen 11 Julai 2013 -YB Telok Kemang -Dato' Kamarul Baharin Abbas

Dato' Kamarul Baharin Abbas (Telok Kemang) - Minta MENTERI TENAGA, TEKNOLOGI HIJAU DAN AIR menyatakan:-

(a) Setakatmana TNB dapat mengurangkan kos operasinya dengan langkah-langkah yang diambil untuk meningkatkan kecekapan operasi; dan

(b) Adakah langkah menaikkan kadar kegunaan elektrik dipengaruhi oleh kenaikan tanggungan kepada penjana-penjana bebas (IPP).

Jawapan

Tuan Yang Dipertua,

Untuk makluman Ahli Yang Berhormat,

1. Kementerian ini mengambil perhatian serius keatas keperluan pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) meningkatkan tahap kecekapannya bagi mengurangkan kos operasi. Sehubungan dengan ini, Kementerian bersama Suruhanjaya Tenaga akan mempertingkatkan pemantauan ke atas TNB melalui pelaksanaan Regulatori Berdasarkan insentif atau Incentive-Based Regulation (IBR), dengan izin. IBR merupakan rangka kawalselia ekonomi untuk menggalakkan kecekapan dari segi prestasi, operasi dan kewangan untuk syarikat utiliti elektrik.

2. Di bawah mekanisme IBR, tarif elektrik yang dikenakan oleh TNB kepada pelanggan adalah berdasarkan kos yang efisyen. Mekanisme IBR ini juga dapat memberi insentif kepada TNB untuk sentiasa meningkatkan kecekapan operasi dan meningkatkan pelaburan terhadap infrastruktur bekalan elektrik untuk memastikan bekalan tenaga elektrik yang berdaya harap demi memenuhi permintaan oleh pelanggan. Hasil penjimatan daripada kecekapan operasi TNB juga akan dikongsi sebahagiannya dengan pengguna.

Untuk makluman Ahli Yang Berhormat,

3. Keputusan Kerajaan untuk menyemak semula kadar tarif elektrik mengambil kira faktor-faktor seperti berikut:-

a. Kos pembayaran kapasiti dan tenaga kepada IPP.
b. Kos operasi dan senggaraan yang turut dipengaruhi oleh kadar inflasi.
c. Perbelanjaan modal untuk pembangunan infrastruktur penjanaan, penghantaran dan pembahagian elektrik.
d. Pencapaian TNB dalam meningkatkan kecekapan dan tahap daya harap pembekalan elektrik sebagaimana yang terkandung dalam prestasi sasaran.

4. Ingin saya jelaskan di sini bahawa secara umumnya, pelarasan tarif elektrik TNB akan dilakukan apabila terdapat perubahan dalam kos menyediakan bekalan elektrik terutamanya jika terdapat perubahan kepada kos bahan api terutamanya gas dan arang batu kerana kos bahan api ini merupakan komponen utama dalam kos pembekalan elektrik di Semenanjung Malaysia.

___________________________________________________________

Rakyat boleh menilai pendirian Kerajaan dalam soal kenaikan tarif elektrik dan kaitannya dengan IPP. Maka jawapan ini jelas memberikan kita makna dan sikap Kerajaan dalam menangani masalah kenaikan tarif elektrik.

Anwar baca SMS Jusuf Kalla dalam Dewan Rakyat

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau akan menyaman akhbar Berita Harian kerana memfitnahnya berhubung dakwaan Pakatan Rakyat menerima wang dana asing untuk perhimpunan Black 505.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican (BN-Kepala Batas) bertanya soalan tambahan kepada Menteri Dalam Negeri di Dewan Rakyat tentang laporan memetik bekas naib presiden Indonesia Jussuf Kalla, yang menyebut Anwar menerima dana asing bagi perhimpunan itu.

NONE
"Saya memutuskan untuk menyaman Berita Harian kerana fitnah jahat ini. Penjelasan telah diberi oleh Jusuf di dalam media, tetapi kenapa Kementerian Dalam Negeri mengambil masa berbulan untuk selesaikan perkara ini?" kata Anwar (kanan).

Anwar berkata demikian ketika bangun selepas Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar menjawab soalan daripada Reezal.

Selain itu, Anwar turut membacakan SMS yang diterimanya daripada Jusuf kepada Dewan Rakyat bagi menafikan laporan akhbar harian tersebut.


Edaran bubur lambuk oleh Adun Sikamat di Masjid Sikamat

Ahad lepas bertempat di kawasan bazar Ramadhan berhadapan Masjid Sikamat, Taman Desa Rhu telah berlangsung program edaran bubur lambuk kepada orang ramai. Turut sama dalam program ini Adun Sikamat YB Aminuddin Harun. Program anjuran Pejabat ADUN Sikamat ini menjadi acara tahunan tiap kali bulan Ramadhan.

 



Aliran tersumbat, jalan digenangi air di Persimpangan Lukut-Sepang


Setiap kali hujan, Persimpangan Lukut-Sepang di Pekan Lukut akan ditakungi air akibat aliran yang tersumbat atau tidak diselenggara oleh pihak bertanggungjawab.

Keadaan tersebut akan mendatangkan kesukaran kepada para penunggang motosikal dan kereta kerana paras air yang bertakung di persimpangan itu agak tinggi sukar dilalui berbanding kenderaan besar dan tinggi seperti pacuan empat roda atau lori/bas.

Sekali lagi peranan Ahli Majlis yang bertanggungjawab di kawasan terbabit gagal melaksanakan tugas dan peranan mereka. 


Longkang tersumbat, Ahli Majlis PBT gagal menjalankan tugas


Baru-baru ini, Adun Chuah YB Chai Tong Chai telah menerima aduan daripada penduduk-penduduk di Taman Bukit Pelandok, Chuah mengenai longkang yang tersumbat yang menyebabkan aliran air tersekat.


Menurut YB Chai lagi, penduduk memaklumkan kepada beliau keadaan longkang yang tersumbat itu telah menyebabkan bau busuk dan menjadi tempat pembiakan nyamuk.


Laporan telah dibuat kepada Majlis Daerah Port Dickson (MDPD) dan South Waste Management (SWM) untuk tindakan segera. 

Sepatutnya Ahli Majlis yang bertugas menjaga kawasan tersebut menjalankan tanggungjawabnya dalam menanggani masalah longkang tersumbat seperti ini. Namun, agak mengecewakan mereka masih gagal melaksanakan peranan yang bukan menjadi tanggungjawab wakil rakyat! 

Jika 16:16, Speaker DUN Terengganu tiada kuasa penentu

Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu tidak lagi mempunyai kuasa penentu (casting vote) apabila Pas memenangi pilihan raya kecil (PRK) N01 Kuala Besut.
Pengarah Pusat Penyelidikan & Pembangunan Pas, Dr Dzulkefly Ahmad berrkata, senario itu terjadi berikutan kedudukan 16 : 16 antara Pakatan Rakyat dengan Barisan Nasional.
Dr Dzul
“Speaker DUN Terengganu tidak ada kuasa (undi) penentu (casting vote) kerana bukan dipilih oleh rakyat.
“Dia dilantik oleh kerajaan Terengganu,” katanya dalam ceramah kelompok di Kampung Tok Saboh, 13 Julai lalu.
Bekas calon BN parlimen Kuala Terengganu, Mohd. Zubir Embong yang tewas kepada calon Pas, Raja Kamarul Baharin dengan majoriti 10,785 undi dilantik sebagai Speaker DUN  Terengganu 16 Jun lalu.
Justeru kata Dr Dzulkefly, BN dilihat begitu terdesak dan sanggup melakukan apa sahaja untuk mendapat kemenangan dalam PRK Kuala Besut bagi mengekalkan majoriti dalam DUN Terengganu.
Sebelum ini, pakar perlembagaan Dr Abdul Aziz Bari berpendapat, Sultan Terengganu boleh membubarkan DUN sekiranya baginda tidak boleh memutuskan menteri besar yang sesuai  di negeri itu.
Katanya, Sultan boleh membuat keputusan itu sekiranya BN dan Pakatan Rakyat menguasai  jumlah kerusi sama banyak.
Dalam keadaan seperti itu, pelantikan menteri besar boleh diputuskan Sultan yang boleh menggunakan pertimbangannya sendiri.
Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=54295

Pakatan fail saman cabar keputusan PRU-13

Pakatan Rakyat memfailkan saman ke atas tujuh individu yang menjadi panel Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi mencabar keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) berhubung isu penggunaan dakwat kekal pada 15 Julai lalu.
Ahli Parlimen Subang, Sivarasa Rasiah berkata tindakan saman itu adalah simbolik bagi menyalahkan sepenuhnya Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Yusof serta enam ahli panel lainnya yang didakwa berniat menipu PRU-13 melalui kaedah tersebut.
“Kita bawa ke mahkamah isu ini (dakwat kekal) kerana kita anggap satu penipuan, ia bukan soal kecuaian mahupun kekurangan pengalaman dalam mengendalikan dakwat kekal, tetapi mereka memang berniat untuk menyeleweng PRU-13 dengan mengadakan dakwat tidak kekal,” katanya.
Saman_SPR
Jelas Sivarasa, tidak ada pihak lain yang bertanggungjawab mengendalikan pilihan raya kecuali SPR. Katanya, selain mengemukakan petisyen, saman adalah jalan spesifik untuk mendedahkan penyelewengan.

“Kita mahu satu pengisytiharan dari badan kehakiman bahawa SPR gagal melaksanakan tanggungjawab dengan menggunakan dakwat tidak kekal, melalui pengisytiharan itu juga kita mahu keputusan PRU-13 di 222 kawasan dibatalkan dan pilihan raya diadakan semula,” katanya.
Menurut beliau lagi, saman tidak difailkan kepada institusi tetapi individu kerana mahu mereka bertanggugjawab sepenuhnya atas penyelewengan yang dilakukan. Pakatan juga, katanya, tidak mahu individu sama mengetuai SPR dan menuntut gantirugi atas penipuan mereka.
Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar pula menyifatkan tindakan itu sebagai cara terbaik untuk memastikan ketujuh-tujuh individu tersebut bertanggungjawab di atas tindakan mereka.
“Isu dakwat tidak kekal adalah isu pokok dalam memastikan pilihan raya berjalan dengan bersih. Mahkamah adalah cara terbaik bagi kesemua ahli SPR yang terlibat menjawab,” katanya.
Saman Pakatan diwakili calon parlimen Kulim Bandar Baharu, Datuk Saifuddin Nasution Ismail (KEADILAN), calon parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad (PAS) dan calon parlimen Cameron Highlands M. Manogaran (DAP) serta dua pengundi lain.
Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=54307

PAS yakin dapat MB jika situasi 16:16 di Terengganu


Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub percaya PAS dapat memperoleh kedudukan sebagai menteri besar Terengganu jika Dewan Undangan Negeri (DUN) mencapai anggota 16:16 antara Pakatan Rakyat dan BN.

Katanya, jika itu berlaku, PAS akan dapat menyelesaikan masalah tanah di negeri Pantai Timur itu.

NONE
"Jika kita dapat capai 16:16, Insya-Allah jika ia benar-benar berlaku, PAS akan menjadi menteri besar dan menyelesaikan masalah tanah di negeri ini," katanya dalam ceramah di Seberang Barat Luar, Kuala Besut malam tadi.

Menurut bekas anggota Parlimen Kubang Kerian itu, PAS ketika memimpin Terengganu pada 1999 berjaya menyelesaikan 75 peratus masalah itu.

BN sekarang mempunyai penguasaan 17 kerusi DUN di Terengganu manakala Pakatan pula 15 kerusi.

Jika PAS berjaya merampas kerusi itu, jumlah kedua-dua pihak akan sama banyak, yang kemungkinan besar mewujudkan keadaan DUN 'tergantung'.

Pakar undang-undang berpendapat, jika itu berlaku, ia bergantung kepada sultan Terengganu untuk menentukan menteri besar atau membubarkan DUN supaya pilihan raya semula dapat dilangsungkan.

'Bayangkan PAS tak masuk pilihan raya'

Sementara itu, Salahuddin juga menegaskan, parti Islam itu akan terus mengambil bahagian dalam proses pilihan raya walaupun berhadapan situasi padang tidak sama rata.

NONE
Katanya, ia "sumbangan besar demi negara" daripada aspek keselamatan negara kerana mereka tidak mahu Malaysia menjadi sebuah lagi negara Amerika Latin yang rakyatnya menggulingkan kerajaan bukan melalui proses pilihan raya.

"Pasukan keselamatan patut berterima kasih kepada PAS... 

"Boleh kamu bayangkan, apa yang akan berlaku sekiranya PAS memutuskan tidak mengambil bahagian dalam proses pilihan raya," katanya sambil menambah parti itu mempunyai 1.3 juga anggota di seluruh negara.

Pantau harga barang, bukan saran rakyat tukar selera

KUALA LUMPUR, 16 JULAI: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaaan (KPDNKK) sepatutnya membantu menyelesaikan krisis kenaikan harga ayam, bukan mencadangkan rakyat bertukar selera ke sumber protein lain seperti disaran menterinya, Datuk Hasan Malek.
Ahli parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul berkata, fungsi asas kewujudan KPDNKK untuk memastikan harga-harga barang terkawal mengikut peraturan yang ditetapkan kerajaan.
“Hasan patut sedar fungsi KPDNKK, sama ada rakyat perlu bertukar selera atau tidak bukan dia yang tentukan.
johari-abdul
“Bila berlaku kenaikan harga, tanggungjawab menteri memantau dan menghukum peniaga yang menaikkan harga sesuka hati,
“Bukan melepaskan tanggungjawab dengan saranan dangkal,” kata Johari kepada Keadilandaily.
Semalam, Datuk Hasan Malek mengajak orang ramai ‘menukar’ selera daripada memakan ayam kepada menu lain seperti ikan dan daging sebagai usaha mengekang kenaikan harga ternakan itu.
Johari menambah, KPDNKK sewajarnya meningkatkan kepekaan dan tanggungjawab untuk membantu rakyat agar boleh membeli barang keperluan pada harga berpatutan.
“Tingkatkan kualiti penyeliaan dan pemantauan. Babitkan lebih banyak pihak di setiap peringkat, dari kementerian hingga pengguna.
“Penghulu, ketua kampung, pegawai terlibat dan pengguna mesti digesa menjadi mata dan telinga kerajaan agar sebarang penyelewengan harga boleh dibanteras segera,” katanya.
Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=54315