Thursday, January 7, 2010

PR Bersedia Di Sabah dan Sarawak


Parti Pakatan Rakyat mensasarkan negeri Sabah dan Sarawak yang selama ini menjadi kubu kuat Barisan Nasional sebagai batu loncatan membentuk Kerajaan Persekutuan pada pilihan raya akan datang.

TV Selangor menemubual Naib Presiden Keadilan, Datuk Dr. Jeffrey Gapari Kitingan membincangkan persediaan Parti Keadilan Rakyat dalam menghadapi cabaran pada pilihan raya akan datang di negeri Sabah dan Sarawak.

Menurut beliau, dalam menghadapi pilihanraya akan datang, amatlah penting untuk mengambil hati rakyat Sabah dan Sarawak terlebih dahulu.

"Bagaimana kita boleh memenangi hati dan fikiran rakyat Sabah dan Sarawak dan adakah kita dapat mengubah sokongan rakyat daripada Barisan Nasional (BN) kepada Parti Pakatan Rakyat. Terutama kepada Parti Keadilan," katanya ketika ditemui di Hotel Eastin dekat Damansara, pagi tadi.

Selain itu, beliau turut menyuarakan kebimbangan beliau mengenai masalah utama di negeri Sabah dan Sarawak iaitu kedatangan pendatang asing tanpa izin.

"Perkara utama yang perlu diselesaikan adalah isu pendatang tanpa izin. Terutamanya kepada mereka yang masih berhadapan dengan isu MyKad dan semua ini perlu diselesaikan sekali gus," katanya.

Jeffrey turut menyuarakan hasrat beliau untuk melihat sesuatu isu diselesaikan dengan fikiran yang terbuka tanpa dipengaruhi oleh agama dan bangsa sesebuah parti politik.

"Saya ingin melihat lebih banyak pasukan yang dinamik, berfikiran terbuka terhadap isu berkaitan tetapi tidak membuat seseorang terikat dengan prasangka lama dan politik parti agama. Didorong untuk mendapatkan keadilan sejagat bagi membawa Malaysia ke arah halatuju yang dibina," katanya kepada TV Selangor.

Beliau turut yakin bahawa Parti Keadilan dapat menyatukan rakyat di negeri Sabah dan Sarawak.

"Dengan pendekatan politik yang diamalkan Keadilan pasti akan memberi satu landasan untuk menyatukan rakyat kerana perjuangan kita adalah untuk semua," katanya.

Beliau sempat mengakhiri perbualan dengan menyuarakan harapan supaya lebih banyak promosi dibuat untuk membuat parti lebih dikenali.

"Kami memerlukan lebih banyak promosi di peringkat tempatan khususnya di Sabah dan Sarawak. Kita perlu mengemaskini parti ini," katanya. - NOOR SURAYA SANUSI

No comments: