Sunday, July 19, 2009

Chua Jui Meng umum sertai PKR


Bekas menteri kesihatan, Datuk Chua Jui Meng hari ini mengumumkan keluar dari MCA dan menyertai PKR di di majlis forum anjuran PKR di Sunway.

Sebelum ini, Chua yang juga bekas menteri naib presiden MCA muncul di majlis tersebut bersama Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Chua sebelum ini mengumumkan melepaskan jawatan ketua MCA bahagian Bakri Khamis lalu.

Kira-kira 800 hadirin di majlis itu bertepuk tangan ketika Chua dan Anwar melangkah masuk ke dewan pada jam 3.30 petang.

Terdapat kain pemidang yang mengucap tahniah kepada Chua kerana menyertai PKR", yang dipegang hadirin ketika Chua berjalan masuk.

Dalam ucapannya, Chua berkata beliau telah melepaskan jawatan ketua MCA bahagian Bakri untuk menempuh perjalanan baru untuk perubahan.

Katanya, sebab beliau menyertai PKR ialah kerana sistem dua parti ini berdepan dengan ancaman dari Umno.

Menurut Chua, beliau yakin telah membuat keputusan yang betul, untuk menyertai PKR, terutama dalam detik penting dalam sejarah negara.

Menurutnya, kematian Teoh Beng Hock - setiausaha politik exco kerajaan Selangor, Ean Yong Hian Wah, menjadi pendorong penting baginya untuk melompat menyertai pembangkang.

Mayat Teoh ditemui Khamis lalu di atas bumbung bangunan bersebelahan pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor di Shah Alam, selepas disoal siasat semalam oleh SPRM, berhubung dakwaan salahguna wang peruntukan untuk DUN di Selangor.

Chua hadir bersama bekas senator MCA, David Yeoh dan bekas ahli Parlimen Lumut. Kedua-duanya turut mengumumkan menyertai PKR.

Dua hari lalu, Malaysiakini melaporkan bahawa Chua akan melompat menyertai PKR.

Dalam sidang akhbar selepas itu, Chua ditanya mengenai laporan yang menyebut beliau menafikan akan menyertai PKR.

Dalam jawapannya, Chua menafikan berkata demikian tetapi sebaliknya berkata beliau telah disalahlapor.

Ada persamaan

Menurut bekas menteri kesihatan itu, beliau menyertai PKR kerana mempunyai persamaan idealisme dan visi dengan manifesto PKR untuk membawa perubahan di Malaysia.

“Saya sudah keluarkan manifesto saya beserta dengan idealisme dan visi untuk MCA.

“Saya membuat perbandingan manifesto beliau (Anwar) dalam agenda Malaysia dan manifesto PKR. Saya nampak isu-isu ada perkiraan yang sama. Itu mustahak bagi saya. Kalau ada idea-ide yang bercanggah saya tidak akan masuk PKR,” katanya

Beliau juga menafikan beliau kecewa dengan MCA dan menyifatkan perkara tersebut "tidak berbangkit sama sekali".

“Pada pemilihan tahun 2008 saya tewas, (kemudian) saya jemput Datuk Seri Ong Tee Keat ke bahagian saya dan minta beliau menjelaskan kepada masyarakat Tiong Hua, walaupun kami bertanding satu jawatan yang sama, atas nama prisip, maka kita boleh kekal berkawan,” katanya.

Kata Chua, presiden MCA itu, pernah hadir ke bahagiannya sebanyak dua kali selepas beliau kalah dalam permilihan parti tahun lepas.

Menurutnya lagi, beliau mula membuat pertimbangan untuk menyertai PKR sebelum dan selepas pemilihan MCA pada tahun lalu.

“Kemasukannya saya ke dalam PKR adalah tanpa syarat.

“Saya ada idea dan wawasan yang sama dengan PKR. Kalau ada tempat ada platform, tempat itu bermula dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim,” tambahnya.

Katanya, keputusan untuk menyertai PKR juga dibuat selepas beberapa kali perbincangan dengan Anwar yang juga ahli parlimen Permatang Pauh.
__________________________________________________________________________

Mengapa saya tinggalkan BN?

Chua Jui Meng
Jul 18, 09
6:13pm

Terdapat banyak spekulasi baru-baru ini mengenai apakah langkah saya seterusnya dalam politik.

Hari ini, saya membuat satu keputusan penting dalam hidup saya - meninggalkan MCA dan menyertai PKR. Saya meletak jawatan sebagai pengerusi MCA bahagian Bakri, jawatan yang saya pegang selama 23 tahun, membebas diri ini untuk memikul perjuangan baru bagi merealisasi wawasan saya untuk perubahan. Semua ini terkandung dalam manifesto yang saya tulis sewaktu bertanding jawatan presiden MCA pada 2005 dan 2008.

Hari ini saya mengumumkan bahawa saya keluar daripada MCA. Sekarang saya mengumum saya menyertai PKR.

Hari ini saya yakin yang saya berada di pihak yang betul dalam sejarah, pada saat yang amat genting dalam sejarah negara kita. Apa yang mendorong saya untuk berbuat demikian?

Pilihanraya umum 2008 menyaksikan kesungguhan 52 peratus rakyat Malaysia di Semenajung untuk melakukan perubahan. Kuasa undi yang menakjubkan ini telah melahirkan, bagi pertama kalinya, sistem dua parti. Hasilnya, kita menyaksi fenomena sehingga ini di mana pemimpin Umno berkata " jika kita tidak berubah, rakyat akan menukar kerajaan".

Kerana tiada pilihan, rakyat Malaysia kini menyaksikan kerajaan yang didukung oleh Umno, membuat beberapa usaha memenangi hati rakyat. Itu adalah hasil daripada kuasa rakyat.

Hari ini kita menyaksikan kelahiran sistem dua parti kini berdepan dengan ancaman kemusnahan, gangguan yang berterusan daripada kerajaan yang didukung oleh Umno untuk memisah dan memusnahkan sistem dua parti, yang terhasil daripada pilihanraya umum tahun lalu.

No comments: