Thursday, January 22, 2009

Sumbangan lembu adalah khidmat sosial syarikat koporat-MB Selangor

MENTERI BESAR SELANGOR, Abdul Khalid Ibrahim menafikan dakwaan Gerakan Rakyat Anti Korupsi (Gerak Malaysia) yang mendakwa beliau menggunakan wang kerajaan negeri bagi membeli 46 ekor lembu korban sempena Aidiladha tahun lalu.

Menurut beliau, Abdul Khalid berkata lembu korban terbabit telah didermakan oleh enam anak syarikat dan syarikat bersekutu kepada Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

“Saya ingin menegaskan bahawa dana kerajaan negeri Selangor tidak digunakan untuk pembelian lembu korban untuk Bandar Tun Razak,” menurutnya lagi, “Sebaliknya, lembu korban telah didermakan oleh enam anak syarikat dan syarikat bersekutu kepada Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).”

Abdul Khalid mengulas kenyataan berkenaan sebagai respons kepada dakwaan yang dibuat Gerak Malaysia pagi semalam yang mendakwa beliau telah menyalahgunakan kuasa serta mengamalkan rasuah dengan menyalurkan dana kerajaan negeri di luar sempadan Selangor.

Beliau berkata sebagai seorang yang berpengalaman dalam banyak syarikat korporat sebelum ini, beliau sangat memahami bagaimana mewujudkan tadbir urus yang baik.

“Peruntukan kerajaan negeri hanya boleh digunakan untuk kegunaan negeri sahaja,” tegasnya Abdul Khalid dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN)

Beliau berkata Gerak Malaysia wajar membuat ‘homework’ agar ia tidak dilihat seperti digunakan pihak-pihak tertentu untuk tujuan politik.

Abdul Khalid juga menyatakan kesediaannya memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan berhubung dakwaan itu.

Sementara itu mengulas mengenai hal berkenaan, Ketua KeADILan Bandar Tun Razak, Azman Zainal Abidin berkata beliau melihat pelapor berkenaan seperti ketandusan isu.

Menurut beliau banyak isu besar lain yang sepatutnya dibuat oleh badan NGO berkenaan bukan sentiasa menunding ke arah negeri-negeri dan kerja yang dilakukan Pakatan Rakyat.

“Saya berharap agar Gerak Malaysia melaporkan rasuah-rasuah yang sudah diketahui umum. Dalam hal ini, bagi saya ianya tidak ada sebarang isu. Hanya satu sumbangan ikhlas untuk masyarakat dari sebuah syarikat koporat,” katanya ketika ditemui semalam.

No comments: